Kembara Sastera 26 : Dublin Bhg. Akhir

Pintu masuk utama National Leprechaun Museum

Sekitar pukul 4.00 petang kami tinggalkan kawasan Dublin Castle dan membawa langkah yang sudah semakin penat untuk mencari jalan pulang. Walaupun cuaca dingin dengan gerimis sebentar turun dan sebentar berhenti, siangnya tetap panjang lantaran ini musim panas.

Ada masa lebih kurang satu jam lagi sebelum mana-mana muzium tutup. Ini satu lagi pilihan untuk mengoptimumkan masa. Setelah mencari tempat solat di pusat beli-belah Mark & Spencer, rupa-rupanya di sebelahnya ialah sebuah muzium terbaharu di Dublin yang dinamakan National Leprechaun Museum.

Leprechaun   ialah sejenis makhluk mitos yang terkenal dalam cerita-cerita rakyat Irish. Makhluk ini seringkali dikatakan hijau dan merupakan tukang kasut kepada sang pari-pari (elves) dan upahnya ialah keping-kepingan emas. Oleh sebab rajin, dia sering mendapat upah yang banyak. Emas-emasnya ini disembunyikan di tempat-tempat yang tidak dapat dicapai oleh manusia - antara lokasi yang terkenal ialah di hujung pelangi. Lalu wujudlah istilah pot of gold at the end of the rainbow. Dalam cerita kanak-kanak Inggeris sering ada ungkapan ini.

Singgahan ke Leprechaun Museum ini merupakan satu pilihan kerana saya tidaklah terlalu berharap yang saya akan sempat untuk ke sini. Bimbang kesuntukan masa. Jadi, saya memilih untuk bersikap praktikal sahaja. Sudah pesan pada Ainun, kalau tak dapat pun tak mengapa.

Ada rezeki nampaknya. Lagipun muzium ini ditutup pada pukul 6.30 petang. Lalu dengan kos 10 Euro, saya, Ainun dan sekumpulan pengunjung kumpulan terakhir dari beberapa negara luar, masuk pada pukul 5.30 petang. Kata petugas di kaunter, ada sesi bercerita yang akan diselang-seli dengan lawatan ke tempat-tempat yang dianggap penting kepada leprechaun. Wah, ini cukup mengujakan! Apatakah lagi saya yang cukup gemar berfantasi. Tempat ini telah menjadikan dunia fantasi leprechaun ini dihidupkan semula!

Ada banyak bahagian yang disusun seperti sebuah labyrinth untuk
merasa pengalaman menjadi makhluk sekecil leprechaun

Kumpulan pengunjung terakhir ini dihimpunkan pada bahagian pintu masuk utama dan diberikan aluan selamat datang. Lelaki muda itu ialah petugas yang sama di kaunter tadi. Dia memulakan sesi pertama dengan bertanya kepada kami : apa yang kami tahu tentang Leprechaun?

Ada pelbagai jawapan :

  • hijau
  • kecil
  • bertopi 
  • menyimpan wang emas
Saya memanggil lelaki muda yang bertugas di kaunter itu "sang penglipur lara", kerana sepanjang perjalanan kami di dalam muzium ini, dia menjadi pencerita. Tidak muncul di semua bahagian, tetapi pada bahagian-bahagian yang memerlukan pencerita, dia hadir. 

Kerusi gergasi. Kami terasa comel!
kredit foto : Ainun
Kembara ke dunia mistikal leprechaun ini dimulakan dengan memasuki sebuah terowong. Dengan teknik ilusi (dan sains), apabila sampai di hujung terowong itu, kami seolah-olah menjadi semakin kecil. (Sebenarnya, semua objek di dalamnya dibesarkan berkali-kali ganda). Kami masuk ke bahagian dapur dengan kerusi gergasi, almari besar dan cawan sebesar besen. Objek yang ada di sekitar dapur itu ialah saiz manusia dan kami berubah menjadi saiz leprechaun yang kerdil!

Melintas pelangi. Kredit foto : Ainun
Keluar dari pintu dapur, kami masuk ke 'hutan'. Di dalam hutan ini, kami bertemu dengan sang penglipur lara yang bercerita lagi. Cerita-cerita rakyat Irish memang cair di mulutnya. Saya kagum dengan kemahiran bercerita dengan memainkan nada suara, ekspresi wajah dan dia kelihatan bersahaja dan bukannya mengada-ngada. Ya, dia jelas profesional dan amat mencintai tugasnya. Selain itu, ada juga hologram interaktif yang menceritakan kisah asal-usul negara Ireland. 

