Selasa, Jun 21, 2011

Kembara Sastera 12 : Edinburgh Bhg. 2

Sarapan dahulu, sebelum ke mana-mana
Lokasi : Edinburgh Central Youth Hostel, Leith Walk
Sebelum mengesahkan tiket untuk Kembara Sastera ke UK dan Dublin ini, ada banyak buku yang saya beli dan baca untuk mendapatkan lagi panduan tentang lokasi yang bakal saya jejaki. Membaca buku travel biasanya akan memberikan lokasi tempat-tempat beli-belah, pub dan sebagainya.

Untuk mendapatkan tempat-tempat yang memberitahu kita pusat-pusat sastera, penulis, kedai-kedai buku dan sebagainya, harus cari buku-buku yang berkenaan. Kalau rajin, cari juga di internet kerana maklumatnya lebih terkini.

Sebelum sampai ke Edinburgh, seperti dalam entri saya yang lalu, saya mengkaji pusat-pusat kesusasteraan dan mencari tanda-tanda mengapa Edinburgh dinobatkan sebagai City of Literature oleh UNESCO. Kalau tempat itu tinggal sejarah sekali pun, saya mahu lihat kesannya.

Hal itu menemukan saya pada buku-buku berikut :

Reading Round Edinburgh -
A Guide to Children's Books of the City
Prakata oleh J.K. Rowlings
The Literary Traveller in Edinburgh
oleh Allan Foster

















Peta yang mudah (untuk kanak-kanak) dalam buku "Reading Round Edinburgh"
 Kedua-dua buku ini amat membantu pergerakan saya dalam mencari destinasi yang berkaitan dengan buku dan penulis di Edinburgh. Perkara pertama yang saya lakukan pada awal pagi pertama di Edinburgh ialah berjalan kaki dari Leith Walk ke Princes Street Garden. Agak jauh juga dan perjalanannya agak mendaki namun, cuaca pagi yang dingin menjadikan aktiviti berjalan kaki di sini jauh berbeza dengan apa yang kita alami di Malaysia.

Patung Sir Walter Scott di belakang saya itu sedang
memegang buku. Saya terpanggil untuk membaca
di Princes Street Garden yang damai lagi nyaman ini

Di Princes Street Garden, saya keluarkan tripod (yang sama tinggi dengan saya) dan bergambar sepuas-puasnya sambil Tugu Sir Walter Scott dan Tugu Livingstone yang memandang saya dari jauh. Taman ini bertentangan dengan Stesen Edinburgh Waverly dan juga Jambatan Waverly. Saya boleh katakan kawasan inilah yang menghidupkan nama Sir Walter Scott. Memang tidak ada apa-apa di Scott Monument atau Tugu Sir Walter Scott ini kecuali patung-patung (dan ada banyak lagi patung di sekeliling Princes Street Garden yang tidak dapat saya kenal pasti setiap satunya). Namun, inilah cara orang Edinburgh mengangkat kepengarangan seorang tokoh penulis yang hidup berabad-abad yang lalu (lahir pada 15 Ogos 1771 dan meninggal pada 21 September 1832).

Antara buku terkenal Sir Walter Scott ialah Ivanhoe, Rob Roy dan Waverly. Buku-buku beliau yang lain ialah The Lady of The LakeThe Heart of Midlothian and The Bride of Lammermoor. Mungkin tidak ramai yang membaca buku-buku tulisannya, malah saya sendiri hanya pernah membaca Ivanhoe tanpa menyedari bahawa ia ditulis oleh Walter Scott kerana usia yang masih muda. Mengagungkan pengarang dengan mengabadikan judul karyanya pada nama stesen dan juga jambatan selain membina sebuah tugu menyebabkan saya sendiri ingin membaca lagi karya-karyanya dan ingin tahu apa yang menyebabkan warga Edinburgh mengangkat diri pengarang ini. Tidak kurang dengan itu, novelnya Waverly, khususnya, dan karya-karyanya yang lain dijual merata-rata kedai buku dan juga kedai serbaneka di sini.


Apalah erti sebuah taman tanpa bunga-bungaan
Hal ini wajar dicontohi - cuma dalam hal membina tugu, tidak perlu membina patung, cukup sebagai tanda seperti imej buku yang dibuat di persimpangan Serting ke Bandar Muazzam, khas untuk Za'ba (sayangnya, lokasi itu bukanlah lokasi pelancongan). Karya pengarang itu dibesar-besarkan dan dibina fenomenanya oleh pihak berwajib. Lantas, ini memancing rasa ingin tahu oleh mereka yang belum berkesempatan membaca sebarang karya seseorang penulis. 


