Menulis : Serius atau suka-suka?

Setelah banyak kali diberi peluang membimbing bengkel-bengkel penulisan, saya temui beberapa kelompok calon penulis.

minat - usaha = tiada hasil

minat + usaha = ada hasil

minat + usaha + kesungguhan = hasil yang luar biasa!


Kumpulan I


Mereka yang datang hanya kerana minat akan datang dengan dialog seperti :

"Saya memang hendak menulis, tetapi tak ada masa."
"Saya teringin hendak menulis, tetapi ..... (tempat kosong ini boleh diisi dengan pelbagai alasan).

Hipotesis saya : selagi alasan itu boleh diisi, selagi itulah tiada ruang untuk menulis. Selagi beralasan dan selagi anda fikirkan bahawa alasan itu sungguh-sungguh konkrit (ertinya, anda memang ada alasan yang sah untuk mengatakan bahawa anda tidak ada masa yang cukup untuk menulis) memang anda bukanlah dilahirkan untuk menulis. Jika anda memang akan jadi penulis, datanglah alasan sebesar mana pun, anda tetap akan cari (kalau perlu curi) masa untuk menulis.

Pada saya mahu atau tidak mahu menulis ialah mind-set. Apa yang kita arahkan kepada fikiran. Jika kita sungguh-sungguh percaya kita tidak ada masa untuk menulis memanglah kita tidak ada masa. Demikianlah sebaliknya.


Kumpulan II

Mereka ini datang ke bengkel kerana cukup berminat dan sentiasa belajar untuk memperbaiki cara menulis. Tidak semestinya dengan masuk bengkel sahaja (masuk banyak bengkel tetapi akhirnya tidak menulis pun tak jadi juga), mereka ini akan sentiasa cari peluang untuk memajukan dirinya. Antaranya, banyak membaca buku, banyak bertanya (bijak bertanya - ini pula satu kemahiran lain), dan akhirnya berani mencuba.

Kumpulan ini juga, ramai yang tewas. Setelah beberapa kali mencuba dan gagal menembusi media, mereka ini akan memberitahu diri sendiri "Saya memang tidak boleh menulis, walau macam mana pun usaha saya. Saya sudah buktikan, saya sudah lakukan semuanya tetapi masih lagi tidak berjaya."

O.k. Saya mahu berbahagi cerita tentang bagaimana saya bermula. Saya mula menulis semasa di tingkatan tiga. Sepanjang tingkatan empat (yang dikatakan zaman 'bulan madu' itu) saya menulis dan menghantar karya. Buku panduan saya hanyalah tulisan Dr. Othman Puteh "Persediaan Menulis Cerpen". Hafal dari kulit-ke-kulit. Baca setiap cerpen yang terbit di dalam Dewan Siswa dan tidak putus asa mengirim cerpen.

Sepanjang tingkatan 4, tidak kurang 10 buah cerpen saya hantar.

Satu pun TIDAK TERSIAR!

Bayangkan jika saya berhenti setakat itu. Barangkali, anda akan baca blog yang lain benar isinya.


Kumpulan III

Kumpulan terakhir ini ialah mereka yang dipanggil willing to go the extra mile. Sanggup berusaha lebih sedikit daripada Kumpulan II. Bukan setakat tidak beralasan, mereka ini tidak putus asa malah menolak apa sahaja yang menjadi penghalang kepada kejayaan. Setiap batu yang tersengkang di tengah perjalanan penulisan itu tidak dianggap halangan, sebaliknya dianggap sebagai cabaran atau lebih baik lagi dianggap sebagai peluang.

Ada calon peserta bengkel yang merungut kerana lokasi bengkel yang saya adakan agak jauh. Ini dianggap penghalang. Kalau saya inilah cabaran dan peluang. Cabaran kerana saya harus atasi masalah logistik dan perjalanan. Peluang kerana inilah peluang untuk saya kembara mencari ilmu.

Tiada ilmu yang akan datang ke lutut melainkan kita yang membawa lutut kita sendiri ke tempat ilmu itu. Saya membayar harga yang mahal (bukan sahaja dari sudut kewangan) untuk mencari ilmu penulisan. Saya akan berkejar ke sana ke mari jika terdengar ada bengkel yang boleh saya manfaatkan untuk memajukan diri. Dalam keadaan berkeluarga sekarang ini, bukan setakat kewangan yang boleh menjadi penghalang tetapi cabarannya ialah untuk mengatur keluarga dan menantikan senyuman keizinan suami juga. Jika sudah bergelar isteri nanti (apatah lagi ibu), anda akan tahu betapa susah-senang untuk kembara mencari ilmu.

Peribadi, saya kagum dengan beberapa peserta bengkel yang sanggup datang dari jauh untuk belajar. Saya masih ingat bagaimana Nasriah Abdul Salam, ketika itu pelajar UIA, naik bas dari Kelantan pada waktu malam dan sampai subuh di Seremban. Saya kagum dengan Putri Lily yang datang ke Kuala Lumpur dari Singapura kerana katanya di Singapura sukar mendapat bengkel-bengkel seperti di Malaysia. Saya juga terlebih kagum dengan Kak Water Lily dan Anne Kasih yang terpaksa berusaha lebih dalam penulisan dan juga untuk menghadirkan diri ke bengkel. Mereka berdua sukar berjalan dan ada masalah ketika bertutur. Namun, semua itu tidak sama sekali menghalang kedua-duanya. Kak Water Lily menggagahi naik turun komuter dan LRT untuk sampai ke tempat bengkel dan pulang. Terpaksa melawan panahan mata manusia-manusia yang kononnya sempurna fizikal tetapi kurang sempurna akal. Tidak dapat tempat duduk di ruang OKU yang disediakan. Anne Kasih pula bertuah kerana ditemani ibu sepanjang hari yang setia menunggu di luar.

