Selasa, November 17, 2009

SAKM - X : Sastera Rentas Ilmu


Insya-Allah, saya akan membentangkan kertas kerja (kertas catatan, sebenarnya) di dalam Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Melayu ke-10 di UKM pada 19 November.

Seminar dijadualkan berlangsung selama dua hari : 18 - 19 November 2009 di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM.

Jadual sudah saya lampirkan di dalam entri terdahulu. Sila rujuk entri sebelum ini tentang SAKM X.

Judul pembentangan saya pula, seperti yang berikut :


Mempermudahkan Undang-undang Untuk Khalayak : Pengalaman Menulis Cerpen Unsur Guaman

Oleh
Nisah Haji Haron



Abstrak

Sastera itu merentas zaman dan sempadan. Sastera juga mampu merentas ilmu. Pengalaman menulis cerpen-cerpen yang mengangkat tema undang-undang ialah suatu cabaran kepada pengarang untuk mempermudahkan sesuatu yang dianggap ‘jauh’ daripada masyarakat umum. Sebagai pengarang yang pernah menjurus di dalam disiplin undang-undang, menjadi semacam fardhu kifayah untuk menyampaikan hal-hal undang ini kepada orang ramai melalui karya-karya sastera. Memilih isu, menyaring maklumat dan kemudian menyampaikannya kepada khalayak setelah dipermudahkan ialah suatu pengalaman berharga.

Jumpa di sana.
.
.

Isnin, November 16, 2009

Ada Apa Dengan Bengkel Penulisan?


Bengkel-bengkel penulisan kian rancak dewasa ini. Senario ini amat berbeza tatkala saya mula-mula menulis sekitar tahun 1980-an. Satu-satunya bengkel yang saya kenal ialah Minggu Penulis Remaja (MPR). Namanya demikian, tetapi hakikatnya MPR ialah sebuah bengkel penulisan.

Bengkel penulisan paling efektif jika jumlah peserta terhad. Paling ideal, jumlahnya di bawah 20 orang. Jumlah yang terlalu ramai di dalam sebuah bengkel, boleh menjadikan aktiviti itu dikuasai oleh satu pihak ataupun akan wujud satu 'bengkel di dalam bengkel'.

Jika ada masa, saya gemar menyertai bengkel - adakalanya sebagai pembimbing, kadang-kadang sebagai peserta juga. Mungkin apa yang akan dinyatakan di dalam bengkel 2, 3 & 4 sudah disebut di dalam bengkel 1. Ternyata, saya seringkali dapati dalam setiap bengkel ada respons yang berbeza dan tentunya ada perkara baharu yang saya pelajari - hatta diri saya sebagai pembimbing pada satu-satu masa.

Jadi, di dalam bengkel tidak semestinya pembimbing yang sentiasa memberi, dan peserta sentiasa menerima. Jika kedua-dua pihak hadir dengan 'cawan' yang kosong, kita sama-sama akan mendapat manfaatnya. Apabila pembimbing hadir dengan sikap mahu 'menggurui' pesertanya, jarang sekali peserta mendapat manfaat 100%.

Secara peribadi, saya bimbang apabila membimbing peserta di dalam bengkel-bengkel penulisan. Saya bimbang jika ada peserta yang 'terbunuh' di dalam bengkel. Daya tahan setiap insan itu tidak sama. Ada yang barangkali tidak tahan apabila karyanya dikritik, tetapi masih mahu menyertai bengkel. Saya sedaya upaya tidak akan 'membunuh' daya kepengarangan setiap peserta. Saya mahu membimbingnya kerana itulah tugas saya. Di dalam membimbing, pendekatan saya juga harus berubah mengikut keperluan peserta.

