Jumaat, Januari 30, 2009

Sayembara Fiksyen Sains & Teknologi


Tarikh tutup dilanjutkan ke 31 Ogos 2009!

Borang penyertaan bengkel boleh dimuatturun di sini.

Bagi yang ingin menyertai sayembara ini pula, elok benarlah jika dapat hadir ke bengkel yang disediakan oleh pihak penganjur. Walaupun berbayar, tak rugi rasanya jika peserta (sama ada mahu ambil bahagian ataupun tidak, itu perkara kedua) mengambil tahu kehendak penganjur. Tidak banyak penganjur (selain Yayasan Warisan Johor, untuk Novel Sejarah Johor) yang mahu mengadakan bengkel seperti ini.

Berikut atur caranya :

BENGKEL PENULISAN FIKSYEN SAINS DAN TEKNOLOGI
UTM – KUMPULAN UTUSAN

Tarikh : 7 Februari 2009
Tempat : Hotel Quality, Kuala Lumpur
Masa : 8.00 PAGI – 4.30 PETANG
Yuran : RM50.00
(Termasuk makan tengah hari, minum pagi & petang serta bahan)

ATUR CARA

0800 – 0845 : Pendaftaran

0845 – 1000 : SESI I : DR. AMIDA@HAMIDAH BT. ABDULHAMID (ANIS)
“Mahu menulis novel sains & teknologi?”

1000 – 1015 : minum pagi

1015 – 1130 : SESI II : PROF. DR. AHMAD ZAKI BIN ABU BAKAR
“Memfiksyenkan sains & teknologi”

1130 – 1300 : SESI III : EN. MOHAMAD SALEEH BIN RAHAMAD
“Nilai, ideologi dan sarana sastera”

1300 – 1430 : makan tengah hari / solat

1430 – 1600 : SESI IV : PN. NOR AZAH BT. ABD. AZIZ
“Memecut di litar sayembara”

1600 – 1630 : minum petang / bersurai


Andai tidak berkesempatan ke majlis ini atas faktor masa ataupun lokasi, pihak penganjur mungkin datang ke tempat anda. Sila perhatikan jadual litar yang di bawah:


JADUAL DAN LOKASI
BENGKEL PENULISAN FIKSYEN SAINS DAN TEKNOLOGI
UTM – KUMPULAN UTUSAN


31 Januari 2009
Hotel Grand Bluewave, Johor Bahru
kerjasama UTM – KUMPULAN UTUSAN


7 Februari 2009

Hotel Quality, Kuala Lumpur

kerjasama UTM – KUMPULAN UTUSAN



28 Februari 2009
Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu
kerjasama UTM – KUMPULAN UTUSAN - UMS

7 Mac 2009
Dewan Bahasa & Pustaka (DBP), Wilayah Timur, Kota Bharu,
kerjasama UTM – KUMPULAN UTUSAN - DBP Wilayah Timur

14 MAC 2009
Holiday Villa, Alor Star
kerjasama UTM – KUMPULAN UTUSAN

21 MAC 2009
Kuching, Sarawak
kerjasama UTM – KUMPULAN UTUSAN


Maklumat dan Keterangan Lanjut Hubungi :

EN. YOSMAN MOHD. BAIN
PENERBIT UTM PRESS
07 – 5218166/019 – 7557760
yosman@utm.my

EN. MOHD. ROZLAN MOHD. NOOR
UTUSAN PUBLICATION SDN. BHD
012 – 3828353
editor@minister.com

Siapa Ketua Pengarah DBP?


Khabarnya, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka yang baharu akan masuk bertugas pada minggu hadapan.

Jawatan kerusi panas yang sedang ditunggu-tunggu ini sudah diisi rupa-rupanya.

Siapa dia?

Kita akan sama-sama tahu nanti.

Kalau ada yang sudah tahu, bolehlah tinggalkan maklumat di ruangan komen.

Selamat berhujung minggu!

.
.

Rabu, Januari 28, 2009

Menulis Untuk Sayembara

Baru-baru ini saya sertai Bengkel Penulisan Novel Sejarah II yang diadakan di Hotel Straits Meridian, Bukit Baru, Melaka. Bengkel kali kedua ini merupakan suatu lanjutan kepada bengkel pertama yang diadakan pada tahun 2006 di Air Keroh. Saya masih ingat lagi, pada tahun 2006, Almarhum Pak Arena Wati juga sempat bersama-sama dengan peserta, malah turut sama memberikan pendapat serta berkongsi pengalamannya menulis novel sejarah.

