Kembara Sastera 6 : Manchester Bahagian 2

Sewaktu menunggu bas ke Old Trafford & John Rylands Library

Awal pagi sudah bangun. Jam belum lagi pukul 6.00 pagi tetapi hari sudah sangat terang. Saya tidak mampu untuk sambung tidur lagi. Tak berapa lama terdengar loceng pintu berdering. Oleh sebab bilik saya yang paling hampir dengan pintu (kerana tidur di bilik bawah), saya tinjau dan sudah membayangkan Adibah ada di hadapan pintu seperti mana janjinya semalam. Tekaan saya tepat sekali.

Selepas sarapan ringkas di rumah, kami keluar bertemu Shah di jalan besar dan sama-sama ke Old Trafford. Sesungguhnya, saya bukanlah peminat bola apatah lagi Manchester United. Tetapi, memandangkan sudah sampai dan juga ada kiriman dari tanah air yang wajar dilunaskan, saya pergi sahaja. Lagipun, singgahan ke Manchester tentulah tidak lengkap jika tidak ke stadium yang sangat terkenal itu.

Semua orang tahu di mana tempat ini.

Old Trafford dan kedai cenderamata Manchester United ini memang tidak ada kena mengena dengan Kembara Sastera. Namun, di sinilah bagaimana mereka menjadikan segala macam merchandise yang berkaitan dengan kelab bola sepak ini. Pasti ada sesuatu untuk sesiapa sahaja. Kedai ini bukan sekadar menjual jersi dan t-shirt dengan teraan MUFC atau nama bintang legenda bola sepak yang diminati. Sampai apron, botol susu dan barang-barang yang tak terfikir ada terjual di sebuah kedai cenderamata bola sepak ini, ada dijual.

Kembara ini menjadi semakin menarik apabila dapat lalu di kawasan kampus University of Manchester. Oleh sebab Adibah dan Shah kedua-duanya warga universiti ini, mereka menjadi pemandu pelancong dan perjalanan menjadi semakin bermakna. Banyak tempat yang tutup kerana hari itu hari Sabtu. Jalan raya agak lengang.


Di hadapan University of Manchester

Ke mana-mana saya pergi, saya sukakan memerhatikan seni bina bangunan. University of Manchester mempunyai aura yang sesuai sebagai tempat pengajian. Ada roh dan semangat yang menjadikan tempat ini bukan sekadar cantik di luar. It is the soul of a place that gives meaning to the place. Sukar juga untuk saya gambarkan hal itu. Mungkin sama jika kita melihat universiti-universiti yang lama seperti di Oxford, Cambridge, Edinburgh atau Glasgow. Semuanya ada nuansa yang sama.

Bangunan universiti yang moden, cantik dan canggih tidak semestinya melahirkan graduan yang matang. Ini memang saya lihat sendiri. Ini bukan bermakna graduan luar negara itu lebih baik daripada graduan tempatan. Namun, saya percaya cara setiap graduan itu mentafsirkan ilmu dan memberi makna kepada apa yang telah mereka pelajari menjadikan mereka lebih berguna sebagai warga masyarakat. Bukan sekadar dapat "A" berderet-deret tetapi gagal berfungsi dalam masyarakat dan hanya menjadi 'kaki komplen', bersungut dalam gelap tetapi tidak mampu menyalakan lampu bagi menerangi kegelapan itu.

Saya doakan kedua-dua adinda Adibah dan Shahkang Aizat berjaya menjadi graduan yang mampu menyumbangkan sesuatu kepada ummah, insya-Allah.

Tren ke Lake District sudah sampai

Destinasi berikutnya : Lake District


  

Ulasan

Catatan Popular