Catatan di Ranah Minang - 1


Undangan ke Padang dan Bukittinggi, Sumatera saya penuhi pada minggu lepas. Inilah ujaan yang entah kali ke berapa untuk ke Ranah Minang. Namun, seru sebelum itu semuanya belum cukup kuat untuk saya tempah tiket AirAsia. (Tiada penerbangan lain yang mengadakan direct flight ke Padang dari KL kecuali AirAsia).

Bersama seorang sahabat, saya pergi dengan fikiran yang kosong. Tiada apa-apa langsung yang saya harapkan. Saya tidak tahu pun apa yang mahu diharapkan. Ini tanah leluhur saya. Sayang sekali, saya tidak tahu setepatnya di manakah kampung asal mereka. Apakah di Payakumbuh, atau Batusangkar? Kalau ya, di kampung yang mana satukah tempat asal nenek moyang saya itu.Lantas, sebelum Subuh sudah menuju LCCT. Kami menyempurnakan urusan dengan Tuhan di sana. Masih sempat bersarapan setelah mendaftar masuk bagasi kerana penerbangan AK 470 dijadualkan berlepas pada 7.50 pagi.

Selamat tinggal Kuala Lumpur.

Sengaja kami tempah tempat duduk di tepi tingkap (6A untuk saya dan 7A untuk sahabat saya) supaya dapat menikmati pemandangan dari udara dan mengambil gambar sebanyak-banyaknya dari jendela kecil kapal terbang. Sanggup duduk secara berasingan kerana dia bercinta dengan Nikon D80 sementara saya harus berpuas hati dengan Si Lumix kecil (FS15) yang turut banyak berjasa merakam sebahagian daripada sejarah hidup saya!

Masya-Allah, pemandangan berada lebih tinggi daripada puncak gunung ini benar-benar luar biasa. Indahnya tidak tergambar dengan kata-kata, malah tidak ada kamera yang boleh merakamkan seperti mana yang dilihat oleh mata sendiri.
Di tengah-tengah hutan belantara dan gunung-ganang, tiba-tiba terbentang luas sebuah tasik yang mengisi lurahnya.

Menurut sumber, ini ialah Danau Singgarak - tapi saya tidak pasti, mungkin juga inilah Danau Maninjau yang tidak kurang terkenal itu. Jika ya, ini Danau Maninjau, saya jadi tidak sabar untuk menjejakinya pada hari esok. Ini janji sahabat saya yang menunggu ketibaan kami di Bandar Udara Internasional Minangkabau.

Kapal terbang membuat pusingan sebelum membuat pendaratan. Lalu menjadikan kami tidak putus-putus menekan punat D80 dan Lumix FS15. Laut, pulau, langit, gunung-ganang dan kehijauan yang bersatu menjadikan kami tidak putus-putus juga memuji nama Tuhan. Ketika pesawat usai menyudahkan pusingan di atas pantai Lautan Hindi itu, ia kembali ke daratan lalu mencecah rodanya di landasan.
Satu yang paling terkesan pada saat pesawat ini mendarat ialah bentuk bangunan Bandara Internasional Minangkabau yang salin tak tumpah bangunan Kompleks Mahkamah Seremban di Seremban 2.




Ketika melafazkan syukur kepada Allah kerana pendaratan yang selamat ini, saya sungguh teruja melihat Ranah Minang yang baru sahaja diuji Tuhan dengan gempa bumi pada tanggal 30 September 2009. Saya tidak tahu apa yang bakal saya lihat. Masih tidak jelas apa perasaan saya ketika pertama kali memijak tanah yang pernah menjadi tempat asal leluhur kami berdua.

Separuh perasaan saya terasa seperti tetamu, sebahagian lagi terasa seperti saya pulang ke kampung halaman.


Kredit foto : Nisah Haron

Ulasan

Kampung yang tak pernah saya jejaki.. Insya-Allah suatu hari nanti anak Minang ini akan pulang juga ke sana..
Mawar berkata…
Nis,
pengalaman ini saya lalui ketika tiba di Padang pada 1996. ya lama dulu. kenangan itu kerap muncul dan sangat mahu bertamu waktu saya menulis "Sedang Malaikat Berdoa". akhirnya den bertemu anak Minang juo... :-)
sinaganaga berkata…
>>sementara saya harus berpuas hati dengan Si Lumix kecil (FS15)

Lumix memang hip wo!
Nisah Haji Haron berkata…
Hanis,
Insya-Allah, akan sampai 'seru' untuk menjejakkan kakimu di sana. Saya ambil masa bertahun-tahun bermimpi untuk sampai ke sana.

Mawar,
Ya, tempat ini sungguh menginspirasikan. Insya-Allah, akan ada karya yang sedang ditukangi di dalam kepala.

Naga,
Lumix saya tidak pernah mengecewakan! Tapi, nak lawan DSLR, tak terdayo!

Catatan Popular