Rezeki di Tangan Allah


CINTA saya yang pertama ialah mengarang!



Bagaimana harus saya katakan lagi? Menyusur sejak awal penglibatan saya dalam dunia penulisan kreatif, saya menulis lantaran terlalu minat membaca. Di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Haji Mohd Said (SHAMS) segala-galanya bermula. Saya amat bercita-cita untuk menjadi pengarang. Tetapi, apakan daya, seperti kata pujangga, cinta tidak semestinya bersatu.

Lantas, saya bertemu ‘jodoh’ dengan dunia perundangan. Akur dengan qada’ dan qadar tuhan. Saya sandang jawatan ini dan sempat memegang jawatan Setiausaha Kehormat Jawatankuasa Peguam Negeri Sembilan selama dua penggal. Selama tempoh ini, saya melayani cinta saya yang pertama ini sebagai satu hobi dan mengisi setiap saat masa yang terluang melayani cinta saya ini.

Ada tangan yang lebih berkuasa mengatur perjalanan hidup saya. ‘Jodoh’ saya dengan dunia undang-undang hanya bertahan selama 8 tahun. Cinta saya yang pertama ini masih kukuh mengakar ke dalam jiwa saya. Jawatan peguam bela dan peguam cara serta peguam syarie itu kesemuanya saya lepaskan dengan penuh redha dan rela.

Saya basah dihujani komen dan kritikan : mengapa meninggalkan satu profesion berprestij lagi menjanjikan pulangan material. Apalah yang boleh diharapkan dengan menjadi pengarang. Setakat mana rezeki yang ditawarkan melalui penulisan?

Ah! Ada satu yang mereka terlupa. Rezeki itu bukan semestinya dalam bentuk wang. Punca rezeki itu pula di tangan Allah!

Dengan keyakinan seteguh itulah, saya membuka kembali lembaran cinta yang pertama. Cinta itu masih kemas tersimpan dan tidak pernah saya biarkan berderaian. Cinta yang tersimpan itu saya keluarkan lalu saya hamparkan kembali di dalam kehidupan. Atas hamparan yang sama juga, saya duduk bersama-sama suami yang berlainan aliran tetapi sama arah perjuangan.

Dengan keyakinan yang serupa, suami saya tinggalkan profesion kejuruteraan dan menubuhkan www.ujanailmu.com.my – kedai buku kecil kami yang tumbuh di alam maya. Sedang dia sibuk menguruskan kecintaannya kepada dunia buku, saya pun menguliti cinta yang pertama. Ya, dulu mungkin mengarang itu suatu yang bersifat suka-suka atau menambah wang saku sewaktu di universiti. Sekarang tidak lagi.

Jika dulu, saya mengarang dengan tanggungjawab, kini tanggungjawab itu bertambah berat. Menjadi penulis sepenuh masa bererti setiap hari mesti ada ruang khusus menulis, tidak kira sama ada ruang masa ataupun ruang fizikal. Tidak timbul lagi isu tidak ada ilham untuk menulis. Kini menulis ialah tugas yang profesional dan harus lebih terancang.

Beberapa kali, saya memberanikan diri bertanya kepada editor sesebuah majalah sama ada mereka perlukan novel bersiri. Satu daripadanya ialah Lentera Mustika yang baru sahaja disudahkan siri terakhirnya dan kini sedang dibukukan.

Sejak menulis novel bersiri yang pertama, Puisi Untuk Esdyzuar yang diterbitkan secara bulanan di dalam majalah Tunas Cipta (2004 – 2006), saya rindu untuk menulis semula dengan cara yang serupa. Meskipun setiap bulan ‘dihambat’ editor kerana setiap bab haruslah dihantar sekurang-kurangnya dua bulan lebih awal. Sehabis novel tersebut, saya terbaca tentang majalah baharu. Majalah itu pertama kali saya temui di Hospital Kubang Krian ketika menziarahi sahabat yang baru sahaja mendapat seorang puteri.


Sekembalinya saya dari Kota Bharu, saya menghubungi editor berkenaan lalu membuat janji temu dengan beliau. Pada waktu itu, saya belum ada sebarang plot; yang ada cuma hasrat untuk menulis sebuah prekuel kepada novel Mencari Locus Standi (MLS).

MLS (Utusan Publication & Distributors, 2004) menyorot sudut pandangan E-Jay atau Eliza Jasmin yang mendapat ibu tiri bernama Ainur Mustika, seorang pensyarah di institut pengajian tinggi tempatan. Lalu melalui Lentera Mustika, bercadang untuk menyorot kisah ini beberapa tahun terdahulu daripada MLS dan dari sudut pandangan Ainur Mustika.

Berbekalkan perkara tersebut, saya memberanikan diri untuk berjumpa dengan puan editor. Bagai diatur, beliau pernah mengikuti perkembangan penulisan saya dan tambah memudahkan cerita, beliau juga sudah membaca MLS. Lantas, tidak sukar bagi saya untuk menyampaikan hasrat tersebut. Masihkah saya tidak mahu percaya bahawa rezeki itu di tangan Allah?