Dengan jalur-jalur benang 7 warna, kami seperti dapat melalui kawasan pelangi dan pada hujungnya ada pot of gold yang dijanjikan. Ya, ada replika satu kendi berisi kepingan emas yang menjadi idaman manusia tamak. Menurut cerita, jika sesiapa dapat menangkap makhluk leprechaun, ini jangan lepaskan ia, sehingga dia berjanji untuk memberi kita kepingan-kepingan emas itu. Jangan juga memandang ke arah lain. Sesiapa yang lepa, dia akan hilang begitu sahaja! Itulah kelebihan makhluk ini mengikut mitosnya. 

Pengalaman menjadi leprechaun dan masuk ke dunianya tidak tamat di situ sahaja.Sesi penceritaan yang terakhir disudahkan oleh sang penglipur lara sebelum kami keluar ke bahagian akhir muzium ini. Penceritaan yang bersemangat lagi mengujakan membuat kami semua spontan bertepuk tangan setelah kisah ditamatkan. Apabila kami 'kembali' ke dunia nyata, di luarnya disambut oleh ruang menjual cenderamata dan buku-buku berkenaan cerita rakyat (folk tales) Ireland. Strategi pemasaran yang cukup baik!

Sang penglipur lara di penghujung kembara Leprechaun!
kredit foto : Ainun
Hujan bertambah lebat apabila kami keluar dari muzium itu. Ini bukan lagi gerimis. Mahu cari tempat teduh dengan segera. 

Saya yang sudah tidak ada agenda khusus untuk ke mana-mana lagi di Dublin, kali ini akur sahaja Ainun. Pun, keistimewaan kembara dengan pencinta buku ialah singgahan berikutnya sudah tentunya bukan kedai kain atau kedai kasut. Pada kami, kedai-kedai begitu ialah kedai-kedai keperluan. Masuk ke kedai kain atau kasut itu hanya dengan satu tujuan dan tempohnya, jarang sekali melebihi 10 minit! Okey, saya bergurau saja. Paling tinggi mungkin setengah jam?

Mengatur langkah antara kedai-kedai sambil mengelak gerimis, Ainun membawa saya masuk ke sebuah pusat beli belah. Mungkin ada antara anda yang sudah terfikir, "Ha, kan betul? Perempuan-perempuan ini akhirnya pergi shopping!".

Peta pusat beli belah ILAC
Maaflah, sangkaan anda tersasar lagi kali ini. Perempuan-perempuan ini masuk ke sebuah pusat beli belah yang kemudiannya baru saya tahu namanya ILAC Shopping Centre kerana ini juga satu lokasi penting untuk orang buku. Di dalamnya, percaya atau tidak, ada sebuah perpustakaan awam yang dinamakan The Central Library. Bayangkan, kalau anda suami, isteri ada pula kaki shopping sedangkan anda sendiri ulat buku: bukankah ini suatu lokasi yang amat menggiurkan!

Terbayang dialog ini : "Tak mengapa, sayang. Sila shopping lama-lama. Abang nak habiskan buku-buku ni dulu." Tentulah sang suami tidaklah buat muka monyok kebosanan menunggu si isteri berjam-jam lamanya.

Ah, perpustakaan di dalam pusat beli belah! Saya terbayang, kalaulah di Jusco ada fasiliti seperti ini.

kredit foto : Ainun
Kami masuk dari pintu sisi Henry Street. Selang beberapa langkah, mata saya tertancap pada papan tanda yang menyebut Dublin City Public Library. Sesiapa sahaja boleh masuk dan menggunakan perkhidmatannya. Cuma sebagai pengguna luar, kebenaran hanya untuk merujuk. Itu sudah cukup membahagiakan apabila dikelilingi buku.

Menurut laman webnya, perpustakaan awam ini menyediakan kemudahan seperti berikut :

kredit foto : Ainun
  • Online Public Access Catalogue
  • Free Broadband and Wireless Internet Service
  • Microsoft Office 2000 Suite available
  • Online Databases
  • Study Spaces
  • Photocopying Facilities
  • World Health Organisation Collection
  • World Literature Collection
  • Art Reference Book Collection
  • Adult Basic Education Collection
  • Community Information
  • Application Forms for Motor Tax, Passport etc.
  • Adult Reading Group
  • Conversation Exchanges
  • Sci-Fi Book Club
  • Exhibitions / Lectures / Workshops / Demonstrations / Music Recitals
  • Talking Books for Adults and Children on CD and Tape
  • DVDs and CD Roms for loan
  • Block Loans to Groups by arrangement
  • Children's Activities / Class Visits
  • Public toilet facilities are available near the library.
(senarai yang digelapkan itu menarik perhatian saya)


Perpustakaan di sini benar-benar digunakan sebagai sebuah perpustakaan. Mereka yang berehat pada waktu tengah hari juga boleh akses ke tempat ini. Malah, ramai juga yang menggunakannya pada waktu begitu, menurut Ainun. Orang-orang tua juga masih ramai menggunakan perpustakaan kerana budaya membaca untuk masyarakat daerah ini benar-benar hidup. Membaca itu seperti bernafas!

