Ahad, November 21, 2010

Manuskrip yang sempurna

Sewaktu mengendalikan bengkel-bengkel penulisan kreatif, khususnya novel, saya menerima beberapa respons daripada calon penulis yang mengatakan mereka tidak dapat memulakan, meneruskan atau menghabiskan manuskrip kerana sesuatu perkara.

Bagi yang baru hendak memulakan manuskrip, kononnya, dia mahukan persediaan yang sempurna, watak yang sempurna ciptaannya, lokasi yang telah dibuat kajian sepenuhnya dan pendek kata, mahukan segala yang sempurna @ perfect!

Sudahnya, hal ini berlangsung beberapa tahun dengan alasan yang serupa.

Saya percaya tiada persediaan yang paling sempurna dalam menulis karya kreatif. Ya, benar. Persediaan, perancangan watak, latar, cerita dan sebagainya itu penting. Siapa yang tidak merancang sebelum menulis, ada kemungkinan akan tersasar jalan cerita dan idea tersangkak ketika menulis. Persediaan untuk menulis novel, bukanlah kerja menulis dalam erti kata yang sebenarnya. Ramai juga yang 'terperangkap' di dalam proses persediaan yang tidak kurang menyeronokkan ini. Kita terlalu seronok mencipta watak, mencipta latar, merangka cerita dan paling membahayakan ialah keseronokan bercerita kepada orang lain bahawa kita sedang menulis suatu cerita.

Lebih banyak kita bercerita kepada orang lain bahawa kita sedang menulis sesuatu karya, semakin kuranglah momentum menulis. Adakalanya, mood semakin hilang kerana mood dan momentum sebenar untuk menulis itu telah digunakan ketika bercerita tentang karya yang kononnya sedang ditulis tetapi belum lagi bergerak ke mana.

Cadangan saya : simpan sahaja idea dan rasa teruja untuk bercerita. Momentum dan semangat untuk bercerita itu tumpahkan terus ke atas kertas. Pembaca tidak akan menilai apa yang diceritakan secara lisan sama ada sebelum menulis atau selepas menulis. Sebaliknya, pembaca menilai apa yang telah dihasilkan.

Pembaca juga tidak mampu menilai manuskrip. Itu kerja editor. Pembaca hanya dapat menilai sebuah karya yang sudah terbit.

Oleh itu, usahakan supaya karya pertama terbit dan membuat tembusan sulung ke media. Tembusan sulung atau breakthrough ini penting untuk membina keyakinan untuk terus menulis karya yang berikutnya. Percayalah, selagi kita tidak melihat manuskrip yang dikerjakan berbulan-bulan itu bermetamorf @ berubah menjadi sebuah buku, kita sukar untuk meneruskan kerja menulis buku yang berikutnya. Kalau boleh menulis pun, semangatnya tidak serupa, penuh dengan tanda tanya.

Cerpen atau puisi pun sama. Apabila sudah ada cerpen atau puisi pertama yang mendapat tembusan di media, keghairahan, keyakinan dan semangat untuk mengirim lagi itu memang tinggi.

Tidak timbul sama ada khalayak suka atau tidak dengan karya kita itu - sama ada mereka suka atau pun tidak, apabila karya terbit, kita yang menulis karya itu sudah pun dinamakan penulis --> a published writer.

Penulis ialah yang sudah ada karya diterbitkan. Selagi belum terbit (dalam konteks buku dan media cetak), dia masih lagi dipanggil calon penulis atau aspiring writer.

Oleh itu, usah tunggu sampai idea itu betul-betul matang (ibarat buah kalau sudah terlalu ranum, siapa pula yang hendak), atau manuskrip yang betul-betul sempurna, barulah kita mahu mengirimnya ke media.

