Buku-buku sempena


Syukur. Allah masih memberi nafas pada hari lahir. Ertinya masih ada tujuan hidup yang belum lengkap. Harus terus menulis!

Ada rasa gembira dan girang yang luar biasa. Lebih kurang sebulan yang lalu ada memesan buku-buku dari Amazon.com. Menurut e-melnya, ada buku yang akan tiba lambat. Oleh itu, pesanan akan dibahagi kepada 2. Pesanan dijangka sampai pada penghujung April atau awal Mei.

Tidak sangka pula buku-buku ini sampai 4 hari sebelum hari lahir. Kedua-dua pesanan yang terbahagi itu sampai serentak. Lalu sempena hari istimewa untuk diri sendiri buku-buku itu langsung menjadi hadiah sempena tarikh berkenaan dengan iringan doa supaya Allah kurniakan kekuatan dan ketabahan untuk menerima setiap cabaran menulis yang Allah sediakan.

Kemudahan teknologi telah membolehkan buku 'diselak' secara maya, dipesan secara online. Saya amat suka dengan kemudahan ini. Banyak buku tentang penulisan yang telah saya pesan sama ada dari Amazon.com atau Writer's Digest Shop. Di Malaysia, penulis tempat masih lagi kurang dalam menghasilkan buku-buku tentang penulisan ataupun buku-tentang-buku. Moga mereka yang berkenaan cepat dan segeralah menulis di dalam Bahasa Melayu. Ruang ini masih kosong.

Buku-buku yang dipesan kali ini ialah :
  • If You Want To Write - A book about Art, Independence and Spirit (Brenda Ueland)
  • The Writer's Idea Book (Jack Heffron)
  • The Writer's Digest Guide to Science Fiction and Fantasy (Orson Scott Card, et al) - Introduction from Terry Brooks
  • The Library : An Illustrated History (Stuart A. P. Murray)

Buku yang sudah lama diidamkan ialah The WD Guide to Science Fiction and Fantasy. Bukannya tidak boleh menulis fantasi, namun saya percaya tempoh belajar memang tidak pernah tamat. Apabila menerima buku, terkasima dengan bentuk buku yang di luar konvensional. Suatu pembaharuan! Terasa mendapat bonus berganda apabila buku ini sampai. (lihat gambar di sebelah).

Bentuknya semacam diari, ada ring binder, ada tab yang membahagikan dua segmen :

a) How to write Science Fiction & Fantasy;
b) The Writer's Complete Fantasy Reference

Di dalamnya terkandung bukan sahaja panduan-panduan penulisan tetapi rujukan lengkap bagi sesiapa yang meminati penulisan fantasi dan juga fiksyen sains. Oleh sebab penulisnya dari Barat, tentulah rujukan dibuat tentang gaya fantasi barat, misalnya tentang Anatomy of a Castle (lakaran bentuk istana di Eropah kuno) atau pun Dress and Costume (pakaian fantasi yang berpaksikan tamadun lama di Barat, dan sedikit di Asia Tengah dan Timur Tengah).

Ini suatu cabaran kepada penulis fantasi Melayu yang mahu mengetengahkan nuansa melayu dalam penulisan kreatif. Tulisan di dalam buku ini memang banyak membantu daripada aspek penulisan. Selebihnya terpulanglah kepada kita untuk menyesuaikan di dalam kerangka acuan kita sendiri. Penulisan fantasi jika tidak berhati-hati dan terlalu berpaksikan kepada Barat boleh menyalahi akidah dan menjadi syirik.

David Eddings, misalnya (sekadar memilih satu nama) di dalam The Belgariad Series (dan seterusnya dalam The Mallorean, Belgarath the Sorcerer, Polgara the Sorceress) mewujudkan ada banyak 'tuhan' yang bersifat seperti manusia dan tidak sempurna. 'Tuhan' di dalam novel-novelnya digambarkan bertingkah antara satu sama lain, ada yang bersekongkol dan ada yang menyendiri tanpa mempedulikan penganutnya.

Ya, saya baca semua itu dulu sewaktu usia yang masih remaja, namun paksi agama saya yang telah dipasak oleh keluarga, sekolah agama dan nilai-nilai yang tertanam tidak sama sekali menggoyah akidah saya ketika membacanya. Saya anggap semua itu sebagai cerita yang menghiburkan, mencabar daya pembacaan saya dan membenarkan saya membuat perbandingan agama (dengan daya fikir yang masih remaja - saya mengikuti siri novel ini ketika di tingkatan 5).