Matlamat saya, kalau ada pengarang baharu yang lahir hasil daripada mana-mana bengkel yang pernah saya kendalikan, pengarang itu seharusnya lebih baik daripada saya. Barulah karya-karya sastera akan mengalami peningkatan kualiti. (Saya juga pernah mendengar bahawa di dalam bengkel penulisan yang lain, pembimbingnya seolah-olah tidak mahu 'anak muridnya' mengatasi kehebatan pembimbing. Tuhan, tolong jangan jadikan saya seperti mereka itu.)

Saya sesungguhnya percaya bahawa bengkel sahaja tidak melahirkan penulis. Penulis akan lahir kesan daripada pelbagai faktor. Penulis yang berjaya seringkali tidak putus asa dan mempertingkat daya kepengarangannya melalui pelbagai cara. Mengharapkan dengan hadir ke bengkel dan selepas itu terus boleh menjadi penulis, belum tentu seseorang penulis itu dapat tekal menulis.

Pada saya, bengkel ialah tempat memugar semangat, mendapatkan suasana kondusif untuk terus berkarya, belajar daripada kelemahan sendiri atau melihat kekuatan karya orang lain, dan tentunya untuk mendapatkan momentum.

Tidak ada gunanya, jika hadir banyak bengkel tetapi selepas berbengkel tidak menulis juga. Menghadiri bengkel ini ibarat meminta pembimbingnya membawa peserta ke pintu serta membantu membuka pintu itu. Namun, untuk masuk ke dalamnya, itu di luar kemampuan pembimbing @ si pembuka pintu tadi. Peserta @ penulis itu sendirilah yang harus melangkah masuk kerana pintunya sudah dibuka.

** Gambar-gambar sewaktu Bengkel Penulisan Cerpen PEN 2009 di Dewan D'Ark, Taman Sri Kasih, Senawang pada 14 November yang lalu. Kredit gambar 1 & 3 - Nisah Haron. Kredit gambar 2 (tengah) kepada Zalila Isa.

Baca juga di :

Zalila Isa
Senafas Bidasari
Amiza Khusyri bin Yusof
Syarifah Salha Syed Ahmad
Blog Syafiq Zulakifli

Rabu, November 11, 2009

Umbara Sastera III

Para penulis, peminat sastera dari jauh dan dekat, dengan segala hormatnya dipersilakan hadir ke majlis :

Umbara Sastera III
14 November 2009
D'Ark, Taman Setia Kasih, Senawang, Negeri Sembilan

Tema : Penulisan Sastera Islam

Panel :


Proses kreatif cerpen Aset Istiqamah

Tempat Pertama
Sayembara Cerpen Hadiah Sastera Berunsur Islam ke - 12







Proses kreatif cerpen Kasad

Tempat Ketiga
Sayembara Cerpen Hadiah Sastera Berunsur Islam ke - 12








Proses Kreatif cerpen Tangisan Daerah Terpinggir

Saguhati
Sayembara Cerpen Hadiah Sastera Berunsur Islam ke - 12




Setiap panel bakal berkongsi pengalaman kreatif masing-masing sehingga karya tersebut terhasil. Setiap panel memiliki latar belakang aliran agama dan sesuai untuk memperkatakan sastera Islam dari kaca mata masing-masing.

Masa : 8.30 - 10.30 pagi
PERCUMA

Minum pagi disediakan.

Para peserta yang ingin melanjutkan kehadiran di majlis ini turut dipersilakan hadir ke Bengkel Cerpen PEN 2009 yang menyusul selepas Umbara Sastera III. Yuran dikenakan.

Maklumat lanjut di laman web PEN.

Sudikanlah hadir.
.
.
.

Sabtu, November 07, 2009

Harum Kesidang di Laman


Selepas mengguyur hujan rahmat
Puspa kesidang berbunga lebat
Wanginya mengundang ingatan padamu, sahabat.


NOTA : Bunga kesidang @ bunga kerak nasi yang sedang rajin berbunga di tengah halaman. Pada waktu pagi, jika lalu di kawasan ini hidung akan terhidu baunya yang lemak-lemak harum. Sukar hendak digambarkan bau yang lemak. Jika mahu dibandingkan antara bau melur dan kenanga, kedua-duanya lebih menyengat hidung berbanding kesidang.

