Menulis Sebagai Sumber Rezeki

Saya seringkali ditanya tentang mengapa bertukar kerjaya. Benarkah menjadi penulis itu boleh hidup, sehingga saya tinggalkan kerjaya peguam yang dikatakan lebih menjanjikan dan mempunyai masa depan yang sungguh cerah.

Ramai juga yang terlupa bahawa saya menulis bukanlah kerana mahu menjadi kaya. Rezeki itu di tangan Allah tetapi jika kita berusaha bersungguh-sungguh, insya-Allah, Tuhan tidak akan menghampakan malah memberikan ganjaran atas apa yang telah diusahakan. Kerja menulis ialah kerja, ertinya, tiada siapa mengatakan bahawa kerja menulis itu lebih mudah daripada menjadi peguam ataupun apa-apa kerjaya yang lain.

Kerja menulis memberikan bukan sahaja pulangan kewangan, bahkan pulangan dari sisi lain seperti kepuasan dan rasa bahagia apabila pembaca memberikan pelbagai respons kepada apa yang telah kita hasilkan. Jika kita menghasilkan sesuatu yang sungguh-sungguh bermanfaat, tulisan kita itu tetap diperkatakan walaupun setelah kita meninggal dunia. Urusan pahala bukanlah urusan kita, namun Allah itu Maha Adil lagi Berkuasa.

Menjadi penulis sepenuh masa, haruslah berstrategi. Jika anda tidak jelas dengan strategi dan keadah untuk menjadikan penulisan sebagai kerjaya, simpan dulu surat atau e-mel untuk meletak jawatan yang sudah dikarang. Jika baru menulis satu novel, belum ada nama pula, royaltinya bukannya dapat segera. Ertinya, hari ini kirim manuskrip, esok sudah dapat cek pertama. Penerbitan ada proses yang tersendiri yang harus difahami.

Menulis itu seni, tetapi penerbitan ialah bisnes.

Kita harus fahami konsep penerbitan terlebih dahulu, sebelum ghairah meletakkan jawatan dan mahu menjadi penulis sepenuh masa dan seterusnya mahu menerbitkan karya sendiri. Penulis atau calon penulis seringkali keliru dengan fakta berikut :

Royalti pengarang : 10% (contoh)

Oleh itu, penerbit mendapat 90%.

Jika pengarang menerbitkan sendiri, untungnya 100%.

Maaf, ya. Ini suatu falasi!

Benar, jika 10% royalti untuk pengarang, penerbit memiliki bakinya. Namun, baki itu bukanlah suatu jumlah yang bersih. 90% itu harus biasanya dibahagi 2 : 45% pergi kepada pengurusan dan diskaun untuk pengedar (bergantung kepada jenis pengedar) dan 45% lagi pergi kepada pengurusan penerbit, termasuklah bayaran gaji, sewa kedai dan lain-lain.

Menurut beberapa penerbit yang saya temui, biasanya bagi setiap buku, penulis dapat nilai wang yang lebih tinggi daripada penerbit. Ertinya, bagi setiap buku, jika 10% royalti pengarang, penerbit hanya dapat suatu jumlah kurang daripada 10%. Penerbit hanya boleh untung jika menerbitkan lebih daripada sebuah buku. Itulah yang dilakukan oleh syarikat-syarikat besar. Keuntungan mereka menaik apabila buku berkenaan dicetak ulang.

Kembali kepada penulis : jika mahu 'kaya' sebagai penulis, untuk tahap permulaan - menulis novel boleh sahaja. Setiap tahun kewangan, biasanya selepas bulan Jun penerbit akan mula membayar royalti. Royalti bergantung kepada jumlah jualan. Jika buku pertama anda meletup-letup di pasaran, dicetak 3 kali dalam tempoh tidak sampai setahun, ya, anda akan tersenyum apabila menerima cek pertama.

Kita pun akan berjalan di atas awan. Paling tinggi 9 hari, selepas itu Newton Law akan diaplikasi : setiap yang berada di atas, harus akur dengan hukum graviti. Kita terpaksa turun ke bumi dan meninggalkan awan di awang-awangan. Realiti pun sampai di muka pintu. Wang royalti pun susut. Gunung jika dicangkul setiap hari pasti akan rata.

Oleh itu, jadikan royalti sebagai passive income.

Cuba jadi penulis pelbagai genre. Jika tidak mahir, belajarlah. Saya ini, misalnya tidak pernah menulis lakon layar (screen writing) atau biasa disebut orang sebagai skrip tv atau skrip filem. Oleh itu, jika ada peluang mengikuti kelas begini, saya pergi dan bayar berapa sahaja yang ditawarkan. Bagi saya, setiap harga yang diletakkan itu masih murah (walaupun beratus-ratus) kerana nilai ilmu yang terkandung di dalamnya itu jauh lebih tinggi. Menghadiri kursus dan bengkel ialah suatu pelaburan. Usah berkira sangat apabila ada wang lebih.

