Selasa, Disember 29, 2009

Nisah Haron Online dalam BH

Terima kasih kepada pihak Berita Harian yang memetik blog ini untuk dimuatkan di dalam segmen sastera.com hari ini.


Baca artikel tersebut di sini.

Isu yang dipilih untuk ruangan sastera.com itu merupakan entri saya yang berjudul "Ada Apa Dengan Bengkel Penulisan".

Khamis, Disember 24, 2009

Siri Bengkel Penulisan Kreatif V

Terkini : Sedikit catatan tentang acara ini ada ditulis oleh Masliya Yahya (MPR 2009)


Siri Bengkel Penulisan Kreatif V
2 Jam bersama-sama Nisah Haron

28 Disember 2009

10 pagi - 12 tengah hari

Bilik Sumber (Aras 6),
Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan & Kebudayaan Melayu
Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan, UKM, Bangi.

Walaupun program ini dinamakan 'bengkel', sesiapa yang hadir ke acara ini tidak perlu bawa cerpen ataupun sinopsis novel. Datanglah dengan hati yang lapang dan tenang kerana saya sekadar mahu berkongsi pengalaman dan bertukar-tukar idea dengan tetamu yang hadir.

Seperti siri-siri yang lalu, setiap pengarang banyak menceritakan proses kreatif masing-masing. Hal ini jarang dapat dicungkil dan saya secara peribadi teruja untuk hadir dalam sesi sebelum ini. Namun, saya berkesempatan untuk hadir semasa sesi Puan Maskiah Masrom dan Puan Shamsiah Mohd Noor. Saya terlepas sesi Dr. Kamariah Kamarudin dan berada di majlis lain semasa giliran Faisal Tehrani.

Barangkali, saya boleh mulakan dengan menerima soalan daripada tetamu sebelum saya berbicara. Jadi, silakan datang dengan soalan-soalan. Akan saya cuba tangani supaya acara ini lebih mesra dan akrab dan tidak bersifat sehala.

Orang luar UKM, peminat sastera dari jauh dan dekat dipersilakan hadir. Lebih molek jika dapat maklumkan kehadiran kepada penganjur Dr. Mawar Shafei sama ada meninggalkan pesan di blognya ataupun melalui e-mel : mar@ukm.my. (Bukan apa, barangkali Dr. Mawar dapat mengagak jumlah tetamu untuk beliau membuat beberapa keputusan dari aspek pengurusan).

Kepada yang sampai di UKM selepas pukul 8.00, dinasihatkan supaya memakir kereta di hadapan/bersebelahan bangunan Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) dan tanya kepada pengawal akan lokasi yang dimaksudkan. Percubaan untuk memakir di hadapan bangunan FSSK selalunya kurang berhasil melainkan anda telah letak kereta di situ sebelum subuh! Percayalah, saya mantan UKM. Kami sebagai mahasiswa dahulu pun sangat digalakkan berjalan kaki kerana itu adalah amalan yang sihat. :-)

Jumpa di sana, insya-Allah.

Selasa, Disember 22, 2009

Sekitar Perhimpunan Alumni MPR 1




Apa istimewanya program Minggu Penulis Remaja (MPR) sehingga dikatakan kumpulan elit 'perasan bagus' oleh pihak yang bersuara dengan nada iri. Sama kita memang bagus ataupun 'perasan bagus' seperti dakwaan sesetengah pihak, mulut yang rajin berkata-kata itu pasti ada di mana-mana.

Memetik kata-kata Sdr Ahmad Patria Abdullah, mantan peserta MPR yang sulung (1985), orang perjuangan tidak akan peduli akan apa yang orang lain kata. Maka benarlah! Itulah sikap yang telah diambil oleh sekian ramai pengarang, khususnya mantan peserta MPR yang dianggap berjaya. Orang yang berjaya harus PEKA dan juga PEKAK.

PEKA kepada peluang. PEKAK kepada segala kata-kata orang (yang tidak langsung tidak bermanfaat itu).

Mantan peserta MPR bukannya mendabik dada ataupun bermegah-megah dengan kejayaannya. Mereka yang tekal menulis, tidak akan berhenti menulis - natijahnya, adalah karya yang terbit. Apabila ada sayembara, mereka akan turut serta - natijahnya, adalah juga karya yang menang. Apabila banyak karya yang terbit dan menang, mulalah mereka yang hanya menjadi penyokong dan tukang sorang di luar gelanggang berkata apa-apa sahaja yang mereka suka. Akhirnya, yang menulis dan terus menulis pastilah karyanya lebih banyak daripada mereka yang lebih banyak berkata-kata tetapi tidak menulis sepatah perkataan pun.

