Kembara Sastera 29 : London Bahagian 1

Kereta api ekspres dari Stansted ke Liverpool Street Station, London.
Kredit foto : Nisah Haron
Tiket kereta api bernama Stansted Express sudah saya beli sewaktu berada di atas kapal terbang RyanAir (dari Dublin ke Stansted). Ini memudahkan urusan perjalanan. Sewaktu saya kembali ke Stansted setelah meninggalkan Cambridge, kereta api yang berikutnya untuk ke London belum sampai lagi. Saya bergegas ke tempat simpanan bagasi untuk mengambil beg yang ditinggalkan.

Pantas saya turun kembali untuk ke platform 3B tempat menunggu untuk mendapatkan Stansted Express. Kereta api sampai mengikut jadual. Ketika kereta api bergerak, waktu sudah pun pukul 6.15 petang. Masih terang. Belum pukul 7.00 petang, kereta api sampai ke Liverpool Street Station untuk mengambil tube (kereta api bawah tanah yang terkenal di London) untuk ke tempat penginapan.

Imej dari Wikipedia
Sepanjang perjalanan di dalam kereta api, saya membayangkan bagaimanakah rupanya Kota London. Selama ini hanya dapat melihat sisi bandar raya ini dari sudut pelancongan. Hanya yang bagus-bagus sahaja pastinya. Kali ini, saya mahu lihat sendiri beberapa tempat yang mungkin tidak banyak diperkatakan orang.

Naik tube tidak berapa sukar kalau pandai membaca peta tube. Lebih kurang sama seperti kita naik LRT di Kuala Lumpur. Kita perlu tahu di mana hendak turun dan laluan mana yang harus dipilih. Ada laluan tertentu yang menyebabkan kita harus turun dari tren, tukar tren yang lain. Jadi, untuk tube pun sama juga.

Pun, debarannya tetap terasa.
Kota London.
Seorang diri.
Rabbi yassir wala tu'assir, ya karim.
(Tuhanku, permudahkanlah jangan kau sukarkan, wahai Yang Maha Mulia)

Destinasi saya YHA London Holland Park. Menurut laman web hostel itu : "Overlooking Holland Park, just off Kensington High Street and near the Royal Albert Hall"  

Tiada apa yang saya tahu tentang Holland Park (hanya pernah tonton filem Mr. Holland's Opus) atau Kensington (pernah baca dalam Peter Pan, Kensington ialah tempat tinggal keluarga Wendy sebelum dia ikut Peter Pan ke Neverland) atau Royal Albert Hall (pernah dengar yang Sudirman Haji Arshad dan Siti Norhaliza ada buat persembahan di sini). Selebihnya, memang mengikut apa yang ada dalam peta, dalam internet dan gerak hati.

Sewaktu sampai di Liverpool Street Station, saya keluar dari kereta api menuju kaunter pertanyaan. Debaran saya lebih memuncak. Sebaik-baik sahaja melangkah ke dalam stesen yang manusianya ramai seperti gambar di bawah :

imej dari google
Ramai itu satu hal. Mana-mana stesen utama seharusnya besar. Maklumlah, ini stesen pertukaran. Bukan sahaja untuk yang datang dengan Stansted Express, tetapi ada juga dari laluan yang berbeza. Ini tempat untuk mendapatkan tube. Soalnya, tempat ini bukan sahaja besar tetapi asing pada mata yang baru pertama kali melihatnya. Mencari kaunter pertanyaan adalah tindakan paling selamat.

"Saya mahu ke Holland Park. Apa laluan terbaik untuk saya?"
Lelaki di belakang kaunter menjawab, "Puan ambil circle line yang berwarna merah dalam peta. Turun di stesen Holland Park."

Saya tanpa soal jawab membeli tiket dan terus ke laluan yang dicadangkan. Kebimbangan saya hanya satu : tidak mahu sampai ke hostel itu pada waktu malam. Mengikut maklumat laman webnya, YHA London Holland Park memang betul-betul terletak di dalam kawasan park atau taman. Jika saya masuk ke kawasan Holland Park selepas pukul 8.00 malam, pintu utamanya sudah ditutup. Ada pintu lain yang dicadangkan.

