Isnin, September 20, 2010

Buku Raya

I

Setelah anak-anak menyempurnakan puasa di bulan Ramadhan, saya pun melunaskan janji untuk memberi mereka 'Buku Raya'. Jumlah buku bergantung kepada jumlah hari berpuasa. Sesiapa yang melengkapkan puasa sebanyak 30 hari, tentulah boleh memilih buku lebih banyak daripada mereka yang kurang bilangan puasanya.

Mereka akur pada janji. Alhamdulillah.

Oleh itu, anak sulung yang lengkap puasanya pun diberikan ruang untuk memilih buku pilihan dengan syarat, haruslah ada gabungan, buku di dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. (Jika ada buku di dalam bahasa lain yang boleh difahami juga boleh dipertimbangkan. :-) ) Dia memilih antaranya, How to Train Your Dragon dan menambah koleksi Dead Famous, kali ini Einstein. Baru-baru ini dia mempunyai suatu 'kegilaan' terhadap genre biografi. Apatah lagi, apabila siri Dead Famous mempersembahan gaya yang amat sesuai untuk bacaan kanak-kanak 8 - 12 tahun lengkap dengan ilustrasi, komik dan langgam bahasa yang santai.

Melalui siri biografi Dead Famous dia sudah pun mengenali tokoh-tokoh seperti Shakespeare, Queen Victoria, Cleopatra dan Einstein. Oh, bilakah ada buku biografi untuk kanak-kanak setanding koleksi ini yang mengetengahkan tokoh-tokoh kita sendiri.

(Wahai penulis di luar sana, kita sememangnya ada banyak kerja untuk anak-anak bangsa kita!)

Dengan bahagianya, kami pun membebaskan diri dari satu kedai buku ke satu kedai buku. Masing-masing berbahagia dengan pilihan buku. Dalam rasa teruja memilih buku bersama-sama mereka, saya hanya sempat membeli Teruja Cinta Maori di Wainuiomata sebuah travelog (bahagian I) karya penyair dan cerpenis prolifik Fudzail.

Membaca beberapa bab awal buku travelog ini memberikan sedikit sebanyak harapan yang menjanjikan bahawa buku ini mampu dihabiskan dalam masa yang agak singkat. Buku ini diterbitkan di dalam 3 siri yang membentuk sebuah trilogi. Bahagian II berjudul Penggoda dan Penggodam Roewyo dan Bahagian III pula ialah Cinta Tiga Segi Aotearoa. Pada mulanya, saya memang mahu memborong ketiga-tiganya sekali gus. Namun, saya masih lagi serik membeli sebuah travelog berharga RM45 senaskhah tetapi isinya seperti membaca buku teks sejarah dan ilmu alam sekolah menengah. Dengan harga RM19.90, saya dapatkan Bahagian I trilogi ini terlebih dahulu. Sekiranya buku ini berhasil meyakinkan saya bahawa amat berbaloi untuk saya teruskan Bahagian II dan III, itu akan menjadi alasan untuk saya ke kedai buku lagi! :-)


II

Semalam saya menerima kunjungan sekumpulan adik-adik MPR yang sudi berkunjung ke teratak Ujana Ilmu. Teratak saya jadi meriah dengan gelak tawa mereka sambil masing-masing memberikan update tentang kedudukan masing-masing dalam kerjaya, pendidikan dan juga penulisan kreatif.

Sebagai tanda penghargaan, dan oleh sebab masing-masing sudah bekerja, tidak mungkin saya berikan duit raya (walaupun mereka semua belum berkahwin). Jadi, saya hadiahkan koleksi buku saya yang memang tiada di pasaran hatta di Ujana Ilmu juga tidak dijual. Itulah hadiah 'Buku Raya' saya untuk mereka. Harap koleksi kecil itu memberikan sedikit makna dan mencetus idea untuk penerbitan kumpulan cerpen masing-masing.


III

Pada sebelah petang, saya menziarahi balu kepada mentor penulisan saya. Sebelum berangkap pulang, dia hadiahkan 'Buku Raya' kepada saya dan anak sulung - buku suaminya yang sudah dicetak ulang oleh penerbit. Sungguh terharu menerima hadiah yang sangat berharga itu.