Leka bermain-main di Princes Street Garden dan bergambar berlatarbelakangkan banyak bangunan yang cantik ini, saya terus ke National Gallery of Scotland. Sayangnya, saya terlalu awal. Baru pukul 9.45 pagi. Sedangkan galeri itu dibuka pada pukul 10.00 pagi. Saya enggan membuang masa dan terus mendaki anak-anak tangga yang dipanggil Playfair Steps dan sampai di kawasan The Mound. Dari sini, sudah mula boleh nampak sisi tebing Istana Edinburgh. Saya sangat tidak sabar mahu ke kawasan puncak istana, namun saya harus menyabarkan diri. Ada lokasi lain yang mahu saya cari di kawasan Old Town Edinburgh yang penuh dengan lokasi-lokasi menarik. 


Sangat berpuas hati menemui tempat yang selama ini hanya
dibaca di dalam buku dan internet
Melalui kawasan Royal Mile, saya mencari The Writers' Museum. Tempat ini mengabadikan kerja-kerja dan sekaligus muzium untuk tiga pengarang besar Scotland - Sir Walter Scott, Robert Burns dan Robert Louis Stevenson. Robert Burns ialah penyair terkenal Scotland dan sangat diraikan di sini. Masih ingat lagu "Auld Lang Syne"? Lagu itu dikarang oleh Robert Burns. Robert Louis Stevenson, dikenali melalui karyanya Treasure Island, Kidnapped dan The Strange Case of Dr. Jekyll and Mr Hyde



Muzium ini menyimpan contoh-contoh manuskrip, alat tulis termasuk mesin taip yang digunakan, paip, dan banyak tinggalan lain. The Writers' Museum ada 3 tingkat (2 atas tanah, satu lagi di bawah tanah). Setiap tingkat dikhususkan kepada seorang pengarang. 

Kegembiraan yang tidak dapat disembunyikan lagi!
 Paling menarik : masuk percuma!

Kedai cenderamata? Tentu sekali ada. Pun, saya cepat sedar diri kerana kembara ini masih jauh. Buku-buku dan pamflet yang telah dikutip selama ini juga sudah agak berat. Saya bimbang tidak dapat terbang ke Dublin kerana penerbangan RyanAir tidak berkompromi dalam hal-hal berat beg. Mereka tidak teragak-agak untuk mengenakan harga yang tinggi bagi bagasi yang lebih had.

Oleh itu, saya capai buku yang berkaitan dengan The Writers' Museum, dan sebuah buku kecil yang mengandungi puisi-puisi Robert Burns sebagai tanda kenangan saya pernah sampai di sini. Hadirnya saya di sini sahaja, saya mendapat lebih daripada apa yang saya jangkakan. Selebihnya, saya abadikan dengan panca indera yang ada kerana tidak semua yang saya alami di sini dapat saya terjemahkan dalam kata-kata.

Akan datang : Ada apa di Istana Edinburgh dan keistimewaan The Royal Mile.







5 ulasan:

Zulkifli Abu berkata...

Nisah! Saya suka Edinburgh kerana arkitekturnya. Walaupun bangunan lama, ianya terpelihara indah. Begitu juga jalannnya. Jalan di tengah-tengah kota Edinburgh masih menggunakan batu-batu besar yang kini telah tua. Ada peristiwa menarik di sini. Anak kedua saya, Siti Atiqah `tercuri' bear yang dijual disitu. Kongsinya di ceritaapaapasaja.blogspot.com

Nisah Haji Haron berkata...

Tuan Haji Zul,
Benar, seni binanya mengagumkan. Saya terasa seperti berada di dunia yang lain, ketika pertama kali keluar dari Stesen Edinburgh Waverly.

Cobblestone yang sangat sinonim dengan kawasan Royal Mile itu memang seronok berjalan di atasnya. Mujur saya pakai kasut sukan, kalau guna kasut tumit tinggi memang sengsara!

mokjadeandell berkata...

Salam.
Tulisan puan mengingatkan saya ttg Edingurgh 20 tahun lampau.Royal Mile,Leith Street,palaces.Nostalgik.
Kalau ada kemampuan,mau rasanya terbang ke sana.

Nisah Haji Haron berkata...

Salam kembali Puan Mokjadeandell,
Terima kasih kerana sudi mengikuti catatan kembara ini. Semoga semakin menyuburkan nostalgia dan mengundang kenangan-kenangan yang manis!

saat omar berkata...

ya, Scotland memang memberi inspirasi. Banyak penulis Britain 'lari' ke Scotland bila mahu menulis. Kes yang terkenal sudah tentulah JK Rowling.

Related Posts with Thumbnails