Mantan peserta MPR yang tidak menulis - usah diperlekehkan mereka ini. Program ini dibentuk untuk melahirkan mereka yang celik sastera. Kalau setiap tahun (sekitar 25 - 30 orang peserta dipilih) setiap mantan peserta menjadi penulis, kiralah sendiri sejak 1985 - 2009 ada berapa ramai penulis yang menjadi. Lalu, ada yang mengambil pendirian untuk tidak menulis kreatif, tetapi mereka menulis karya-karya bukan fiksyen, ada yang menceburi bidang seni yang lain. Dan, ada juga yang terus tenggelam dalam bidang-bidang lain. Hakikatnya, jiwa mereka ini sarat dengan rasa kecintaan terhadap sastera. Kumpulan ini menjadi penyokong kepada sastera - lalu lahirlah doktor yang boleh berpuisi, peguam yang mencintai sastera, jurutera yang boleh bergurindam atau paling tidak, mereka menjadi ibu bapa (setelah berkahwin) yang memahami seni sastera untuk diterangkan kepada anak-anak mereka.

Perhimpunan Alumni MPR 1 yang berlangsung Sabtu lalu bukan sekadar menyebut kembali nostalgia. Kami berbangga kerana yang senior masih lagi sudi bersama-sama : Ahmad Patria Abdullah (1985), Zarihah Hasan (1986), Lily Haslina Nasir (1986), Ruslan Ngah (1986?). Mereka ini datang hanya kerana terdengar bahawa ada perhimpunan dan sangat teruja sekali. Mereka banyak melahirkan rasa terhutang budi kepada tenaga pengajar dan DBP yang telah mencungkil bakat mereka.

Saya kesal mendengar suara-suara kritikan daripada beberapa mantan peserta yang enggan hadir kerana tiada undangan rasmi, tiada kad undangan, tidak menerima sebaris apa pun (kononnya) padahal mereka telah dengar desas-desusnya. Pada saya, undangan daripada pihak urus setia MPR/DBP, ibarat undangan daripada ahli keluarga sendiri. Secara analoginya, kalaulah ibu saudara saya mahu adakan kenduri kahwin takkanlah dengan saya pun hendak dihantar kad undangan. Kalau saya terdengar, pastinya saya datang menyusul walaupun tidak diundang secara rasmi. Ibu saudara saya itu ialah keluarga saya dan saya bukannya orang lain yang harus menunggu kad undangan rasmi. Malah, saya harus datang menolong dan bukannya mengkritik sama ada pelaminnya senget ataupun makanan tidak enak. Sebagai ahli keluarga dalam MPR pula, kita haruslah tahu letak duduk diri kita hari ini walaupun barangkali, hari ini kita sudah jadi penulis atau penyair yang gah namanya.

Pun, itu pilihan masing-masing. Saya tahu ada ramai yang tidak dapat hadir kerana ada banyak majlis yang berlangsung pada hari yang sama. Kalau berkirim salam, juga memadai. Ingatan sebegitu lebih murni dan akan dikenang sepanjang hayat.

3 segmen berlangsung ketika majlis tersebut.

Forum MPR selepas 2 Dekad begitu hidup sekali apabila moderatornya Sdr Nimoiz T.Y. (2004) - gambar di atas (berbaju merah) - berjaya melontarkan soalan-soalan yang penuh provokasi.

Segmen Memori MPR tidak kurang hebatnya. Ada-ada sahaja kenangan pahit manis yang sudi dikongsi bersama. Tidak ketinggalan, Pak Ali Majod (gambar di sebelah) juga sudi ke hadapan berkongsi beberapa pengalamannya mengendalikan kerenah para peserta.

Segmen terakhir ialah Mengenang Almarhum Dr. Othman Puteh yang telah banyak menumpahkan jasanya kepada penulis-penulis muda, khususnya mantan peserta MPR tanpa jemu.

Terima kasih kepada pihak DBP, khususnya Encik Wahab Hamzah dan Puan Malissa Malik serta ahli-ahli jawatankuasa di pihak DBP yang bertungkus lumus menyediakan yang terbaik untuk majlis Perhimpunan Alumni MPR 1 2009. Tidak ketinggalan kepada adik-adik mantan peserta yang sudi meluangkan masa menawarkan diri sebagai AJK. Harap tidak serik kerana ada banyak lagi program yang memerlukan tenaga kalian yang masih muda belia.


