Siri Hanani dan Semberani #1 : Kawan Baru Hanani



KAWAN BARU HANANI
Penulis : Nisah Haron 
Pelukis : Emila Yusof
RM 9.90
ISBN: 978-967-0184-53-1
~48 hlm
Saiz buku : A4
Warna-warni pada setiap halaman (Full-colour)
Bahasa Melayu

Siri Hanani dan Semberani mempersembahkan kepada adik-adik kisah Hanani dengan dunia imaginasinya yang memberikan pengajaran dan nilai-nilai yang boleh dicontohi dalam kehidupan seharian. Kisah-kisah yang terdapat dalam Kawan Baru Hanani ini adalah:

- Si Pelangi dan Kawan-Kawan
- Pasu Ungu Mama
- Pulangkan Saya! Pulangkan Saya!
- Chef Hanani
 
Fragmen cerita : 

Kenapa ni, sayang? Nani tak sukakah dengan rumah baru ni?” Nek Wan cuba mencungkil perasaannya.
Kali ini Hanani menggeleng pula.

“Lalu, kenapa Nek Wan tengok Nani macam tak berapa suka sejak kita pindah ke sini.”
Hanani masih mendiamkan diri.

“Ceritalah pada Nek Wan. Kita sudah berjanji sejak dulu, bukan? Tiada rahsia di antara kita berdua, sayang.”

Serba salah, Hanani perlahan-lahan mencari jari-jemari Nek Wan seolah-olah mencari kekuatan.

“Nek Wan, tak ada orang nak kawan dengan Nani,” katanya tiba-tiba dan matanya berkaca-kaca.

“Mengapa pula tak ada kawan? Nek Wan kan ada. Sebab tu Nek Wan datang sebab nak temankan Nani sementara mama Nani pergi bekerja.” Rangkulan Nek Wan pada bahu Hanani semakin erat.

“Itu di rumah, Nek Wan. Tapi, ini sekolah baru. Belum tentu ada orang hendak kawan dengan Nani. Nani rindu dengan kawan-kawan di sekolah lama.”

Nek Wan memahami apa yang Hanani rasakan. Sebagai anak tunggal kepada pasangan Encik Amirul dan Puan Alijah, Hanani sering bersendirian. Atas alasan itu juga, Nek Wan menerima permintaan anaknya, Encik Amirul supaya selalu datang ke rumah baharu mereka. Hanani tidak keseorangan apabila pulang dari sekolah, jika Nek Wan ada.

“Nani usah bimbang. Nek Wan percaya semua orang mesti suka pada Nani sebab Nani budak yang baik hati. Nek Wan pun suka datang ke rumah Nani sebab Nani suka menolong Nek Wan dan mama.”

Hanani hanya tunduk memandang lantai. Masih ada rasa bimbang untuk menghadapi hari esok.
“Nani, Nek Wan datang ke bilik ni sebab nak beri sesuatu.”

Perlahan-lahan Hanani mengangkat wajahnya.

“Ini hadiah untuk Nani sempena dapat rumah baru dan bilik baru!”

“Iya, Nek Wan?” Matanya bundar memandang bungkusan hadiah yang diletakkan di dalam beg kertas.

“Ya. Ini untuk Nani.” Senyuman cerianya kembali pada wajah.

Tangannya segera mengeluarkan sebuah kotak dari dalam beg kertas itu. Ada sebuah buku berkulit keras yang berwarna merah jambu di dalamnya. Di sisi kotak itu ada tiga buah kuda mainan.
Bentuk kuda ini pelik pada pandangan Hanani kerana setiap satunya mempunyai sayap. Ada yang satu warna dan ada pula yang berwarna-warni.

“Kuda ini cantik-cantik, Nek Wan. Bulu tengkuknya lembut dan berwarna-warni. Ekornya juga cantik. Terima kasih, Nek Wan!” Hanani terus merangkul neneknya.

“Kalau Nani suka, nanti bolehlah semberani ini kita namakan.”

“Semberani tu apa, Nek Wan?” mata Hanani bertambah bundar.

Nek Wan mengangkat satu daripada kuda yang bersayap itu lalu menjelaskan, “Semberani ialah kuda yang boleh terbang. Dalam hikayat Melayu lama, ada banyak yang menyebut tentang semberani membawa putera dan puteri terbang di kayangan.”

“Oh, semberani namanya. Jadi kuda bersayap ini bukanlah seperti kuda biasa?”

“Semberani sangat istimewa, Nani. Semberani sangat setia kepada tuannya, kuat semangat dan boleh berkata-kata. Jadi, tuannya tidak pernah kesunyian jika berada di samping semberaninya.”


Buku ini dijangka terbit pada : 22 Apr 2011
Temui Nisah Haron dan Emila Yusof untuk promosi buku ini pada 30 April 2011 (Sabtu) pukul 2.30 petang di Dewan Tun Dr. Ismail, PWTC (Grup buku Karangkraf) sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2011













Ulasan

Catatan Popular