Khamis, September 03, 2009

Siapa patut jadi suami pengarang?

Seorang calon penulis pernah bertanya kepada saya : lelaki bagaimanakah yang harus menjadi pilihannya jika dia mahu terus menjadi penulis selepas berumah tangga kelak. Saya tidak segera menjawab kerana soal jodoh dan pertemuan ini seseungguhnya kerja Allah. Namun, sebagai manusia kita boleh dan patut berusaha, berdoa dan bertawakkal.

Saya katakan kepadanya - kalau mahu menjadi penulis, usah kahwin dengan penulis. Dia terkedu. Gagal mencari logiknya. Bukankah orang yang sama bidang seharusnya lebih memahami. Dia menduga saya kembali.

Saya teringat kata-kata Puan Selina SF Lee, isteri kepada penyair Dr. Lim Swee Tin. Walaupun sama-sama menulis, dia sering disalahertikan. Ada suara (sumbang) yang menyatakan yang sajak-sajak Selina itu ditulis oleh Lim Swee Tin. Sebagai penulis dan penyair, pastinya dia kecewa dituduh begitu. Lalu dalam suatu majlis pengakuan penyair yang pernah dianjurkan oleh PENA lama dahulu, katanya pepatah Cina ada menyebut - di dalam suatu lembah, tak boleh ada dua harimau.

"Lantas, kalau penulis bukan calon terbaik untuk saya, siapa yang boleh saya nikahi dalam memberi jaminan bahawa saya akan dapat terus menulis?" lebih dalam dia menduga saya.

Saya menggeleng. Tidak ada sebarang jaminan dalam kehidupan ini. Apatah lagi dalam perkahwinan kerana Allah SWT telah mengatur segala-galanya. Dia yang Maha Mengetahui. Namun, kita boleh teruskan usaha.

"Carilah pasangan yang boleh menghormatimu sebagai pengarang," kata saya.

Calon itu mestilah boleh memberi ruang menulis :
  • ruang masa
  • ruang tempat
  • ruang membaca
Dia tidak mengganggu sewaktu pengarang sangat perlukan konsentrasi. Biasanya takkan sampai sehari suntuk. Dapat konsentrasi selama sejam lebih pun (maksimum 2 jam) pun sudah cukup bagus, kalau kita tahu bagaimana untuk mengoptimumkan masa yang diberi.

Pasangan juga tidak cuba 'menguasai' laptop/komputer pengarang, ketika pengarang itu sangat perlukan alat penulisannya pada ketika itu. Sebaik-baiknya pengrang tidak berkongsi laptop dengan sesiapa pun. Pengarang tidak akan 'menghalau' orang lain yang menggunakan laptopnya itu dengan jelas, seperti berkata, "Saya nak menulis ni, tolonglah..." Pengarang tidak mungkin berkata begitu. Kalau boleh, ketika cetusan untuk menulis itu datang, laptopnya sudah bersedia untuk diketuk. Apabila ada orang sedang menggunakan laptopnya, ibarat salur darah tersumbat, jantung terus mengepam darah dan nanti salur darah pecah - dan akibatnya, boleh difikirkan sendiri. Oleh itu, kepada pasangan pengarang, cuba untuk menjauhi aktiviti menguasai alat penulisan isteri.

Calon suami pengarang haruslah tidak terlalu mengkritik jika pengarang membeli buku dalam jumlah yang 'membeliakkan mata' - kerana itu ialah pelaburan yang pengarang harus lakukan:
  • bahan bacaan berkualiti menjadi asas pemikiran yang baik;
  • pemikiran yang baik lagi kritis boleh melahirkan pengarang yang kritis
Pasangan pengarang itu haruslah mampu memberi kata-kata perangsang kepada pengarang seikhlas mungkin, bukan dibuat-buat. Kalau tak mampu memuji dengan ikhlas, tak kata apa-apa pun adakalanya lebih baik daripada berkata yang bukan-bukan yang boleh membunuh semangat pengarang.
  • kata-kata suami itu umpama azimat. Isteri boleh ditawan oleh kata-kata, dia juga boleh dibunuh dengan kata-kata, dia nanti boleh membenci hanya kerana kata-kata.
Saya doakan mereka yang mencari pasangan akan bertemu pasangan yang mampu memberikan segala bentuk sokongan untuk menulis. Tidak semestinya, pasangan penulis itu mesti membaca setiap buku ataupun karya pasangannya. Sokongan moral itu adakalanya bermakna tolong bawa anak-anak keluar bermain supaya isterinya dapat menumpukan masa lebih kurang sejam. Paling kejam jika pasangannya memperkecilkan kebolehan pengarang apatah lagi apabila pengarang itu baru bermula. Mana ada orang yang apabila lahir terus berlari. Kalau betul ada yang begitu, pastinya bukan anak manusia, anak zirafah barangkali!

Pun, kriteria ini tidak semestinya sesuai untuk semua orang. Bukankah setiap orang itu unik dan mempunyai kehendak yang berbeza.
.
.

5 ulasan:

Sisipan Ilham berkata...

salam. setuju dgn nisah. pengarang (secara sambilan/tenggelam timbul)memang takkan cakap 'tolonglah, saya nak menulis ni...' Tapi kita sanggup berkorban jika ada hal yg lebeh penting dari menulis. Jadi, sebelum berkahwin, kita dalami dulu hati budi sidia. suami pengarang perlu banyak timbangrasa

Pei Pan berkata...

Susah juga mahu mencari calon suami jika diri seorang penulis. Sememangnya seorang penulis memerlukan ruang peribadi yang tersendiri untuk terus berkarya.

Saya sedang membaca Lentera Mustika, pemerhatian awal: novel ini amat mengasyikkan.

mohamadkholid berkata...

kami menulis, tidak ada masalah - kadang-kadang byk kelebihan cuma biarlah dalam genre yg berlainan. Sekarang laptop ada dua tak cukup sebab anak pun nak pakai main game... adooiii!

Fizahanid berkata...

Kak Nisah, entry ni benar dalam lucu.

Benarnya - penulis ada ego tersendiri. Saling bersaing ada kalanya tidak sihat.

Lucu - saya teringat kisah 'kasih separuh jalan' dengan rakan penulis :D

S.K berkata...

Terima kasih menulis entri ini :)
Jazaakillah khairan jaza' :)

Wassalam.

Related Posts with Thumbnails