Kembara Sastera 9 : Lake District Bhg. 3

Mendaftar masuk ke Ambleside Backpackers (dan mana-mana hostel juga) amat mudah. Saya telah bayar deposit sebanyak GBP5 secara online. Adam, petugas pada petang itu terus menyambung masuk dengan dokumentasi untuk saya yang telah disediakan.

Peta kedudukan Ambleside, Windermere dan pekan kecil sekitar Lake District

Ketika berurusan dengannya, dia menegur, "Your English is very good. There people from Malaysia who stayed here before but their English is not as good as you are." Saya hanya ucapkan terima kasih sambil dalam hati membayangkan mereka yang baik Bahasa Inggerisnya, barangkali belum tentu memilih untuk tinggal di tempat-tempat yang dianggap murah seperti hostel ini. Ada banyak hotel dan lodge yang bertaburan di kawasan ini. Saya juga ada terlihat pasangan Arab yang duduk di hotel mahal di kawasan Ambleside ini.

Walaupun tempat ini hanyalah sebuah cottage yang telah diubahsuai menjadi hostel, saya kagum dengan kebersihannya dan kecantikan tempat ini yang terjaga dengan rapi. Bilik air dan tandasnya putih berkilat seperti baru pasang semalam. Bilik tidur yang saya tempah berkongsi dengan 5 orang backpackers wanita yang lain. Ada yang dari China, Taiwan dan Canada. Semuanya memang backpackers tegar yang sudah merata-merata kembaranya.

Jeti di pinggir Tasik Windermere untuk menyeberang
Antara tradisi biasa backpackers ialah sifat tolenrasi yang tinggi. Maklumlah, sama-sama menumpang dan berkongsi bilik. Mereka ini biasanya ramah dan bertegur sapa setiap kali bertembung sama ada di bilik, di dapur, di ruang rehat malah di mana sahaja. Ungkapan hello, hi, thank you, sorry dan please; serta memberi laluan kepada orang lain terlebih dahulu adalah perkara biasa. Tidak ketinggalan juga bertukar-tukar maklumat tentang kembara masing-masing dan bertanya lokasi kembara yang seterusnya.


Petang itu, setelah makan tengah hari yang terlewat, saya keluar ke pinggir tasik. (Walaupun sudah hampir 5 petang, belum sempat jamah makanan yang dibungkus dari Al-Jazeera, Manchester). Masa saya tidak banyak di Lake District ini. Esok saya mahu ke muzium dan rumah William Woodsworth dan Beatrix Potter. Tempat Beatrix Potter sahaja ada 3 lokasi yang berasingan. Saya bimbang tidak sempat untuk menikmati daerah ini. Petang esok juga, saya harus berangkat ke Edinburgh. Kalau tidak, saya akan lari dari jadual asal kembara ini.

Burung ini banyak berterbangan di sekitar tasik, sejenis camar
Pinggir Tasik Windermere hanya tidak sampai 10 minit berjalan kaki. Konsep berjalan kaki di sini jauh berbeza dengan berjalan kaki di Kuala Lumpur. Walaupun musim ini ialah musim panas, namun cuacanya tetap dingin seperti hawa di Bukittinggi, Sumatera. Cahaya mataharinya boleh sahaja memancar dan mencarak-carak cahayanya, tetapi hawanya tetap nyaman dan bertambah sejuk menggigit jika ada angin yang bertiup. Oleh sebab itu, sepanjang kembara ini saya tidak boleh menanggalkan jaket yang berfungsi sebagai pemanas badan dan juga pelindung kala gerimis turun tanpa sebarang isyarat awal.

Sampai di pinggir tasik ini saya sungguh terpegun dan terasa seperti mahu menangis melihat keindahan tempat ini. Sesungguhnya, apabila kita menjaga alam, Tuhan akan balas dengan sebaik-baiknya. Tasiknya dan kawasan bukitnya cantik tak tergambar oleh kata-kata. Semuanya bagai tidak terusik oleh tangan manusia. Betapa besarnya wakaf yang telah ditinggalkan oleh pengarang-pengarang seperti Beatrix Potter untuk tempat ini dinikmati generasi hari ini.

Antara bunga yang menjadi kegemaran sepanjang jalan dari hostel ke pekan
Mengikut biografinya, Beatrix Potter, pengarang buku kanak-kanak yang terkenal dengan siri Tales of Peter Rabbit  telah membeli tanah-tanah di kawasan Lake District ini supaya tidak terjual kepada pemaju yang mahu membangunkan kawasan ini. Dengan wang royaltinya, dia membeli banyak ladang (working farms) dan ada yang diusahakannya sendiri. Tanah-tanah yang dibeli itu kemudiannya diwakafkan kepada Lake District National Trust. Hasilnya ialah apa yang dapat dinikmati pada hari ini. Berekar-ekar tanah yang dikekalkan seperti sediakala.

Ada ramai pengarang lain yang turut tinggal di sini selain Beatrix Potter. Antaranya ialah para penyair seperti William Woodsworth dan Samuel Taylor Coleridge juga Robert Southey. Ketiga-tiga penyair itu dikenali sebagai The Lake Poets. Bagi yang mengkaji sastera Inggeris, pasti mengetahui puisinya terkenal Woodsworth iaitu The Daffodil - baris pertamanya berbunyi :

I wandered lonely as a cloud

Tapi, itu cerita lain. Akan saya sambung dalam catatan yang berikutnya.



Ulasan

Fauzan Zain berkata…
Satu perjalanan yang jarang dialami oleh orang lain...
Mawar berkata…
Nis
Si Woodsworth ini adakah penyair yang sama dengan Wordsworth? yang pernah kata puisi adalah luahan kata-kata spontan...?
Nisah Haji Haron berkata…
Sdr Fauzan,
Setiap kembara itu ada pengalaman yang berbeza.

Dr. Mawar,
Saya fikir ya, orang yang sama. Dialah yang pernah berkata :
Poetry is the spontaneous overflow of powerful feelings: it takes its origin from emotion recollected in tranquility. William Wordsworth

Catatan Popular