Sabtu, Januari 29, 2011

Isaac Asimov

Mungkin lebih ramai yang menonton filem I,Robot lakonan Will Smith berbanding membaca novelnya tulisan Isaac Asimov. Saya turut menyenangi filem Bicentennial Man lakonan Robin Williams dan Sam Neil berbanding versi bukunya yang ditulis pengarang yang sama.


 Peribadi, saya lebih meminati karya-karya fantasi berbanding fiksyen sains. Asimov adalah 'raja' kepada penulisan fiksyen sains selain Robert A. Heinlein (Starship Troopers) dan Frank Herbert (Dune). Saya juga tidak kata fantasi lebih menarik dari fiksyen sains. Itu sangat tidak adil. Punca saya lebih menyenangi fantasi berbanding fiksyen sains hanya kerana pendedahan awal saya bermula dengan karya-karya fantasi tulisan David Eddings (siri Belgariad, Maloreon, Elenium dan lain-lain) dan juga Ahmad Patria Abdullah (siri Saga Artakusiad). Lama selepas itu, barulah saya menguliti Tolkien (Lord of the Rings).

Namun, itu tidak bermakna saya tidak membaca apa-apa mengenai pengarang-pengarang fiksyen sains ini. Saya gemar membaca proses kreatif pengarang walaupun saya mungkin tidak membaca karya-karyanya atas sebab-sebab tertentu.

Misalnya, saya kini menguliti It's Been A Good Life - sebuah memoir Isaac Asimov kerana terkesan selepas membaca Yours, Isaac Asimov (suntingan Stanley Asimov). Saya amat-amat menyenangi kedua-dua buku ini kerana suka dengan bahasa Asimov yang jelas, sinis lagi sarkastik! Pada saya manusia yang sarkastik ini mempunyai satu kaedah berfikir yang berbeza dengan manusia yang berfikiran langsung lagi sehala. Manusia sarkastik ini seperti juga mereka yang menggemari jenaka di dalam bahasa Inggeris (jenaka melayu ala Raja Lawak, sangat menyedihkan) atau pantun-pantun Melayu lama yang penuh dengan brevity and wit.

Yours, Isaac Asimov saya pinjam melalui rakan Goodreads - Bunnybaby setelah saya gagal membelinya dari Kinokuniya. Wah, memang tak puas membaca sekali! Buku ini ialah himpunan surat-surat Asimov kepada pihak tertentu seperti editor, peminat, pihak penganjur majlis dan sebagainya. Satu perangai Asimov yang dinyatakan di dalam buku ini ialah dia akan membalas setiap satu surat yang dikirimkan kepadanya. Kebanyakan surat-suratnya ringkas, padat dan jitu - juga tentunya sarkastik kepada pengirim yang 'tak reti bahasa'.

Ini balasannya kepada seorang pembaca muda dari luar negara :

Your letter arrived today, even though it was only addressed "Isaac Asimov, well-know writer, USA." I didn't know that the U.S. Post Office knew me so well.

Apabila ditanya bagaimana dia menangani stress, ini jawapannya :
I have no mental exercises to relieve stress. Where my writing is concerned, I never feel stress. Where my non-writing is concerned and stress is coming on, I sit down and write. And then there is no stress. 
 Asimov sangat menyukai namanya sendiri dan berasa jengkel (saya fikir ramai yang begitu, saya juga) apabila namanya dieja salah : 

I am curious to know how you can have taught science fiction for eight years with some attention to my work - without having learned to spell my name correctly. 

Dalam surat lain, dia menyebut :
My name, with its correct spelling, gets a great deal of exposure. People who misspell it therefore, are either terribly nearsighted or thoughtless or simply don't care about me.

Oleh sebab tak puas membacanya sekali dan mahu berguling-guling dengan buku ini, mahu menanda, menconteng dan menggarisbawahi bahagian-bahagian yang penting, saya cari juga buku ini di tempat lain. (Saya tidak akan menconteng buku yang dipinjam, sama ada buku itu milik kawan atau pun milik perpustakaan). Biasanya saya akan pesan dari Amazon tetapi dalam masa yang sama, saya mencari biografi atau memoir Asimov supaya saya boleh baca kisahnya lebih lanjut.

Lalu, saya menjumpai It's Been a Good Life edisi kulit keras dari Book Depository. Tanpa bertangguh lagi, saya memesan kedua-duanya.

