Kembara Sastera 7 : Lake District Bhg. 1

Bersantai di hadapan Tasik Windermere, Lake District
Tempat ini sudah menjadi legenda (sekurang-kurangnya untuk saya). Mengetahui tentang tempat ini sejak menonton Miss Potter filem yang mengisahkan riwayat hidup Beatrix Potter, penulis buku kanak-kanak yang terkenal. Buku Tales of Peter Rabbit masih lagi beredar di kedai-kedai buku sehingga ke hari ini walaupun sudah terbit sejak awal tahun 1900 lagi.

Sejak itu, saya berangan-angan untuk sampai ke tempat ini pada suatu hari. Alhamdulillah, 'suatu hari' itu akhirnya sampai juga.

Stesen Oxenholme, tempat pertukaran kereta api.
Untuk ke Stesen Windermere, harus naik kereta api yang lain,
kalau tidak kereta api itu bawa penumpangnya ke Edinburgh.
Kereta api dari Manchester Piccadilly meluncur laju ke stesen Oxenholme di Lake District. Saya perlu turun di sini untuk tukar aliran. Ada kereta api lain yang akan bawa saya dari Oxenholme ke Windermere - stesen terakhir di Lake District. Ketika ini saya sudah semakin selesa menaiki kereta api di negeri ini. Saya boleh menulis catatan, membaca atau mengambil gambar melalui cermin tingkapnya.

Pemandangan tepi Tasik Windermere, di Ambleside, Lake District
Tidak ada apa yang saya nantikan ketika bas membawa saya ke Ambleside, pekan kecil yang lebih atas dari Windermere, kecuali mahu melihat keindahan tasiknya. Tidak ada apa yang lebih menyenangkan pemandangan selain tasik yang sangat luas, masih tidak terusik dan udaranya terasa jauh lebih segar dari Manchester yang telah jauh ditinggalkan.

Perkara pertama yang saya cari ialah penginapan saya di Ambleside Backpackers. Saya hanya ada alamatnya. Tempahan juga sudah dibuat melalui internet. GBP18 untuk satu katil (kongsi dengan 6 backpackers wanita lain), termasuk sarapan pagi, kemudahan wi-fi, maklumat untuk mencari tempat-tempat menarik serta khidmat nasihat.

Apabila bertanya dengan orang yang lalu lalang di situ, di manakah Ambleside Backpackers yang terletak di Old Lake Road, ramai yang menggeleng. Wah, jantung saya semakin berdetak laju. Kalau ramai yang tidak tahu, apakah tempat ini benar-benar wujud? Namun, saya tabahkan hati. Tempat ini mesti dicari. Saya yakin Ambleside Backpackers ini tidak jauh dari tempat saya berdiri.

Saya hal yang menarik apabila berkunjung di kawasan yang ramai pelancong ialah mereka ini murah hati untuk membantu. Jika mereka tidak tahu sekalipun, mereka akan cuba buat sesuatu. Ada yang tolong tanyakan kepada penduduk di situ, ada yang mencadangkan saya ke Tourist Information Centre dan apa sahaja yang mereka terdaya. Sekurang-kurangnya, mereka tunjukkan di manakah Tourist Information Centre. Dari situ, saya dapat maklumat tambahan untuk mencari lokasi Ambleside Backpackers yang sangat misterius itu.
Menghadap Tasik Windermere - seperti tidak mahu pulang

Penat badan sudah mula terasa. Beg yang diseret pula sudah terasa semakin berat. Apatah lagi jalan menuju ke tempat yang dimaksudkan ini terletak di atas bukit yang boleh tahan juga penatnya jika mendaki. Setelah tersesat di beberapa lorong kecil, akhirnya saya ditegur oleh pasangan backpackers yang menunjukkan lokasi Ambleside Backpackers. Nampak benar saya ini seperti orang sesat yang sangat memerlukan penginapan pada saat itu.




Ulasan

Catatan Popular