Kembara Sastera 16 : Edinburgh bhg. akhir

Awal pagi saya bangun untuk menikmati bandar Edinburgh buat kali terakhir sebelum berangkat ke Glasgow sekitar tengah hari. Saya berjalan-jalan sekitar Leith dan melihat kehidupan yang sedikit jauh daripada Pusat Bandar Edinburgh. Kawasan di sini agak tenang pada waktu pagi kerana kebanyakan aktiviti lebih tertumpu di sekitar Princes Street.

Terjumpa poster ini ketika mengambil angin pagi di Leith
 Ketika ini saya sedang memikirkan bagaimana saya harus membawa barang yang sudah semakin bertambah (khususnya buku) yang telah terkumpul sejak awal kembara ini. Malam sebelumnya, saya sudah asingkan sekian banyak buku. Saya tiada pilihan lain. Buku-buku, pamflet, brosur dan segala bentuk bahan yang memang menjadi kegemaran saya dan selalu saya kumpul jika saya ke mana-mana sekalipun. Bahan-bahan bercetak ini nanti kemudiannya akan membantu kerja-kerja penulisan. Bukan semua perkara ada di dalam internet. Mustahil saya buang begitu sahaja!

Selepas singgah tak sampai sehari di Glasgow, malamnya saya akan terbang ke Dublin. Penerbangan yang telah ditempah ialah RyanAir. Syarikat ini ialah penerbangan tambang murah seperti AirAsia. Saya terpaksa hadkan berat yang ditempah ketika menempahnya sebelum saya sampai ke UK. Semua ini faktor harga dan saya juga mahu mengehadkan diri daripada membeli terlalu banyak.

Namun, apabila sudah tercampak ke syurga dunia yang dipenuhi buku, saya seperti tikus jatuh ke dalam beras!

Saya ada dua pilihan: bawa semua barang dan bayar kos tambahan untuk bagasi (excess baggage) atau fikirkan pilihan lain.

Tiba-tiba datang akal ketika berjalan-jalan di Leith. Pilihan yang ada ialah mengepos sebahagian buku yang mungkin tidak saya gunakan lagi untuk bahagian akhir perjalanan ini. Saya bawa buku-buku (yang kemudiannya setelah ditimbang rupa-rupanya 5kg!) ke pejabat pos yang sangat hampir dengan hostel. Saya terfikir mahu pos terus ke Malaysia, tetapi kosnya GBP60 dan hanya akan sampai lebih dari sebulan. Kalau mahu lebih segera tentulah lebih tinggi daripada itu. Pilihan lain ialah mengepos ke rumah sahabat saya di Coventry kerana destinasi terakhir sebelum berangkat pulang ke Malaysia ialah Coventry kalau pun bukan Birmingham.

Kotak buku dan bahan bercetak yang telah siap dibungkus.
Sedia untuk ke pejabat pos. Pengalaman membungkus buku di Ujana Ilmu
dipraktikkan sebaik-baiknya di sini!
Gambar diambil diruang legar Edinburgh Central Youth Hostel.
Dengan alamat yang ada bersama-sama saya bahan bercetak sekitar 5kg itu saya pos terus ke rumah Kak Ira di Coventry. Boleh sampai dalam masa 48 jam, kata petugas wanita berbadan gempal yang saya teka usianya pasti sekitar awal 50-an. Loghat Scottish begitu pekat. Terasa baru sudah berbual dengan Mel Gibson versi wanita yang melakonkan watak Willam Wallace dalam filem "Braveheart". Saya berkira-kira, dalam tempoh 48 jam, saya sepatutnya sudah berada di London. Selepas daripada itu, ke Coventry semula. Insya-Allah, itu suatu tempoh yang munasabah pada masa dan juga pada harga.

Alhamdulillah, selamat satu perkara. Saya dapat bertolak ke Glasgow dan terbang ke Dublin dengan hati yang lebih tenang kini.

Dengan bagasi, tripod kamera dan beg sandang hijau lemak, saya ambil bas dari depan pejabat pos untuk terus turun di Princes Street. Pagi masih muda dan saya seperti masih tidak mahu meninggalkan kota ini. Saya memandang ke setiap bangunan dan pemandangan yang ada. Kalau boleh mahu merakam ke semuanya di dalam fikiran. Namun, hujan emas negeri orang...

Cappucino terakhir di Edinburgh. Suka dengan hiasan imej biji kopi itu.
Janji temu dengan kenalan di Glasgow sekitar 2.00 petang. Ketika sampai di stesen Edinburgh Waverly, waktu baru pukul 10.30 pagi. Saya berhenti dahulu di kafenya, mencicipi secawan kopi sambil membuat catatan untuk hari itu. SMS dari Kak Ira masuk. Katanya, dia sedang membaca catatan saya di blog yang ditulis terdahulu daripada ini. Saya tersenyum mengenangkan pertemuan kami setelah saya ke Stratford-upon-Avon tempoh hari. Saya rindukan kemesraannya. Sambil menikmati kopi cawan besar (di sana ini dikira sederhana), saya membayangkan pertemuan kami sekali lagi sebelum saya pulang ke Malaysia.

Pandangan terakhir : Scott Monument
Dengan hati yang berat, saya keluar dari kafe dan melemparkan pandangan ke Scott Monument tempat saya bermain-main dan banyak bergambar. Masih ramai pengunjungnya di situ. Setiap hari pastinya patung Sir Walter Scott itu tidak pernah sunyi daripada tetamu-tetamunya.

Saya turun menghala ke Stesen Edinburgh Waverly dan banyak kali saya menoleh ke belakang. Laluan yang terus ke bawah itu membawa saya terus tenggelam ke stesen yang besar dan bandar Edinburgh terus sibuk seperti biasa. Buat kali terakhir saya menoleh lagi dan memandang tanda nama stesen yang telah mengabadikan nama sebuah novel - Waverly pada stesennya.


Ketika itu juga saya bayangkan, apakah Stesen Sentral Kuala Lumpur boleh dinamakan "Stesen Interlok Kuala Lumpur" kerana di situlah tempat pertemuan yang menghubungkan banyak perkara dan sekali gus mengabadikan sebuah karya besar yang memberi pelbagai makna kepada rakyat Malaysia pelbagai kaum. Novel itu sangat mewakili warna-warna warganya biarpun ada pihak yang sengaja mengeruhkan keadaan.

Menuju stesen bawah tanah - Edinburgh Waverly
Destinasi berikutnya : Glasgow
Nanti, jika ada pelancong bertanya kenapa stesen ini dinamakan "Interlok". Kita semua dengan bangganya boleh menjawab dan mengaitkan nama Sasterawan Negara Abdullah Hussain yang menulis novel ini. Kita pun boleh bercerita serba ringkas kepada pelancong itu tentang sejarah Interlok dan bagaimana novel ini tiba-tiba jadi popular. Di kedai-kedai runcit dalam stesen itu juga banyak sekali kedai buku yang menjual cenderamata dan tidak ketinggalan novel "Interlok" dan versi Inggerisnya "Interlock" ada dijual di mana-mana sahaja.

Ah, itu cuma angan-angan saya sahaja. Mana mungkin ahli politik atau kuasawan yang membaca catatan ini dan mampu mengambil tindakan!



Ulasan

Catatan Popular