Asimov, yang tidak pernah saya hadam walau sebuah pun karyanya ini sedang saya jadikan idola dari segi kepengarangannya. Dia tidak suka meninggalkan kamar kerja untuk tujuan-tujuan yang boleh mengambil waktunya menulis. Dia cukup tidak suka mengembara kerana nikmat dunia baginya ialah membaca dan menulis. Apabila ditanya tentang hobinya, jawapannya tetap menulis. Hidupnya tidak pernah lengkap tanpa menulis.

Sehingga dia meninggal dunia pada tahun 1992, Asimov telah menghasilkan lebih 400 buah buku termasuk fiksyen dan bukan fiksyen, cerita-cerita pendek, esei dan limericks. 




Khamis, Januari 27, 2011

Setiap Hari Ahad ialah 'Hari Raya' buat Penulis

Saya sering berpesan kepada pelajar saya di kuliah supaya membaca dua akhbar pada setiap hari Ahad : Mingguan Malaysia dan Berita Minggu. Setiap bulan pula mesti baca Dewan Sastera dan Tunas Cipta. Jika ada masa lebih, baca juga Dewan Siswa dan majalah-majalah yang memberikan ruangan sastera - majalah yang ada ruangan cerpen dan puisi.

Kalau bukan pelajar sastera, penggiat sastera, penulis dan calon penulis yang membacanya, siapa lagi yang akan meneliti ruangan itu. Para editornya berhempas pulas mempertahankan ruangan tersebut. Jika bukan kita yang membacanya, saya pasti tidak lama lagi ruangan itu juga boleh berkubur.

Bagi orang lain, pasti ada minat yang berbeza. Namun, bagi saya tidak ada hari minggu yang berlalu tanpa saya membaca ruangan cerpen dan puisi di dalam kedua-dua akhbar Mingguan Malaysia dan Berita Minggu. (Kalau dulu, baca juga pada hari Sabtu, kini sudah tidak ada ruangan cerpen. Saya bukanlah pengikut novel bersiri yang tegar.)

Hari minggu ialah 'hari raya' bagi pencinta sastera. Pagi itu jadi bahagia kerana kita sangat-sangat ingin tahu karya siapakah yang mengisi ruangannya. Lebih-lebih lagi kepada pengarang yang mempunyai antisipasi dan harapan, apakah karya yang dihantarnya beberapa minggu (atau bulan) yang lalu dapat menawan hati editornya.

Apabila karya-karya yang tersiar itu terdiri daripada rakan-rakan penulis, sudah pastilah ada yang berbalas-balas ucapan tahniah-dan-terima kasih kerana itulah yang paling membahagiakan penulisnya. Tambah bahagia lagi apabila ada yang membaca karyanya dan memberikan komen walaupun sebaris ayat (selain daripada ucapan 'tahniah, karya tersiar di BM/UM').

Saya turut berpesan kepada pelajar, nanti mereka juga bakal menjadi penulis. "Bayangkan perasaan saudara apabila tiada yang membaca karya saudara yang tersiar. Apatah lagi, tak ada orang sedar yang karya saudara tersiar. Itu lebih mengharukan!"

Tiada alasan untuk tidak membaca. Kalau pun tidak mendapat akhbar versi cetak, versi digital juga ada. Pokok pangkalnya mahu atau tidak kita membacanya. Ada yang memberikan alasan sibuk dan tidak sempat. Benarkah kita sesibuk itu, atau itu sekadar alasan untuk menyedapkan hati sendiri?

Setiap minggu, para penulis dan pencinta sastera menyambut 'hari raya'. Tidakkan anda sama-sama mahu meraikannya dengan kami?

Selamat membaca!





Khamis, Januari 13, 2011

Hikmah di sebalik Pembakaran Interlok


Sudah banyak yang diperkatakan tentang Interlok. Sudah banyak reaksi juga yang telah diberikan. Kali pertama, Sasterawan Negara mendapat muka hadapan akhbar perdana. Namun, harganya ialah air mata.

Saya enggan mengulas tentang siapa salah dan siapa betul. Menilai dan mengkritik memang mudah. Namun, di sebalik semua itu, saya sentiasa mencari hikmah di belakang setiap peristiwa. Barangkali benar, ada 'tangan ghaib' yang menghasut supaya mereka yang tidak membaca Interlok itu supaya membakar dan 'mengkasutkan' pengarang yang kita cintai. Pada masa yang sama, carilah juga tangan yang lebih Akbar yang telah mengatur semua ini melalui rencana-Nya.