Oleh sebab bunganya sedang lebat, saya sering petik setangkai, bubuh di dalam bekas dan letak di meja kerja. Setiap kali melangkah ke kamar ini, damai dan bahagia terasa. Kata seorang sahabat yang sempat singgah dan memetik setangkai dua untuk dibawa pulang, harum bau kesidang semacam terapi kepada dirinya. Dia terasa tenang dihiasi indera baunya oleh kesidang.

Teringat juga arwah nenek yang gemar memetik bunga kesidang untuk dicucuk pada sanggulnya supaya rambut berbau harum.

Jumaat, November 06, 2009

Terjumpa komen Lentera Mustika, lagi

Harap tidak jemu membaca komen-komen daripada pembaca, saya sekadar mahu mendokumenkan kritikan dan pandangan pembaca, khususnya yang saya langsung tidak kenali. Inilah satu cara untuk saya mengukur sejauh mana mesej yang disampaikan melalui novel itu tiba kepada penerima.

Ini komen dari blog x_ribath_street yang menamakan dirinya annas :

"Ada satu artikel akhbar yang menyebut tentang keperluan atau ketidakperluan testimoni pembaca disertakan dalam naskah LM ni, juga tentang kalau boleh pengakuan2 yang diletakkan di helaian depan LM ini dipilih dengan baik supaya tidak kedengaran terlalu melampau.

Annas secara jujurnya (ketika membaca testimoni tu semua) pun terasa seolah2 macam best sangat je LM ni, macam tak caye pulak..hehe..ye lah, kadang2 banyak yang jumpa lebih ‘indah khabar dari rupa’.. maaf kak Nisah!

Tapi mengejutkan, bila mula baca LM sampai la ke helaian terakhirnya..annas akui diri ni juga akan memberikan pengakuan yang serupa. Tak pernah baca novel moden sekarang yang menyelitkan begitu banyak seni! Usai baca LM, annas teruja pula nak belajar berpuisi, bersyair..hehe"


Baca lanjut di sini.

Terima kasih, Annas!
.
.

Isnin, November 02, 2009

Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Melayu ke-10

Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Melayu ke-10 (SAKM X)

Tema : Kesusasteraan Melayu Dalam Rentas-Ilmu

Tarikh : 18-19 November 2009


Tempat :
Dewan Kuliah 3B-301, Fakulti Sains Sosial Dan Kemanusiaan (UKM)

Ketua Program Persuratan Melayu, Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan Melayu UKM, Dr. Mawar Shafei, berkata seminar yang dianjurkan dua tahun sekali bermula 1989 itu menyediakan ruang kepada sarjana untuk berhimpun, membentangkan penemuan terbaru dan berkongsi dapatan dengan natijah penyebaran.

"Seminar ini diharapkan dapat membuahkan sesuatu yang bermakna untuk dokumentasi dan akhirnya mengisi khazanah warisan tamadun bangsa. Bagi melebarkan jaringan dan persahabatan, SAKM X mendapat kerjasama PENA selain dianjurkan bersama secara tradisi dengan DBP. Seminar ini mengangkat sub tema hubungan kesusasteraan Melayu dalam bidang ilmu yang membabitkan bidang agama, sains sosial, sains dan teknologi, seni persembahan serta pendidikan," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur baru-baru ini.


