Rabu, Mac 17, 2010

Hidup dengan Deadline


Gambar : Bersama-sama mahasiswa/i undang-undang di Moot Court, COLGIS


Saya di UUM, Sintok. Mendapat undangan untuk memberikan ceramah kepada sekumpulan calon penulis. Sebaik-baik sahaja kapal terbang mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Star, saya dijemput wakil pelajar. Saya terus dibawa ke COLGIS - College of Law, Government and International Studies. Terus saya diiring ke Mahkamah Moot.

Bengkel ini sepatutnya bermula pada 12 Mac 2010. Namun, atas kebijaksanaan pengurusan, sesi ini sehari lebih awal; dan mereka mengambil kesempatan untuk saya berbahagi pengalaman menjadi peguam dan penulis kepada para pelajar jurusan undang-undang sebelum bengkel sebenar. Tidak lama. Saya bercakap sekitar 45 - 50 minit. Antara soalan yang popular ialah bagaimana saya menguruskan masa. Mereka tidak dapat membayangkan bagaimana saya menguruskan firma guaman dan masih sempat menulis (ketika saya masih menjadi peguam) dan kini menjadi penulis sepenuh masa dan menguruskan keluarga dan anak-anak. Bagaimana saya masih boleh sempat menulis di celah-celah keriuhan anak-anak?

Jawapan saya mudah.

Hiduplah dengan deadline - tarikh akhir, kata saya.

Gambar : Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (COLGIS)

Mungkin ada kalangan wartawan (yang mungkin membaca catatan ini) berkata, "Aku lagikan hidup dengan deadline. Tak perlulah nak bercakap tentang apa itu deadline."

Ya, hidup dengan deadline. Saya tetap mempertahankannya. Jika saya tidak hidup dengan deadline, pasti banyak tugas saya yang tidak selesai.

Deadline bukanlah untuk membunuh ataupun mendera diri sendiri. Deadline ialah suatu peringatan kepada tugas yang mesti disudahkan. Deadline ialah kaedah mendisiplinkan diri. Menepati deadline juga satu daripada amanah.

Deadline itu juga haruslah praktikal lagi munasabah. Jangan membuat deadline yang tidak terjangkau. Deadline juga haruslah spesifik. Misalnya, katakan anda bercadang untuk menulis novel.

Bila anda mahu siapkan novel itu?

Satu tahun? Enam bulan? Tiga bulan?

Ok, itu deadline jangka panjang. Katakanlah anda pilih satu tahun. Untuk menyiapkan novel itu, deadline satu tahun tidak cukup spesifik. Dalam setahun ada 12 bulan. Dalam sebulan itu, berapa bab yang boleh disasarkan untuk siap?

Satu bab? Dua bab? atau kalau mungkin lebih produktif anda mampu menyiapkan 4 bab sebulan. Ini bererti anggaran penulisan itu ialah satu minggu satu bab. Munasabahkah? Jika ya, teruskan.

Oleh sebab anda mahu menulis satu minggu satu bab, di dalam satu hari berapa pula jam yang mungkin anda mampu peruntukkan untuk menangani setiap bab. Akhirnya nanti, anda akan lihat, di dalam tempoh satu jam berapa banyak sebenarnya yang anda mampu menulis.

Di dalam entri yang lepas saya ada tunjukkan satu jadual menulis. Tidak semestinya ikut jadual itu. Itu sekadar cadangan daripada saya. Setiap penulis pasti ada perancangan penulisan yang munasabah baginya. Kata kuncinya di sini ialah munasabah. Jika tidak munasabah, jiwa kita akan menolaknya.

Akhirnya nanti, anda akan lihat sendiri di dalam tempoh 15 minit, misalnya, berapa banyak yang mampu anda tulis jika tempoh 15 minit itu digunakan secara optimum. Apa yang boleh ditulis dengan masa 15 minit?, anda mungkin bertanya. Ya, 15 minit itu nampaknya pendek. Namun, bukankah masa itu sifatnya relatif. Bukan masa yang panjang atau pendek yang menentukan kita mampu menyelesaikan sesuatu perkara. Yang penting, satu tugasan itu dapat diselesaikan.

