Kembara Sastera 10 : Lake District Bhg. 4

Di kawasan menuju Muzium William Woodsworth di Grasmere, Lake District
Awal pagi saya telah sedar. Apatah lagi, pada musim panas, subuh sangat awal di daerah ini (sekitar 3.30 pagi) dan 4.30 pagi matahari sudah memancarkan cahaya paginya.
Sebelum bersarapan, saya menulis catatan di luar cottage dengan iringan suara burung dan desiran angin dingin, sambil sesekali cahaya matahari mencuri-curi jelingannya pada buku catatan saya.Catatan dengan tulisan tangan itu mesti saya lakukan sebelum saya lupa akan hal-hal yang rinci mengenai kembara ini. 
imej dari sini
Usai sarapan, saya ke Tourist Information Centre dan membeli beberapa keping poskad. Ada beberapa penerima terpilih (yang sempat saya bawa alamat mereka) dan terus saya pos di situ. Hal yang menarik ketika kembara di UK dan khususnya di kawasan pusat pelancongan, ada banyak peti surat warna merah merata-rata. Peti surat ini sangat ikonik dan sering juga dijual sebagai cenderamata dalam bentuk rantai kunci atau fridge magnet.

Maklumat dari petugas di Tourist Information Centre amat membantu untuk saya ke Grasmere, lokasi pertama untuk pagi itu. Saya mahu ke Muzium William Woodsworth, seorang daripada penyair yang dikenali sebagai The Lakeland Poets. Untuk itu, saya mengambil bas yang menuju ke Grasmere dan berhenti di rumah Woodsworth yang dinamakan Dove Cottage.

Khabarnya, sebelum ada pembangunan di kawasan hadapan rumah Woodsworth ini, tingkap rumahnya memang berhadapan dengan Tasik Grasmere - sebuah lagi tasik yang terkenal di kawasan Lake District. Kalau kita melihat peta Lake District, di sini ada banyak tasik yang terbentuk secara semula jadi dan tidak hairanlah kawasan ini terus mendapat nama 'Daerah Tasik' - jika diterjemah secara langsung. Berbeza dengan Tasik Windermere yang lebih besar dari Tasik Grasmere, tasik ini juga tidak ada bot pelancong untuk menyeberang. Barangkali oleh sebab saiznya yang lebih kecil. Pada saya, keadaan ini menyebabkan kawasan tasik ini nampak lebih terpelihara kerana tiada 'gangguan' manusia.

Kampung Grasmere yang lebih kecil dari Ambleside tentunya, lebih segar dan tidak ramai yang mahu ke kawasan ini berbanding di Ambleside atau di pekan Windermere sendiri.

Tasik Grasmere, Lake District
Ketika saya sampai di Dove Cottage, ada sekumpulan pelancong dari Jepun (atau mungkin Korea?) sedang bergambar-gambar di luar cottage ini. Saya pun, tumpang sama dan meminta mereka tolong ambilkan gambar saya di sini. Ada banyak barang yang dikekalkan di dalam muzium ini dan dijaga dengan sebegitu baik. Kita seolah-olah dihantar kembali ke zaman ketika Woodsworth menulis puisi-puisinya. Saya boleh bayangkan dia duduk di atas kerusi santainya dan melontarkan pandangan ke arah Tasik Grasmere (kini sudah terhalang oleh bangunan yang diwujudkan lebih kemudian) lalu menulis puisinya yang terkenal iaitu :

The Daffodil

I wandered lonely as a Cloud
That floats on high o'er Vales and Hills,
When all at once I saw a crowd
A host of dancing Daffodils;
Along the Lake, beneath the trees,
Ten thousand dancing in the breeze.

The waves beside them danced, but they
Outdid the sparkling waves in glee: --
A poet could not but be gay
In such a laughing company:
I gazed -- and gazed -- but little thought
What wealth the show to me had brought:

For oft when on my couch I lie
In vacant or in pensive mood,
They flash upon that inward eye
Which is the bliss of solitude,
And then my heart with pleasure fills,
And dances with the Daffodils.