Bengkel kali ini diadakan bagi memantapkan lagi bengkel yang pertama, sekaligus meningkatkan pemahaman peserta dengan konsep novel sejarah yang dikehendaki penganjur. Benar, kepada sesiapa yang ingin menyertai sayembara ini, anda disarankan supaya mendapatkan buku "Konsep dan Falsafah Novel Sejarah" - Sayembara Menulis Novel Sejarah Johor (Hamzah Hamdani, Editor) terbitan Yayasan Warisan Johor (2006). Kalau dapatkan kertas kerja bagi Bengkel II ini juga lebih baik lagi.

Gambar : Sebahagian peserta Bengkel Penulisan Novel Sejarah Johor II

Ramai yang bertanya, beginikah cara yang sebenar menulis novel sejarah?

Terus terang, saya juga hilang semangat untuk mengambil bahagian dalam sayembara II yang lalu kerana saya tidak punya kekuatan untuk mengikut syarat-syarat yang disebutkan oleh penganjur dan panel. Antara syarat yang disebut dan mesti dipatuhi peserta sayembara ialah :

  • Novel sejarah merupakan satu bentuk pencerekaan yang mengandungi peristiwa sejarah yang dihidupkan oleh watak-watak sejarah atau yang boleh dikesan kewujudannya, latar waktu dan latar tempatnya boleh dibuktikan dalam sejarah atau bertepatan dengan peristiwanya yang sebenar.Novel yang memaparkan peristiwa sejarah dengan watak-watak rekaan mengambil alih peranan watak sejarah tidak dianggap sebagai novel sejarah.
  • Sehubungan itu, Kerajaan Negeri Johor melalui Yayasan Warisan Johor meneruskan penganjuran Sayembara Menulis Novel Sejarah Johor berlatarbelakangkan peristiwa-peristiwa sejarah yang berlaku di Johor seawal tahun 1528 (termasuk Kerajaan Johor - Riau) sehingga kini. Rentetan periswa boleh bermula seawal abad ke - 16 dengan terbentuknya Kerajaan Johor yang berpusat di Kota Tinggi, Johor Lama. Peristiwa-peristiwa dan tokoh-tokoh sejarah pada era Kerajaan Johor Lama dan Kerajaan Johor Moden, pemerintahan British, zaman Jepun, Darurat, penubuhan UMNO, penentangan orang Melayu terhadap gagasan Malayan Union, penubuhan Malaysia dan segala peristiwa bersejarah yang berlaku sehingga kini, boleh diungkapkan.
  • Antara subjek yang boleh diungkapkan dan diolah ialah :
  1. peristiwa bersejarah
  2. tokoh sejarah (novel biografi)
  3. institusi (pertubuhan, budaya, pergerakan)


Gambar : Dari kiri - Dr. Rosnah Baharuddin, Dato' Zainal Abidin Borhan, Tuan Haji Hamzah Hamdani, Prof. Dr. Abdullah Zakaria, Encik Saleeh Rahamad & Encik Kassim Thukiman

Nah, ketat ataupun tidak syarat-syaratnya? Terpulanglah kepada para pengarang untuk mentafsirkannya. Seperti yang saya sebutkan di atas, saya tidak mempunyai semangat yang cukup untuk menulis novel tersebut pada tahun 2007. Pada saya, bagi menghasilkan novel sejarah yang baik, pengarang harus ada :

  • jati diri - tanpa jati diri yang kukuh, pengarang yang menghasilkan novel sejarah boleh sahaja menjadi penyusun cerita sejarah. Tiada 'jiwa sejarah' yang dapat dimasukkan ke dalam karya tersebut. Tidak mustahil, naskhah itu menjadi kaku-kejang. Seperti mana yang kita tahu, mata pelajaran sejarah di sekolah memang mudah menjadi subjek yang membosankan jika guru sejarah tidak pandai bercerita, menjelaskan sebab-akibat sesuatu peristiwa sejarah.
  • pendorong yang kuat (drive) - apabila Zaharah Nawawi berkongsi kisah bagaimana cetusan beliau menulis "Panglima Salleh Selempang Merah", saya nampak perkara penting yang menggerakkan beliau menulis novel tersebut. Pertama, beliau saksikan sendiri kekejaman komunis membunuh dan menabrak keluarga jirannya sewaktu pengarang berusia 5 tahun. Sebagai saksi kepada peristiwa berdarah lagi ngeri itu, hal tersebut menjadi elemen pendorong yang cukup ampuh untuk menjadi pembakar semangat untuk beliau menulis. Kedua, beliau sebagai anak jati tempat berlakukan peristiwa Panglima Salleh menyembelih komunis (setelah komunis dengan wewenang menyembelih orang-orang kampung), berasa terpanggil untuk mendokumetasikan peristiwa tersebut.
Gambar : Sesi Bengkel