IV

Mungkin sebagai persediaan untuk Hari Raya pada tahun hadapan, saya fikir elok juga saya tulis buku cerita yang sesuai untuk kanak-kanak, bersaiz kecil, menarik kerana berwarna-warni dan harganya tidak melebihi RM5. Itu akan menjadi 'Buku Raya' untuk pengunjung cilik ke teratak saya. Ada penerbit yang mungkin berminat? :-)

Salam Eidul Fitri buat semua.

p/s: Saya tidak membuat sebarang rumah terbuka. Namun, sesiapa yang sudi berkunjung sewaktu musim raya ini saya terima sebagai tetamu.

Rabu, September 15, 2010


Tarikh: 21 September 2010 (Selasa)
Masa: 8.30 Pagi – 5.00 Petang
Tempat: Dewan Wisma ITNM, No 2, Jalan 2/27E Seksyen 10, Wangsa Maju 53300 Kuala Lumpur
Pelancaran: Disempurnakan oleh Dato’ Mohamed Nor Khalid (Lat), penulis buku "Kampung Boy" (tentatif)


Tentatif Program
8.00 pagi: Pendaftaran peserta
8.25 pagi: Ketibaan tetamu kehormat
8.30 pagi: Kata alu-aluan pengacara majlis
8.35 pagi: Bacaan doa

8.40 pagi: Ucapan alu-aluan oleh YBhg. Encik Mohd Khair Ngadiron (Pengarah Urusan ITNM)
8.45 pagi: Kertas Dasar oleh YBhg. Dato’ Mohamed Nor Khalid (Lat) “Penghayatan Karya Terjemahan Melalui Watak Komik”

9.30 pagi: Minum pagi

9.45 pagi: Sidang 2:
- “Peranan ITNM dalam Memperkasakan Karya-karya Terjemahan” oleh Encik Mohd. Khair Ngadiron
- “Komuniti Buku Saluran Memperkasa Karya Terjemahan” oleh Encik Shaharom TM Sulaiman

11.00 pagi: Sidang 3:
- “Pengalaman Estetika Membaca Karya-karya Terjemahan: Perspektif Penterjemah” oleh Dr. Syed Nurul Akla Syed Abdullah
- “Daya Tarik dan Daya Tolak Membaca Karya Terjemahan” oleh Encik Rahimi Saad
- “Pengalaman Estetika Membaca Karya-karya Terjemahan: Perspektif Penulis” oleh Encik Faisal Tehrani

12.45 tengah hari: Makan tengah hari

2.00 petang: Sidang 4:
- "Karya-karya Terjemahan yang Mempengaruhi Peradaban Manusia” oleh Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan
- “Gerakan Terjemahan Sebagai Gerakan Intelektual: Perspektif Sejarah Tradisi Intelektual Parsi” oleh Encik Ahmad Kamil Zuhairi
- “Pendidikan Akal Bangsa Melalui Penterjemahan Komik” oleh Puan Zinitulniza Abdul Kadir
4.00 petang: Sesi Khas Bicara Tokoh: “Potret Pencinta Buku, Penulis, Penterjemah dan Penerbit” oleh Ustaz Abdullah Al-Qari Hj. Salleh

4.45 petang: Minum petang
5.00 petang: Bersurai

Yuran Penyertaan:

Institusi: RM50
Individu: RM30
Pelajar: RM10
*Termasuk makan, bahan seminar dan buku terbitan ITNM.

Untuk maklumat lanjut, hubungi:
- Mohd Khairulanuar Manshor, 019-217 7204 atau e-mel: anuar@itnm.com.my
- Norzaiti Abdul Talib, 019-390 6349 atau e-mel: norzaiti@itnm.com.my

Nota Nisah : Saya akan menghadiri majlis ini sebagai peserta seminar dan juga telah diundang menjual buku-buku terpilih sepanjang majlis ini berlangsung. Jumpa di sana, pada 21 September ini.