Untuk melihat gambar-gambar lain, sila klik pautan di bawah :

Facebook Hani Salwah
Facebook Ilham Hafiz
Facebook Nabiha

Khamis, Disember 17, 2009

Salam Tahun Baharu


Selamat Tahun Baharu 1431 Hijrah.

Semoga kita semua membuka lembaran baharu dalam kehidupan dan terus diberikan keberkatan oleh-Nya. Maafkan saya atas segala kesilapan dan kelemahan sepanjang kita berhubungan pada tahun 1430H.

Mari kita mulakan ukhwah dengan halaman baharu yang bersih, insya-Allah.

Rabu, Disember 16, 2009

Show, Don't Tell

Sewaktu di sekolah dahulu, guru Bahasa Arab saya selalu berkata indah sekali bahasa Al-Quran ini. Semua orang wajib mempelajarinya. Ketika itu saya di dalam tingkatan tiga. Saya cuba menelan kata-katanya. Pura-pura percaya bahawa ya, saya 'nampak' keindahannya. Padahal, saya tidak nampak langsung apa yang dimaksudkan dengan keindahan Bahasa Arab.

Di kawasan kejiranan saya juga ada penceramah yang memberi kuliah maghrib atau subuh mengikut gilirannya. Dia juga berkata bahawa Bahasa Arab ialah bahasa yang terbaik di dunia. Rugi benar bagi orang yang tidak mempelajari bahasa ini. Bagaimana mungkin dapat memahami Al-Quran sepenuhnya. Sayangnya, dia tidak pula mengajar Bahasa Arab di dalam kuliahnya di surau kami.

Guru Bahasa Melayu saya dulu ramai yang kata, kalau saya tak boleh berbahasa Melayu dengan baik, tak guna jadi orang Melayu. Kalau Bahasa Melayu yang mudah itu pun tidak boleh dikuasai, apa hendak jadi dengan pelajar Melayu. Dia lebih menumpu kepada topik-topik tatabahasa dan teknik-teknik menjawab soalan. Cuma ada seorang guru Bahasa Melayu sewaktu saya di tingkatan empat yang tidak membuat kenyataan-kenyataan di atas. Rasa cinta saya kepada Bahasa Melayu baru hendak berputik, tetapi dia segera menyambar peluang untuk melanjutkan pelajaran. Dia tinggalkan saya dengan sisa-sisa cinta kepada Bahasa Melayu dan dia menjadi pensyarah maktab.

Guru Bahasa Inggeris tak pernah berceramah tentang kepentingan Bahasa Inggeris. Dia tak pernah kata kepada kami, jika mahu pergi jauh dalam hidup kuasailah Bahasa Inggeris. Dia tidak pernah kata Bahasa Inggeris itu indah. Namun, dia rajin meminjamkan saya buku-bukunya, dia galakkan saya membaca buku-buku Bahasa Inggeris, dia bimbing saya dalam sayembara penulisan, dia tidak pernah merendahkan kehebatan bahasa lain untuk mengatakan Bahasa Inggeris ini bagus.

Akhirnya, saya yang buat keputusan pada ketika itu bahawa Bahasa Inggeris cukup menyeronokkan, saya sentiasa menunggu-menunggu kelas Bahasa Inggeris. Saya sangat bercita-cita untuk mendalami dalam bidang Bahasa Inggeris. Dalam usia yang begitu mentah, saya ingin jadi penterjemah supaya saya dapat kaut semua ilmu dalam Bahasa Inggeris untuk dinikmati dalam Bahasa Melayu. Kalau tak dapat jadi penterjemah, saya mahu jadi guru Bahasa Inggeris; supaya saya dapat memandaikan anak-anak didik saya dan mereka pula dapat menterjemah bahan-bahan ke dalam Bahasa Melayu. Begitu cita-cita idealistik remaja yang belum menduduki SPM pada waktu itu.

Saya juga belajar Bahasa Mandarin dan Bahasa Perancis ketika di universiti secara senyap-senyap dan secara 'audit' - itupun atas ihsan pensyarah berkenaan yang membenarkan saya mengikuti kelasnya. Saya hormati guru-guru begini. Dia tidak sibuk tentang kredit dan unit mata pelajaran. Dia layan sahaja minat saya yang mahu belajar bahasa, walaupun saya tidak boleh ambil untuk menambah unit. Pada saya unit tidak penting, saya mahukan asas bahasa ini. Selebihnya, saya cuba belajar sendiri.