Jika tidak boleh menulis genre lain selain novel, anda perlu tulis lebih dari satu novel. Ungkapan yang sering digunakan Puan Ainon Mohd (Pengerusi PTS Publications & Distributors) - untuk memiliki sebuah estet, haruslah tanam banyak pokok getah. Sebatang pokok getah tidak akan menjadi estet (ubah suai dari peribahasa tamil). Jika mahu hidup dengan passive income daripada royalti novel, banyakkan novel anda.

Pilihan lain, seperti yang saya lakukan ialah menulis genre yang lain secara eceran. Tulis cerpen, puisi, artikel atau apa-apa bentuk penulisan yang lain. Jika ada tawaran menulis genre yang baharu, cuba dulu sebelum menolaknya.

Rezeki jangan ditolak, merbahaya jangan dicari.

Di bawah ini saya tinggalkan jadual yang saya susun untuk sebuah artikel berjudul "Pengarang Sepenuh Masa : Kerjaya Profesional" (Dewan Siswa, Oktober 2009), untuk panduan kasar kepada sesiapa yang sering bertanya, berapakah kadar bayaran untuk tulisan-tulisan tertentu di media cetak di Malaysia.

Semoga ada manfaatnya.

















Ulasan

sinaganaga berkata…
>> Jika pengarang menerbitkan sendiri, untungnya 100%.

Gross ke net ni, Nisah? HA HA.
blaze sora berkata…
saya sangat bersetuju dengan pendapat kak nisah haron ,penulisan boleh dijadikan sebagai pendapatan pasif dan juga sebagai satu kepuasan bagi sesetengah orang
Citra Wangsa berkata…
Kak Nisah...tiba-tiba teringin hendak menjadi penulis. Entri ini sangat bermanfaat dan memberi semanagt! Selama ini mengedit karya orang, hendak juga melihat karya sendiri diedit orang.
srirahayumohdyusop berkata…
Salam Kak Nisah,

Info yang sangat bermanafaat. Hanya Allah SWT sahaja yang boleh membalasnya.
Nisah Haji Haron berkata…
Naga,
Tak pastilah gross atau net. Ini matematik darjah 3. 100 - 10 = 90. Penulis seperti ini berfikir dengan itu 'penerbit sudah makan duit aku, banyak pulak tu. Ini tak boleh jadi, aku nak lagi cepat kaya dari penerbit tu.' Dia cuma nampak logik matematiknya sahaja. Hal-hal lain seperti promosi dan pemasaran, tak mahu pula dipandangnya.

Soraewz, terima kasih atas pendapat itu.

Zura, mengapa tidak? Tulis saja. Dah banyak sunting karya orang lain, pasti sudah nampak apa yang boleh / tak boleh ditulis, kan? :-)

Ayu, sekadar berkongsi pengalaman. Selebihnya, hanya Allah yang tahu.
Aida Ali berkata…
Info yang bermanfaat. Selamat Berpuasa
Ulfa Nur berkata…
Puan Nisah,

Mohon disalin artikel ini sebagai motivasi untuk terus berkarya
Nisah Haji Haron berkata…
Puan Aida,
Terima kasih.

Ulfa Nur,
Silakan. Harap dapatkan pautkan semula ke laman ini sebagai satu bentuk kredit. Terima kasih.
nurolshamshi Saidin berkata…
Assalamualaikum Puan Nisah,
Terima kasih atas artikel yang sangat bermanfaat ini. Saya mohon untuk menyalin artikel Puan untuk tatapan pelajar saya. Mudah-mudahan mereka (novelis baru) mendapat sedikit suntikan semangat untuk meneruskan cita-cita di dalam bidang ini. Saya juga memasukkan blog Puan sebagai pautan di blog saya untuk kemudahan mereka datang ke blog Puan. Terima kasih tidak terhingga atas kesudian berkongsi ilmu.

Nurulsham Saidin.
Nisah Haji Haron berkata…
Puan Nurulsham,
Silakan. Saya percaya kita sesama penulis berkongsi hasrat, aspirasi dan matlamat yang sama. Semoga ada manfaatnya.
Suraya A.S. berkata…
Saya pinjam info ini ya Puan Nisah
Nisah Haji Haron berkata…
Suraya A.S. - kalau dipinjam, harus dipulangkan semula. :-) Silakan ambil dan pautkan kembali ke sini dengan menyatakan sumber. Terima kasih.

Catatan Popular