Kembara Sastera 12 : Edinburgh Bhg. 2
Sarapan dahulu, sebelum ke mana-mana Lokasi : Edinburgh Central Youth Hostel, Leith Walk |
Untuk mendapatkan tempat-tempat yang memberitahu kita pusat-pusat sastera, penulis, kedai-kedai buku dan sebagainya, harus cari buku-buku yang berkenaan. Kalau rajin, cari juga di internet kerana maklumatnya lebih terkini.
Sebelum sampai ke Edinburgh, seperti dalam entri saya yang lalu, saya mengkaji pusat-pusat kesusasteraan dan mencari tanda-tanda mengapa Edinburgh dinobatkan sebagai City of Literature oleh UNESCO. Kalau tempat itu tinggal sejarah sekali pun, saya mahu lihat kesannya.
Hal itu menemukan saya pada buku-buku berikut :
Reading Round Edinburgh - A Guide to Children's Books of the City Prakata oleh J.K. Rowlings |
The Literary Traveller in Edinburgh oleh Allan Foster |
Peta yang mudah (untuk kanak-kanak) dalam buku "Reading Round Edinburgh" |
Patung Sir Walter Scott di belakang saya itu sedang memegang buku. Saya terpanggil untuk membaca di Princes Street Garden yang damai lagi nyaman ini |
Antara buku terkenal Sir Walter Scott ialah Ivanhoe, Rob Roy dan Waverly. Buku-buku beliau yang lain ialah The Lady of The Lake, The Heart of Midlothian and The Bride of Lammermoor. Mungkin tidak ramai yang membaca buku-buku tulisannya, malah saya sendiri hanya pernah membaca Ivanhoe tanpa menyedari bahawa ia ditulis oleh Walter Scott kerana usia yang masih muda. Mengagungkan pengarang dengan mengabadikan judul karyanya pada nama stesen dan juga jambatan selain membina sebuah tugu menyebabkan saya sendiri ingin membaca lagi karya-karyanya dan ingin tahu apa yang menyebabkan warga Edinburgh mengangkat diri pengarang ini. Tidak kurang dengan itu, novelnya Waverly, khususnya, dan karya-karyanya yang lain dijual merata-rata kedai buku dan juga kedai serbaneka di sini.
Apalah erti sebuah taman tanpa bunga-bungaan |
Leka bermain-main di Princes Street Garden dan bergambar berlatarbelakangkan banyak bangunan yang cantik ini, saya terus ke National Gallery of Scotland. Sayangnya, saya terlalu awal. Baru pukul 9.45 pagi. Sedangkan galeri itu dibuka pada pukul 10.00 pagi. Saya enggan membuang masa dan terus mendaki anak-anak tangga yang dipanggil Playfair Steps dan sampai di kawasan The Mound. Dari sini, sudah mula boleh nampak sisi tebing Istana Edinburgh. Saya sangat tidak sabar mahu ke kawasan puncak istana, namun saya harus menyabarkan diri. Ada lokasi lain yang mahu saya cari di kawasan Old Town Edinburgh yang penuh dengan lokasi-lokasi menarik.
Sangat berpuas hati menemui tempat yang selama ini hanya dibaca di dalam buku dan internet |
Muzium ini menyimpan contoh-contoh manuskrip, alat tulis termasuk mesin taip yang digunakan, paip, dan banyak tinggalan lain. The Writers' Museum ada 3 tingkat (2 atas tanah, satu lagi di bawah tanah). Setiap tingkat dikhususkan kepada seorang pengarang.
Kegembiraan yang tidak dapat disembunyikan lagi! |
Kedai cenderamata? Tentu sekali ada. Pun, saya cepat sedar diri kerana kembara ini masih jauh. Buku-buku dan pamflet yang telah dikutip selama ini juga sudah agak berat. Saya bimbang tidak dapat terbang ke Dublin kerana penerbangan RyanAir tidak berkompromi dalam hal-hal berat beg. Mereka tidak teragak-agak untuk mengenakan harga yang tinggi bagi bagasi yang lebih had.
Oleh itu, saya capai buku yang berkaitan dengan The Writers' Museum, dan sebuah buku kecil yang mengandungi puisi-puisi Robert Burns sebagai tanda kenangan saya pernah sampai di sini. Hadirnya saya di sini sahaja, saya mendapat lebih daripada apa yang saya jangkakan. Selebihnya, saya abadikan dengan panca indera yang ada kerana tidak semua yang saya alami di sini dapat saya terjemahkan dalam kata-kata.
Akan datang : Ada apa di Istana Edinburgh dan keistimewaan The Royal Mile.
Ulasan
Benar, seni binanya mengagumkan. Saya terasa seperti berada di dunia yang lain, ketika pertama kali keluar dari Stesen Edinburgh Waverly.
Cobblestone yang sangat sinonim dengan kawasan Royal Mile itu memang seronok berjalan di atasnya. Mujur saya pakai kasut sukan, kalau guna kasut tumit tinggi memang sengsara!
Tulisan puan mengingatkan saya ttg Edingurgh 20 tahun lampau.Royal Mile,Leith Street,palaces.Nostalgik.
Kalau ada kemampuan,mau rasanya terbang ke sana.
Terima kasih kerana sudi mengikuti catatan kembara ini. Semoga semakin menyuburkan nostalgia dan mengundang kenangan-kenangan yang manis!