Semua bahasa ada keindahan tersendiri. Apabila guru itu tidak 'menggurui' sebaliknya menunjukkan bahawa bahasa yang diajarnya itu indah, kesannya jangka panjang.

Sehingga kini, saya belajar sendiri untuk melihat kembali keindahan Bahasa Arab. Kenangan saya tentang mempelajari bahasa itu di sekolah hanyalah penuh dengan tempik guru, guru yang tidak boleh dikritik akan sikapnya yang 'syok sendiri' dengan bahasa ini, guru yang suka marah-marah kerana kami tidak berapa nak faham tentang i'rab. Semuanya berkata bahasa ini bagus, wajib belajar, dan sebagainya. Tidak seorang pun yang menunjukkan kepada saya bagaimanakah indahnya bahasa ini sehinggalah saya menemuinya sendiri dewasa ini.

Saya juga menemui keindahan Bahasa Melayu melalui pembacaan kepada karya-karya sastera. Saya bandingkan dengan bahasa-bahasa lain. Saya temui keindahan Bahasa Melayu dan sekaligus Bahasa Arab, Inggeris, Mandarin dan Perancis apabila saya menguasai Bahasa Melayu. Saya nampak keindahan Bahasa Melayu dengan menguasai budaya Melayu. Lalu, sekaligus, saya nampak keindahan bahasa lain melalui budayanya juga.

Bahasa itu sebahagian daripada budaya, sikap dan perlakuan si pemakainya. Kalaulah guru-guru bahasa saya yang terdahulu dapat menunjukkan apa saya peroleh kini...

Benar, menggambarkan itu lebih sukar. Aktiviti menggambarkan keindahan bahasa itu tidak akan disoal di dalam peperiksaan. Gagal menjawab soalan dengan baik dijadikan kayu ukur kepada kejayaan pelajar, guru dan juga sekolah. Lalu, tidak boleh disalahkan pelajar yang langsung tidak mencintai bahasanya kerana dia tidak pernah ditunjukkan di mana dan bagaimana keindahan berbahasa.

Nah, ini suatu cabaran. Adakah guru-guru bahasa sanggup menerimanya?

Jumaat, Disember 11, 2009

Kedamaian Selepas Maghrib

Antara soalan popular kepada saya sebagai penulis ialah bila waktu saya menulis. Ini bukanlah soalan kegemaran saya, meskipun ia popular. Setiap penulis pastinya ada waktu kegemarannya untuk menulis. Namun, penulis tidak boleh bergantung sangat kepada waktu tersebut. Akibat terlalu bergantung, penulis boleh jadi tension tak tentu fasal kerana pada waktu berkenaan dia tidak boleh menulis.

Menjawab soalan tersebut, waktu kegemaran saya ialah selepas maghrib. Secara idealnya, ini masa yang terbaik untuk membuat refleksi diri. Masanya pendek dan sesuai untuk melakukan sesuatu yang ringkas, padat tetapi penuh erti.

Saya sukakan waktu selepas maghrib kerana biasanya selepas seharian bekerja (sewaktu saya masih bergelar peguam), waktu ini ialah waktu yang khusus untuk diri sendiri. Boleh buat apa sahaja tanpa perlu berkongsi dengan orang lain. Saya bebas untuk menjadi diri saya sendiri.

Sewaktu menjadi mahasiswa, saya juga gemar memulakan studi selepas maghrib. Jika saya tidak ada aktiviti ko-kurikulum seperti kelas silat atau debat, saya berjalan kaki dari Kamsis Rahim Kajai (kini dipanggil kolej) sehinggalah ke Perpustakaan Tun Sri Lanang (TSL). Ini suasana sebelum Fakulti Undang-undang dan juga Perpustakaan Undang-undang dipindahkan ke lokasi baharu di atas bukit. Pada tahun-tahun 1993 - 1996, kuliah untuk pelajar undang-undang diadakan di FSKK (kini FSSK) dan kami ada seksyen khas di TSL.


