Isnin, November 28, 2011

Kembara Sastera 31 : London Bahagian 3

Ruang rehat antara Elfin Oak dan
Princess Diana Memorial Playground
Kredit foto : Nisah Haron
Waktu baru sahaja menunjukkan pukul 9.20 pagi ketika saya sampai di penghujung Kensington Gardens. Keputusan untuk menjelajah taman pada hari-hari terakhir di U.K. merupakan pilihan yang tepat. Saya sudah tepu (saturated) dengan maklumat, buku dan segala yang berkaitan sejak hari pertama menjejak kaki di sini. Ketika itu, tidak sampai sejam mendarat di Lapangan Terbang Birmingham, belum sempat jet-lagged saya sudah sampai ke Stratford-upon-Avon, mencari Shakespeare.

Lantas, berjalan di taman-taman ini cukup menyegar dan merehatkan fikiran.

Saya terpandang sebatang tunggul atau perdu pokok yang disangkarkan. Tidak menyedari apakah dia pokok yang tidak berdahan dan berdaun itu. Saya menghampiri sangkar tersebut. Ada sesuatu yang aneh pada batang pokoknya, seperti ada warna-warni. Pada mulanya, berasa bimbang juga jika ada ulat-ulat atau serangga yang tidak diingini pada batang pokok itu.

Semakin dekat, barulah terbaca tulisan Elfin Oak pada dasar sangkar itu.

Tunggul Elfin Oak di Kensington Gardens
Kredit foto : Nisah Haron
Menurut catatan dari Kensington Gardens History

The Elfin Oak is a gnarled, partially hollow, stump, originally from Richmond Park. It is carved with the figures of fairies, elves and various small animals following the contours of the wood.

Ada banyak sekali patung-patung kenit yang mengikut alur kayu pohon oak ini, seolah-olah ada pohon ini 'hidup'. Elf, fairies dan haiwan-haiwan kecil pada pohon ini semuanya sebesar ibu jari dan ada banyak perwatakan pada setiap ukiran.




Catatan yang menyatakan ukiran pada pohon yang sudah 100 tahun berada di sini
Kredit foto : Nisah Haron
Setiap satu elf atau fairy yang diukir dari kayu yang sedia ada pada tunggul pohon oak ini seperti ada cerita masing-masing. Saya boleh bayangkan ada pelbagai cerita yang boleh dihasilkan daripada sebatang pohon ini sahaja. Agak lama juga saya berpusing-pusing mengelilingi perdu pohon oak ini. Mahu melihat setiap satu elf atau fairy dan juga telatah masing-masing yang digambarkan mengikut kreativiti sang pengukir.

Imej berikut adalah antara elf yang saya suka. Mungkin kerana dia digambarkan sebagai elf yang suka menulis dan membaca!

Elf - The writer? Kredit foto : Nisah Haron

Kreatif! Kredit Foto : Nisah Haron
Tidak jauh daripada kawasan Elfin Oak ini ialah Princess Diana Memorial Playground, diwujudkan khas kerana Puteri Diana dikenali sebagai puteri yang suka akan kanak-kanak. Saya tidak ada gambar yang mencakupi keindahan taman itu, jadi saya mahu berlaku adil kepada tempat yang cantik, bersih lagi menenangkan itu.

Sebagai sebuah taman semula jadi, tempat ini juga menjadi tarikan haiwan seperti tupai. Ada beberapa ekor tupai yang berkejaran di sana-sini sewaktu saya melintasi Kensington Garden untuk terus ke kawasan Albert Memorial. Tupai ini ada yang agak mesra dengan pengunjung, terutama sekali jika dihulurkan makanan yang sesuai. Ada yang masih liar dan lari begitu sahaja. Namun, kehadiran haiwan-haiwan ini menandakan tempat ini cukup selamat. Haiwan-haiwan ini pasti tidak akan berada di sini jika keadaan persekitarannya membahayakan.