Kedua-dua faktor ini wujud dalam diri Zaharah Nawawi bagi membolehkan beliau memiliki stamina dan motivasi untuk terus menulis novel sejarahnya. Harus diingat bahawa, dalam menulis novel sejarah, andainya pengarang mengalami sekatan mental, pengarang tidak boleh mencipta ataupun mengada-adakan cerita. Pengarang boleh bermain dengan imaginasi tetapi ada batas-batas sejarah yang menghalangnya.

Ada juga suara-suara yang berkata, tidakkah faktor tarikh akhir (deadline) dan faktor RM35,000 sebagai hadiah pertama tidak mampu menjadi pendorong?

Ya, saya akui. Tetapi pada ketika itu, saya tidak melihat langsung kepada kedua-dua faktor tersebut. Pada saya, apabila menulis semata-mata untuk mendapatkan hadiah pertama ataupun mana-mana hadiah, bererti penulisan itu akan hilang berkatnya. Ya, mungkin pengarang itu boleh sahaja menang sayembara tersebut. Tetapi nanti, naskhahnya tidak kekal sepanjang zaman. Hanya diperkatakan seputar waktu kemenangan dan selepas itu langsung dilupakan. Walaupun saya harus menang, wang hasil sayembara itu biarlah berkat.

Ini prinsip saya. Saya tidak mengajak orang lain mengikutnya.

Sekali lagi, ada yang bertanya: beginikah cara untuk menulis novel sejarah?

Ada banyak cara untuk menulis novel sejarah, tetapi jika mahu mengungguli hadiah RM35,000 sekaligus, manuskrip anda diterbitkan oleh Yayasan Warisan Johor serta diundang ke majlis makan malam (yang selalunya gilang-gemilang), ikutlah syarat-syaratnya.

Demikianlah juga untuk menyertai mana-mana sayembara. Jika tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan penganjur, panel tiada pilihan, melainkan menolak naskhah tersebut walaupun dari aspek struktur sebuah karya sasteranya sangat sempurna!

Ahad, Januari 25, 2009

Al-Fatihah untuk Arena Wati

Saya sedang bersarapan pagi di Hotel Straits Meridian, Melaka apabila mesej dari Sdr Shamsudin Othman masuk ke telefon bimbit.

Dengan segala dukacita, kita kehilangan seorang lagi Sasterawan Negara. Kali ini giliran SN Arena Wati dijemput pulang ke rahmatullah. Tidak tercapai hasrat untuk menziarahi almarhum di HUKM. Allah lebih menyayangi insan istimewa dalam dunia kesusasteraan Melayu ini.

Lalu dia pun belayar pulang meninggalkan "Sukma Angin" dan sebarisan novel-novel besarnya untuk dihayati.

Al-Fatihah untuk Arena Wati (30 Julai 1925 - 25 Januari 2009)
.Gambar : Bersama-sama Almarhum Arena Wati di Bengkel Novel Sejarah Johor I, Air Keroh, Melaka 2006.
.

Jumaat, Januari 23, 2009

Cuti menulis


Hujung minggu ini cuti panjang. Sekolah anak-anak saya bercuti sehingga Rabu.

Apa yang anda lakukan sempena cuti yang panjang begini? Mengisi masa bersama-sama keluarga? Menggunakan ruang ini untuk menulis?

Esok, saya pun bercuti dari rutin menulis. Wah, bolehkan penulis sepenuh masa bercuti? Adakah istilah cuti bagi penulis?

Ya, petang ini saya akan berpergian. Pergi menuntut ilmu untuk belajar menulis lagi. Ada yang pernah bertanya, mengapa saya perlu berbuat begitu. Pada saya, tiada noktah untuk belajar dalam bidang yang kita ceburi. Semakin banyak yang kita fikir kita tahu, semakin banyak yang menuntut supaya kita ambil tahu dan pelajari.

Oh ya, saya juga suka pergi belajar lagi tentang penulisan kerana di sana biasanya akan dapat bertemu dengan ramai rakan-rakan penulis. Bukankah sesekali penulis juga perlu memugar semangat, mendapat rangsangan baharu supaya dapat terus tekal menulis!
.
.