Wah, ini membuat debaran saya bertambah. Lalu, saya bergegas menunggu tube ke stesen Holland Park di platform yang disediakan. Tidak sampai seminit, kereta api sampai.

Inilah pertama kali saya menaki tube di London!

Laju datangnya.
Berhenti bergaya.
Pintunya terbuka.

Masih sama seperti menaiki LRT atau MRT (di Singapura).
Pintu tertutup pantas. Sesaat kemudiaan tube bergerak meninggalan Stesen Liverpool Street.

Screen capture laluan dari Liverpool Street (kanan) ke Holland Park
Circle Line ialah yang berwarna merah
(sumber di sini)

Stesen antara Liverpool Street ke YHA London Holland Park ialah :
  • Bank
  • St. Paul's
  • Chancery Lane
  • Holborn
  • Tottenham Court Road
  • Oxford Circus
  • Bond Street
  • Marble Arch
  • Lancaster Gate
  • Queensway
  • Notting Hill Gate
  • Holland Park
Saya tidak dapat mencatat apa-apa sewaktu di dalam tube. Hanya leka memerhati ke kiri dan kanan. Melihat ragam manusia-manusia lain di dalam kereta api ini. Ada 2, 3 orang memegang peta dan ada juga yang memegang pamflet panduan menaiki tube. Saya tidak pegang apa-apa kecuali bagasi di sisi dan beg galas di atas riba. Rasa penat telah mula menjajah diri. Seharian di Cambridge dan kini masa untuk berehat belum lagi sampai. Saya tidak mungkin berehat sepenuhnya sehinggalah saya betul-betul pasti akan tempat saya bermalam di Youth Hostel Holland Park.

Saya tempah 3 malam di hostel ini. Terus terang, saya memang tidak pasti berapa lama saya harus berada di London. Kalau membaca buku Top 10 London yang dihadiahkan seorang teman sebelum berangkat, memang ada banyak sekali tempat menarik yang wajar dilawati.

Soalnya, apakah saya punya masa yang cukup untuk melihat semuanya?
Apakah saya akan tepu jika saya padatkan semua itu dalam satu hari?
Adakah saya perlu melihat semuanya?

Dalam kembara ini, saya banyak membuat keputusan yang praktikal. Tidak mahu terlalu membebankan diri dan tidak pula mahu berasa 'tamak' sehingga menjejaskan kesihatan. Apa gunanya kembara kalau tubuh badan sakit-sakit dan jiwa tidak tenang?

Youth Hostel Association (YHA) London Holland Park  adalah satu-satunya cawangan youth hostel yang menawarkan penginapan untuk tarikh yang saya minta. Ketika membuat perancangan itu, baru sedar yang saya berada di London pada hujung minggu. Biasanya, penginapan pada hujung minggu penuh kerana ramai yang menggunakan kesempatan bercuti. Jadi, penginapan agak berisiko jika tidak ditempah awal-awal.

Dari segi kedudukan YHA London Holland Park masih berada di dalam daerah London cuba bukanlah di tengah-tengah kotanya. Kalau lihat peta, tidak jauh dari Kensington Park, Hyde Park dan juga Royal Albert Hall. Nama-tempat nama itu seperti pernah dengar. Jadi, saya memutuskan sahaja untuk menginap di hostel ini yang jauh lebih murah jika mahu duduk di hotel (walaupun tiada bintang) di London.

Akui sahaja. Ini London. Segala-galanya mahal belaka.

Semuanya menjadi luar biasa mahal jika kita sibuk membuat tukaran mata wang dalam kepala.
Apabila ditukar ke matawang Ringgit, pastilah harga jadi melambung. Jadi itu, ialah tindakan yang tidak berapa bijak.

Caranya, kira jumlah wang yang diperuntukkan untuk digunakan. Katakan, kita ada hanya £100. Usah tukar wang itu kepada Ringgit. Nanti kita selesa bahawa kita ada RM500, misalnya. Padahal, semua urus niaga di sini menggunakan Pound. Jadi harus berfikir dalam matawang negara berkenaan. Kalau tidak, katakan sepinggan nasi di London paling murah ialah £alamat nanti tak makan pula sebab apabila ditukar kepada Ringgit menjadi RM20 sepinggan!

