Kembara Sastera 3 : Stratford-upon-Avon

Hadapan rumah Shakespeare

Sastera Inggeris memang tidak lengkap kalau tidak mengetahui drama-drama Shakespeare.Lalu, kembara sastera ke bumi England ini pastilah tidak lengkap jika tidak melawat tempat yang menjadi kebanggaan para peminat sastera Inggeris ini : Stratford-upon-Avon. 
Kedai buku yang menjual khusus buku Shakespeare juga
cenderamata
Pintu masuk The Shakespeare Centre

Tempat ini ialah tempat kelahiran Shakespeare dan tidak jauh dari kawasan bandar ini ada Anne Hathaway's Cottage dan Mary Arden's Garden. Jangan keliru dengan Anne Hathaway yang pelakon filem The Devil Wears Prada. Anne Hathaway yang saya maksudkan ini ialah isteri Shakespeare. 
Stratford-upon-Avon hanyalah sebuah pekan kecil yang menjadi besar kerana sastera. Kerajaan tempatannya mengambil serius dalam hal-hal seni dan sastera. Segalanya tentang Shakespeare dimanipulasi semaksimum mungkin. Di sini bukan sahaja ada muzium, kedai buku, kedai cenderamata, kedai makan, kedai bunga dan macam-macam lagi, segala-galanya berkaitan dengan Shakespeare. 
Sengaja dibina tugu-tugu, semuanya berkaitan dengan watak-watak dalam karya-karya Shakespeare seperti Lady Macbeth, Hamlet dan Falstaff. Semuanya diperbesarkan dan memberi makna kepada mereka yang memahaminya.
Mereka yang datang itu belum tentu pun sudah membaca karya-karya Shakespeare. Mungkin mereka itu hanya pernah dengar nama sahaja. Tapi, itu tidak penting. Di Malaysia, kalau ada pun nama pengarang yang memang dikenali namanya, barangkali A.Samad Said sahaja. Pak Samad memang sudah sampai tahap ikon sastera. Orang akan datang dan mahu bergambar dengannya, walaupun tak pernah sebaris pun membaca karya Pak Samad, sama ada novel, cerpen, puisi atau pun drama-dramanya. Pun, itu bukan soal. Pak Samad telah menaikkan sastera ke satu takah yang belum dapat dilakukan oleh pengarang lain.

Saya masih membayangkan sama ada usaha yang demikian mampu dilakukan oleh kerajaan tempatan di tempat saya ini. Saya masih terkesan apabila barang-barang peribadi Za'ba juga tidak mampu dijaga dengan baik. Sedangkan, kita masih lagi tidak ada suatu bentuk writer's museum di mana-mana tempat di Malaysia.
  

Ulasan

emilayusof berkata…
Alangkah bagusnya jika ada Writer's Museum di Malaysia. Kita dapat lihat hasil-hasil kerja asal penulis-penulis dari A sampai Z. Contohnya seperti yang Pak Samad hasilkan dalam buku beliau yang bertajuk Dirgahayu Dr. Mahathir.
Nisah Haji Haron berkata…
Emila,
Memang betul tu. Kita di sini meraikan penulis secara bermusim. Saya membayangkan pihak Perpustakaan Negara mempunyai sebuah muzium penulis. Kita pula jarang mengabadikan apa yang ada, malah mahu dibuang begitu sahaja. Lihat sahaja apa yang terjadi kepada Penjara Pudu. Muzium kita pula tidak berkembang dan tidak interaktif. Hanya sekadar susun artifak dan letak label.

Catatan Popular