Rabu, Januari 21, 2009

Mentafsir Mimpi


Saya jarang-jarang bermimpi. Mungkin setelah penat bekerja, waktu tidur digunakan sepenuhnya. Tidur perlu kualiti, walaupun sebentar cuma. Tidur yang tidak lena menyebabkan badan sakit-sakit dan kepala pening apabila terjaga.

Saya tersenyum sendiri membaca kisah seorang penulis yang mimpinya juga disalut bahasa, bengkel dan seputar penulisan.

Baca di sini.
.
.

Isnin, Januari 19, 2009

(Sekadar Menyebut Beberapa Nama)


Ucapan Wakil MPR - Diskusi Karya Mantan MPR 2009

Basmalah, selawat & salam.

Salutasi :

Ybhg. Puan Zaiton Ajmain, Ketua Bahagian Pengembangan Sastera, DBP
Yang dihormati barisan panel pembentang Majlis Diskusi Karya Mantan MPR 2009
Alumni MPR, khususnya -

Selamat datang kepada adinda-adinda mantan peserta MPR 2008. Tahniah kerana adinda semua telah menjadi ahli terbaharu dalam keluarga yang semakin besar tetapi mesra ini!

Sesetengah pengarang ada menyatakan : saya menulis bukan kerana nama. Kedengaran begitu ideal sekali. Benar, sebagai pengarang (khususnya yang beragama Islam) kita wajar menulis kerana Allah Ta’ala. Namun, nama begitu penting kepada pengarang.

Yang mengikuti nama itu ialah reputasinya. Walaupun, editor seharusnya menilai karya dan bukannya nama pengarang, percaya ataupun tidak, nama pengarang itu besar pengaruhnya kepada kecenderungan memilih ataupun menilai karya kerana editor juga manusia.

Atas alasan yang sama, nama pengarang tidak dibenarkan wujud pada naskhah karya yang menyertai sayembara penulisan kerana nama itu kelak dikhuatiri akan mempengaruhi hakim dalam membuat keputusan.

Demikianlah peranan nama. Oh, ya, dan nama juga penting kerana pihak penerbit perlu membuat bayaran royalti atau honorarium kepada pengarang!

Kalau diperhatikan di dalam rencana ataupun artikel yang merujuk kepada mantan peserta Minggu Penulis Remaja (MPR), biasanya akan ditulis begini : Ahmad Patria Abdullah, Rahimidin Zahari, Hizairi Othman, Shamsudin Othman, Amaruszati Noor Rahim dan diikuti dengan ungkapan di dalam kurungan – sekadar menyebut beberapa nama.

Beberapa tahun kemudian, apabila sekali lagi artikel yang merujuk kepada mantan peserta MPR akan ditulis begini pula : Faisal Tehrani, Nisah Haron, Salina Ibrahim, Raihani Mohd Saaid, Shazmee Rizal Agus Salim dan diikuti dengan ungkapan di dalam kurungan – sekadar menyebut beberapa nama.

Masa berlalu dan artikel tentang MPR terus ditulis, kali ini nama lain pula disenaraikan : Lutfi Ishak, Salman Sulaiman, Ghafirah Idris, Nasriah Abdul Salam, Nimoiz T.Y. dan diikuti dengan ungkapan di dalam kurungan – sekadar menyebut beberapa nama.

Dan saya percaya tidak lama lagi, nama-nama ini akan menyenaraikan beberapa nama baharu yang mewakili mantan peserta MPR 2006, 2007 & 2008. Itu sudah pasti.

Namun, apakah syarat supaya nama-nama ini menjadi sebutan para pengkritik sastera. Saya percaya syarat yang paling utama ialah menulis dan menulislah karya yang berkualiti, jauh dari klise dan mencari kelainan dalam penghasilan karya tersebut.

Saya masih ingat lagi sewaktu menjadi pembimbing dan mentor bagi MPR 2006 di Port Dickson, saya dan Raihani Mohd Saaid sengaja tidak mengadakan sesi taaruf secara formal. Bukanlah kami tidak menyedari kepentingan taaruf ataupun sesi berkenalan itu, tetapi, kami membawa realiti dalam penulisan.

