Kenang-kenangan manis sewaktu di utara


Ada banyak yang manis untuk saya catatkan sepanjang pemergian singkat ke UUM dan daerah sekitarnya.


  • Saya diundang dengan surat yang penuh adab dan bersopan daripada pihak penganjur. Sungguh terharu kerana masih ada mahasiswa yang mahu memelihara adab ketika berhubung dengan mereka yang lebih tua. Mereka tidak bersikap ambil ada ataupun sambil lewa. 
  • Mereka buat follow-up beberapa kali untuk memastikan semuanya teratur. Setiap kali membuat panggilan laras bahasa mereka sesuai dengan komunikasi seorang mahasiwa dengan orang yang mahu diundang. Jika saya tidak dapat menjawab panggilan, mereka akan tinggalkan pesanan dengan Bahasa Melayu yang standard dan beradab. 
 

  • Sewaktu sampai di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, saya disambut oleh pihak urus setia yang berpakaian kemas. Ringan tangan pula mahu bantu mengangkat barang-barang saya. 
  • Sepanjang perjalanan, mereka cuba melayan saya berbual, melayan pertanyaan-pertanyaan tentang tempat dan sesekali memperkenalkan tempat-tempat yang terdapat di sepanjang laluan. 
  • Mereka pastikan saya mendaftar masuk di Hotel EDC-UUM tanpa sebarang masalah. Nur Fadzilah Fauzi, urus setia yang perempuan mengiring saya sehingga sampai ke bilik. 
  • Setelah saya yakinkan mereka bahawa saya akan menguruskan acara bebas bersama-sama Ummu Hani pada malam itu, barulah mereka tinggalkan saya untuk menguruskan raptai Seminar Penulisan Novel.
Malamnya, saya pun dibawa oleh Ummu Hani ke Puteh Book Garden. Tidak jauh rupanya, jika melalui lebuh raya dari UUM ke selatan, apabila jumpa Jo Cendul Pulut di sebelah kanan, patah kanan pada persimpangan berlampu isyarat. Jalan terus lebih kurang 4 - 5 KM. Akan jumpa sebuah kedai buku di sebelah kanan. Ada nurseri bunga di sisinya.


Siapa sangka di tengah-tengah desa (harus melalui beberapa relung sawah) ada sebuah kedai buku istimewa! Terima kasih Ummu kerana sudi hidupkan lampu walaupun Puteh Book Garden sudah tutup pada ketika itu.

Gambar : Tawarikh Cinta & Mencari Locus Standi ada dijual di Puteh Book Garden

 
Gambar : Ummu Hani di dalam kedainya

Kami singgah ke Jo Cendul Pulut sebelum pulang semula ke Hotel EDC. Enak sekali cendolnya.

Esoknya, saya bersarapan dengan enaknya di Hotel EDC. Jarang sekali sarapan pagi di hotel terasa begini enak. Selalumya, makanan di hotel punya rasa yang agak standard dan biasa-biasa sahaja rasanya. Tetapi, saya berselera sekali menikmati Nasi Goreng Thai sehingga terlupa hendak mengambil gambarnya.





  • Sementara menunggu pihak urus setia menjemput saya di hotel, sempat juga saya merakamkan beberapa keping gambar lanskap taman hotel itu. Saya sungguh tertarik dengan kesegaran tempat ini dan susun atur lanskap yang membuat saya berasa seperti tidak mahu meninggalkan hotel itu. 
  • Urus setia yang menjemput saya ada 3 orang. Ketiga-tiganya keluar dari kereta untuk datang menjemput saya di lobi hotel. Di dalam perjalanan, mereka bertanyakan sama ada saya selesa tinggal di hotel, lena tidur dan setia menjawab soalan-soalan daripada tamunya yang tidak pernah lagi menjejakkan kaki ke UUM.


  • Setelah kereta diparkir berhampiran dengan dewan seminar, pandangan saya disambut oleh kain rentang yang dibuat khusus untuk Seminar Penulisan Novel ini. "Cantik tak, puan?" tanya salah seorang urus setia. Saya tersenyum sambil memuji. 
  • Buku-buku yang saya bawa dan tinggalkan di dalam kereta urus setia semalam, sudah dikeluarkan dan juga sudah diaturkan di atas meja. Ah, saya gembira dengan kecekapan urus setia. Saya hanya beri taklimat ringkas tentang buku-buku dan saya boleh tinggalkan dengan pihak urus setia untuk menjualnya, dengan rasa senang hati. 
  • Saya dibawa untuk bersarapan sebelum majlis bermula. Pada mulanya, saya ingin menolak kerana masih kenyang menikmati sarapan di hotel. Namun, saya terpaksa mengingatkan diri bahawa pagi ini saya jadi VVIP yang diraikan. Saya harus menghormati majlis. Mereka telah bersusah-payah menyediakan untuk saya.

 Gambar : dari kiri - Fadzly, Farah, saya dan Fadzilah
  • Para peserta yang terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah berhampiran dan juga mahasiswa sudah mula mendaftar. Saya cicip secangkir teh dan sejemput mihun goreng yang tidak kurang enaknya. Kata Fadzly (wakil GPMS cawangan UUM), sejak dia sampai ke utara berat badan bertambah. "Makanan di sini sedap dan murah. Tak dapat hendak menolaknya!) Saya akui fakta itu. 

 Gambar : Peminat dari SMK Changlun

Majlis berlangsung seperti mana yang dijadualkan. Juruacara majlis, Mohd Haniff sudah awal-awal memberitahu di Facebook tentang kesediaannya menjadi MC. Dia benar-benar MC yang baik, sudah bersedia dari awal, membuat kerja rumah dan tahu memadatkan kata aluan pengerusi dan tidak meleret.

Gambar : Peminat dari MRM Kubang Pasu

Sewaktu sesi saya hampir tamat, Sasterawan Azizi Hj Abdullah (Pak Azizi) sampai dan dapat mendengar saya melayan sesi soal jawab. Saya juga dapat mendengar sebahagian daripada proses kreatif Pak Azizi, khususnya tentang Sangeetha dan beberapa tip penulisan yang boleh dimanfaatkan.

Sebelum bertolak ke lapangan terbang, urus setia membawa saya mengelilingi kampus UUM. Tertarik dengan kemudahan sukan yang dikhabarkan lengkap di kampus ini. Pasti mampu melahirkan atlet-atlet yang berwibawa selain hebat dari segi akademiknya.

Ketika sampai di lapangan terbang, Fadzilah dan kawan-kawannya memastikan barang-barang saya sudah didafatar masuk ke bahagian bagasi sebelum meninggalkan saya di situ. Sesungguhnya, saya tertarik dengan sikap yang ditunjukkan sekumpulan mahasiswa ini. Semoga sikap ini akan terus terbina dan berterusan. Tidak kiralah siapa yang menumbuhsuburkan sikap positif begini, ibu bapa, guru-guru dan pensyarah UUM atau tumbuh dari dalam diri masing-masing; saya puji. Saya bukannya mahukan layanan kelas pertama cukuplah dengan budi bahasa yang tidak mungkin dijual beli!

Terima kasih atas undangan ke kampus UUM. Insya-Allah, jika ada pertemuan dan ketetapan Ilahi laluan kita barangkali bersilang dan kita akan bersama-sama lagi.

Ulasan

Catatan Popular