Ekoran daripada itu saya menulis banyak cerpen fantasi dan masih mengingati pesanan mentor Almarhum Dr. Haji Othman Puteh : menulis fantasi itu jangan ada kuasa yang mengatasi kuasa Allah Taala. Ertinya, jangan sampai boleh syirik. Amanat itu saya pegang sehingga hari ini dan saya masih boleh 'layan' apa jenis karya fantasi.

Buku The Library saya pilih kerana ada ilustrasi dan gambar bagi menerangkan sejarah perpustakaan. Ini penting dan satu yang mesti dibaca oleh 'penggila buku'. Ini buku rujukan penting untuk suatu projek penulisan yang sedang berjalan. Lantas, saya tiada alasan lagi. Buku yang sedang diusahakan itu mesti terus disiapkan. (Nota kepada diri!)

Buku-buku yang lain itu memang sudah berada di dalam wish-list tetapi masih tidak cukup alasan untuk memesannya. Jadi, setelah memesan 2 buah buku utama, yang lain ini terpilih di kalangan puluhan buku di dalam wish list. Yang lain tunggu dulu. Jika ada kelapangan dari segi kewangan dan rezeki akan sampailah giliran yang lain itu.

Rasa bahagia yang berganda-ganda. Sepanjang hari menerima buku-buku tersebut sehinggalah ketika menulis catatan ini masih lagi terasa bahagianya. Hanya pencinta buku sahaja yang faham perasaan saya. Buku-buku ini semacam ganjaran untuk saya sudahkan beberapa tulisan dan hanya akan dibaca setelah berjaya disudahkan dan bacaan buku yang sedang dijadualkan. (Ada buku yang mesti dihabiskan dahulu kerana ada pihak menunggu).

Ah, alangkah sukarnya membiarkan buku-buku itu sepi di atas meja. Apatah lagi, setiap kali mereka menjeling-jeling manja mengajak saya menyentuh, mengelus, membuka dan langsung masuk terpesona dan bermain-main di halamannya...

Ulasan

Bunnybaby berkata…
Salam.

Selamat hari lahir! Semoga Allah mempermudahkan urusan kehidupan puan dan menyempurnakannya dengan penuh kebajikan.
Salam,

Selamat Hari Lahir puan!

Entri puan ini membuatkan saya sungguh cemburu terutama apabila membaca ulasan puan tentang buku The Library, An Illustrated History.

Nampaknya saya harus mendapatkan buku itu juga.
Putri Lily berkata…
Salam Puan Nisah yang dihormati,

Selamat ulang tahun. Semoga diberi kesihatan yang baik supaya dapat terus menikmati kehidupan yang cukup sempurna dan ceria. Serta tambah sukses.

Paling penting supaya dapat terus memberi tunjuk ajar beguna kepada penulis baru seperti saya. :)

Terima kasih.
Kamariah Kamarudin berkata…
salam hari lahir Nisah; didoakan panjang umur, dimurahkan rezeki, diberikan kesihatan yang baik dan dianugerah keberkatan dalam kehidupan oleh Allah SWT. dan selamat bermesra dengan buku-buku istimewa sebagai hadiah diri yang paling berharga!
Tinta Mustika berkata…
Selamat Ulang Tahun...(biarpun terlewat mengatakannya!)......

Moga Allah berkati usaha Puan Nisa...terima kasih sekali lagi atas ilmu yang dicurahkan semasa Bengkel AVA 11 April lalu.

Geramnya tengok buku tu!...

~Mazni~
A.Z. Haida berkata…
Selamat hari lahir (sedikit terlewat) - semoga dirahmati, diberkati dalam segala apa yang diusahakan dan dilindungi Allah sentiasa.

Entri-entri di sini banyak memberi inspirasi - insya Allah saya akan cuba memberi minat+usaha+kesungguhan untuk hasilkan sesuatu :-)
fadz berkata…
tgk saje buku tebal tu, rasa gelabah pulak nak berbengkel nanti.. opsss
Nisah Haji Haron berkata…
Salam dan terima kasih semuanya atas ucapan.

Fadz, I will bring the book so that you could have a look. I'm more interested on what you have to say. Really, the book may have something to say, but our experience and our approach towards fantasy writing varies. That is why the meeting in June would be quite an enriching experience.
Unknown berkata…
Selamat hari lahir puan :).
Moga terus diberikan kesihatan dan idea untuk terus berkarya memandaikan bangsa :)

Catatan Popular