Rabu, November 02, 2011

Kembara Sastera 28 : Cambridge Bahagian Akhir


Hal yang mudah tentang Cambridge ialah nama bandarnya Cambridge, universitinya bernama University of Cambridge dan stesen kereta apinya juga bernama hentian Cambridge.

Stesen kereta api Cambridge. Kredit foto : Nisah Haron
Saya tidak banyak membuat persediaan sewaktu di Malaysia sebelum sampai ke Cambridge. Hanya mengetahuinya sebagai bandar universiti. Ramai yang turun di stesen ini dan seperti yang saya duga, remaja-remaja yang naik bersama-sama saya dalam kereta api ini juga turun di Stesen Cambridge.

Oleh sebab saya tidak tahu apa yang perlu dilakukan dan arah mana yang patut saya tuju, saya memandang-mandang di bahagian luar stesen. Tercangak-cangak juga. Terpandang bas warna merah yang sering kelihatan di mana-mana di U.K. - bas persiaran atau dipanggil juga The Hop On - Hop Off bus. Saya pernah nampak bas yang lebih kurang sama, ketika di Edinburgh. Jadi, rasanya boleh tahu bagaimana bas itu berfungsi. Saya tahu bas ini agak mahal tetapi, ada masanya kos kewangan harus dibandingkan juga dengan kos masa. Saya tidak ada tujuan khusus di Cambridge kecuali melawat kedai buku "Cambridge Bookshop" - itu pun kalau terjumpa. Jadi, menaiki bas ini merupakan antara pilihan terbaik buat saya.

Untuk menaiki bas ini, pelancong harus membayar £13 (ada kadar yang berbeza untuk kanak-kanak, warga tua juga untuk yang datang sekeluarga). Tiketnya sah selama 24 jam. Ada 20 perhentian. Boleh naik dari mana-mana perhentian dan turun di mana-mana perhentian. Mahu pusing berkali-kali tanpa henti juga tiada masalah. Bas terakhir sekitar 4.30 - 5.30 petang (bergantung naik dari perhentian yang mana).

Sila klik pada peta untuk melihat imej yang lebih jelas
Saya naik dari stesen (nombor 12 - sudut kanan bawah peta) setelah membayar harga tiket. Sengaja duduk di bahagian atas berdasarkan pengalaman di Lake District. Duduk di bahagian atas, dengan ruang terbuka (open top) membolehkan saya mengambil gambar dengan jelas - tidak dibatasi cermin bas. Disediakan juga earphone untuk setiap orang. Pasangkan saja peranti itu pada bahagian dinding bas yang tersedia. Sama seperti memasang peranti jika kita menaiki kapal terbang (penerbangan antarabangsa). Pendek kata, cucuk sahaja pesawat yang berkenaan sehingga earphone itu mengeluarkan suara. Semuanya sudah dirakam dan disesuaikan mengikut lokasi.

Sedang mencuba earphone dengan
wayar warna merah
Ada penerangan bagi setiap lokasi dan cadangan supaya kita bersedia untuk mengambil gambar kerana ada tempat-tempat yang bakal dilihat.

Laluan berikutnya selepas stesen kereta api, ialah "Cambridge University Botanic Garden" dan kemudian melalui Fitzwilliam Museum. Teringin juga hendak turun tetapi saya tahu kalau berhenti di mana-mana muzium, alamat sampai petang pun saya boleh saja berada di situ. Jadi, untuk pusingan pertama, saya memutuskan untuk mengikut sahaja laluan bas ini sehingga sampai ke Stesen Cambridge semula.

Setelah melengkapkan pusingan, barulah saya pusing lagi dan memilih tempat untuk berhenti dan turun.