Apakah realiti itu? Apabila karya kita pertama kali membuat tembusan di media, siapa pun tidak akan kenal siapa kita. Namun, di kalangan masyarakat sastera akan ada yang bertanya : siapakah penulis baru ini? Dan jika selepas itu, karyanya tersiar lagi dan lagi dan lagi, namanya akan diingati kerana kerap kali melintas di media.

Seperti iklan yang harus diulang supaya pembeli ataupun calon pembeli dapat mengingati nama produk, demikianlah nama pengarang itu harus muncul (jika boleh) di mana-mana media supaya nama itu dapat diperhatikan. Dan di dalam kes alumni MPR, namanya akan dipilih bagi mewakili generasi berikutnya dan diikuti dengan ungkapan di dalam kurungan – sekadar menyebut beberapa nama.

Kembali kepada MPR 2006, walaupun tiada sesi taaruf yang formal, hari ini saya dapat mengingati nama-nama seperti Nissa’ Yusof, Zulfazlan Jumrah, Firdhaus Hassan, Ainunl Muaiyanah, MF Kencana dan Nabiha Mashut dan diikuti dengan ungkapan di dalam kurungan – sekadar menyebut beberapa nama – kerana nama mereka sudah semakin kerap melintasi media cetak. Mereka ini bukan sahaja prolifik dan tekal menulis (sekakat ini) tetapi karya mereka berpotensi untuk mencabar kedudukan para senior MPR dan juga penulis-penulis mapan.

Karya-karya mereka ini juga akan turut dibincangkan dalam kategori karya eceran dalam Majlis Diskusi Karya Mantan MPR 2009 yang akan dimulakan sebentar lagi.

Saya juga sudah merisik-risik kepada mantan 2006 khususnya, mereka sudah ada karya yang mahu dihimpunkan di dalam sekurang-kurangnya 2 buah antologi. Insya-Allah, saya akan bantu penyelenggaraan antologi cerpen dan Sdr Shamsudin Othman juga pada dasarnya bersetuju untuk menyelenggarakan antologi puisi. Sebelum kami terbitkan antologi ini sendiri, sekali lagi saya mahu hulurkan manuskripnya kepada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka. Harapan saya ada tangan yang bakal menyambut dan seterusnya menerbitkan antologi tersebut.

Kepada mantan tahun-tahun yang lain, seperti 2007 & 2008, merujuklah kepada mentor/pembimbing masing-masing. Tangan saya cuma ada dua. Setakat ini belum terdaya untuk menyelenggara antologi-antologi yang lain. Kami yang dianggap lebih senior ini sedia membantu setakat mana yang termampu ibarat kata pantun melayu :

Sapu tangan jatuh ke laut,
      Jatuh dengan alas-alasnya;
Panjang tangan kami menyambut,
      Satu pun tidak mengharap balasnya.

Sekadar makluman, saya dan Dr. Mawar Shafei telah merintis satu projek penulisan baharu – iaitu sebuah buku yang menghimpunkan proses kreatif penulis-penulis dekad 90-an. Working titlenya, kami judulkan “Bagaimana Saya Menulis?” Untuk edisi pertama ini, kami akan menghubungi sekumpulan penulis yang aktif pada akhir tahun 80-an hingga 90-an. Tentunya nama yang bakal tersenerai merupakan mantan peserta MPR, kalau tidak semuanya pasti sebahagian besar daripadanya.

Jadi bersedialah, kita semua ingin tahu ‘bagaimana anda menulis’. Kongsi dengan kita semua. Dokumentasikan, supaya generasi akan datang dapat menatapnya sebagai panduan dan juga pembakar semangat. Saya percaya cara kita menulis pastinya tidak sama.

Doakan projek kecil ini berjaya. Harapan kami juga, pihak DBP dapat menyambut manuskrip ini kerana di Malaysia buku jenis ini kurang diterbitkan tetapi penerbitannya amat bermakna untuk warga penulis.

Pada kesempatan ini juga, saya mewakili Alumni MPR mengucapkan terima kasih sekalung budi kepada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka yang selama ini memberikan kerjasama kepada pihak kami dalam mengadakan projek-projek seperti ini.

Kami para senior mengiktiraf tugas menguruskan program seperti ini. Kami juga pernah melakukannya. Kami faham jerihnya. Kami akan sentiasa menyokong. Perkembangan MPR juga sentiasa diikuti melalui laman blog MPR : minggupenulisremaja.blogspot.com. Kepada para senior, kalau pun kita tidak dapat menyumbangkan tenaga, sekurang-kurangnya kita teruskan sokongan kepada usaha murni adik-adik kita ini.