- sumber : Berita Harian 26 Oktober 2009


Jadual Sesi Pembentangan SAKM X

18 Nov 2009

8.00 - 8.30: Pendaftaran

8.30 - 9.00: Ketibaan tetamu

9.00 - 9.30: Majlis Pembukaan

9.30 - 10.30:
Sesi Ucap Utama: Prof Dato Siti Hawa Salleh
Pengerusi: Prof Madya Dr Misran Rokimin

10.30 - 11.00: Minum pagi

11.00 - 1.00:

Sesi 1: Sastera-Agama (Pengerusi: Dr Hanafi Ibrahim)
  • Prof Dr Sahlan Mohd Saman
  • Sdr Cahyaningrum
  • Dr Pabiyah Hajimaming

1.00 - 2.00: Makan tengahari dan Rehat

    2.00 - 3.30:

Sesi 2: Sastera-Sejarah (Pengerusi: Dr Rahilah Omar)
  • Prof. Nik Hassan Shuhaimi Nik Abd. Rahman
  • Sdr Sudibyo
  • Dr Ahyar Anwar

3.30-5.30

Sesi 3: Sastera-Kreativiti (Pengerusi: Sdr Mohamad Saleeh Rahamad)
  • Prof Dr Noriah Mohamed
  • Sdr Shamsudin Othman
  • Prof Madya Dr Ampuan Brahim Tengah
  • Sdr Nizal Mohammad
5.30: Minum petang

19 Nov 2009

8.30 - 10.30

Sesi 4: Sastera-Pendidikan (Pengerusi: Prof Madya Ajid Che Kob)
  • Dr. Novi Siti Kussuji Indrastuti
  • Sdr Hara Shintaro
  • Sdr Hj Nafi Mat
  • Sdr Hjh Siti Aisah Murad

10.30 - 11.00: Minum pagi

11.00 - 1.00

Sesi 5: Sastera-Sains Sosial (Pengerusi: Dr Karim Harun)
  • Sdr Isa Kamari
  • Sdr Siti Rafiah Sulaiman
  • Sdr Nisah Hj Haron
  • Prof Dr Ungku Maimunah Mohd Tahir
1.00 - 2.00: Makan tengahari dan Rehat

2.00 – 3.30:

Sesi 6: Sastera-Sains (Pengerusi: Puan Zaiton Ajmain)
  • Prof Dr Wan Ahmad Tajuddin Wan Abdullah
  • Dr Rahmat Haroun, MD
  • Sdr Sharkawi Che Din
3.30 – 5.00

Sesi 7: Sastera-Seni Persembahan (Pengerusi: Dr Abdul Samad Kechot)
  • Sdr Abang Patdeli Abang Muhi
  • Sdr Rahimidin Zahari
  • Sdr Ahmad Fedtri Yahya
5.00: Majlis Penutup

5.30: Minum Petang

6.30: Bergerak ke DBP untuk Majlis Makan Malam

Maklumat Lanjut:
Sekretariat SAKM X
Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu,
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia
43600 UKM Bangi,Selangor DE,Malaysia

603 8921 5288 (Dr. Mawar Shafei)
603 8921 5573 (PM Dr Misran Rokimin)

sakm09@gmail.com

Muat turun borang di sini.
.
.
.

Catatan Tertangguh 1 - Malam ASN ke-10

Berada di Hotel Palace of the Golden Horses pada Malam Pengurniaan Anugerah Sastera Negara ke-10 mencatatkan pelbagai pengalaman. Saya datang dari Seremban bersama-sama Puan Mahaya (Ketua Satu PEN) dan Datin Sabarriah (Pemangku Setiausaha 2). Hujan lebat mengguyur. Mengingatkan saya pada majlis yang sama pada tahun 2003, ketika SN S. Othman Kelantan menerima anugerah itu di Hotel Istana - malam itu juga hujan lebat di Kuala Lumpur.

Namun, hujan rahmat yang turun menyimbahkan barakah pada malam berbahagia itu. Oleh sebab, kami bertolak seawal pukul 5.30 petang, kami tiba sebelum maghrib. Sempat jerti di mana-manauga melihat-lihat pameran buku-buku SN Dato' Dr. Anwar Ridhwan - sama ada buku-buku yang diterbitkan semula di dalam bentuk Edisi Khas Sasterawan Negara ataupun buku-buku yang pernah diterbitkan.

Gambar : Turut dipamerkan beberapa hasil karyanya di dalam manuskrip bertaip.