Hikmahnya, Interlok tiba-tiba menjadi teks yang dicari-cari di seluruh negara. Banyak kedai buku yang kehabisan stok kerana tidak terfikir novel yang ramai tidak tahu akan kewujudannya tiba-tiba mendapat perhatian rakyat Malaysia.

Hikmah lain, tiba-tiba nama Abdullah Hussein menjadi SN yang kedua popular selepas A. Samad Said. Percayalah, kalau anda ke mana-mana sekali pun, apabila ditanyakan soalan siapakah dia Sasterawan Negara, 99.9 peratus akan menjawab A. Samad Said. Harap-harap selepas ini, mereka lebih mengenali tokoh sasterawan mereka yang lain.

Pun, sedih difikirkan apabila orang ramai hanya membaca buku sastera selepas bukunya dibakar dan diancam. Benarlah apa yang saya bayangkan dalam cerpen saya: Sayap-sayap Kecil di Graha Jentayu : apabila dunia diancam malapetaka, barulah orang mencari buku semula - walaupun dalam cerpen itu digambarkan sebuah analogi manusia mula mencari buku untuk dibakar kerana mahu menyelamatkan nyawa daripada mati beku!

Selepas ini, apakah kita semua akan mencari pula novel Imam atau kumpulan cerpen Abdullah Hussain, Pahlawan Tak Bernama? Haruskah buku-buku ini terbakar dan terancam dahulu, barulah kita berebut-rebut mahu mendapatkannya?

Inikah bentuk 'promosi percuma' yang ditunggu-tunggu oleh penerbit supaya bukunya boleh laku di pasaran?

kredit foto di sini

Ayuh, pasaran buku dan promosinya mestilah terus giat dilakukan. Takkanlah kita semua mahu berundur dan menjadi bangsa yang tidak bertamadun - dengan membakar buku - barulah masa itu kita mahu giat membaca!




Nota kaki : Interlok (edisi pelajar) berwarna kelabu - yang masih mengekalkan perenggan yang kontroversi itu ada dijual di Ujana Ilmu.

Sumber gambar Interlok paling atas di sini.

Selasa, Januari 04, 2011

Ujaan untuk Tahun 2011


Sebagai penulis, saya tidak mempunyai kemahiran mencipta rekaan kulit buku. Oleh itu, saya banyak bergantung kepada kebijaksanaan pihak editorial dan bagaimana mereka meyakinkan pereka grafik. Gambar di atas ialah para editor di Al-Ameen Serve yang kuat bekerja dalam memastikan design kulit buku bukan sahaja memuaskan hati pembaca, tetapi memberikan imej yang sesuai bagi menggambarkan kandungan buku tersebut.

Untuk itu mereka memerlukan pasukan pereka grafik yang mantap. Alhamdulillah, untuk buku terbaru saya, pihak penerbit menggabungkan kerja kreatif anak tempatan dan luar negara. Hasilnya, pada pengamatan saya, amat menarik sekali.

Pokok pangkalnya, sebagai penulis saya harus banyak bekerjasama dalam memberikan cadangan dan bukan sekadar memberi komen/kritikan (khususnya yang tidak membina).

Gelavizh M. ialah designer yang saya senang bekerja dengannya. Saya menghormati gambaran beliau terhadap teks yang saya tulis dan dia sedaya upaya mahu memvisualkan sari cerita (the essence of the story).

Sama-sama kita lihat hasilnya setelah buku ini sempurna tidak lama lagi, insya-Allah.

Tahun 2011 menjadi permulaan kepada buku-buku yang baik persembahan visualnya (bermula dengan Bagaimana Saya Menulis).

Kulit buku ialah satu bentuk cenderamata kepada pembeli buku. Saya percaya kepada falsafah bahawa pembeli sekaligus pembaca akan menilai sesebuah buku pada kulit bukunya terlebih dahulu. Sehebat mana sekali pun kandungan buku tanpa reka bentuk kulit buku yang meyakinkan, banyak calon pembeli meletakkan kembali buku yang sudah dipegang ke rak. Itu pun masih bernasib baik kerana calon pembeli itu mahu memegangnya terlebih dahulu.

Ada buku yang langsung tidak disentuh oleh calon pembelinya di rak.

Tanggapan pertama itu penting.



Related Posts with Thumbnails