Isnin, September 20, 2010

Buku Raya

I

Setelah anak-anak menyempurnakan puasa di bulan Ramadhan, saya pun melunaskan janji untuk memberi mereka 'Buku Raya'. Jumlah buku bergantung kepada jumlah hari berpuasa. Sesiapa yang melengkapkan puasa sebanyak 30 hari, tentulah boleh memilih buku lebih banyak daripada mereka yang kurang bilangan puasanya.

Mereka akur pada janji. Alhamdulillah.

Oleh itu, anak sulung yang lengkap puasanya pun diberikan ruang untuk memilih buku pilihan dengan syarat, haruslah ada gabungan, buku di dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. (Jika ada buku di dalam bahasa lain yang boleh difahami juga boleh dipertimbangkan. :-) ) Dia memilih antaranya, How to Train Your Dragon dan menambah koleksi Dead Famous, kali ini Einstein. Baru-baru ini dia mempunyai suatu 'kegilaan' terhadap genre biografi. Apatah lagi, apabila siri Dead Famous mempersembahan gaya yang amat sesuai untuk bacaan kanak-kanak 8 - 12 tahun lengkap dengan ilustrasi, komik dan langgam bahasa yang santai.

Melalui siri biografi Dead Famous dia sudah pun mengenali tokoh-tokoh seperti Shakespeare, Queen Victoria, Cleopatra dan Einstein. Oh, bilakah ada buku biografi untuk kanak-kanak setanding koleksi ini yang mengetengahkan tokoh-tokoh kita sendiri.

(Wahai penulis di luar sana, kita sememangnya ada banyak kerja untuk anak-anak bangsa kita!)

Dengan bahagianya, kami pun membebaskan diri dari satu kedai buku ke satu kedai buku. Masing-masing berbahagia dengan pilihan buku. Dalam rasa teruja memilih buku bersama-sama mereka, saya hanya sempat membeli Teruja Cinta Maori di Wainuiomata sebuah travelog (bahagian I) karya penyair dan cerpenis prolifik Fudzail.

Membaca beberapa bab awal buku travelog ini memberikan sedikit sebanyak harapan yang menjanjikan bahawa buku ini mampu dihabiskan dalam masa yang agak singkat. Buku ini diterbitkan di dalam 3 siri yang membentuk sebuah trilogi. Bahagian II berjudul Penggoda dan Penggodam Roewyo dan Bahagian III pula ialah Cinta Tiga Segi Aotearoa. Pada mulanya, saya memang mahu memborong ketiga-tiganya sekali gus. Namun, saya masih lagi serik membeli sebuah travelog berharga RM45 senaskhah tetapi isinya seperti membaca buku teks sejarah dan ilmu alam sekolah menengah. Dengan harga RM19.90, saya dapatkan Bahagian I trilogi ini terlebih dahulu. Sekiranya buku ini berhasil meyakinkan saya bahawa amat berbaloi untuk saya teruskan Bahagian II dan III, itu akan menjadi alasan untuk saya ke kedai buku lagi! :-)


II

Semalam saya menerima kunjungan sekumpulan adik-adik MPR yang sudi berkunjung ke teratak Ujana Ilmu. Teratak saya jadi meriah dengan gelak tawa mereka sambil masing-masing memberikan update tentang kedudukan masing-masing dalam kerjaya, pendidikan dan juga penulisan kreatif.

Sebagai tanda penghargaan, dan oleh sebab masing-masing sudah bekerja, tidak mungkin saya berikan duit raya (walaupun mereka semua belum berkahwin). Jadi, saya hadiahkan koleksi buku saya yang memang tiada di pasaran hatta di Ujana Ilmu juga tidak dijual. Itulah hadiah 'Buku Raya' saya untuk mereka. Harap koleksi kecil itu memberikan sedikit makna dan mencetus idea untuk penerbitan kumpulan cerpen masing-masing.


III

Pada sebelah petang, saya menziarahi balu kepada mentor penulisan saya. Sebelum berangkap pulang, dia hadiahkan 'Buku Raya' kepada saya dan anak sulung - buku suaminya yang sudah dicetak ulang oleh penerbit. Sungguh terharu menerima hadiah yang sangat berharga itu.


IV

Mungkin sebagai persediaan untuk Hari Raya pada tahun hadapan, saya fikir elok juga saya tulis buku cerita yang sesuai untuk kanak-kanak, bersaiz kecil, menarik kerana berwarna-warni dan harganya tidak melebihi RM5. Itu akan menjadi 'Buku Raya' untuk pengunjung cilik ke teratak saya. Ada penerbit yang mungkin berminat? :-)

Salam Eidul Fitri buat semua.

p/s: Saya tidak membuat sebarang rumah terbuka. Namun, sesiapa yang sudi berkunjung sewaktu musim raya ini saya terima sebagai tetamu.

5 ulasan:

hani salwah yaakup berkata...

Terima kasih Kak Nisah untuk 'buku raya' yang istimewa juga kerana sudi menerima kunjungan kami semalam :)

Aidil Khalid berkata...

Kak Nisah, terima kasih untuk buku raya yang comel itu. Kerana ia 'limited edition', dan sudah tidak dijual pula di mana-mana sekarang ini, maka tentulah ia menjadi sangat berharga sebagai koleksi peribadi. =)

Jejaka Desa berkata...

Menarik cara ni.Koi tak terfikir pun.Moge anak2 lebih berjaye.

Amiene Rev berkata...

Istimewanya hadiah kali ini.

Norziati Mohd Rosman berkata...

Hampir-hampir terbeli travelog buku teks tersebut. Presentable tapi tak cukup ampuh. Benar sekali kata pepatah, jangan di pandang luaran sahaja

Related Posts with Thumbnails