Seperti di mana-mana majlis sastera, yang paling menyeronokkan tentulah ketika dapat bertemu semula dengan sahabat-sahabat pengarang, wartawan, editor, sarjana dan mereka yang terlibat di dalam industri perbukuan. Seroang daripada yang duduk semeja ialah wakil daripada syarikat penerbitan yang besar dan terkenal menerbitkan karya-karya fiksyen popular. Dia memperkenalkan dirinya sebagai "brand manager". Pun, saya terkejut dengan soalan-soalan yang datang daripadanya, seperti "Sudah berapa kali buat majlis Anugerah Sastera begini?", "Apa syarat-syarat untuk menang Sasterawan Negara?" "Sasterawan Negara ni dapat berapa ribu?"

Saya terus menikmati Sup Makanan Laut "Ogonshoto" yang dihidangkan (seperti di dalam gambar di sebelah). Mujur soalan-soalan itu tidak diajukan kepada saya secara khusus. Kebetulan ada seorang pegawai DBP yang duduk semeja dengan kami. Semua soalannya itu ada jawapan di dalam buku cenderamata. Malah sebaik-baik sahaja sampai di kawasan perkarangan hotel ini (malah di luar hotel juga ada lampu neon) sudah tertulis ASN-10. Barangkali orang seperti inikah yang akan menjawab Sasterawan Negara ada 80 orang (tak gitu, Encik Wan?). Soalan-soalan dia yang lain itu juga tidak perlu disoal jika dia meneliti buku cenderamata. Pastinya orang yang menguruskan pengurusan jenama, boleh membaca dengan baik.

Gambar : Editor Dewan Sastera, Puan Rozninah & saya (berdiri); Puan Haslina Usman Awang (seledang gelap) & Datin Seroja (isteri SN Dato' Abdullah Hussain) (duduk)

Selain daripada hamba Allah ini, tiada perkara yang menjengkelkan lagi. Semuanya berjalan lancar. Sayang sekali, tidak ramai SN terdahulu yang dapat hadir. Yang saya terpandang cuma SN Muhammad Haji Salleh. Saya faham yang SN Shahnon Ahmad, SN Abdullah Hussein dan SN Nordin Hassan tidak berapa sihat. Malah Datin Seroja (Isteri SN Dato' Abdullah Hussein) mewakili beliau. Pak Samad juga tidak kelihatan. Saya berharap mereka yang tidak hadir ini benar-benar berhalangan kerana majlis ini menjadi kemuncak kepada anugerah penulisan tanah air, walaupun bukan mendapat SN itu sebagai matlamatnya.

Gambar : Dato' Dr. Anwar menerima watikah dan seterusnya secara rasmi layak menggunakan gelaran Sasterawan Negara

Saya percaya sifat anugerah haruslah diberikan oleh pihak yang berkenaan. Ia bukan sesuatu yang boleh dipohon ataupun dilobi oleh mana-mana pihak. Saya kurang bersetuju apabila ada pihak yang melobi orang tertentu sebagai SN. Dalam hati terfikir juga, mengapa tidak dibuat undian secara SMS sahaja?

Tahniah kepada Sasterawan Negara Dato' Dr. Anwar Ridhwan! Saya percaya kepada kualiti karya lebih penting daripada penghasilan dalam kuantiti tinggi tetapi hasilnya tidak membanggakan. Saya fikir akan ada penerima SN dalam tahun-tahun terdekat dan kita tidak perlu menunggu 7 - 8 tahun lagi untuk SN ke-11.


Gambar kiri : Ketua Pengarah DBP, Dato Termuzi, menyampaikan pidato pengenalan kepada SN Dato' Dr. Anwar Ridhwan




Gambar dari kiri : Prof Emeritus Dato' Asmah Hj Omar, Ketua Pengarah DBP, Timbalan Perdana Menteri, SPB Yang Dipertuan Agong & SN Dato' Dr. Anwar Ridhwan

Related Posts with Thumbnails