Rabu, Julai 21, 2010

Kamera sebagai A.B.M.

Gambar : Pasar Rakyat Lahad Datu (Kredit foto : Nisah Haron)

Jika sedikit masa dahulu telefon bimbit sudah menjadi suatu keperluan dan kemudahan wajib dan bukan lagi sesuatu yang melambangkan kemewahan, kini kamera digital telah memudahkan kerja-kerja mengambil gambar. Kita tidak lagi perlu menghabiskan filem, mencuci filem dan menunggu gambar siap dicetak.

Apatah lagi, kebanyakan telefon bimbit sudah mempunyai aplikasi kamera yang disepadukan dengan alat komunikasi itu. Erti komunikasi dengan telefon juga sudah berubah dari sekadar mendengar suara, sudah boleh berhubung secara video dan bertukar-tukar gambar; lain berhubung melalui mesej bertulis.

Semua ini telah menjadikan aktiviti menulis sebagai sesuatu yang amat memudahkan. Apakah kaitan telefon, kamera dan penulisan?

Saya panggil kamera ini sebagai Alat Bantu Menulis (A.B.M.)

Gambar : Sungai yang berlingkar-lingkar bagi dilukis. Foto dari udara ketika dalam penerbangan dari KK ke Lahad Datu, menaiki MasWings (Kredit foto : Nisah Haron)

Setiap orang ada matlamat tersendiri mengapa dia memiliki sebuah kamera. Ada antara kita yang suka mengambil gambar sendiri sebagai satu bentuk dokumentasi. Ya, ini memang bagus. Rekod ini jika disimpan akan menjadi sangat berharga pada masa hadapan, khasnya untuk ditunjukkan kepada anak cucu.
Namun, pemilik kamera tegar, lebih mementing subjek yang dirakam di dalam kameranya. Jurugambar biasanya teliti dalam 'mengarang' subjek dengan memilik objek tertentu dan jika boleh biarlah gambar itu mampu 'bercerita' kepada sesiapa sahaja yang melihatnya. Kemampuan ini memerlukan kemahiran.

Pada saya secara peribadi pula, kamera saya juga dipenuhi dengan banyak gambar perkara lain selain dari diri saya sebagai subjek. Gambar saya sendirilah yang paling tidak banyak di dalam kamera saya sendiri. Kamera saya ini menjadi barang yang sentiasa mengikut saya ke mana-mana selain barang-barang peribadi dan telefon bimbit itu sendiri.

Gambar : Sotong bakar di pasar malam Lahad Datu (Kredit foto : Nisah Haron)

Mengambil gambar dan kemudian menyimpan gambar itu dengan cara supaya ia mudah dicari semula, akan membantu dalam hal-hal penulisan :

1. gambar itu sendiri sudah menjadi latar cerita / latar subjek penulisan (bagi penulisan bukan kreatif)
2. melatih diri :
  • menghasilkan komposisi gambar yang baik (secara tidak langsung)
  • melihat sesuatu perkara dengan terperinci
Hal ini tentunya menjadi sangat membantu kepada sesiapa yang tidak biasa membuat lakaran (sketching). Kepada yang ada kemahiran ini, melakar sesuatu sebelum menulis juga boleh membina visual yang dikehendaki untuk sesebuah tulisan. Pun, kamera lebih pantas merakam daripada melakar sendiri. Ada masanya kejadian yang berlaku itu detiknya amat berharga, ia harus dirakam pada ketika itu juga. Lantas, di sinilah peranan kamera digital tadi.

Gambar : Satu-satunya kedai buku yang ditemui Lahad Datu, berhadapan Hotel Grace. Lebih kedai majalah, akhbar dan alat tulis (Kredit foto : Nisah Haron)

Lantas, di dalam banyak keadaan dan dalam keadaan kini saya aktif ke beberapa tempat, walaupun sekitar Malaysia atau paling tidak sekitar lokaliti saya, saya tetap mengambil gambar sebagai A.B.M.

Bagi sesiapa yang biasa menulis blog, tentulah hal ini bukan sesuatu yang luar biasa. Namun, jika boleh gambar yang dimuat naik ke blog itu biarlah kita dapat kenal pasti hak ciptanya. Jika kamera sendiri tentulah tidak menjadi hal. Namun, eloklah dimaklumkan bahawa kitalah pemilik hak cipta karya itu supaya karya itu tidak mudah 'diculik' dan dimuat naik di tempat lain.

Setakat ini, Si Lumix kecil saya belum pernah mengecewakan. Jika ada imej yang kabur atau tidak menarik itu bukanlah salah dia, tetapi salah saya sendiri yang gagal menggunakan mode yang sesuai untuk subjek yang dipilih.

Kredit gambar kamera di sini.

Lantas, jika kita tidak ada kemudahan kamera digital pula, jangan jadikan itu sebagai alasan untuk tidak menulis. Anda masih lagi boleh menggunakan bantuan visual ini melalui gambar-gambar yang boleh didapati di mana-mana sahaja, termasuklah majalah, akhbar dan internet.

Peranan gambar ini bukan sahaja terhad kepada latar cerita tetapi gambar juga boleh dijadikan sebagai rujukan kepada watak yang dicipta. Sebagai contoh, apa salahnya watak yang kita gambarkan itu mempunyai ciri-ciri fizikal Siti Nurhaliza. Kita hanya meminjam ciri-ciri luaran sedangkan untuk ciri-ciri dalaman, kita gunakan sifat sahabat kita yang kita kenali. Gabungan dua imej ini bakal menghasilkan satu watak. Usah gambarkan watak itu 'cantik seperti Siti Nurhaliza' - itu kerja orang malas. Gambarkan kecantikannya. Dalam masa yang sama, sebagai pengarang kita tahu bahawa pada ketika itu, kita sedang menulis deskripsi Siti Nurhaliza.

Mudah, bukan? Nah, ini suatu cadangan kepada sesiapa sahaja yang terkekang apabila mahu menggambarkan watak-watak ciptaannya.

2 ulasan:

Jejaka Desa berkata...

Koi minat mat ngambik2 gambor ni.Tapi orang ngambik gambor koi ter koi kurang sikit kecuali mase2 penting je.

Ahmad Nawawi Yaakob berkata...

Kamera saya menggabungkan manusia dan alam..

Related Posts with Thumbnails