Isnin, Januari 11, 2010

Suatu Hari Nanti...

Melalui beberapa pengalaman bertemu dengan individu yang berhasrat menjadi penulis, ada beberapa kelompok penulis yang dapat saya kenal pasti. Satu daripadanya ialah mereka yang selalu berkata begini kepada saya :

"Suatu hari nanti, saya akan tulis sebuah novel yang kisahnya bla bla bla..."

ataupun,

"Nantilah, semua ini saya akan tulis menjadi sebuah buku!"

Selalunya, saya tersenyum sahaja dan enggan memberi sebarang komen. Dan, kalau pada ketika itu saya berasa jengkel dengan ungkapan demikian, saya langsung saja memberitahu, "Tulislah sekarang, mengapa harus tunggu 'pada suatu hari nanti'?"

Pada ketika itu, keluarlah senarai alasan dan senarai 'menyalahkan orang/benda lain' mengapa dia tidak menulis.

Pengalaman menulis novel bersiri di dalam tiga media - Tunas Cipta, Aniqah & Wanita - mengajar saya banyak perkara. Antara yang paling terkesan ialah menulis novel bukannya boleh siap dalam masa satu malam ataupun satu minggu. Ibarat mahu menebang sebuah pokok yang agam dengan sebilah kapak yang kecil, kerja menulis memerlukan kesungguhan.

Menulis novel misalnya, harus ditulis ikut bab. Himpunan bab itulah yang akan membentuk sebuah novel. Himpunan bab yang tidak lengkap akan menjadikan novel yang tidak lengkap. Setiap bab mengandungi sejumlah halaman. Apabila jumlah halaman itu lengkap, maka lengkaplah sebuah bab.

Perhatikan sekali lagi bagaimana orang menebang pokok yang besar, khususnya di tepi jalan raya yang sibuk. Mereka tidak sekali-kali menebangnya dari pangkal sehingga menyebabkan pokok itu tumpang dan berkemungkinan melintang jalan raya ataupun menghempap talian elektrik. Pekerja akan memotong beberapa dahan, kemudian dipotong bahagian atas sekali dan akhir sekali, kerja pemotongan dilakukan secara sedikit demi sedikit dan berhemah. Kalau pun ada bahagian jalan yang harus ditutup untuk tujuan keselamatan, barangkali satu lorong sahaja.

Demikian juga dengan aktiviti menulis. Mahu menulis sebuah mahakarya yang hebat pada usia emas? Mengapa tidak mulakan sekarang? Saya tidak kata penulisan mahakarya itu mesti dimulakan sekarang. Aktiviti menulis itulah yang harus dimulakan seawal mungkin. Ini disebabkan oleh sifat menulis itu sendiri yang memerlukan kemahiran. Seperti mana aktiviti seni yang lain, semuanya memerlukan kemahiran, ketekunan dan sikap mahu memperbaiki diri. Saya fikir, Leonardo Da Vinci pastinya menguasai asas-asas lukisan sebelum cuba melukis Mona Lisa. Siti Norhaliza pun menyanyi di majlis-majlis kenduri kahwin sebelum dia akhirnya buat persembahan di Royal Albert Hall, London.

Jadi, sebelum menghasilkan sebuah karya sehebat Mona Lisa ataupun menyanyi di Royal Albert Hall, dalam penulisan karya kreatif, ada baiknya kita menulis sebanyak mungkin dan sekerap mungkin. Menulis yang kecil-kecil seperti menulis puisi, cerpen dan novella boleh membantu kita menghasilkan mahakarya yang mahu dikenang sepanjang zaman itu.

Di dalam penulisan kreatif, tidak mungkin seseorang itu berhenti kerja, pencen ataupun setelah anak-anaknya besar kelak, tiba-tiba sahaja menjadi penulis tersohor melainkan melalui proses latihan yang berterusan antara sela-sela masa kesibukannya, ataupun ketika anak-anak kecilnya sedang leka buat kerja sendiri atuapun tidur, ataupun dengan cara apa sekalipun dia mencari dan 'mencuri' masa untuk memperkemas gaya penulisannya.

Seperti saya menulis novel bersiri dahulu, dalam tempoh 2 tahun saya telah menyiapkan 24 bab (Puisi Untuk Esdyzuar), dalam masa 3 tahun 1 bulan saya menyiapkan 37 bab (Lentera Mustika) dan selama 2 tahun 1 bulan saya menukangi Gapura Purnama. Kalau saya hendak menunggu satu masa yang sangat lapang, ketika anak-anak sudah besar, ketika saya tidak sibuk dan segala macam alasan lain, ada kemungkinan saya tidak dapat menyudahkan mana-mana manuskrip ini.

Pendek kata, jika setiap masa yang terluang diisi dengan menulis, saya fikir individu yang saya temui dan sangat bercita-cita untuk menulis itu sudah pun menyiapkan sebuah karya pada ketika ini.

Saya malas hendak mengungkapkan sesuatu yang klise, tetapi tiada siapa yang boleh menafikan pepatah Melayu yang menyebut sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit.

4 ulasan:

JahRera berkata...

salam Pn. Nisah Hj. Haron,

Mungkin individu yang ditemui itu dan yang telah berjaya menghasilkan karya itu merasa kagum dengan kejayaan puan dan meniru ketekunan yang puan contohkan sendiri.

Terima kasih
Pasir Ris, Spore.

aida berkata...

Salam.

Memang sdr punya cara tersendiri untuk 'mendorong' orang lain untuk menulis. Terpulang kepada penerimaan khalayak yang disasarkan.

Tetapi jika kata-kata sdr ini ditujukan kepada saya, saya akan kata, "isy, dia ni berleter seperti orang tua zaman dulu-dulu..."

Maksudnya, gunakanlah teknik baru untuk membangkitkan semangat orang yang tidak tahu hendak memulakan penulisannya.

Jadilah pendorong yang ikhlas.

Wassalam.

Ismail Bin Hashim berkata...

Ingatan yang baik kepada mereka yang mengemari bidang penulisan dan seterusnya ingin menghasilkan karya mereka.

Nora Fuad berkata...

As salam,puan anisah..

betul kata puan,dek kerana nantilah,saya hanya berjaya menulis buku pertama saya pada tahun 2009. Padahal bercita-cita menjadi penulis bertahun lamanya.

Related Posts with Thumbnails