Nama asal Cambridge dikatakan berasal daripada nama sungai yang melingkari kawasan ini iaitu Sungai Cam. Oleh sebab sungai ini panjang (lebih kurang 60km dari Cambridge ke laut), ada banyak jambatan (bridge) yang terbina untuk menghubungkan laluan. Antara jambatan yang boleh disenaraikan di sini (bukan semuanya) ialah :

Bridges over the River Cam (south to north)
Mathematical Bridge
(sumber di sini)
  • Footbridge, Coe Fen
  • Fen Causeway Bridge
  • Crusoe Bridge
  • Darwin College Bridges
  • Silver Street Bridge (1958)
  • Mathematical Bridge, Queens' College (1902)
  • King's College Bridge (1819)
  • Clare College Bridge (1640)
  • Garret Hostel Bridge (1960)
  • Trinity College Bridge (1764)
  • Kitchen Bridge, St John's College (1709-11)
  • Bridge of Sighs, St John's College (1831)
  • Magdalene Bridge (1823)
  • Jesus Lock footbridge (1892)
  • Victoria Avenue Bridge (1890)
  • Footbridge, Midsummer Common
  • Cutter Ferry Bridge
  • Elizabeth Way Bridge (1971)
  • Riverside Bridge (2008)
  • Footbridge, Stourbridge Common
  • Railway Bridge
  • A14 Bridge
  • Footbridge over the weir, Baits Bite Lock
(sumber di sini)

Antara jambatan yang terkenal Mathematical Bridge (gambarnya di atas). Terletak di Queen's College, jambatan ini dibina dengan cara menyusun kayu-kayu dalam satu siri tangen yang menjadikan jambatan itu melengkung. Susunannya yang unik menjadikan jambatan ini menjadi satu daripada tarikan pengunjung. Ada mitos yang mengatakan bahawa konsep asal jambatan ini datangnya dari Sir Isaac Newton, tetapi fakta menyatakan Newton meninggal dunia 22 tahun lebih dahulu daripada jabatan sebenarnya dibina.
The arrangement of timbers is a series of tangents that describe the arc of the bridge, with radial members to tie the tangents together and triangulate the structure, making it rigid and self supporting. This type of structure, technically tangent and radial trussing, is an efficient structural use of timber, and was also used for the timber supporting arches (centring) used for building stone bridges.
(sumber di sini)

Punting (aktiviti naik bot) - sesuatu yang popular di Cambridge.
Boleh lihat pemandangan kolej-kolej dari arah Sungai Cam. Kredit foto : Nisah Haron
Lantas, saya boleh nyatakan di sini bahawa keindahan bandar Cambridge ialah pada Sungai Cam dan juga bangunan universiti yang dipanggil kolej-kolej. Selepas ini saya akan ceritakan bagaimana sistem kolej di University of Cambridge berfungsi. Alam yang terjaga ini barangkali kesedaran yang telah timbul sejak dulu. Universiti ini juga hebat barnagkali kerana sudah menyambut ulangtahun yang ke-800 (ya, lapan ratus tahun usianya!) dan mempunyai sejarah yang cukup panjang. Untuk membaca sejarah ringkas dan alumni-alumni penting University of Cambridge boleh baca di sini.

Pemandangan dari atas bas ketika melalui satu daripada jambatan
merentasi Sungai Cam. Kredit foto : Nisah Haron
Ada 31 buah kolej di University of Cambridge. Kolej-kolej ini bukanlah seperti kolej kediaman di universiti kita, yang bersifat sebagai tempat merumahkan mahasiswa. Kolej di Cambridge mempunyai kuasa autonomi sendiri dan jika kita mendaftar di universiti ini, dan berada di bawah kolej tertentu, ini bererti kita akan belajar di dalam kolej tersebut. Antara kolej yang terkenal ialah Peterhouse (estd. 1284!), King's College, Queen's College, Trinity College, Murray-Edwards College (perempuan sahaja) dan banyak lagi. Senarai penuh boleh dibaca di sini.

King's College (estd. 1441). Kredit foto : Nisah Haron
Setiap kolej mempunyai perpustakaan sendiri, bilik kuliah sendiri, pentadbiran sendiri (autonomi) dan ijazah kelak dikeluarkan oleh University of Cambridge. Ada sesetengah kolej yang mempunyai teater sendiri dan pelbagai kemudahan yang menjadikan setiap kolej itu unik dan istimewa.

Bandar Cambridge memang tidak sebesar mana. Namun, bandar ini boleh menampung sekian ribu pelajarnya. Pada mulanya, saya tertanya-tanya bagaimana pelajar-pelajar ini ke kuliah. Kemudian saya dapati begitu banyak basikal di kawasan parkir khusus untuk basikal. Nah, sudah terjawab akhirnya : majoriti memang berbasikal sewaktu berada di dalam kampus!

