Bual Bicara - Dewan Bahasa Mac 2010



"Fikir Sebelum Tulis" di dalam halaman 61 – 65, Majalah Dewan Bahasa Mac 2010

Petikan :

DB: Ada yang menyatakan bahawa bahasa dalam laman sosial, seperti Facebook, ialah bahasa yang digunakan dalam situasi tidak rasmi. Oleh itu, pengguna bebas berinteraksi dengan bahasa dan cara penulisan yang mereka suka. Apakan pandangan puan dalam hal ini?

NH: Dalam laman sosial yang sifatnya terbuka, setiap pilihan kata menjadi cerminan jelas terhadap sikap seseorang kepada sahabat atau kenalannya.

Apabila kita bercakap dengan gaya santai dan penuh dengan singkatan yang tidak baku, kita seolah-olah tidak peduli, sama ada orang yang menerima komen itu memahami atau tidak sesuatu yang kita perkatakan. Kita juga tidak peduli, sama ada orang lain yang turut sama membaca tulisan tersebut mampu memahaminya atau sebaliknya.

Memang benar, dalam laman sosial kita perlu lebih santai dan saya juga menyetujuinya. Walau bagaimanapun, sewaktu menulis dalam bahasa yang santai dengan menggunakan apa-apa sahaja laras bahasa, kita masih lagi membawa diri kita dengan kedudukan yang kita pamerkan kepada pengguna laman sosial ini. Contohnya, sekiranya kita seorang guru, adakah wajar kita bercakap dengan bahasa yang sama larasnya dengan pelajar. Mungkin ada yang akan mengiakannya atas alasan ingin masuk dalam dunia remaja itu, supaya dapat memahami kehendak mereka dan juga dapat saling memahaminya.

Saya juga bersetuju dengan jawapan dan alasan tersebut. Walau bagaimanapun, adakah perlu seorang guru menggadaikan bahasanya semata-mata untuk “menyertai” sikap pelajarnya? Dengan bersikap sedemikian, adakah beliau akan diterima oleh pelajarnya? Bagaimanakah pula sekiranya pelajar berbahasa kasar? Adakah perlu guru itu turut menggunakan bahasa yang sama untuk masuk dalam kelompok pelajar itu supaya mereka sama-sama memahami?

Guru sepatutnya menjadi contoh yang lebih baik kepada pelajarnya. Dia boleh sahaja bersantai tetapi dalam masa yang sama mampu mendidik mereka supaya perlahan-lahan mengamalkan bahasa yang lebih baik, sopan dan sesuai pada tempatnya.

Pada pandangan saya, tidak timbul persoalan merasmikan situasi yang tidak rasmi kerana seandainya orang Melayu tidak boleh berbahasa Melayu dengan baik dan mengamalkan cara penulisan yang “ikut suka”, lama- kelamaan kita semakin alpa dengan bahasa sendiri. Nantinya, usah salahkan sesiapa, jika suatu hari nanti bahasa Melayu akan pupus angkara kita sendiri.

Oleh itu, betulkan yang biasa dan biasakan yang betul!


Dapatkan naskhah anda di kedai-kedai pengedar majalah DBP ataupun terus daripada saya dengan menghantar e-mel: nisah.haron@gmail.com dengan judul "Beli majalah Dewan Bahasa". Harga majalah dan kos penghantaran akan disebut di dalam e-mel tersebut. Terima kasih.

Ulasan

Catatan Popular