Bayaran honorarium setiap bulan sedikit sebanyak membantu kehidupan saya sehari-harian apatah lagi, saya menulis Lentera Mustika ketika sudah menjadi pengarang sepenuh masa. Berbeza sekali dengan MLS yang ditulis sewaktu masih lagi memegang jawatan sebagai peguam @ peguam syarie. Tumpuan menulis juga berbeza dan yang paling manis tentulah kebijaksanaan editor mendesak saya setiap bulan.


Selepas itu, setiap bulan ataupun setiap kali bekalan bab kehabisan, saya akan terus dihambat supaya menghantar bab yang berkenaan. Dengan demikian, berlangsunglah hubungan 3 tahun 1 bulan antara saya dengan majalah tersebut.

Ada pengarang yang berpendapat menulis novel bersiri merupakan suatu ‘bala’ kerana tidak semua pengarang dapat bertahan dengan desakan tersebut. Tetapi, saya sesungguhnya ‘mencari bala’ apabila saya sendiri yang mencari ruang untuk ‘didesak’ setiap bulan. Saya percaya tanpa desakan yang demikian rupa, belum tentu saya dapat menyudahkan novel ini. Walaupun mengambil masa yang agak panjang tetapi saya telah menulis secara tekal dan setiap kali menyambung setiap bab, adakalanya saya sendiri tertanya-tanya apakah yang bakal berlaku kepada Ainur Mustika. Perasaan yang sama saya berikan kepada pembaca, kepada editornya juga!

Secara umumnya, undang-undang adalah sesuatu yang tidak digemari orang ramai. Saya faham kenapa orang ramai menjauhi undang-undang apatah lagi untuk memahaminya. Bagi saya yang telah memasuki kedua-dua belah kaki ke dalam dunia undang-undang dan sesekali kaki itu keluar dan masuk pula dalam dunia sastera, saya fikir saya boleh memanfaatkan kedua-dua dunia tersebut.

Matlamat novel ini antara lain menerangkan konsep pembahagian harta seperti harta sepencarian, hibah, wasiat selain turut menerangkan konsep poligami serta hak-hak isteri serta bekas isteri. Dengan matlamat tersebut, saya harus mencipta jaringan cerita yang boleh ‘memerangkap’ pembaca supaya terus terikat sehingga ke akhir cerita. Tanpa jaringan yang memerangkap itu, matlamat saya pastilah tidak kesampaian.


Jaringan yang paling sesuai tentulah jaringan cinta.

Cinta tidak menjadi mauduk utama walaupun kehadirannya sangat dirasakan. Cinta di dalam Lentera Mustika bukan sekadar cinta sesama manusia tetapi cinta kepada warisan bangsa, cinta kepada diri sendiri dan paling penting cinta kepada Tuhan.

Melalui rasa cinta antara Emir Johan dan Ainur Mustika, persoalan undang-undang ini dapat saya rapatkan kepada pembaca. Melalui Emir Johan yang berperanan sebagai peguam, saya jelaskan tentang hak-hak seorang anak guam, seperti mana yang pernah saya lakukan sedikit masa dahulu.

Respons daripada beberapa orang pembaca yang mengikuti siri ini menyatakan bahawa mereka berasa terpanggil untuk mengetahui dengan lebih lanjut persoalan hibah dan harta sepencarian serta tatacara untuk menguruskannya. Saya fikir, saya tidak mampu memasukkan semuanya ke dalam novel ini. Pembaca juga harus faham bahawa novel ini sifatnya sebagai pencetus kesedaran dan bukannya sebuah buku yang menjadi panduan lengkap kepada persoalan undang-undang.

Namun, sebagai pengarang saya teruja kerana respons beginilah yang diharapkan dalam menyuntik kesedaran ilmu (khsusunya undang-undang) kepada pembaca dalam melahirkan ummah yang celik pengetahuan. Saya juga percaya bahawa pengarang harus memasukkan dos yang secukupnya di dalam bancuhan karya. Jika dos undang-undang saya berlebihan, pastinya ada yang akan mual menerima kuliah undang-undang saya di dalam novel itu. Begitu juga dengan dos cinta – cukup sekadar mengikat pembaca supaya terus terperangkap dalam jaringan yang dibina lantas menuntut kesetiaan pembaca supaya menghabisi novel ini.

Itulah cabarannya kepada saya!


Saya juga percaya bahawa menjadi pengarang sepenuh masa tidak bermakna saya mesti menulis novel-novel pop untuk cepat kaya. Matlamat saya dalam penulisan bukanlah untuk mendapat keuntungan material. Kekayaan itu satu rezeki tetapi mendapat keberkatan daripada setiap rezeki yang diperoleh itu jauh lebih penting.

Nah, ini pendirian saya. Sejauh mana saya akan terus berkecimpung sebagai penulis sepenuh masa, itu adalah ketentuan Allah Ta’ala. Jika Dia ada jalan lain bagi menunjukkan punca rezeki yang baharu, saya tidak berkuasa untuk mengubahnya.

Namun, saya sungguh-sungguh percaya bahawa punca rezeki itu di tangan Allah!



sumber  : Dewan Sastera September 2009

Ulasan

ani berkata…
Salam kenal Puan Nisah.Benar apa yang dinukilkan puan.Sesungguhnya Allah sentiasa bersama-sama kita.Dari Saniah.

Catatan Popular