Isnin, September 13, 2010

Catatan Sesudah Eidul Fitri

Alhamdulillah. Ramadhan 1431 Hijrah sudah disempurnakan. Puasanya juga hendaknya sempurna pada segala segi. Saya turut bersyukur kerana anak-anak, khususnya yang sulung, mampu melengkapkan puasa 30 hari. Saya tidak memaksa, tetapi menggalakkan. Saya tidak janjikan sebarang bentuk ganjaran kewangan. Sedikit demi sedikit saya mahu anak-anak tahu bahawa puasa itu perlu ikhlas tanpa memikirkan apa yang kita akan dapat setelah berpuasa. Urusan pahala dan dosa itu, biarlah malaikat yang ditugaskan menghitung dan itu juga urusan Allah. Semoga pada akhir nanti mereka mampu memahami bahawa semua yang dilakukan di dunia ini haruslah bersesuaian dengan konsep "Lillahi Ta'ala".

Eidul Fitri ialah hari kemenangan yang peribadi sifatnya. Ini hari untuk kembali kepada fitrah, iaitu keadaan asal tubuh badan dan jiwa. Kenapa orang-orang tua dahulu sering mengingatkan anak-cucu bahawa 'kalau tak puasa, tak boleh beraya'? Di sinilah letaknya maksud kemenangan peribadi tadi. Hanya mereka yang benar-benar berpuasa, yang mampu melawan hawa nafsu, layak dan dapat menikmati erti Eidul Fitri yang sebenar. Nikmat itu sukar untuk diceritakan kepada orang lain, namun, pada Hari Raya, kita berasa puas, bersyukur dan bahagia atas segala yang telah kita langsaikan.

Untuk anak-anak, insya-Allah, saya akan bawa mereka ke kedai buku supaya mereka dapat memilih sendiri 'Buku Raya' kerana saya tidak belikan sebarang baju raya atau kasut raya. Malah, saya jarang membeli baju atau kasut dekat-dekat hendak raya. Mereka pun tidak ada yang sibuk dengan baju atau kasut. Alhamdulillah. Saya sering mengingatkan mereka bahawa membeli baju dan kasut dan apa-apa juga perkara lain haruslah mengikut keperluan dan kemampuan.

Tanpa baju dan kasut yang baharu tidak bermakna mereka tidak boleh bergembira. Keriangan di Hari Raya bukannya terletak kepada baju atau kasut. Jika dibiasakan bahawa setiap tahun mesti ada baju dan kasut raya, sudahnya nanti kedengaranlah ibu bapa yang mengeluh selepas habis bulan Syawal kerana ramai yang 'bergolok bergadai' hanya untuk beraya.

Hidup harus praktikal.

Saya sendiri membeli baju dan kasut di luar musim Raya. Baju saya beli, adakalanya kerana ada majlis hadiah sastera yang mahu diraikan. Langsung, baju itu boleh sahaja menjadi baju yang sesuai dipakai apabila mengunjung sanak saudara. Bukankah baju yang dipakai pada Hari Raya itu ialah Baju Raya? Saya percaya lebih mudah untuk berfikir begitu.

Di Ampangan dan Senawang, pada beberapa malam menghampiri Eidul Fitri, kedua-dua bandar kecil ini menjejak sesesak-sesak tempat! Semuanya mahu mengejar jualan di kawasan pasar malam Ampangan dan Dataran Senawang. Saya lihat produk yang dijual bukanlah berkualiti. Kebanyakannya pasti diimport (barangkali dari Siam atau Vietnam), banyak barang tiruan yang menjadi kegilaan mereka yang menggilai jenama.

Saya tidak faham ke manakah mereka campakkan semangat Ramadhan yang akhirnya ditinggalkan begitu sahaja. Akhirnya, penghujung Ramadhan menjadi musim mengejar hal-hal materialistik dan bersifat sementara yang lebih diperbesarkan.

Bukankah sudah saya katakan bahawa Eidul Fitri ialah hari kemenangan yang peribadi. Ada yang mendapat sejuta kemenangan. Ada yang tewas sebelum tiba 1 Syawal. Ada yang kandas sejak Ramadhan lagi.

Persoalannya, apakah kita sempat untuk melihat Ramadhan tahun hadapan? Semoga Allah memberikan keampunan dan pertolongan untuk kita semua mendapat istiqamah dan membersihkan jiwa, insya-Allah.

Salam hari kemenangan. Ampun dan maaf atas kata dan bahasa yang terlanjur dalam proses tegur menegur di blog ini. Saya hanya inginkan yang terbaik untuk ummah.

Salam Eidul Fitri.




2 ulasan:

A. Muziru Idham berkata...

Salam mencicip harum Aidilfitri 1431 H, Kak Nisah!

Semoga ibadah Ramadan kita pada kali ini lebih baik daripada tahun-tahun yang sebelumnya. Saya doakan Kak Nisah terus cemerlang dalam perjuangan!

(Semoga semangat Ramadan terus tekal bernafas dalam tikungan hari-hari yang bakal dilalui)

ay_yusof berkata...

Salam Kak Nisah, saya sangat bersetuju dengan pendapat Kak Nisah itu. Pernah sekali saya disindir seseorang yang kononnya bergelar kawan. Saya katakan saya tidak mempunyai baju raya hampir 2, 3 tahun. Dituduhnya saya seperti perempuan tua.
Baginya, pengertian raya adalah baju baru. Saya ketawa sendiri. Padahal kalau tidak kerana raya pun saya membeli/ membuat baju baru dek kerana tugas sebagai guru memmerlukan saya berbaju kurung setiap hari.
Budaya semua perlu ada yang baru sempena raya perlu ditafsirkan semula. Ada yang dah besar panjang pun masih mahukan baju dan kasut raya. Aduhai, tak terkata apa saya pada masa itu.
Selamat Hari Raya Kak Nisah.

Related Posts with Thumbnails