Inspirasi & Cetusan Idea :
Rindu Seorang Rafik

Rindu Seorang Rafik
RM19 (tidak termasuk kos pos)
Boleh dibeli dari Ujana Ilmu.

Sila kirimkan e-mel berasingan ke
webmaster@ujanailmu.com.my
jika mahu naskhah dengan
tandatangan pengarang
Pengarang seringkali akan ditanya dari mana mendapat idea, sedangkan ilham dan idea ini sesuatu yang misteri dan pada saya semuanya urusan di langit. Adakalanya ilham hadir tanpa dipinta. Paling penting bukanlah idea itu sendiri, tetapi bagaimana pengarang mengolah sesuatu idea menjadi sebuah karya yang baik untuk dihidangkan kepada pembacanya.

Cerpen “Rindu Seorang Rafik” yang menjadi judul kumpulan cerpen saya yang keempat ini terhasil kerana terkesan dengan peristiwa Pulau Batu Putih yang menjadi rebutan. Cerpen ini ditulis ketika kes ini belum lagi didengar di Mahkamah Keadilan Antarabangsa, The Hague. Saya membayangkan bagaimana dua orang sahabat yang berselisih pendapat itu ibarat dua buah negara yang mengalami keadaan yang sama.

Perjalanan ke daerah pedalaman Sabah telah menghasilkan “Minta Secawan Kopi Tenom”. Selain terkenal dengan kopinya yang lemak-lemak manis, Tenom juga sebuah daerah yang kaya dengan alam semulajadi dan mampu menjadi tempat yang menginspirasikan. Separuh daripada cerpen ini terhasil sewaktu berada di dalam penerbangan pulang dari Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur.

Ikatan kekeluargaan dan rasa cinta terhadap tempat tumpah darah telah membuatkan saya mahu mengabadikannya di dalam karya. Hasilnya ialah “Pusaka Cendana” yang mengangkat tentang lagu tradisional Bongai yang semakin dilupakan dan “Lemang Nan Sebatang” tentang falsafah yang terkandung di sebalik makanan tradisi yang bukan sahaja terkenal di Negeri Sembilan kini. Lebih manis lagi apabila kedua-dua cerpen ini telah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Sebagai mantan peguam, masih ada banyak isu perundangan yang berlegar-legar di fikiran. Tugas saya untuk mendidik masyarakat mengenai undang-undang melalui karya masih lagi belum selesai. Setakat yang termampu, saya cuba melakukannya di dalam karya-karya saya seperti “Ziarah Izrail”, “Kasih di Pintu Rahim” dan “Antara Dua Pusara”.

“Di Bawah Lindungan Hudaibiyah” pula ialah cetusan yang saya peroleh setelah membaca blog seorang sahabat dan pengalaman beliau menjadi imam di sebuah masjid di Asakusa, Jepun dan bagaimana isterinya berperanan menjadi pembimbing kepada mualaf di sana. Pengalaman menikahkan pasangan di dalam bahasa Jepun adalah sesuatu yang menarik dan dalam kerancakan belia Jepun dikatakan mengalami keruntuhan moral, masih ramai yang mahu mendekati Islam; sedangkan di tanah air kita tidak kurang pula jumlah yang meninggalkan ajaran Islam yang sebenar.

Akibat rasa jengkel yang luar biasa terhadap beberapa institusi, saya tidak mungkin dapat meluahkan perasaan itu secara langsung. Lalu, saya hasilkan cerpen-cerpen berbentuk satira yang diwakili oleh tukang masak @ chef sebagai pembawa mesej. Siri cerpen “Resipi Dari Istana” ialah rasa kurang puas hati saya yang harus diselongkar makna yang tersirat.

Selebihnya, terpulanglah kepada pembaca untuk menilai apa yang terkandung di dalam mana-mana cerpen di dalam kumpulan ini. Pengarang hanya menghantar mesej kepada pembaca. Tafsiran dan tanggapan terhadap karya adalah hak pembaca.

Pesan Rindu Seorang Rafik terus dari Ujana Ilmu. 



Ulasan

Zahiruddin Zabidi berkata…
Assalamualaikum puan, tahniah atas kelahiran karya terbaru dan pertama untuk tahun ini.

Alhamdulillah, Nian Hati Salsabila sudah saya poskan semalam. Semoga ia selamat sampai ke rumah puan.

Apapun suka saya maklumkan bahawa naskhah tersebut sangat banyak cela cacatnya, justeru sebarang komen dan cadangan daripada puan amat saya harapkan, terima kasih.
Nisah Haji Haron berkata…
Alaikumussalam.
Alhamdulillah, Allah telah permudahkan banyak perkara dan saya langsung tiada alasan untuk tidak bersyukur kepada-Nya.
Terima kasih atas kiriman tersebut. Insya-Allah, buku ini akan saya kirimkan sebagai kiriman balas. Harap ada alamat disertakan dalam kiriman daripada tuan.

Terima kasih sekali lagi.
Ilham Ainol berkata…
Salam Ziarah Pn Nisah.

Tahniah dari rawang Segamat.Usai dibanjiri air alam yang melimpah dan mengamuk. Kami teruskan juga rutin harian seperti biasa. Membilang bilah-bilah syukur yang tertusuk. Ada hikmah tersisip di kalbu yang menginsafi dan mensyukuri segenap perujian-Nya.
Rumah saya dan isinya selamat tapi rafik saya yang berselerak mendiami wilayah Kg Jawa, Kg Abdullah dan Kg Batu Badak ditenggelami air. Tiada kata mampu digambarkan. Hanya doa dan kata nasihat termampu dizahirkan. Namun mereka bingkas bangun dan tidak menyimpan nada sungut dan kecewa.

Kalau boleh saya mahu dapatkan Rindu Seorang Rafik untuk simpanan. Nanti saya kirimkan ceknya.

Terima kasih Puan Nisah kerna menghadiahi kami sebuah kumpulan cerpen yang berbobot untuk dicerna sebaiknya.
Qaireen Nuha berkata…
salam..
ada cerpen terbitan DBP thun 70-an hingga 90-an tak?
harap boleh share...
thanks
Unknown berkata…
Puan Nisah,

Kalau saya tak silap, 'Minta Secawan Kopi Tenom' pernah tersiar di Dewan Siswa 'kan?

Catatan Popular