Apabila masa yang dilihat panjang ataupun tugasan yang kelihatan besar dipecah-pecahkan kepada saiz yang lebih munasabah untuk ditangani, anda akan lihat sendiri betapa tidak sukar untuk menguruskan masa dan juga amanah (tidak semestinya dalam penulisan sahaja). Memaksa diri menyudahkan satu perkara yang sepatutnya dibuat dalam tempoh 2 minggu tetapi disudahkan dalam masa 2 jam, tidak menjadikan kita lebih matang di dalam pengurusan masa.

Hidup dengan deadline.

Setiap hari, saya harus menjadi ibu, isteri, penulis. Itu yang hakiki. itu belum masuk permintaan-permintaan ad hoc, misalnya, beri ceramah, layan tetamu/pelanggan yang mahu beli buku (sama ada yang datang sendiri ataupun melalui panggilan telefon). Membantu pengurusan Ujana Ilmu juga sebahagian daripada tugas yang tidak boleh diketepikan. Anak-anak yang masih kecil tentulah menambah lagi tugas-tugas ad hoc. Hati memang boleh cepat jadi baran jika diri tidak dapat dikawal.

Namun, saya hidup dengan deadline yang munasabah. Tidak guna kita terlalu ambitious dalam melakukan kerja tetapi akhirnya satu pun tidak berjaya. Oleh itu, bahagikan masa 24 jam itu kepada jumlah-jumlah kecil. Tanyalah kepada diri sendiri, bagaimana mungkin anda memanfaatkan setiap saat yang ada. Lebih sibuk jadual anda, saya percaya, banyak masa yang boleh dicuplik. Paling penting, elakkan kerja bertangguh. Lakukan apa yang boleh dilakukan pada hari ini, sekarang. Bukan sebentar lagi, kerana kita tidak tahu apakah tugas-tugas ad hoc yang akan sampai. Paling tidak pun, nanti ada kawan yang singgah untuk ajak minum. Hendak ditolak tak sampai hati. Jadi, kita pun layan sebentar, sedangkan masa terus berlalu dan tidak pernah sedetik pun menunggu sesiapa.

6 ulasan:

FaizNazim berkata...

Wah, macam seronok je. Deadline ye? Hurm, idea yang ada dalam otak tapi tak pakai pun sebab malas. Mungkin tu lah sebabnya tak pernah nak siap apa-apa pun kot? XP

nur hanis berkata...

Assalamualaikum saudari Nisah..Salam Ukhuwah..menarik juga idea ni..akan diusahakan...:)

Ulfa Nur berkata...

Puan Nisah,
Memang betul disiplin menjadikan hidup kita lebih terurus. Inilah yang sering gagal saya lakukan. Tetapi sedang mencuba mengikut deadline perlahan-lahan... alhamdulillah, ada peningkatan.
Terima kasih atas artikel yang berguna ini.

mZm berkata...

Puan Nisah,

Lakaran tinta ini mengingatkan saya tentang 'deadline' cerpen untuk majalah Usahawan (saya). Adakah sudah sampai masa yang dijanjikan?
-Maaf kalau tersilap. :)

Nisah Haji Haron berkata...

MzM,
Ooops, buzzer deadline saya sudah berbunyi. Terima kasih atas friendly remninder ini. Insya-Allah, akan dikirimkan pada penghujung Mac ini. Begitu, kan deadlinenya?

Ziela_Zie berkata...

Salam puan, hidup dengan 'deadline'memang satu cabaran. Kalau puan dengan 'deadline' menulis, kami pula dengan 'deadline' assignment.

Related Posts with Thumbnails