Perhatikan pengorbanan mereka ini. These are the under privilege extraordinary people (need I say, women?) who are willing to take extra miles in order to achieve whatever they have in mind.

Lalu, fikirkan semula. Adakah anda penulis yang serius mahu belajar menulis atau pun 'kalau-saya-jadi-penulis-maka-jadilah-kalau-tak-pun-tak-mengapa."

Ulasan

WZWY berkata…
Alhamdulillah, dua kursus puan telah saya hadiri. Berbekalkan semangat untuk menulis maka tercapai juga hasrat memiliki hasil karya sendiri. Selepas kursus kedua bersama puan di GISB serta komen yang telah diberikan, manuskrip kedua sedang ditulis.

Jika boleh dikongsi, LIMA langkah yang sudah dan sedang dilakukan oleh saya ialah :

1-Menetapkan Matlamat
2-Menghasilkan Keazaman Membara
3-Perancangan
4-Bertindak
5-Peliharalah Keazaman Membara Agar Ia Kekal Hidup.

Kelima-lima perkara di atas sama penting dan perlu dilalui jika ingin mencapai apa jua yang dicitakan.

Wallahualam.

Baru bertatih...
Rusdi Abd Rahman berkata…
Pn. Nisah,
Terima kasih kerana dapat hadir ke Seminar Puisi Melayu Tradsional dan Malam Gema Puisi Tradisional pada 14 April 2010 di IPGKPMM, Durian Daun, Melaka.
Sekadar makluman, pengurusan undangan dan hal-hal dalaman dua program ini diatur sepenuhnya oleh pihak IPGKPMM, mohon maaf jika ada serba kekurangan dalam pengendalian dua program ini ya...
Terima kasih.
Nisah Haji Haron berkata…
Sdr Zayu Hisham,
Terima kasih kerana sudi berkongsi 5 langkah itu. Teruskan usaha sdr. Saya percaya sdr akan pergi jauh.

Encik Rusdi,
Saya juga berterima kasih kerana mendapat koleksi lengkap kertas-kertas kerja. Saya juga seronok mendengar persembahan pada sebelah malamnya. Pertama kali mendengar Burdah dan kali kedua mendengar Rejang.

Hamba Ilahi,
Ya, hidup itu adakala perlu serius dan sesekali perlu bersantai. Terus berjuang!
Saya lebih kagum dengan Pn Nisah. Masih mahu belajar birpun sudah punya pelajar
Nisah Haji Haron berkata…
Norziati,
Belajar selagi boleh belajar. Walaupun sudah ada pelajar, itu bukan bermakna saya sudah cukup pandai. :-)

Insya-Allah, akan masuk semula ke sebuah institusi Julai nanti untuk sambung belajar. Rindu untuk kembali ke ruang sunyi perpustakaan dan riuh rendah diskusi ilmiah.
hakiem bahaman berkata…
Assalamualaikum Kak Nisah,

Saya terfikirkan konsep "show, dont tell". Apakah konsep yang sama juga dipakai dalam penulisan puisi?
Kalau ya, boleh berikan saya contoh?

Terima kasih,

hakim
Nisah Haji Haron berkata…
Hakim,

Cuba cari buku ini: "Mendekati Seni Penulisan Kreatif" oleh Dr. Lim Swee Tin (Citra Kurnia, 2008) - Maaf, Ujana Ilmu tiada buku ini.

Namun, saya suka sebuah puisi Dr. Lim yang memberikan contoh "show, don't tell" kerana dalam puisi jika banyak "telling" akan menjadi terlalu prosaik sifatnya.



sebuah pelabuhan
kapal yang berbangkat
langit berwarna senja
seorang gadis
rambutnya berombak dibuai angin

seorang pelaut
menuju samudera
hamparan biru
seorang gadis
hatinya tertusuk pilu

pelabuhan telah sepi
kekasih telah pergi
seorang gadis
menanti saat pulangnya
masih setia dan hatinya berbunga cinta.



Di dalam puisi, harus banyak guna simbol dan perlambangan. Yang nak disampaikan langsung tidak ada kena mengena dengan kapal, pelabuhan atau laut. Ini kisah orang bercinta yang terpisah dan tak semestinya perpisahan itu kerana teman lelakinya masuk jadi tentera laut bukan.

Perasaan perempuan itu juga tidak diberitahu cuma ditunjukkan dengan "rambutnya berombak dibuai angin" dan "hatinya tertusuk pilu" "hatinya berbunga cinta"

Dan selebihnya, Hakim tentu boleh menafsirkan beberapa simbol di dalam puisi itu.

Selamat menyelongkar makna!

Catatan Popular