Jadi, berjalan ialah perkara biasa bagi warga kampus. Berjalan dari Rahim Kajai ke TSL memang menyeronokkan. Makan malam sekitar 6.30 petang atau sebelum maghrib, kemudian solat pada awal waktu. Usai solat terus sahaja melangkah dengan buku-buku nota, rujukan dan sebagainya ke TSL. Saya tak berapa gemar pergi beramai-ramai. Biasanya, banyak saja kerenah kalau pergi 'berjanji-janji'. Saya lebih suka berjumpa terus di TSL. Kalau kawan saya lambat pun, saya sudah boleh mulakan kerja-kerja saya sementara menunggu. Berjanji dengan saya juga mudah, kalau lambat 10 minit, saya tak akan tunggu. Saya jalan dulu. Kalau saya terlambat 10 minit pula, saya tak harap kawan saya itu masih menunggu. Teruskan sahaja tanpa saya. Sungguh, saya tak layan kalau mahu merajuk dengan saya. Carilah kawan lain, saya tak kisah! Ketika itu, saya tak betah melayan kerenah-kerenah remeh-temeh seperti menunggu orang yang tidak menepati janji dan mengganggu jadual kerja saya.

Lalu, selepas maghrib saya berjalan kaki sendirian dan sepantas mungkin ke TSL. Ketika itu, perpustakaan tidak ramai orang dan saya bebas memilih meja yang paling sesuai untuk studi, cari kes dalam laporan undang-undang, cari buku atau apa sahaja. Suasana studi juga tenang kerana itu waktu yang optimum. Sejam kemudian, barulah nampak pengguna-pengguna TSL yang lain.

Jika saya tidak ke TSL, saya berada di bilik. Juga, waktu paling menarik tentulah selepas maghrib juga.

Kini, selepas berumah tangga, saya cuba untuk merebut suasana itu, meskipun agar sukar berkompromi dengan anak-anak, khususnya dua yang masih kecil. Adakalanya, saya harus mencuri-curi dan berebut masa untuk bersendirian. Waktu yang tenang selepas maghrib itu selalunya tinggal kenangan.

Kepada yang masih bergelar pelajar, mahasiswa dan bujang, hargailah masa anda. Sesudah status diri anda berubah kepada sudah bekerja, sudah berumahtangga, (kalau yang perempuan, sudah bergelar isteri, dan ibu), jumlah 24 jam itu harus dibahagikan lagi. Semakin ramai yang akan menuntutnya.

Percayalah!

Kalau mahu membaca, usah tunggu sehingga :
  • setelah saya bekerja, kononnya, saya akan ada duit sendiri jadi akan membaca lebih banyak;
  • setelah saya kahwin, kononnya, saya akan dapat suami yang boleh tolong sponsor pembelian bahan bacaan;
  • setelah saya ada anak, kononnya, saya boleh membaca dengan anak-anak.
Lupakan sahaja contoh-contoh MITOS di atas. Semua itu tidak akan berlaku. Saya juga tambah kasihan kepada guru-guru masa kini yang terus sekali dihambat masa kerana kerja guru sudah ditambah sebagai kerjaya pentadbir sekolah, urusan pengkeranian dan bukan sahaja mengajar. Mereka menjadi golongan yang dihimpit masa untuk memiliki ruang waktu tersendiri (dulu-dulu, guru habis sekolah paling lewat pun pukul 1.30 petang, sudah boleh buat kerja sendiri).

Jadi, apa-apa yang hendak anda lakukan, buat SEKARANG bukan sekejap lagi. Entah-entah, selepas ini, segala-galanya sudah terlewat!


Khamis, Disember 10, 2009

Istilah Bahasa Melayu yang kaya

Dipetik dari laman seorang Munsyi Dewan - Sdr Azhar Salleh.

