Tahniah buat sahabat-sahabat seperjuangan!

Dalam pelestarian kesusasteraan Melayu, pengiktirafan kepada pengkarya secara tekal itu penting. Walaupun mereka bukan berjuang dan menulis kerana nama, namun pihak yang bertanggungjawab haruslah membuka mata dan cakna.

Berikut saya rakamkan ucapan sekalung tahniah kepada rakan-rakan pengarang yang telah meraih penganugerahan mengikut kriteria masing-masing.

1. Zainal Palit @ Zaen Kasturi - Mantan MPR yang amat terkenal dengan puisinya Ke Ruang Katarsis dan siri Ingatan Kepada Kawan. Tahniah atas pengumuman sebagai penerima S.E.A. Write Award 2010. Penulis muda yang mahu mendekatkan diri dengan puisi dan mahu segera membesar, hadamlah karya-karya beliau. Kelebihan Zaen juga, selain seorang penyair, turut dikenali sebagai cerpenis. Nama beliau sangat sinonim dengan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) yang boleh dikatakan hampir setiap tahun dimenanginya sama ada untuk kategori puisi mahupun cerpen.



2. Syed Mohd Zakir Syed Othman @ S.M. Zakir yang karyanya menjadi bacaan awal saya ketika mahu mendalami cerpen-cerpen dewasa. Tahniah atas penganugerahan Sasterawan Muda MASTERA 2010.

Cerpen terbaharunya Bidadari Burung disiarkan di dalam Dewan Sastera, Oktober 2010. Kedudukannya sebagai cerpenis sukar dicabar lantaran pembacaannya yang luas dan kebolehan menganalisis hasil pembacaannya. Tidak ramai penulis muda yang 'mudah mesra' dengan karya-karya S.M. Zakir. Namun, jika mahu segera membesar dalam penulisan cerpen, hadamlah kumpulan cerpennya : Merengkuh Langit, Sekuntum Kembang Di Sayap Jibril, Sekeping Roh di Atas Bantal, Menyirat Nirmala dan yang terkini Serigala dan Sekuntum Tulip.

3. Mawar Safei, sahabat saya yang telah meningkat setakah lagi dalam dunia kesarjanaan khususnya dalam sastera Melayu. Saya menghormati Mawar bukan sahaja sebagai sarjana, namun, saya melihat dia antara sarjana sastera Melayu yang mampu mengubah dirinya : sebentar dia penulis dan pada ketika yang lain dia sarjana. Dia mampu memberikan kritikan kepada karya dan pada masa yang lain, masih berwibawa menulis cerpen.

Apabila ramai pelajar sastera yang bertanya kepada saya mengapa mereka tidak mampu menulis cerpen sedangkan mereka mempelajari sastera secara tuntas, saya pasti menjawab, "Cuba tanyakan kepada Dr. Mawar."

Mawar yang saya kenali dahulunya sebagai cerpenis dan yang paling kuat memberikan semangat untuk membuat transisi daripada menulis cerpen-cerpen remaja kepada cerpen-cerpen dewasa, kini meneruskan legasi dan semangat itu kepada para pelajarnya di kampus.





Sekalung tahniah buat mereka semua. Saya doakan mereka terus diberikan ketabahan, kekuatan dan ruang untuk terus menghasilkan karya-karya yang tahan uji dan tahan zaman untuk menjadi khazanah kesusasteraan Melayu yang bernilai. Sesungguhnya, karya mereka adalah permata!

Ulasan

MOHD HANIFF berkata…
Salam. Tahniah kepada ketiga-tiganya daripada saya. Mereka menjadi inspirasi kepada penulis-penulis muda.
NASSURY IBRAHIM berkata…
Tahniah buat mereka bertiga, permata negara.
Mawar berkata…
Nis

alhamdulillah dan terima kasih, dari saya, si orang kecil. saya malu menerima kata-kata penghargaan ini. banyak lagi saya berhutang dan harus saya lakukan untuk sastera Melayu.

terima kasih Sdr Haniff dan Nassury.
Nisah Haji Haron berkata…
Haniff, ya, karya mereka harus dijadikan pendorong semangat selain mereka sendiri adalah suri teladan dalam bidang ini.

Nassury, permata negara, bukan 'permata pintar' ya? :-)

Mawar, tidak perlu berasa malu kerana ini suatu kebenaran. Saya tidak menulis melainkan yang benar, jujur, dan langsung (walaupun adakalanya saya bersuara 'keras').
Zahiruddin Zabidi berkata…
Dan kami yang baharu, muda lagi pucuk ini sentiasa belajar daripada mereka semuanya, alhamdulillah....
Salam,

Kedua-duanya memang layak dinobatkan. Blog saya sekarang: http//szirdina.blogspot.com.

Catatan Popular