William Woodsworth
1807

(sumber puisi dari sini)

Bahagian luar Dove Cottage yang sudah dipanjat bunga mawar.
Pasti harum baunya jika berada di sebelah jendela itu.
Bahagian yang paling suka di kawasan rumah Woodsworth ini ialah kebun kecil sekali gus taman di luar rumahnya. Ada banyak tanaman yang boleh dimanfaatkan di dapur dan ada juga bunga-bungaan yang menghiasi cottage itu. Bunga ros liar dan ros Inggeris, tak perlu diceritakan lagi. Seperti mana bunga daisy putih yang tumbuh di mana-mana, bunga ros juga adalah tumbuhan yang sangat biasa di sini. Namun, yang paling mencuri perhatian saya ialah bagaimana tulisan-tulisan yang diukir (etch) pada kepingan batu dan diletakkan pada tumbuhan yang berkenaan.

Hampir setiap batas ada petikan puisi seperti dalam gambar ini
Ini mengingatkan saya bagaimana dalam Lentera Mustika saya ada meletakkan pantun-pantun Melayu di taman-taman dan saya mahu supaya Ainur Mustika mengabadikan pantun-pantun itu di kawasan taman universiti. Ah, sangat sinonim dan relevan benar pertemuan di Dove Cottage ini!

Bunga Foxglove yang banyak
menghiasi kawasan
countryside di sini.
Dengan berat hati, saya harus tinggalkan Dove Cottage yang mengabadikan seorang penyair romantis, saudara perempuannya (Dorothy Woodsworth - juga seorang penyair) dan isterinya Mary.

Tempat ini terlalu indah dan tenang. Tidak hairanlah ramai penulis menghabiskan masa di sini. Menulis tidak memerlukan tempat khusus seperti ini, tetapi tempat yang menawarkan ketenangan pastilah melahirkan inspirasi kepada insan-insan seni.

Woodsworth dan sahabat-sahabat penyairnya seperti Coleridge, Southey dan Ruskin; serta tidak ketinggalan Beatrix Potter telah menjadikan Lake District tempat mereka bermastautin dan mengabadikan juga tempat ini di dalam karya-karya mereka. Tidak cukup dengan itu kerajaan tempatannya menghidupkan kembali tempat ini dengan mengekalkan apa yang ada dan membesar-besarkan legenda tempat ini sebagai tarikan kepada pelancong.

Saya terus membayangkan mengapa di tempat saya tiada siapa yang mahu menghidupkan Kampung Talang yang pernah diabadikan oleh penyair Dharmawijaya, 'menghidupkan' Perang Bukit Putus (atau mengadakan satu muzium khusus tentang perang ini) sepanjang jalan sehinggalah ke Bukit Kerdas yang telah dijadikan Teratak Za'ba, di Batu Kikir, Negeri Sembilan.

Saya fikir ada sesuatu yang boleh dilakukan oleh pihak berkuasa. Muzium bukanlah tempat menghimpunkan artifak yang mati, tetapi muzium ialah tempat artifak dan sejarah lampau 'dihidupkan' semula.

Lokasi berikutnya : Edinburgh




Ulasan

Leyla Shuri berkata…
as salam nisah haron,
cuba kalau baca puisi The daffodil pada bulan Mac dalam padang yg penuh dgn bunga daffodil seperti salah satu shot dlm Doctor Zhivago, mesti terasa menusuk hati.
Getah pada bunga foxglove itu amat beracun. elok elak dari menyentuh bunga ini.
Enjoy!
Nisah Haji Haron berkata…
Puan JahRera,
Ah, saya boleh bayangkan keindahan yang puan cuba gambarkan itu. Ketika ini musim panas, dan tidak banyak bunga seperti daffodil, itu pun sudah cukup indah kawasan ini. Agaknya, pada musim bunga pastilah lebih indah!

Ya, saya tahu kemudiannya bahawa getah foxglove ini beracun. Mujur tak usik apa-apa.

Terima kasih.

Catatan Popular