Isnin, September 13, 2010

Catatan Sesudah Eidul Fitri

Alhamdulillah. Ramadhan 1431 Hijrah sudah disempurnakan. Puasanya juga hendaknya sempurna pada segala segi. Saya turut bersyukur kerana anak-anak, khususnya yang sulung, mampu melengkapkan puasa 30 hari. Saya tidak memaksa, tetapi menggalakkan. Saya tidak janjikan sebarang bentuk ganjaran kewangan. Sedikit demi sedikit saya mahu anak-anak tahu bahawa puasa itu perlu ikhlas tanpa memikirkan apa yang kita akan dapat setelah berpuasa. Urusan pahala dan dosa itu, biarlah malaikat yang ditugaskan menghitung dan itu juga urusan Allah. Semoga pada akhir nanti mereka mampu memahami bahawa semua yang dilakukan di dunia ini haruslah bersesuaian dengan konsep "Lillahi Ta'ala".

Eidul Fitri ialah hari kemenangan yang peribadi sifatnya. Ini hari untuk kembali kepada fitrah, iaitu keadaan asal tubuh badan dan jiwa. Kenapa orang-orang tua dahulu sering mengingatkan anak-cucu bahawa 'kalau tak puasa, tak boleh beraya'? Di sinilah letaknya maksud kemenangan peribadi tadi. Hanya mereka yang benar-benar berpuasa, yang mampu melawan hawa nafsu, layak dan dapat menikmati erti Eidul Fitri yang sebenar. Nikmat itu sukar untuk diceritakan kepada orang lain, namun, pada Hari Raya, kita berasa puas, bersyukur dan bahagia atas segala yang telah kita langsaikan.

Untuk anak-anak, insya-Allah, saya akan bawa mereka ke kedai buku supaya mereka dapat memilih sendiri 'Buku Raya' kerana saya tidak belikan sebarang baju raya atau kasut raya. Malah, saya jarang membeli baju atau kasut dekat-dekat hendak raya. Mereka pun tidak ada yang sibuk dengan baju atau kasut. Alhamdulillah. Saya sering mengingatkan mereka bahawa membeli baju dan kasut dan apa-apa juga perkara lain haruslah mengikut keperluan dan kemampuan.

Tanpa baju dan kasut yang baharu tidak bermakna mereka tidak boleh bergembira. Keriangan di Hari Raya bukannya terletak kepada baju atau kasut. Jika dibiasakan bahawa setiap tahun mesti ada baju dan kasut raya, sudahnya nanti kedengaranlah ibu bapa yang mengeluh selepas habis bulan Syawal kerana ramai yang 'bergolok bergadai' hanya untuk beraya.

Hidup harus praktikal.

Saya sendiri membeli baju dan kasut di luar musim Raya. Baju saya beli, adakalanya kerana ada majlis hadiah sastera yang mahu diraikan. Langsung, baju itu boleh sahaja menjadi baju yang sesuai dipakai apabila mengunjung sanak saudara. Bukankah baju yang dipakai pada Hari Raya itu ialah Baju Raya? Saya percaya lebih mudah untuk berfikir begitu.

Di Ampangan dan Senawang, pada beberapa malam menghampiri Eidul Fitri, kedua-dua bandar kecil ini menjejak sesesak-sesak tempat! Semuanya mahu mengejar jualan di kawasan pasar malam Ampangan dan Dataran Senawang. Saya lihat produk yang dijual bukanlah berkualiti. Kebanyakannya pasti diimport (barangkali dari Siam atau Vietnam), banyak barang tiruan yang menjadi kegilaan mereka yang menggilai jenama.

Saya tidak faham ke manakah mereka campakkan semangat Ramadhan yang akhirnya ditinggalkan begitu sahaja. Akhirnya, penghujung Ramadhan menjadi musim mengejar hal-hal materialistik dan bersifat sementara yang lebih diperbesarkan.

Bukankah sudah saya katakan bahawa Eidul Fitri ialah hari kemenangan yang peribadi. Ada yang mendapat sejuta kemenangan. Ada yang tewas sebelum tiba 1 Syawal. Ada yang kandas sejak Ramadhan lagi.

Persoalannya, apakah kita sempat untuk melihat Ramadhan tahun hadapan? Semoga Allah memberikan keampunan dan pertolongan untuk kita semua mendapat istiqamah dan membersihkan jiwa, insya-Allah.

Salam hari kemenangan. Ampun dan maaf atas kata dan bahasa yang terlanjur dalam proses tegur menegur di blog ini. Saya hanya inginkan yang terbaik untuk ummah.

Salam Eidul Fitri.




Related Posts with Thumbnails