Senarai perkataan yang mempunyai padanan di dalam Bahasa Melayu. Mari kita hidupkan penggunaan Bahasa Melayu yang betul dan tinggalkan penggunaan istilah bahasa Inggeris apabila ada perkataan yang wujud di dalam bahasa kebangsaan.
  • apartment - PANGSAPURI
  • back-drop - LATAR PENTAS
  • bungee jumping - TERJUN LELABAH
  • cash and carry - BAYAR DAN BAWA
  • check-in - DAFTAR MASUK
  • check-out - DAFTAR KELUAR
  • clearance sale - JUALAN PERABIS
  • coffee garden - UJANA KOPI
  • coffee house - LAMIN KOPI
  • coffee shop - KEDAI KOPI
  • coffee terrace - ANJUNG KOPI
  • countdown - KIRA DETIK
  • cybercafe - KAFE SIBER
  • fitting room - BILIK ACU
  • homepage - LAMAN
  • homestay - PELANCONGAN DESA
  • homestead - TERATAK DESA
  • hypermarket - PASAR RAYA BESAR
  • jumbo sale - JUALAN RAKSASA
  • kiosk - KIOS/PONDOK
  • lakeside - PINGGIR TASIK
  • lounge - PERISTIRAHATAN
  • megamall - MEGAPURA
  • parkview - HADAP TAMAN
  • penthouse - MEGAPURI
  • resort - PERSANTAIAN
  • roadshow - JERAYAWARA
  • shop and pay - BELI DAN BAYAR
  • shuttle bus - BAS ULANG-ALIK
  • steamboat - STIMBOT
  • summer camp - KEM BINA DIRI
  • talkshow - BICARAWARA
  • tea garden - UJANA TEH
  • teleconference - TELESIDANG
  • theatrette - TEATER MINI
  • unplugged - NIRPLAG
  • user-friendly - MESRA PENGGUNA
  • virtual chat - BUAL MAYA
  • waiter - PRAMUSAJI
  • waitress - PRAMUSAJI
  • waterfront - PINGGIR AIR
  • webaholic - GILA WEB
  • wet kitchen - DAPUR BASAH
  • software - PERISIAN
  • hardware - PERKAKASAN
  • pause - JEDA
  • ballroom - DEWAN BESAR
  • banquet - BANKUET
  • buffet - BUFET
  • cocktail - KOKTEL
  • deluxe room - BILIK MEWAH
  • double room - BILIK KELAMIN
  • function room - BILIK MAJLIS
  • download - MUAT TURUN
  • access - CAPAIAN
  • budget hotel - HOTEL JIMAT
  • banana split - PISANG SEJOLI
  • float - MINUMAN APUNG

Selasa, Disember 08, 2009

Majlis Perhimpunan Alumni MPR

Dengan sukacita memaklumkan, Alumni Minggu Penulis Remaja (MPR) akan mengadakan satu majlis Perhimpunan Alumni MPR, 2009. Mantan peserta MPR dan keluarga dipelawa menghadiri majlis tersebut untuk memeriahkan lagi satu majlis perhimpunan ini.

TERBUKA JUGA UNTUK SEMUA KHALAYAK – PEMBACA, PENELAAH, PEMERHATI, PEMINAT DAN PENCINTA ILMU DAN SASTERA!

Butirannya seperti yang berikut:

19 Disember 2009 (Sabtu)
8.00 pagi – 3.00 petang
Dewan Seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka

Anjuran Bersama:

Alumni Minggu Penulis Remaja & Bahagian Pengembangan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka

Atur Cara:

0800: Ketibaan dan sesi pendaftaran Alumni MPR

0900: Ucapan alu-aluan oleh pengarah program

0905: Forum : MPR Selepas Dua Dekad

Panelis : Raihani Mohd Saaid, Khairul Nizam Abd Raub & Lily Haslina Nasir *
Moderator : Nimoiz TY
*Panelis sedang disahkan (awaiting confirmation)

Slot Memperingati Allahyarham Othman Puteh

Sesi "Memori MPR"

1105: Majlis penutup
  • ucapan oleh YBhg. Dato’ Haji Termuzi bin Haji Abdul Aziz, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka
  • ucapan oleh YBhg. Datuk Johan Jaaffar, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP
  • majlis pelancaran buku/antologi Alumni MPR
1300: Makan tengah hari

Jualan buku dan sesi bersama penulis

1500: Bersurai


Maklumat lanjut di laman rasmi MPR : www.minggupenulisremaja.blogspot.com

Isnin, Disember 07, 2009

Peserta Bengkel Paling Bertuah

Bengkel Penulis Muda Johor 2009 anjuran Yayasan Warisan Johor pada 4 - 6 Disember 2009 di UiTM Kampus Segamat mencatatkan satu rekod kepada saya (dan mungkin juga kepada pembimbing dan peserta). Inilah bengkel paling intensif yang pernah dianjurkan. Bayangkan ada 4 buah slot bimbingan dan jumlah peserta hanya ada 4 orang. Oleh itu, masa 2 jam bagi setiap slot digunakan untuk membedah novel setiap peserta.


Gambar : Inilah wajah peserta bengkel. Dari yang paling hujung - Zety Natamulia (bertudung kuning), Lee Tan Luck, Firdaus dan Nazhatulshima

Jumlah peserta yang kecil ini bukanlah disengajakan ataupun tiada sambutan bagi penyertaan. Bengkel Penulis Muda Johor 2009 ialah ekoran daripada bengkel yang sama pada tahun 2008 (di Muar). Saya pernah mencatatnya di dalam entri terdahulu. Jumlah peserta bengkel 2008 memang menggalakkan, namun ini sahaja yang menyudahkan novel dan berkesempatan untuk menghadirkan diri.