Jika karya itu sudah menepati ciri-ciri sebuah karya dalam format industrinya yang betul, kirimkan sahaja dan bertawakkal serta berdoa. Sebagai calon penulis, saya percaya anda telah pun berusaha. Usah bimbang kalau karya pertama mendapat banyak kritikan (sama ada membina atau mengutuk). Terima semua itu dengan hati yang terbuka. Jadilah penulis yang berjiwa besar dan kutiplah mana-mana kritikan yang boleh memperbaiki laluan perjalanan kita yang seterusnya.

Semua orang ada karya yang tidak berapa menjadi. Namun, karya itu sudah terbit. Lalu, kita berusaha untuk memperbaiki setiap karya yang berikutnya. Sampai bila pun tidak akan ada karya yang sempurna kerana kesempurnaan itu milik Allah Taala.

Orang yang mengkritik sentiasa ada di sekeliling kita, dan biasanya orang itu belum ada buku yang terbit seperti kita. Walaupun karya kita yang pertama ini tidak sempurna, namun, ibarat bayi yang dilahirkan, biarpun tidak sempurna tetap anak kita juga.

Setiap anak itu pasti ada keistimewaan yang tersendiri.

Terus menulis!



15 ulasan:

MOHD HANIFF berkata...

Saya setuju. Paling penting adalah menulis tanpa jemu. Seronok sebenarnya menerima kritikan kerana kita belajar daripada kritikan itu. Tidak dinafikan adakalanya, karya yang ke-10 itu juga masih ada cacat celanya, tetapi sekurang-kurangnya, kita berani mencuba dan menulis tanpa jemu.

Putra Rman berkata...

Nasihat yang amat berguna buat bakal penulis baru.

MENJEJAK DEWASA~ berkata...

terima kasih puan Nisah!
makin bersemangat untuk menyiapkan manuskrip novel pertama..!!~

nurulsham-saidin berkata...

Puan Nisah,
Bagus sungguh entry ini. Boleh saya iklankan pada pelajar saya di facebook?
Mudah-mudahan istiqomah Puan membantu penulis muda diberkati Allah.

Nisah Haji Haron berkata...

Haniff,
Betul. Setelah mendapat keyakinan kerana tembusan pertama, kita tidak berasa 'bagus benar' kerana karya sudah terbit. Masih ingat dulu ketika cerpen baru terbit di DS, saya baca kata demi kata yang terbit (dan telah disunting) dibandingkan dengan manuskrip. Mahu tahu apa yang disunting, ditambah atau digugurkan. Itu juga proses pembelajaran.

Putra Rman & Menjejak Dewasa,
Yang baik itu dari Allah. Semoga tekal menulis!

Puan Nurulsham,
Ya, silakan. Semoga ada manfaatnya.

Salle Sulieman berkata...

Assalamualaikum. Terima kasih kepada Kak Nisah kerana menulis artikel ini. Terbakar semangat saya untuk menyiapkan bab 1. Terima kasih. Syukran Jazilan.

ILHAM HAMDANI berkata...

Assalamualaikum,

Cikpuan 'guru' Nisah Haron yang sangat dihormati, mudahan berada di dalam keadaan yang terbaik!

Bagaimana dengan hilang keyakinan (gugup sebetulnya!) dengan karya-karya yang terbaru? Dan, menjadikan kita seperti takut pada bayang-bayang.

Terima kasih.

IlhamHamdani.

Seorang Kerani berkata...

Terima kasih kak nisah. Selalunya begitulah, apabila semangat saya mulai jatuh, membaca entry kak nisah menyemarakkan lagi semangat saya. sekarang lagi saya sudah di bab 8. target saya 12 bab lagi.
Saya ingin bertanya (maaf jika salah tempat), bagaimana pula dengan sesetengah penerbit yang meminta dihantar sinopsis dahulu? kerana bagi saya, selepas menyiapkan sinopsis, apabila mula menulis dan cuba mengikut susur galur sinopsis itu, tidak seronok lagi rasanya menulis. tulisan juga kedengaran kaku.
Terima kasih sekali lagi.

aleeya hos punya berkata...