Kalau ada £100 ertinya, perbelanjaan kelak tidak boleh lebih daripada jumlah itu. Senang cerita. Jika ada kad kredit. Guna dengan bijak. Saya tidak membawa tunai yang banyak sewaktu di sana kerana lebih mudah menggunakan kad kredit atau kad debit untuk urus niaga. Wang tunai lebih kepada pembelian di bawah £10. 

Stesen Holland Park. Imej dari sini.
Tube berhenti di Stesen Holland Park, setelah meninggalkan Notting Hill Gate. Terbayang seketika filem Notting Hill lakonan Hugh Grant dan Julia Roberts. Tidak lama kemudian, saya kembali berdebar mencari YHA London Holland Park. 


Sewaktu menarik bagasi, bertemu dengan seorang makcik yang baru pulang dari Tesco. (Ada beg plastik Tesco di tangannya). Saya tanyakan di manakah Holland Park. Dia menunjukkan arahnya. Stesen Holland Park, bukanlah di kawasan taman (park) sebaliknya, berada di kawasan perumahan.

Sebahagian daripada Holland Park
sumber imej di sini.
Saya berjalan lagi. Selang berapa minit berjalan, masih tidak kelihatan park  yang dimaksudkan. Bertanya pula dengan seorang lelaki yang sedang berjogging. Dia masih menunjukkan arah yang sama. Sekurang-kurangnya hal ini melegakan, walaupun saya terasa semakin menghampiri kawasan banyak pokok besar yang kian merungkup pemandangan. Lama kelamaan suasana terasa redup walaupun sepatutnya matahari belum terbenam.

Mungkin berjalan di kawasan Holland Park ini terasa lebih nyaman jika saya masuk di bawah redup pohon-pohon ini pada waktu tengah hari. Oleh sebab waktu sudah semakin ghurub, saya terasa seperti Ichabod dalam The Legend of Sleepy Hollow!


Mata saya memang mencerlang-cerling ke kiri kanan (sesekali ke belakang juga) kerana sangat bimbang apakah saya ini tersesat dalam mencari arah ke hostel. Pandangan saya dibalas oleh ukiran patung / tugu yang dipacakkan di merata-rata tempat di taman ini. Renungan seeokor kura-kura gergasi yang terasa seperti tiba-tiba muncul, kurang menyenangkan perasaan.

Takkan begini sekali laluannya?

Memori dan pengalaman hampir tersesat sewaktu mencari hostel di Ambleside, Lake District kembali menggugah keyakinan. Cuma di Ambleside, saya tersesat di tempat yang sangat indah. Saya tarik nafas dan percaya bahawa Tuhan ada bersama-sama dengan saya. Tidak lama selepas itu, seorang wanita muda berpapasan. Saya ajukan lagi soalan yang sama.

"Oh, depan lagi. Nanti akan jumpa opera di sebelah kanan. Jalan lagi, nanti akan jumpa sebuah bangunan. Itulah hostelnya!" Dia tamatkan kata-katanya dengan senyuman. Betapa senyuman itu cukup bererti buat saya.

Saya ucapkan terima kasih kepada Tuhan dan juga kepada wanita itu!

Sebentar tadi, dalam hati merungut juga: kalau tahu tempat ini sebegini jauh, mungkin saya patut bayar lebih untuk hostel yang lebih dekat dengan pusat bandar. Dalam hati juga saya gelak sendiri, sewaktu hampir sampai ke bangunan hostel. Kalau hendak sesuatu yang murah, memang tak boleh merungut.

You pay peanuts, you get monkeys! kata James Goldsmith.

Ruang tamu YHA London Holland Park
Imej dari sini. 
Opera sedang berkumandang ketika saya lalui di bahagian belakangnya. Tidak jauh di sebelahnya ialah YHA London Holland Park yang saya cari-cari. Taman bunga kecil di hadapan pintu masuknya menyambut kehadiran dalam keadaan yang masih tidak berapa fokus. Namun, sungguh lega kerana tempat menginap yang ditempah sudah ditemui.

Salam perkenalan pertama saya dengan London semacam tidak berapa mesra; atau mungkin saya sangat perlukan rehat, mengecas kembali tenaga. Esok sahaja saya betulkan orientasi diri dan menyelongkar apa yang ada di Kota London.





Ulasan

Catatan Popular