Kembara Sastera 4: Hay-on-Wye Bhg. 2

Di pintu masuk utama Hay Festival

Sekitar pukul 11.00 pagi selesai merayau di Hay Festival.  Apa yang ada di Hay Festival? Di sini tempat berlangsungnya acara-acara sastera dan acara yang berkaitan dengan buku. Ada sesi bersama-sama pengarang, sesi autograf, pameran seni dan budaya. Di sini bukanlah sebuah pesta buku seperti yang ada di KLIBF atau mana-mana pesta buku yang kita tahu di Malaysia.



Di sini juga ada banyak orang jual bunga dan peralatan taman kerana orang-orang Inggeris, khususnya di kawasan countryside amat akrab dengan taman. Bayangkan sahajalah cottage yang pernah dibaca di dalam buku-buku, sebuah cottage mesti ada taman kecil di depan rumah. taman itu juga boleh sahaja taman bunga campur kebun sayur.

Menjual barang berkaitan dengan taman.
Jag ini digunakan sebagai pasu untuk
bunga-bunga kecil.
Pada musim panas seperti sekarang, walau pun cuaca panas, anginnya masih dingin. Terasa seperti ada pendingin hawa terbuka di luar rumah. Jadi, masa inilah mereka duduk-duduk atas padang, tengah laman atau di mana-mana tempat terbuka bersantai dengan sebuah buku.

Ada ungkapan yang menyatakan, jika seseorang itu punya perpustakaan dan sebuah taman bunga, berertinya hidupnya sudah lengkap.

Sangat suka cara mereka menghias tangga, tingkap dan
bahagian luar rumah dengan bunga begini.
Beli sekeping poskad yang mengabadikan tulisan Hemingway : Hanya orang yang bersedia untuk pergi jauh, akan tahu berapa jauh dia mampu pergi. Wah! Sungguh mendapat semangat apabila membaca catatan itu. Kata Goethe pula : Apa sahaja impian yang difikirkan boleh, lakukan sahaja. Dalam keyakinan dan keberanian itu ada kebijaksaan, kuasa dan sesuatu yang magis. Lakukan sekarang!

Dengan kata-kata itu, dan ingatan bahawa Allah sentiasa bersama-sama saya. perjalan ke tempat asing ini saya lakukan; dengan bekalan yang sederhana dan persediaan seadanya.

Tiket bas ulang-alik di Hay Festival
Saya bertolak dari Hereford ke Hay-On-Wye menggunakan bas No.39 ke Breacon yang melalui pekan Hay-on-Wye. Paling seronok seperti yang telah saya katakan sebelum ini ialah pemandangan kawasan kampung yang amat indah. Pengalamannya sungguh berbeza. Apabila sampai di pekan Hay-on-Wye, ada bas ulang-alik disediakan oleh pemilik kedai buku Richard Booth. Tiketnya hanya 1 pound. Boleh turun naik berkali-kali dalam sehari. Destinasinya : Hay Festival dan 2 perhentian lagi di dalam pekan buku. Hay Festival diadakan di kawasan luar daripada pekan buku ini. Ada lokasi khusus.

Pekan Hay-On-Wye, yang menjadi pekan buku pertama dunia tumbuh secara organik di sini. Dalam deretan kedai di pekan ini, selang satu dua kedai ialah kedai buku. Kedai-kedai ini ada yang mengkhusus menjual buku terpakai seperti pelopornya Richard Booth, yang memiliki kedai buku Richard Booth's Bookshop. Selain daripada itu, kedai-kedai buku yang lain ada yang mempunyai pengkhususan tertentu seperti kedai buku yang khusus menjual peta, khusus menjual buku thriller dan macam-macam lagi. Ada juga kedai yang hanya menjilid buku (bookbinders).

Suka hendak digambarkan perasaan saya pada ketika itu. Hanya pencinta buku sahaja yang tahu!

Budaya membaca yang sangat subur di sini.
Tengah panas terik (tapi anginnya nyaman) pun nenek ini
boleh membaca akhbar
Sempat membeli beberapa keping poskad untuk dihantar kepada keluarga dan juga sahabat yang mencintai buku.

Semoga Kota Buku  yang diimpikan di Kuala Lumpur itu tidak terlalu pretentious sifatnya. Hay-On-Wye lahir daripada mereka yang passionate tentang buku. Bukan mereka yang hanya tahu mengaut untung. Peribadi, saya tidak menyokong Kota Buku harus berada di Kuala Lumpur. Lokasinya harus keluar dari bandar besar tetapi masih mudah untuk dikunjungi. Bandar Seremban sebenarnya jauh lebih baik. Orang buku tidak suka suasana hiruk-pikuk kota. Tak perlu jauh ke dalam bandar, saya terfikir mengapa tidak gudang TESCO lama (dahulu Makro Seremban, kini TESCO juga sudah tidak ada kerana TESCO sudah berpindah di lokasi baharu), dijadikan pusat buku sehenti (one-stop centre).

Ah, macam-macam yang saya fikirkan sepanjang kembara singkat ini.

 Berikut beberapa gambar yang sempat saya rakamkan di sekitar pekan buku Hay-On-Wye :


Kedai buku untuk charity. Buku terpakai dengan harga murah.
Kena rajin belek satu-satu, kalau-kalau ada judul yang menarik
 

Bahagian dalam Kedai Buku Richard Booth


Lokasi berikutnya : Manchester.




Ulasan

Ya, hanya pencinta buku sahaja yang faham. :-)

Saya masih berangan-angan mahu melawat semua kota buku di seluruh dunia. Sehingga kini, baru 3 (Hay-on-Wye, Langkawi, dan Wigtown di Scotland).

Kata-kata Hemingway,Goethe,dan ungkapan mengenai perpustakaan dan taman bunga itu, menusuk hati. Mohon izin puan bagi memetiknya.

Entri puan ini membuatkan saya bersemangat pada pagi ini. :-)
Nisah Haji Haron berkata…
Dr Bubbles,
Ya silakan. Semoga ada manfaat untuk orang lain juga.
Waida Yusof berkata…
Bersetuju. Hanya pencinta buku yang memahami dunia pencinta buku yang lain :)

Terima kasih, Puan. Sebagaimana petikan Hemingway itu menggembirakan Puan, serupa itulah kata-kata itu menusuk ke jiwa saya.

Terima kasih. Semoga selamat mengembara di sana!

-Waida-
Teruja membaca pengembaraan solo kak Nisah. Saya hayati betul-betul dan memetakan perjalanan tersebut dalam buku nota. Suatu hari nanti saya mahu jejaki tempat yang sama juga :-)
Nisah Haji Haron berkata…
Waida,
Kembara sering mengajar sesuatu yang baharu buat kita. Kembara itu juga tidak semestinya ke luar negara. Kembara membuat kita keluar dari zon selesa. Lantas, memaksa akal kita berfikir luar daripada cara yang biasa.
Nisah Haji Haron berkata…
Norziati,
Insya-Allah, perkara yang baik itu akan dibantu Tuhan. Jika sudah sampai ketikanya nanti, kita boleh berbincang dan bertukar-tukar maklumat. Akan saya bantu dengan sedikit pengetahuan yang ada ini.

Catatan Popular