Petrosains - Kino - BookXcess

Cuti sekolah seminggu. Anak-anak merengek mahu ke Petrosains sejak cuti sekolah yang lepas. Namun, ketika itu kami hanya dapat lihat dari jauh kerana tiket sudah habis. Kami 'balas dendam' di Kinokuniya yang tidak kurang membahagiakan.

Menonton Animasi 3-D
Cuti kali ini kami mencuba lagi. Kali ini keluar awal dan mengambil kesempatan cuti Tahun Baharu Cina. Kuala Lumpur lengang. KLCC juga tidak sesesak selalu.

Berjaya!

Anak-anak sangat teruja. Gambaran yang mereka dapat dari TVIQ dan subjek sains dari Tutor TV dapat dilihat aplikasinya di sini. Salah seorang anak memberitahu betapa mencabar dan hebatnya kerjaya jurutera petroleum. Kami 'diterbangkan' ke pelantar minyak melalui simulator helikopter yang turut bergerak, merempuh kilat dan petir sehinggalah sampai ke destinasi.

Mencuba alat Pembilang Gieger (Gieger Counter)
Sains adalah sesuatu yang menarik apabila berada di luar buku teks. Imaginasi kanak-kanak tentang kehebatan sains dan matematik haruslah dibantu secara visual dan pengalaman.

4 jam kami di dalamnya! Sungguh tidak terasa. Saya kasihan kepada anak-anak luar bandar atau mereka yang tidak mampu menghantar anak-anak untuk merasai pengalaman ini. Bagi orang dewasa, kita tahu semua ini sekadar replika dan simulasi. Namun, ertinya cukup besar kepada kanak-kanak. Saya percaya ramai yang mahu mengubah cita-citanya daripada mahu menjadi guru dan askar setelah melihat sesuatu yang di luar batasan pemikiran mereka ketika itu.

Nota kepada pihak pengurusan Petrosains : Kalian harus adakan juga pameran litar ke seluruh Malaysia. Ini jauh lebih baik daripada konsert Jom Heboh atau uji bakat Akademi Fantasia yang sekadar mengisi hiburan untuk pengguna bernafsu rendah. Mereka perlukan hiburan, jadi tidak boleh salahkan mereka seratus peratus. Namun, jika Petrosains mengadakan pameran litar pasti ada ibu bapa yang tidak berkesempatan ke KLCC akan memanfaatkannya.

Walaupun buku di sini agak mahal, tetapi berkualiti. Saya sendiri lebih menyenangi Kino berbanding MPH. Cuma lokasinya yang menghalang saya datang selalu.

Usai di Petrosains, singgahan ke KLCC pasti tidak lengkap jika tidak membeli sesuatu di Kinokuniya. Kedai buku yang menawarkan buku-buku menarik untuk anak-anak saya. Saya hanya benarkan seorang satu buku buat masa ini. (Satu buku tambahan yang boleh dikongsi bersama-sama). Saya maklumkan yang saya akan bawa mereka ke sebuah kedai buku lain yang menawarkan harga yang lebih rendah dan boleh beli banyak.

Mereka akur.

Selesai solat, kami terus ke BookXcess di Amcorp Mall, Petaling Jaya. Mereka seperti tidak ingin pulang apatah lagi apabila mengetahui buku-buku di sini baru dan murah. Cuma judulnya mungkin terhad. Namun, anak-anak saya yang membaca sangat 'lahap' dan laju ini memerlukan sumber bacaan yang banyak sebagai bahan bakar yang membuka minda mereka.

Tertarik dengan persembahan buku 10 Rules of Writing : Nampak tebal tetapi nipis, namun tebal dengan isi. Buku kedua Yoko Ogawa yang saya beli selepas 'jatuh cinta' dengan The Housekeeper and the Professor). Biografi Tolkien ini nampaknya lebih berfokus tentang penulisannya. The Book That Changed My Life pula mengingatkan saya kepada You've Got to Read This Book.

Saya sendiri tidak dapat menahan rasa dan akhirnya membeli 4 judul buku (seperti gambar di atas). Alhamdulillah, anak-anak saya mahu mementingkan bahan bacaan, ziarah ke tempat berilmu (mereka sangat suka muzium dan perpustakaan juga) dan tidak berapa kisah tentang fesyen terkini. Pada mereka cukuplah pakaian mereka sederhana dan menutup aurat.

Nikmat Tuhan mana lagi yang harus saya sia-siakan?



Ulasan

Tanpa Nama berkata…
Oh BookXcess buka ye? Ingatkan tutup cuti CNY. Rasa macam nak pergi, tapi buku yg belum dibaca sudah bergunung di rumah.
Nisah Haji Haron berkata…
Encik KH,
Pada mulanya saya pun fikir begitu. Jadi, saya telefon BookXcess sehari sebelum untuk buat kepastian. Rugi pula datang dari jauh lepas tu kedainya tutup. Lagipun, sudah berjanji dengan anak-anak untuk belikan banyak buku.
encik kerani berkata…
Begitulah Kak Nisah. Akhir zaman ini, kapitalisma terlalu berleluasa hinggakan merebak ke bidang ilmu. Yang pandai bertambah pandai, yang bodoh bertambah bodoh.
Jadi AF, Kamilah Bintang, Idola Kscil dan Pilih Kasih akan diteruskan.

Entah kenapa saya sangat suka untuk menyalahkan pemerintah dalam hal ini kerana bagi saya, pemerintah memang sengaja mahu menutup lubang ilmu kepada pemudanya untuk melemahkan mereka (jadi mereka tidak akan bangkit menentang).

Kasihan kepada kami yang berada di luar bandar ini. Kami kekurangan kedai buku dan kekurangan pameran ilmu (ya, seperti petrosains bergerak dan jurassic park ;)). Mungkin bertambahnya kedai online akan menutup kelemahan ini tetapi bagi saya, aktiviti membeli buku adalah satu aktiviti sosial/riadah bersama keluarga. (seperti yang dilakukan oleh kak nisah)

Catatan Popular