Terima kasih atas nasihat dan petunjuk kak Nisah.

Tapi saya rasa agak kecewa kerana karya pertama saya tak sempat saya tengok. Dihantar ke Metro tetapi saya langsung tak baca Metro. Tahu-tahu dapat cek.

Karya kedua pula diterbitkan Remaja secara tergesa-gesa dan langsung tidak diedit.

Yang ketiga tersekat di PTS Publications dan belum sempat dibuat follow up.

Nisah Haji Haron berkata...

Salle Sulieman,
Alhamdulillah, semoga tekal menulis! Bab 1 sangat penting dalam menentukan arah dan hala tuju karya.

Tuan Ilham Hamdani,
Semoga Allah mengurniakan ilham yang berpanjangan. Rasa gugup dan hilang keyakinan itu boleh saja berlaku kepada sesiapa sahaja walaupun sudah digelar orang sebagai pengarang mapan atau sasterawan. Selagi kita menghasilkan yang terbaik, niatnya kerana Allah dan sentiasa memperbaiki diri dan karya, insya-Allah, perasaan itu dapat diredakan.

Kalau mahu lebih cabaran, sesekali dan apabila ada peluang, hantar manuskrip ke sayembara atau penerbit yang lebih mencabar kehendak editorialnya.

Nisah Haji Haron berkata...

Seorang Kerani,
Bagi penerbit yang mahukan sinopsis, ikutlah kehendak editorialnya jika mahu lihat karya terbit di situ. Benar, menulis sinopsis dahulu sebelum menulis novel, adakala tidak sesuai dengan sesetengah penulis. Namun, ada baiknya juga. Sinopsis yang ditolak kerana tidak sesuai dengan rumah penerbitan, adalah lebih baik daripada sebuah manuskrip yang ditolak. Menulis sinopsis tidaklah terlalu lama berbanding bergelut dengan manuskrip.

Kalau tak boleh juga, mungkin harus hantar ke tempat lain.

Aleeya,
Mujur sampai juga cek itu. :-) Saya juga ada karya yang terbit, tak dapat dilihat, tahu-tahu cek sampai di rumah. Saya pun selonggar perpustakaan dan dapatkan salinannya.

Lakukan suntingan sendiri (self-editing) untuk semua karya yang dihantar. Bayangkan karya kita itu ialah 'anak' kita yang mahu buat persembahan atas pentas. Tentulah kita mahu dia berpakaian terbaik, sesuai dengan keadaan dan tidak comot seperti berada di rumah, bukan.

Jika sudah agak lama di PTS, susulkan sepucuk surat yang berbahasa lunak tetapi profesional bertanyakan keadaan sinopsis/manuskrip itu.

Harap jawapan saya ini membantu.

srirahayumohdyusop berkata...

Salam kak,

Tahniah! Rezeki akhir tahun.

Nisah Haji Haron berkata...

Ayu,
Terima kasih. Alhamdulillah.

P3tani is my nama berkata...

tahniah
:)

akudansesuatu berkata...

salam,
Puan Nisah, saya sangat teruja membaca entri puan ini. Sungguh semangat dan rasa hati untuk menulis memang ada di dalam hati. Tetapi saya tidak tahu bagaimana mahu memulakannya. Idea yang ada hanya terperam dalam minda. Entah bila akan menjadi kenyataan. Benar kata puan, sekiranya tidak bermula kini, sampai bila-bila pun idea itu tidak akan menjadi bermakna. Semoga saya mendapat kekuatan seperti ilham yang ALLAH swt berikan kepada puan dalam menghasilkan karya-karya bermanfaat. Sungguh, saya pernah menguliti karya-karya puan semasa menuntut dahulu. Sungguh kebolehan puan sangat mengkagumkan saya. Semoga puan terus sukses.

Related Posts with Thumbnails