Insya-Allah, pada masa hadapan pihak jawatankuasa kerja mungkin akan dapat mengadakan juga bengkel berterusan seperti kuliah kritikan sastera, penulisan skrip drama, puisi tradisional dan juga projek-projek lain yang boleh kita sama-sama fikirkan, selain meneruskan projek diskusi karya mantan MPR ini.

Lalu kepada siapa lagi yang wajar kami sandarkan harapan, selain ihsan dan sokongan daripada induk kami – Dewan Bahasa dan Pustaka yang lebih 2 dekad melahirkan penulis-penulis pelapis di pentas sastera Melayu.

Tanam legundi tumbuh kelapa,
      Terbit bunga pucuk mati;
Budi tuan kami tak lupa,
      Sudah terpaku di dalam hati.

Sekian, wabillahi taufiq walhidayah

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Khamis, Januari 15, 2009

"Urus Setia" itu dua perkataan

Sekeping gambar itu adakalanya lebih bermakna daripada sebuah entri yang panjang menjela :


Terkini : Oh, ada pula yang tak faham dengan entri saya ini.
Beginilah...

Salah : urusetia
Betul : urus setia


Sila rujuk Kamus Dewan.
.
.

Selasa, Januari 13, 2009

Majlis Bicara Karya & Tokoh PEN 2009

Majlis Bicara Karya & Tokoh PEN 2009
(sempena Ulang Tahun PEN ke-40)

i) Agus Salim oleh Dr. Ani Omar
ii) A.Latip Talib oleh Encik Amiza Khusyri Mohd. Yusof


pada jam 8.30 pagi
18 Januari 2009 (Ahad)
di Balai Ilmu, Institut Perguruan Raja Melewar,
Jalan Sikamat, Seremban, Negeri Sembilan
sempena Majlis Mesyuarat Agung PEN ke-32.

Semua peminat dan pemerhati sastera dipersilakan hadir.

Maklumat lanjut di www.penulisn9.blogspot.com

Isnin, Januari 12, 2009

Novel Pop Islam Cair?

Tulisan saya dalam ruangan sastera Mingguan Malaysia semalam:

Boleh baca keseluruhan aritkel di sini.

Komen dialu-alukan.

Lebih menarik jika dibalas dengan artikel lain, lalu kirimkan ke Mingguan Malaysia. Mari hidupkan kembali perbincangan sihat mengenai sastera di sana.
.
.

Rabu, Januari 07, 2009

Majlis Diskusi Karya Mantan MPR 2009

Dengan sukacita memaklumkan, Alumni Minggu Penulis Remaja (MPR) akan mengadakan satu majlis Diskusi Karya Mantan MPR, 2009. Anda dipelawa menghadiri majlis tersebut untuk memeriahkan lagi satu majlis wacana ilmiah dan sastera Melayu.

Butirannya seperti yang berikut:

17 Januari 2009 (Sabtu)
8.30 pagi – 12.30 tengah hari

Dewan Seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka

Penganjur Bersama:
Alumni Minggu Penulis Remaja &
Bahagian Pengembangan Sastera Kebangsaan, Dewan Bahasa dan Pustaka

Sesi 1
  • Karya eceran puisi: dibicarakan oleh Professor Rahman Shaari
  • Karya eceran cerpen: dibicarakan oleh Dr Mawar Shafie
  • Antologi cerpen KACAK JELITA: dibicarakan oleh Encik S.M.Zakir

Sesi 2

  • Novel BUKAN YANG PERTAMA karya Salina Ibrahim:
    dibicarakan oleh Dr Rosnah Baharudin
  • Kumpulan cerpen ESPRIT DE CORPS karya Nimoiz T.Y:
    dibicarakan oleh Dr Amida Abd Hamid (Anis)
  • Kumpulan cerpen UJANA RINDU karya Mohd Ashadi Saiman & Siti Hajar Mohd Zaki:
    dibicarakan oleh Dr Kamariah Kamaruddin

Terbuka untuk semua khalayak – pembaca, penelaah, pemerhati, peminat dan pencinta ilmu dan sastera!

Selasa, Januari 06, 2009

Pengarang "Dua Dunia" pulang ke rahmatullah


Mohd Ghazali Tocheh, pengarang istimewa telah pulang menyambut panggilan Ilahi petang ini.

Saya tidak pasti berapa ramai di kalangan remaja hari ini yang mengenali beliau sebagai pengarang OKU. Walaupun keadaan fizikal yang demikian, beliau sungguh prolifik dalam menghasilkan karya.