Basikal di mana-mana.  Kredit foto : Nisah Haron

Setelah menamatkan hampir dua pusingan dengan bas persiaran Cambridge itu, saya pun akhirnya memilih untuk turun di hentian nombor 5, tidak jauh dari St John's College. Saya sepatutnya turun di Trinity Street kerana itulah hentian yang paling hampir dengan Cambridge Bookshop, tetapi bas ini hanya lalu di kawasan itu pada hari Ahad. (Saya di Cambridge pada hari Jumaat.) Masih tidak mengapa, dapat juga berjalan kaki dan melihat banyak perkara yang berbeza dan mungkin tidak terlihat jika saya berada di atas bas. Sebagai penulis, harus banyak belajar melihat dari sudut pandangan yang berbeza-beza.

Meminjam kata-kata Muslihuddin Sadi, "a traveler without observation is a bird without wings."

Akhirnya, dapat jumpa kedai buku ini! Kredit foto : Nisah Haron
Ketika berpusing-pusing mencari arah berdasarkan peta untuk ke kedai buku idaman, terjumpa flea market atau pasar lambak di sebuah kawasan lapang. Tidak jauh dari situ ialah Trinity Street, tempat letaknya Cambridge Bookshop. Ketika itu, saya memang sudah lapar kerana sudah menjelang pukul 3.00 petang. Saya hanya bersarapan sewaktu di Lapangan Terbang Dublin sahaja. Namun, apabila terpandang kedai buku, saya sanggup bertahan dengan air kosong sahaja!

Nampak papan tanda ini saja
sudah teruja!
Peluang untuk dapat masuk ke dalam kedai buku Cambridge University Press ini bukannya datang setiap hari. Hal-hal makan boleh tolak tepi. Buku lebih penting pada saat itu.

Saya melangkah masuk dengan rasa teruja. Namun, perasaan itu tidak dapat saya zahirkan. Hati di dalam, Tuhan sahaja yang tahu!

Saya percaya kedai ini tidaklah setua Cambridge University Press itu sendiri yang bermula seawal tahun 1534 oleh King Henry VIII. Penerbit ini ialah yang tertua di dunia. Pada awalnya mencetak Bible dan seterusnya menerbitkan jurnal akademik dan buku-buku ilmu.

Saya tahu saya tidak akan menjumpai buku-buku ringan di dalam kedai ini. Buku sasteranya juga berat dan ilmiah sifatnya. Kedai dua tingkat ini mempunyai tangga spiral yang menghubungkan kedua-dua tingkatnya.

Bahagian luar kedai buku. Kredit foto : Nisah Haron
window display pada bahagian luar kedai
Kredit foto : Nisah Haron
Entah berapa kali saya berlegar-legar di setiap rak pada setiap tingkat. Saya tahu, saya tak mungkin dapat membeli banyak buku kerana buku-buku dari UK lebih mudah dipesan secara online. Sebagai kenang kenangan, saya pilih buku From Gutenberg to Google tulisan Peter L. Shillingsburg dengan harga £18.99.



















Puas sudah hati ini. Sudah bertemu apa yang dicari. Dalam rasa bahagia yang melimpah itu, saya sudah terlupa dari arah mana saya datang, kerana saya harus mencari hentian bernombor dan bertanda "Cambridge Sightseeing" berwarna merah untuk saya pulang semula ke Stesen Kereta Api Cambridge. Masa ini penat sudah mula terasa. Pada awalnya hendak jalan kaki, tetapi saya mula rasa tak percaya dengan kaki sendiri.

Central Library di Cambridgeshire City Council
Kredit foto : Nisah Haron
Sempat sesat dalam sebuah pusat beli belah dalam bandar Cambridge ini. Hilang penat seketika apabila terpandang ada Central Library di dalam pusat beli belah itu. Teringat perpustakaan di Dublin yang juga menggunakan konsep yang sama. Kalau ada kawan dan ada masa, pasti masuk sebentar. Memandangkan hari sudah menjelang petang, saya berusaha mencari jalan untuk segera ke Stansted.

Kota Raya London sedang menunggu!



Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails