Selasa, Januari 19, 2010

Catatan tentang HSPM 2006/2007

Gambar : Plak untuk puisi eceran "Sumpah Setia Tanjung Piai"

Gambar : Plak untuk cerpen eceran "Pusaka Cendana"

Setiap kali saya naik pentas untuk menerima hadiah, ramai teman-teman yang gemar mengusik dengan nada kecindan, "Lepas engkau, engkau lagi." ataupun "Lepas ni, kau lagi yang naik ke?"

Andai diikutkan jiwa pengarang yang sensitif, mahu saja saya menjawab, "Iyalah, tahun depan saya tak naik lagi ke pentas ni." Namun, saya selalunya senyum saja dan mengucapkan 'alhamdulillah' kerana pastinya mereka sekadar mahu menceriakan suasana.

Untuk rekod dan pengetahuan, kali terakhir saya menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia ialah untuk sesi 1996/1997 menerusi cerpen Persidangan Agung Wanita Klasik. Selepas daripada itu saya tidak naik lagi di pentas HSPM.

Percayalah, sesiapa sahaja yang memenangi sebarang anugerah melalui proses pertandingan, bukan bermakna karya itu 100% sempurna ataupun 100% terbaik. Naskhah atau karya itu dilihat terbaik di kalangan yang bertanding. Naskhah itu dikatakan terbaik oleh panel yang menilai. Panel sentiasa berubah dan keputusan mereka walaupun muktamad, sifatnya masih subjektif.

Saya suka doa di dalam majlis malam tadi yang bunyinya lebih kurang begini :

Ya Allah, Kau berikanlah kerendahan hati kepada mereka yang menang; dan
Kau berikanlah mereka yang tidak menang itu kegigihan supaya mereka terus berusaha
.

Paling penting, bukan soal siapa menang, siapa kalah, berapa ribu si polan dapat?
Itu semua hal-hal remeh, material yang tidak kekal sifatnya.

Bukankah orang-orang yang mindanya hebat, bercakap tentang idea;
yang mindanya sederhana, bercakap tentang keadaan sekeliling; manakala
yang mindanya selebihnya hanya gemar bercakap tentang manusia lain.

Sempena tahun baharu hijrah dan masehi, marilah kita berubah. Berubah itu sebetulnya sukar. Berubah itu ertinya meninggalkan kebiasaan dan keselesaan. Namun, untuk berjaya, setiap insan mesti berubah.

Setiap pengarang ada amanah yang mesti disampaikan. Ilmu-ilmu khusus yang dipinjamkan kepada pengarang ialah satu bentuk fardhu kifayah. Dia mesti menyebarkan ilmu itu kerana sesungguhnya ilmu tersebut milik-Nya dan bukan untuk dimiliki oleh kita, hamba-Nya.

Tahniah kepada yang namanya tersenarai dalam HSPM kali ini. Tahniah berganda kepada yang tidak tersenarai namanya, tetapi masih tekal menulis hingga kini.

Semoga Allah terus memberkati usaha kita dan menanugerahkan ketajaman minda dan kemurnian ilham untuk memacu ummah yang cemerlang.

8 ulasan:

A. Muziru Idham berkata...

Assalamualaikum.

Tahniah Kak Nisah atas kejayaan akak dalam anugerah HSPM. Moga terus dicambahkan ilham dalam menghasilkan karya-karya yang lebih baik.

Waris berkata...

Assalamualaikum,
Tahniah atas kemenangan Puan Nisah.

FaizNazim berkata...

Tahniah Puan Nisah :) Baru saja saya tahu mengenainya menerusi surat khabar Berita Harian. Bertambahlah koleksi saya (tentang Pn Nisah di akhbar) :P

Rusdi Abd Rahman berkata...

Puan Nisah,
Tahniah atas kejayaan ini, tertarik dengan kata-kata... "Bukankah orang-orang yang mindanya hebat, bercakap tentang idea; yang mindanya sederhana, bercakap tentang keadaan sekeliling; manakala yang mindanya selebihnya hanya gemar bercakap tentang manusia lain."

MATMIN berkata...

Assalamualaikum,

Puan, Sekalung tahniah...semoga pada masa akan datang puan akan lebih berjaya. Pengalaman sehari berbengkel pada 3 Januari 2010 begitu berharga. Rupanya dunia penulisan kreatif dan sastera terlalu indah.

Matmin

taufiq berkata...

tahniah kak Nisah!
teruskan aktif dalam menambahkan karya-karya bahasa Melayu!

azmah nordin berkata...

Sdr Nisah Haron :) tahniah utk kemenangan HSPM, happy saya baca di internet tadi. Semoga terus sukses.

salam hormat dan sayang selalu

az

hani salwah yaakup berkata...

Kak Nisah walaupun terlambat masih nak ucap juga, tahniah untuk HSPM!

Related Posts with Thumbnails