Novel "Dua Dunia" ini merupakan novel pertama yang saya pinjam dan baca dari perpustakaan sekolah sewaktu di tingkatan satu.

Saya pernah cabar diri : kalaulah insan yang cacat penglihatan seperti Mohd Ghazali Tocheh boleh menulis banyak buku, mengapakah aku yang Tuhan berikan kesempurnaan fizikal masih tidak mampu menulis?

Dengan kata-kata itu, saya pun terus tidak menoleh lagi. Banyak sekali karya yang Almarhum tinggalkan. Terjumpa laman blognya, boleh layari di sini.

Salam takziah buat keluarga Almarhum.

Al-Fatihah.
.

Usah Hadkan Kebolehan Diri

Baru-baru ini saya mendapat undangan mendengar sebuah ceramah umum tentang Arkeologi di Malaysia. Penceramahnya merupakan mantan Pengarah, Jabatan Muzium & Antikuiti Malaysia. Bagi kita yang tidak terdidik dalam bidang arkeologi, hal ini merupakan sesuatu yang amat baharu dan banyak maklumat yang diperoleh daripada majlis tersebut.

Beliau menceritakan pengalaman semasa bertugas. Sebagai seorang ahli arkeologi, beliau banyak mengikuti projek-projek ke tapak ekskavasi bagi mencari kembali sejarah yang sudah tertimbus ribuan tahun yang lalu.

Saya terus teringat kepada Esdyzuar - watak fiksyen yang saya reka melalui novel Puisi Untuk Esdyzuar. Saya bayangkan dialah yang sedang memberikan ceramah sebagai seorang tokoh. Seolah-olah Esdyzuar muncul kembali, pulang dari membuat penemuan Cenma Detara setelah sekian lama menghuni daerah asing itu.

Melalui tayangan slaid, beliau menunjukkan banyak gambar aktiviti ekskavasi yang dijalankan di tempat-tempat yang telah dikenalpasti. Apabila para ahli arkeologi ini mahu mendapatkan maklumat tentang masa lalu dan membuat penemuan barang-barang yang mempunyai nilai sejarah ataupun artifak-artifak berharga, aktiviti utama di tapak ekskavasi itu ialah menggali. Jika tidak digali, mereka tidak akan dapat sebarang hasil.

Menulis juga boleh diumpamakan seperti kerja-kerja ekskavasi. Kita boleh namakan proses ekskavasi diri. Iaitu menggali, mencungkil dan membuat penemuan terhadap kebolehan penulisan yang kita ada. Kekuatan, keistimewaan yang ada dalam diri kita ini bukannya jatuh dari langit. Kitalah yang harus menggali kebolehan itu.

Mungkin dalam kes-kes tertentu, ada orang lain yang mungkin berjaya mencungkil bakat dan kebolehan kita, misalnya seorang guru yang dapat melihat potensi anak-anak muridnya. Tetapi, itu hanya dalam beberapa keadaan tertentu. Selebihnya, kitalah yang harus mencungkil bakat dan kebolehan sendiri.

Bagaimanakah kita tahu yang kita mempunyai potensi diri?

1. Berani mencuba sesuatu yang dianggap asing dan baharu. Ertinya, tidak mengehadkan diri.

Aku cuma boleh tulis sajak sahaja.
Aku cuma boleh tulis cerpen sahaja
Aku cuma boleh tulis novel sahaja.

2. Tidak berkata tidak dengan cepat sebelum mencuba. Misalnya:

Aku tidak boleh tulis skrip drama.
Tetapi, kita tidak pernah sekali pun mencuba dengan bersungguh-sungguh.

Kesungguhan dalam mencuba kebolehan ini amat penting. Selalunya, kita mungkin mencuba sekali sahaja selepas itu terus buat keputusan bahawa kita memang tidak ada bakat.

Jika inilah sikap yang diamalkan oleh ahli arkeologi tadi, barangkali kita tidak akan berjumpa dengan "Lembah Bujang" ataupun "Perak Man". Penemuan tersebut bukanlah dengan hanya menyapu selapis habuk ataupun debu. Tetapi, projek tersebut biasanya dijalankan dengan tekun selama berbulan-bulan dan tidak mustahil ada yang bertahun-tahun.