Gambar : dari kiri - Kak Min, Puan Rahimah Muda (aktivis teater/novelis Johor) dan Zaid Akhtar

Lantas, mereka menjadi peserta paling bertuah kerana sukar sekali di dalam sesebuah bengkel novel, manuskrip mereka diberikan tumpuan selama lebih kurang 2 jam oleh tiga orang panel. Aminah Mokhtar (Kak Min), Zaid Akhtar dan saya sendiri dikekalkan sebagai pembimbing. Kombinasi kami dikekalkan kerana masing-masing melihat manuskrip dari sorot pandang yang berbeza. Kak Min mengkritik bahagian struktur novel, Zaid lebih kepada isi dan saya sendiri memberi penekanan kepada bab pertama novel. Saya percaya kepada falsafah penulisan bahawa jika novel dimulakan dengan mantap, memancing dan menjanjikan, pembaca akan terus membacanya. Sekiranya permulaan sangat lembab dan banyak elemen telling berbanding showing, ataupun memulakan novel ala sebuah laporan biasanya novel itu sukar dihabiskan walaupun pada bab ke 23, 35 atau 49 sangat memberangsangkan.



Gambar : Saya dan Kak Min di luar tempat penginapan, Ledang Inn, UiTM Kampus Segamat

Faktor lokasi bengkel juga banyak mempengaruhi kualiti bengkel kali ini. UiTM Kampus Segamat mempunyai suasana sekeliling yang cukup menyegarkan. Menurut sejarah, nama 'Segamat' itu sendiri berasal daripada ungkapan 'segar amat' yang dinukilkan oleh Bendahara Tepok (bendahara terakhir Melaka selepas 1511). Setelah mandi dan membersihkan diri di Sungai Segamat, Dato Bendahara bertanya akan nama tempat tersebut kerana beliau berasa
'segar amat' setelah keluar dari sungai itu.

Gambar : Nisan pada Makam Bendahara Tepok

Maklumat ini diperoleh pada hari kedua bengkel. Kami dibawa ke sekitar Segamat yang mempunyai lokasi bersejarah dan sempat juga melihat bekas sungai dan batu yang telah kering (kerana sungai diempang apabila mengalihkan laluan sungai bagi tujuan pembangunan). Batu yang dikatakan menjadi tempat pertama Bendahara Tepok mendarat setelah mudik untuk mengundurkan diri daripada serangan Portugis. Rombongan beliau dikatakan berehat di situ kerana beliau uzur sementara rombongan raja meneruskan perjalanan ke Pahang.


Kami sempat dibawa ke makam Bendahara Tepok yang diadakan khas serta ditempatkan bersama-sama dengan para pengikutnya yang diam di Segamat lalu turut dikebumikan di Lubuk Batu ini.

Gambar kiri : Makam Bendahara Tepok

Sayang sekali, sebagai lokasi yang bersejarah dan tidak kurang pentingnya selepas kejatuhan Melaka, tapak bekas sungai dan makam (di seberang jalannya) tidak terjaga dengan baik. Bekas sungai dan batu yang dikatakan menjadi tempat pendaratan pertama Bendahara Tepok telah pun semak samun. Memang mustahil untuk melihat batu itu tanpa meredah semak samun yang telah menjadi belukar kecil. Khabarnya, tapak ini mahu didirikan menara sebagai mercu tanda Segamat. Saya sebagai orang luar yang mencintai sejarah mengharapkan agar perkara ini akan menjadi kenyataan.

Gambar : Kawasan ini suatu masa dahulu ialah sungai dan ada batu yang dikatakan lebih lebar daripada seekor lembu yang menjadi tempat Bendahara Tepok mendarat bersama-sama rombongannya


Aktiviti melawat tempat bersejarah ini membangkitkan pelbagai semangat untuk menulis, khususnya kepada diri saya sendiri. Hendaknya, biarlah semangat yang sama turut mengalir di dalam diri setiap peserta juga urus setia kerana kalau bukan anak jati Johor yang menulis tentang sejarah Johor, takkanlah saya, anak jati Negeri Sembilan yang harus melakukannya. Namun, saya percaya bahawa tiada pemilik mutlak kepada mana-mana sejarah. Sebagai orang Melayu semangat saya membara mendengarkan penerangan daripada Puan Hajah Rokiah yang menjadi pemandu pelancong (saya difahamkan beliau dari PPJ Segamat). Pasti juga semangat mereka yang turut sama berada di dalam acara itu.