Saya boleh bayangkan saya menjadi pengguna tetapnya jika saya turut bertugas di kawasan sekitarnya. Ruang membaca yang kondusif (seperti dalam mana-mana perpustakaan yang pernah saya singgah) dan sungguh terasa perpustakaan ini ada 'jiwa'nya yang tersendiri. Lokasinya di tingkat satu pula tidaklah menjadikan tempat ini terlalu terpencil.

Tiada yuran keahlian dikenakan.

Memetik satu daripada soalan lazim di laman webnya :

I don’t live in Dublin, but I work there – can I still join the library?

Yes. Adult applicants for membership who are not resident in Dublin City or County or who are not commercial ratepayers to Dublin City Council, South Dublin, Fingal or Dun Laoghaire / Rathdown County Councils, will require their application to be guaranteed by a person who is entitled to join on their own guarantee.

Waktu sudah menjangkau 6:30 petang sewaktu kami tinggalkan The Central Library. Hari masih cerah. Sasaran selepas ini pastinya untuk pulang. Kaki sudah merayu-rayu kepenatan tetapi minda dan mata masih mahu melihat dan mencerap semua yang ada.

Kembali berjalan sehingga ke O'Connell Street. Bercadang mahu mengambil gambar dengan patung James Joyce yang masih setia menunggu di kawasan berhampiran The Spire, tetapi keadaan masih tidak mengizinkan. Tidak mengapalah, saya bukanlah terlalu teruja untuk bergambar dengan patungnya. Kami berlalu sahaja dan terus menuju ke arah Parnell Street.

Saya sudah tidak membayangkan apa-apa kecuali ruang untuk duduk dan meluruskan kaki, pinggang dan kalau boleh minda juga. Barangkali saya sudah mula tepu. Berada di Dublin bererti sudah 8 hari saya kembara. Kepenatan fizikal dan mungkin juga minda sudah mula menguasai diri.

Namun, semuanya hilang kembali apabila Ainun menunjukkan satu lagi kedai buku yang ditemui sewaktu dalam perjalanan ke apartmennya. Nama kedai buku itu Chapters.

Namanya sahaja sudah membuat saya terpanggil untuk masuk. Apatah lagi buku-buku yang dipamerkan di bahagian tingkapnya... ah, tidak perlulah saya ungkapkan. Hanya pencinta buku yang faham.

Melangkah masuk ke dalamnya benar-benar menjadi penawar kepada segala kesakitan kaki, tubuh badan dan juga anggota-anggota yang lain. Sekali lagi menyabarkan diri dan menahan diri daripada membeli secara impulsif. Esok sesudah subuh (sekitar 5 pagi) sudah mahu ke Lapangan Terbang Dublin untuk pulang ke Tanah Inggeris semula. Beg tidak boleh terlalu berat.

Chapters bangga menamakan dirinya sebagai kedai buku
mandiri (independent) terbesar di Ireland.
sumber foto dan maklumat di sini.


Saya akhirnya membeli The Naive and Sentimental Novelist (Orhan Pamuk) edisi kulit tebal. Ya, saya tahu. Memang ada di Kinokuniya KLCC. Apa salahnya, membeli satu buku penting sambil mengabadikan nama kedai ini pada halaman pertama buku itu kelak.

Sewaktu membayar harga buku, sedang berlangsung acara 'baca naskhah' oleh sekumpulan penulis dan pengamat sastera. Tidak dapat dipastikan siapakah pengarangnya. Kata jurujual, itu diuruskan oleh penerbit buku. Ruang sederhana itu cukup untuk khalayak yang kecil tetapi berkualiti. Masing-masing kelihatan cukup berminat dengan apa yang berlaku, seperti juga kami pada ketika itu. Cuma, kami harus beredar.

Sesi baca naskhah yang sedang berlangsung
kredit foto : Ainun
Ya, betul. Selepas singgah Chapters sudah tidak ada singgahan sampingan di Dublin lagi. Selesai mengurus diri sewaktu di kediaman Ainun, kami keletihan lalu tidur awal. Esok harus bangun awal untuk mendapatkan bas dari O'Connell Street berhampiran The Spire. Bas itu merupakan bas ekspres dari Kota Dublin terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Dublin.

Selamat tinggal Dublin.
Selamat tinggal, Ainun.
Terima kasih atas layanan istimewa untuk seorang musafir yang mencari dirinya. 



Ulasan

Catatan Popular