Pengunjung ini juga beramah mesra dengan 'tuan rumah' Kensington Gardens!
Kredit foto : Nisah Haron

Dia cuba lari apabila saya mahu mempotret dirinya. Pemalu amat!
Kredit foto : Nisah Haron

Laluan menuju ke Albert Memorial.
Sudah lama berangan-angan mahu berjalan di kawasan seperti ini,
terasa berjalan dalam belukar kecil yang dipanggil woods!
Kredit foto : Nisah Haron
Sebelum sampai ke kawasan Albert Memorial yang menjadi mercu tanda kawasan taman-taman ini, saya lalui dahulu kawasan yang dinamakan Flower Walk. Penuh dengan bunga-bungaan, tentunya! Terasa seperti puteri yang bermain-main di taman larangan.

Flower Walk, Kensington Gardens.
Kredit foto : Nisah Haron

Bunga kuning seperti disulam salju, di bahagian belakang Albert Memorial
Kredit foto : Nisah Haron

Tanda cinta Ratu Victoria kepada suaminya, Prince Albert.
Kredit foto : Nisah Haron 
Albert Memorial terletak bertentangan dengan Royal Albert Hall - yang mungkin kita pernah dengar kerana Almarhum Sudirman Hj Arshad dan Datuk Siti Norhaliza pernah mempersembahkan konsert mereka di sini. Di sini juga menjadi tempat saya melepaskan lelah setelah penat berjalan.

Saya keluarkan buku nota dan mencatat apa yang terlintas :

Draf pertama puisi - inspirasi dari Albert Memorial dan
Royal Albert Hall yang saling berhadapan.
Kredit foto : Nisah Haron
Tanda sudah sampai London. Di hadapan Royal Albert Hall.
Kredit foto : Nisah Haron
 Ketika ini saya sudah lelah berjalan. Ini baru Kensington Gardens, belum betul-betul masuk ke kawasan Hyde Park. Masa sudah sekitar 10.30 pagi ketika saya buka bekalan roti dan minum air di taman ini. Apakah hajat untuk berjumpa Ratu Elizabeth bakal tercapai pada pagi ini? Ada khabar menyatakan bahawa 11 Jun 2011 ialah sambutan hari lahir baginda. Saya harus ke sana untuk mendapat maklumat lanjut!

Destinasi berikutnya... 

4 ulasan:

Waida Yusof berkata...

Salam Kak Nisah,

Saya pula berkesempatan berjalan-jalan di Hyde Park tempoh hari. Memang besar dan "patah kaki" juga dibuatnya. :)

Sayang sekali, saya tidak berjumpa Speaker's Corner walaupun kami beria-ia mencarinya tempoh hari.

Jika saya ke London lagi, saya akan datang ke Kensington Park pula.

Nuruddin Azri ibn Zulkifli berkata...

bestnya melancong...
banyak pengalaman dapat ditimba dengan atmosfera yang serba baru...

penulis melancong secara individu sahaja ke?

Nisah Haji Haron berkata...

Alaikumussalam Waida,
Adakalanya, perkara yang paling hendak dicari itulah yang tidak kita temukan. Namun, apabila bertemu perkara yang lain, itu tentu lebih mengujakan. Hyde Park terlalu besar untuk dijelajah dalam satu hari. Saya lalu di bahagian luarnya sahaja dan selepas itu, terus ke Buckingham. :-)

Nisah Haji Haron berkata...

Sdr Nuruddin,
Ya, saya kembara seorang diri. Ini bukan melancong ke tempat-tempat shopping atau yang seumpamanya. Sekiranya sdr mengikuti tulisan ini mulai Kembara Sastera 1, saya sudah nyatakan bahawa ini merupakan kembara solo ke UK dan Dublin selama 11 hari. Semoga tulisan saya ini ada manfaatnya buat sdr. Terima kasih kerana sudi membaca!

Related Posts with Thumbnails