Selamat menulis kepada semua peserta. Tempoh 3 bulan itu sebenarnya bukanlah lama sangat. Usah bertangguh, mulalah menulis sekarang!



Gambar : Peserta, pembimbing dan urus setia bergambar dengan Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar UiTM Kampus Segamat sebelum berangkat pulang


Jumaat, Disember 04, 2009

Titipan Terakhir 2009

Karya-karya yang menjadi penutup tahun 2009 :

Disember
  • Dewan Sastera - Minggu Penulis Remaja: Membina Penulis Pelapis
  • Dewan Bahasa - Penyebaran Bahasa Melayu melalui Blog Sastera
  • WANITA - Siri Akhir "Gapura Purnama" : Cinta Luhur

"Melalui penggunaan bahasa Melayu yang baik, secara tidak langsung mereka (pemblog sastera) dapat memperkenalkan dan mempromosi bahasa Melayu kepada “peminat” bahasa Melayu, terutamanya yang bukan penutur asli bahasa Melayu di luar negara. Secara tidak langsung juga, pemblog bahasa Melayu ini turut mengembangkan bahasa Melayu ke peringkat antara bangsa.

Di samping mengutamakan penggunaan bahasa Melayu yang baik, pemblog juga perlu memahami asas penulisan dan aspek kewartawanan sebelum menjadi pemblog yang aktif. Pemblog tidak boleh terlalu ghairah untuk menjadi “wartawan segera” sehingga meminggirkan kebertanggungjawaban atas apa-apa yang ditulisnya. Mereka juga perlu mengelak daripada menulis hal-hal yang yang berbentuk fitnah dan boleh menyakitkan hati serta menimbulkan perpecahan dalam kalangan masyarakat.

Selain itu, hal tersebut juga boleh menimbulkan persepsi negetif terhadap pemblog bahasa Melayu yang akan menyebabkan pengunjung blog menjauhkan diri mereka daripada blog-blog berbahasa Melayu. Keadaan ini juga boleh menggagalkan usaha untuk menarik seramai mungkin pengunjung blog berbahasa Melayu terutamanya pengunjung luar negara. Dengan hal demikian, usaha untuk menyebarluaskan bahasa Melayu akan menemui jalan buntu.

Pemblog sepatutnya menggunakan “kuasa” yang ada di blog mereka untuk menghidupkan budaya berbahasa yang baik. Dalam hal ini, bahasa yang perlu digunakan oleh pemblog tidak semestinya bahasa yang ilmiah sifatnya. Keluwesan berbahasa ini dapat ditonjolkan melalui penggunaan bahasa yang santai tetapi masih lagi gramatis.

Untuk menarik minat pengunjung blog mengikuti apa-apa yang ditulis atau disampaikan pula, setiap entri yang ditulis perlulah ringkas dan padat. Penggunaan entri yang terlalu panjang akan banyak mengambil masa pembaca, berbanding dengan entri yang ringkas dan padat. Entri yang ringkas dan padat juga akan lebih menguja pembaca, khususnya dalam memberikan respons atau komen bagi merancakkan lagi “kemeriahan” sesebuah blog."

Petikan "Penyebaran Bahasa Melayu melalui Blog Sastera" oleh Nisah Haron dalam Dewan Bahasa Dis. 2009, hlm. 20 - 22.


  • Minggu Penulis Remaja Projek Anak Emas DBP?
"Lantaran pentingnya melentur buluh sejak dari rebungnya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah mengadakan program Minggu Penulis Remaja (MPR) yang "diusik" oleh sesetengah pihak, sebagai projek "anak emas DBP". Tidak dinafikan banyak masa, tenaga, dan kewangan yang dilaburkan oleh DBP untuk projek ini. Setelah lebih 20 tahun DBP menganjurkan MPR, dan terbukti MPR berjaya melahirkan barisan penulis muda yang tercatat nama mereka di mana-mana media massa. Bahkan ada antara mereka yang kini sudah selesa "duduk sama rendah berdiri sama tinggi" dengan pengarang mapan. Merekalah bakal pengganti penulis mapan yang telah kembali ke alam abadi seorang demi seorang. Maka dengan itu, Dewan Sastera memfokuskan MPR dalam mencapai matlamat murni DBP."

Petikan Rencana Pengarang oleh editor, Puan Rozninah Abd. Azib.
Related Posts with Thumbnails