Secara peribadi, saya juga pernah berkata begitu. Saya yakin bahawa saya tidak boleh menulis novel untuk kanak-kanak. Padahal, saya belum cuba bersungguh-sungguh. Apabila saya cuba menulis dan kemudiannya Farris Putera Yang Hilang terbit, keyakinan itu datang menyergap. Saya cuba banyak kali sebelum menulis novel itu dan mencari-cari formula terbaik bagi menghasilkan sesuatu yang dapat dihayati pembaca-pembaca cilik.

Alhamdulillah, hasilnya langsung tidak mengecewakan. Mungkin jualannya tidaklah seperti novel-novel pop. Tetapi, saya percaya setiap seorang yang membaca novel tersebut, berdasarkan respons yang diterima, mempunyai makna yang tersendiri melalui novel tersebut.

Farris wujud dalam diri kita semua.

Isnin, Januari 05, 2009

Mesyuarat Agung PEN ke-32

Pengumuman tarikh Mesyuarat Agung PEN ke-32.

Siapakah Ahli Seumur Hidup PEN?

Maklumat lanjut di Laman Web PEN
.
.

Jumaat, Januari 02, 2009

Tunas Cipta Januari 2009


Karya-karya dalam Tunas Cipta Januari 2009 :


Luahan Minda (Surat Pembaca)

1. Cadangan untuk Tunas Cipta (Lutfi Ishak)
2. Salam Ceria untuk warga pembaca Tunas Cipta (Mimi, Sabah)
3. Salam pada Bonda Ani (Khairol, Serdang, Kedah)

Bicara Tunas
Ali Bukhari Amir - Sastera Perlu Di'rakyat'kan

Sejambak Ilham (Puisi)

1. Semarak Tahun Baru (Rozlan Mohamed Noor, Kuala Lumpur)
2. Semut Geladangan (Marzni Mohamed Mokhtar, UPM)
3. Sengoti II (Mohd Dahri Zaharia, Kajang)
4. Ceritera Cinta kepada Tuhan (H Fansuri, Kg. Baru, Kuala Lumpur)
5. Anugerah (Mamaria Nor, Shah Alam)
6. Ukur (Adnan A.M., Batu Kikir, Negeri Sembilan)
7. Kafe Akhir (Zuraidah ABdul Aziz, Klang, Selangor)
8. Bacaan (Mohd Fadzil Yusof, Teluk Intan, Perak)
9. Babad Cinta (Zaharudin Abu, KBB, Kuala Lumpur)
10. Kuntum Bahagia (Mohd Firdaus Hasraf bin Hassan, Seremban, MPR 2006)

Nukilan Pena (Cerpen)
1. Syahadah (Sayidah Mu'izzah Kamarul Shukri)
2. Air Mata (Sharifah Nor Azura Sh. Abial)
3. Janggut dan Segugus Anggur Kenangan (Muhammad Lutfi Ishak)
4. Indera Panji dilanggar Todak (Johari Rahmad)
5. Haluan Roh (Zawan Baba)

Buah Pena Alumni MPR
Muhammad Lutfi Ishak (MPR 2000)

Resensi Novel
Haruskah Aku Berlari (Hanita Hassan)
oleh Umi Ummar

Esei Bulan Ini
1. Sastera Sebagai Teks Mandiri - Bah. Akhir (A. Rahim Abdullah)
2. Unsur Laut dan Alam dalam Sajak-sajak J.M. Aziz (Mohd Noor Azri bin Zakaria)

Ulasan Cerpen
Kepekaan yang Sama, Ilham yang Berbeza - Siti Hajar Che Man

Ulasan Sajak
Kesepaduan Gaya dan Perutusan dalam Sajak - A. Halim Ali

Drama
Pusaka (Bahagian Keempat) - Rahmat Hidayat Sabari

Himpunan Tinta
PPJ : Sekali Menulis Terus Menulis - Rahimah Muda

Novel Bersiri :
Nama Eng Bahlut (Siri 13)
Faisal Tehrani

Puisi Tradisional
Pantun Pencemaran Alam - Cerana Mas, UPSI, Tg. Malim

Selebihnya, dapatkan Tunas Cipta edisi Januari 2009 di pasaran!

Khamis, Januari 01, 2009

Nikmat Menulis



"There's something delicious about writing the first words of a story. You can never quite tell where they'll take you. Mine took me here, where I belong."

"Miss Potter" (2006)




Ah, betapa benar!

Selamat Tahun Baharu 2009.
Semoga apa yang dilakukan mendapat restu dan keberkatan-Nya.
.
.


Related Posts with Thumbnails