Khamis, Januari 27, 2011

Setiap Hari Ahad ialah 'Hari Raya' buat Penulis

Saya sering berpesan kepada pelajar saya di kuliah supaya membaca dua akhbar pada setiap hari Ahad : Mingguan Malaysia dan Berita Minggu. Setiap bulan pula mesti baca Dewan Sastera dan Tunas Cipta. Jika ada masa lebih, baca juga Dewan Siswa dan majalah-majalah yang memberikan ruangan sastera - majalah yang ada ruangan cerpen dan puisi.

Kalau bukan pelajar sastera, penggiat sastera, penulis dan calon penulis yang membacanya, siapa lagi yang akan meneliti ruangan itu. Para editornya berhempas pulas mempertahankan ruangan tersebut. Jika bukan kita yang membacanya, saya pasti tidak lama lagi ruangan itu juga boleh berkubur.

Bagi orang lain, pasti ada minat yang berbeza. Namun, bagi saya tidak ada hari minggu yang berlalu tanpa saya membaca ruangan cerpen dan puisi di dalam kedua-dua akhbar Mingguan Malaysia dan Berita Minggu. (Kalau dulu, baca juga pada hari Sabtu, kini sudah tidak ada ruangan cerpen. Saya bukanlah pengikut novel bersiri yang tegar.)

Hari minggu ialah 'hari raya' bagi pencinta sastera. Pagi itu jadi bahagia kerana kita sangat-sangat ingin tahu karya siapakah yang mengisi ruangannya. Lebih-lebih lagi kepada pengarang yang mempunyai antisipasi dan harapan, apakah karya yang dihantarnya beberapa minggu (atau bulan) yang lalu dapat menawan hati editornya.

Apabila karya-karya yang tersiar itu terdiri daripada rakan-rakan penulis, sudah pastilah ada yang berbalas-balas ucapan tahniah-dan-terima kasih kerana itulah yang paling membahagiakan penulisnya. Tambah bahagia lagi apabila ada yang membaca karyanya dan memberikan komen walaupun sebaris ayat (selain daripada ucapan 'tahniah, karya tersiar di BM/UM').

Saya turut berpesan kepada pelajar, nanti mereka juga bakal menjadi penulis. "Bayangkan perasaan saudara apabila tiada yang membaca karya saudara yang tersiar. Apatah lagi, tak ada orang sedar yang karya saudara tersiar. Itu lebih mengharukan!"

Tiada alasan untuk tidak membaca. Kalau pun tidak mendapat akhbar versi cetak, versi digital juga ada. Pokok pangkalnya mahu atau tidak kita membacanya. Ada yang memberikan alasan sibuk dan tidak sempat. Benarkah kita sesibuk itu, atau itu sekadar alasan untuk menyedapkan hati sendiri?

Setiap minggu, para penulis dan pencinta sastera menyambut 'hari raya'. Tidakkan anda sama-sama mahu meraikannya dengan kami?

Selamat membaca!





5 ulasan:

Nurul Farehah Jaamad berkata...

Salam, Kak Nisah.

Saya sangat setuju dengan entri ini. Terima kasih ya. =)

Zaid Akhtar berkata...

Hari Rayo tanpa lemang
:-)

~ciknura~ berkata...

:) Iya! benar, kak Nisah!

ps-Kak Nisah, saya nak tanya, jika karya pernah tersiar di MM misalanya, bagaimana utk tuntut honorarium? Atau tiada?

Nisah Haji Haron berkata...

Kak Nisah, saya nak tanya, jika karya pernah tersiar di MM misalanya, bagaimana utk tuntut honorarium? Atau tiada?

Jawapan : Biasanya pihak MM akan bayar juga, walau lambat macam mana pun. Kalau terasa terlalu lambat (lebih dari 6 bulan, misalnya) boleh susulkan sepucuk surat kepada editor bertanya hal honorarium (lunakkan bunyi surat itu, usah kedengaran seperti terlalu 'demand'). Jika surat itu diposkan, sertakan salinan karya yang tersiar sebagai bukti. Jika e-mel, boleh berikan pautan atau 'screen capture' atau imej karya (yang mungkin diambil menggunakan kamera digital).

yusufjalli berkata...

Salam.
Puan Nisah yang disayangi. Terima kasih. Tak sangka. Rupa-rupanya perbincangan dari kuliah sampai juga ke sini. Tahniah,puan.

Related Posts with Thumbnails