Kehilangan


Saya belum pernah kecurian telefon bimbit. Ini kali yang pertama. Saya doakan orang yang sangat berminat dengan telefon saya itu (seperti gambar di sebelah) dapat memanfaatkannya dan saya doakan juga semoga Tuhan memberikan petunjuk dan hidayah kepadanya supaya dia tidak mengulanginya kepada orang lain.

Kehilangan telefon bimbit bukan setakat kehilangan telefon itu secara fizikal - kehilangan maklumat di dalam telefon itu lebih penting. Ada yang lebih berharga daripada telefon itu sendiri.

Tetapi, saya redha atas ketentuan ini. Mungkin atas kecuaian saya sendiri. Saya fikir ada banyak hikmah yang tersembunyi di sebalik kehilangan ini.

Sewaktu saya menaip semula nombor-nombor telefon sahabat-sahabat yang sempat saya simpan secara manual ke dalam buku kecil hitam (little black book), saya lihat betapa banyaknya senarai nombor kenalan saya. Sayangnya, bukan semuanya sering saya hubungi. Saya memilih-milih dan menilai semula apakah semuanya harus saya masukkan kembali ke dalam telefon ini, ataupun hanya setakat mereka yang sering menghubungi saya atas urusan kerja ataupun yang seumpamanya.

Saya menilai kembali siapakah sahabat-sahabat saya. Kepada yang berhubung dengan saya selepas ini sama ada secara SMS ataupun menelefon, harap perkenalkan diri (khususnya yang berSMS) kerana saya tak mampu untuk menaip semula semua nombor telefon yang ada di dalam buku saya itu. Usah kecil hati ya. Kalau saya taip semua sekali, tentulah usaha mengumpul nombor-nombor kalian sejak saya mula ada telefon bimbit (mulai 1999) akan memakan masa berminggu-minggu.

Pun, jika saya ingin menghubungi kalian, nombor kalian tetap berada di dalam simpanan saya kerana menyimpan secara manual lebih kekal berbanding menyimpan di dalam cip memori telefon saya. Hanya nombor-nombor yang baru saya masukkan sejak awal tahun ini sahaja yang belum sempat saya tulis dalam buku kecil hitam ini.

Andainya, tuan-tuan dan puan-puan rajin dan berkelapangan, silalah tinggalkan pesanan ataupun menelefon bagi meninggalkan jejak di telefon saya. Insya-Allah, nombor itu akan saya rakamkan.

Terima kasih kepada beberapa orang sahabat yang sudi berbuat demikian.

Kehilangan ini seperti ada pengajaran, sama-samalah kita menafsirkan. Kehilangan telefon ini mengajar saya lebih menghargai. Kenangan bersama-sama telefon lama lebih kekal jika disimpan di dalam memori minda sendiri. Ya, saya merindui telefon yang lama, kerana saya mengambil masa yang agak lama untuk mengakrabinya. Tetapi, saya harus segera belajar menghargai apa yang ada pada masa kini.


.
.

Ulasan

D'Rimba berkata…
Masukkan nombor saya juga jika akak sudi. Huhuhuhu......012-300 8261. Sila beri tunjuk ajar saya budak baru belajar. Satu masa nanti saya mahu pergi ke SMAA ataupun telah ditukar nama kepada Kelana Petra. Terlalu banyak kenangan bermakna saya di sana perlu saya hargai sepenuh hati.
Abdul Rahman Sokran berkata…
Assalamualaikum,

Tahniah atas... yang terbaharu mungkin PPMN09. Takziah atas kehilangan telefon bimbit. Alangkah baiknya kalau dapat kongsi pengalaman apa perlu dibuat jika telefon bimbit hilang terutama cara melupuskan nombor supaya tidak disalahgunakan oleh orang lain.

-Abdul Rahman Sokran (012-3596915)

Catatan Popular