Jumaat, Ogos 14, 2009

Singgahan di Kuantan


Pada suatu petang Ahad yang tenang, saya singgah sendirian di Bandar Kuantan. Perjalanan menggunakan bas ekspres dari Seremban ke bandar itu tamat di destinasinya dan disambut dengan deraian hujan. Agak lebat juga.

Di Terminal Makmur, saya menahan teksi yang terus membawa saya ke hotel yang telah ditempah lebih awal. Saya pernah lalu ke Kuantan sebelum ini tetapi tidak pernah singgah, apatah lagi menginap.

Sengaja saya pilih sebuah hotel yang letaknya di pinggir Sungai Pahang. Apabila bersendirian, saya dapat menikmati keadaan ini dengan cara yang tersendiri. Sebelum ini, saya pernah bermalam di Pekan, Pahang. Atau lebih tepat lagi, di kediaman sahabat pengarang, Amaruszati yang kini lebih dikenali sebagai usahawan kek di Pahang. Oleh sebab saya tidak memandu, saya tidak berkesempatan untuk ke mana-mana selain di bandar ini.

Urusan saya bermula pada hari Isnin, jadi petang Ahad itu, setelah hujan reda, saya berjalan-jalan. Perjalanan saya itu membawa saya sehingga ke Berjaya Megamall Kuantan. Apa lagi yang mungkin saya cari, kalau bukan sebuah kedai buku. Saya tidak bertanya kepada sesiapa, jadi apa yang saya terpandang, itulah yang saya jumpa.

Setelah berpusing-pusing sekeliling kompleks beli belah itu, saya terjumpa Popular Bookstore. Ada banyak buku yang dijual sebagai kedai buku rangkaian. Sayang sekali, Lentera Mustika masih tiada di situ. Saya beranggapan, novel saya itu masih belum sampai ke Kuantan. Setakat ini di Seremban sudah ada.

Oleh sebab berjalan kaki, saya sempat merakam beberapa gambar di sekitar bandar ini. Sungguh tertarik dengan seni bina Masjid Negeri yang menjadi mercu tanda terbaharu Kuantan. Terasa seperti melihat sebuah masjid di negara Turki. Ada persamaan pada seni binanya. Banyak juga gambar yang saya ambil untuk masjid ini. Walau bagaimanapun, ini antara sudut yang agak baik.



Esoknya, saya menunggu wakil daripada pihak Radio Malaysia Pahang FM di lobi hotel. Namun, suasana di luar hotel lebih memanggil. Saya membiarkan semilir pagi bermain-main dengan wajah saya di pinggir Sungai Pahang. Air sedang pasang. Banyak juga bot yang sedang memulakan laluan sejak awal pagi. Cuaca sedikit mendung dan pagi masih basah.

Tepat pada waktu yang dijanjikan, Puan Wan Azizah, DJ Radio Malaysia Pahang FM menjemput saya untuk dibawa ke studio rakaman. Kompleks penyiarannya besar dan agam - dan seperti biasa sejuknya amat luar biasa.

Rakaman berjalan lancar.

Saya dibawa pula ke East Coast Mall untuk makan tengah hari. Kami bersembang-sembang seputar dunia penulisan dan juga buku. Saya tanya, apakah kedai buku yang ada di dalam kompleks ini pula. Nampaknya kompleks ini lebih besar daripada Berjaya Megamall yang saya singgah semalam. Daripada maklumat yang diterima, ada sebuah katanya. Itupun, apabila saya singgah kemudiannya, boleh dikatakan kedai itu tidak sampai 50% berisi buku. Selebihnya adalah kedai alat tulis.

Menurut Kak Wan (panggilan saya kepadanya), tahap pembacaan di negeri ini antara yang terendah. Saya kata, barangkali keadaan negeri Pahang yang besar menyukarkan pengedaran buku. Dia tidak pasti tetapi menurutnya lagi, seorang kenalannya yang memang suka membeli buku, tidak akan membelinya dari Kuantan. Kenalannya itu akan ke Kuala Lumpur kerana buku-buku yang dicarinya itu biasanya tiada di Kuantan.

Saya tidak mungkin membuat kenyataan bahawa orang Pahang tidak membaca ataupun di Kuantan tidak ada kedai buku hanya berdasarkan singgahan selama kurang daripada 24 jam itu. Namun, itulah tanggapan awal yang ada munasabahnya.

Pun, saya berharap tahap pembacaannya lekas bertambah. Kalau di Kuantan ada sebuah gedung KAMDAR (dengan bangunan sendiri) dan penuh diisi pelanggan, mudah-mudahan akan ada kedai yang sebesar itu dan penuh dengan pencinta buku dari seluruh negeri Pahang.

Saya tinggalkan Sungai Pahang dan Bandar Kuantan yang ternyata hebat dari segi koleksi pakaian dan juga tudung - Butik Ariani dengan harga tudung yang beratus-ratus itu boleh mendapat sambutan di Kuantan - dengan hati yang sedikit terkilan. Apakah nilai buku jauh lebih rendah daripada fesyen pakaian yang sifatnya bermusim?

Semoga singgahan saya ke bandar ini pada lain masa akan menawarkan sesuatu yang lebih menjanjikan!
.
.

3 ulasan:

MARSLI N.O berkata...

Nisah: Maaflah masuk campur sikit. Yang kata tahap pembacaan di sini rendah itu bagaimana pula tahapnya? Maaf cakaplah.

Nisah Haji Haron berkata...

Sdr Marsli,
Terima kasih atas singgahan ke laman ini. Jika dirujuk kembali kepada entri saya, kata-kata itu dikutip daripada komen DJ Pahang FM di sepanjang perbualan kami. Berdasarkan pengamatan saya yang amat terhad itu, Kuantan memiliki gedung kain baju yang amat besar tetapi toko bukunya terpencil dengan koleksi buku yang tidak terkini. Ini tanggapan berdasarkan singgahan ke Berjaya Megamall dan East Coast Mall. Saya tidak sempat ke Kuantan Parade. Ada MPH di Kuantan Parade? Kalau ada baguslah, seperti di Ipoh Parade ada MPH dan juga Novel Hut sebuah kedai buku terpakai yang banyak sekali permata di dalamnya.

Saya tak fikir kadar pembaca hanya rendah di Pahang, banyak negeri lain juga yang tersenarai. Rata-rata rakyat Malaysia lebih berbangga dengan koleksi baju, bunga, kereta dan benda-benda fizikal yang selain buku. Tidak semua orang seperti kita, penggila buku!

r.e.h.a f.a.r.e.h.a.h berkata...

Salam....saya salah seorang yang tinggal di Kuantan, Pahang. saya menyokong kata Nisah. di Kuantan memang susah untuk mencari kedai buku yang mempunyai pelbagai jenis buku, saya sampai berpusing-pusing sekitar bandar kauntan untuk mencari buku yang saya kehendaki. lagi satu kedai buku yang ada pun kadang-kala susah untuk pengunjung mrncari buku yang di kehendaki. sebelum ini saya belajar di kuala lumpur. saya ingin menyatakan bahawa memang mudah untuk mencari buku-buku yang dikehendaki. saya pun berharap kedai buku seperti mph boleh berada di kuantan di samping pusat membeli belah yang besar tetapi tiada kedai yang menjual buku seperti mph.

Related Posts with Thumbnails