Ahad, Mac 27, 2011

Lat

Saya membesar dengan kartun-kartun Lat.Keluarga Si Mamat seringkali menceriakan hari minggu saya sewaktu remaja. Lantas, undangan menonton Lat The Kampung Boy Sebuah Muzikal saya sempurnakan bersama-sama suami pada hari Rabu yang lalu (23 Mac 2011).

Ketika itu ialah Malam Gala persembahannya. Turut hadir Perdana Menteri, Menteri Penerangan dan isteri masing-masing. Kami diberikan tempat duduk di Grand Circle (Tingkat Atas). Kebetulan di sebelah saya ialah pengarang Khadijah Hashim. Banyak dapat bertukar-tukar maklumat tentang Lat, Pak Samad (Ismail) kerana kami lahir pada zaman yang berbeza.

Komen tentang persembahan :
  • Menarik dan menghiburkan. Dapat mengenali Datuk Lat dan kehidupannya.
  • Lakonan Awie (sebagai Lat), Jalil Hamid (bapa Lat) dan Omar Abdullah (Pak Samad Ismail) amat berkesan. Mereka dapat menghayati watak masing-masing. Paling suka Jalil Hamid yang membawa wataknya dengan tenang.
  • Tidak suka dengan muzikal pembukaan dalam babak Lat di kampung sewaktu kecil: watak ibu Lat yang saya sifatkan sebagai overacting mengganggu babak tersebut. Komen kepada pengarahnya pula, kalau iya pun ibu Lat itu suka berkemban dalam kartunnya, saya tak fikir ia sesuai untuk dipersembahkan dengan cara demikian. Wanita Melayu berkemban atas pentas, tentu tidak manis, walaupun itu realitinya.
  • Ungkapan paling berkesan : 
    • Malaun! (Pak Samad Ismail)
    • I check my facts! (Pak Samad Ismail)

  • Dialog paling diingati :
    • Lat : Kat sini (London) tak ada cendol ke, Frankie?
    • Frankie : London tak cukup sejuk ke?
Zaman bebas daripada political correctness adakalanya lebih mudah untuk berkata-kata kerana tiada siapa yang akan ambil hati atau mahu bakar apa-apa jika ungkapan 'malaun' atau mungkin 'pariah' dituturkan.

Ah, zaman itu sudah berlalu...


Rabu, Mac 23, 2011

Hari Susastera di FSSK, UKM


FSSK = Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM.
PPBKKM = Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu

Zaen Kasturi dijadualkan hadir.

Ada pameran buku oleh Ujana Ilmu dan DBP.
Semua dijemput hadir

Jumaat, Mac 18, 2011

Rindu Seorang Rafik di MPH


Rindu Seorang Rafik sudah berada di MPH. Gambar ini diambil dari MPH Jusco Seremban 2. 
Namun, kepada yang tidak berkesempatan ke kedai-kedai buku, Rindu Seorang Rafik masih boleh dibeli secara online. 

Pesan terus dari Ujana Ilmu. 

Caranya amat mudah.
1. pergi laman buku yang dikehendaki.
2. click "Beli Buku Ini"
3. sila ikut arahan skrin
4. jika mahu tambah buku dalam troli pembelian - klik "continue shopping"
5. jika sudah habis pilih buku - klik "checkout"
6. isi semua maklumat termasuk negeri.
7. pilih cara pembayaran - kad kredit, wang pos, bank/online transfer
8. confirm.

Pelanggan akan menerima e-mel lanjut berkenaan cara membuat pembayaran berdasarkan cara pembayaran yang dipilih.

Pembelian online memudahkan urusan jual beli, jimat minyak dan perbelanjaan sampingan. Tunggu dalam tempoh yang ditetapkan. Buku yang dipesan akan sampai ke tempat anda, insya-Allah.



Jumaat, Mac 11, 2011

Hanani - buku kanak-kanak Nisah Haron

Saya percaya setiap pengarang itu harus berubah. Falsafah saya mudah: karya saya hari ini haruslah lebih baik daripada semalam. Dengan itu, saya sering mencabar diri memasuki wilayah-wilayah penulisan yang boleh diteroka. Saya cuba mengelak daripada mengehad serta membataskan diri. Apabila ada peluang, saya tidak teragak-agak untuk mencuba.

Sebelum ini, saya pernah menulis Farris Putera Yang Hilang.Sebelum menulis, saya percaya bahawa bukan mudah untuk menghasilkan buku kanak-kanak. Ketika itu PTS One belum wujud. Belum timbul juga istilah buku untuk kanak-kanak lelaki dan buku untuk kanak-kanak perempuan. Saya dapati banyak buku ditulis khusus untuk kanak-kanak perempuan. Oleh itu, kita tidak boleh menyalahkan budak lelaki yang enggan membaca, kerana mereka sebenarnya ketandusan bahan bacaan (pada ketika itu).

Atas kesedaran itulah saya menulis Farris kerana saya mahu dia menjadi buku yang akan dibaca oleh kanak-kanak lelaki (dan biasanya kanak-kanak perempuan akan 'sapu' semua - tanpa mengira buku itu untuk lelaki atau perempuan).


Saya bermula sebagai penulis buku remaja, jadi untuk turut ke tahap kanak-kanak adalah suatu cabaran. Namun, saya mencuba dan dengan mempunyai pembaca sasaran yang jelas di dalam kepala, saya pun mula mengarang novel tersebut.


Contoh ilustrasi Siri Hanani
Hak cipta gambar adalah milik
Emila Yusof.
Sila hormati hak intelektual ilustrator
Kini, saya mendapat satu lagi peluang untuk memperkembangkan genre buku kanak-kanak bergambar ini. Lalu, sebuah siri buku kanak-kanak Hanani dengan Semberani Merah Jambu sudah disiapkan manuskripnya dan kini di dalam proses penerbitan. Buku ini memang khusus untuk kanak-kanak perempuan. Siri ini merupakan kisah 'kembara' Hanani bersama-sama tiga ekor semberani ke banyak tempat. Di dalam setiap episod, Hanani (juga pembaca) dapat mengutip pengajaran dalam hidup.


Saya bertuah kerana mendapatkan khidmat ilustrator buku kanak-kanak bertaraf antarabangsa - Puan Emila Yusof (yang buku-bukunya sudah dipamerkan di Pesta Buku Kanak-kanak Antarabangsa Bologna, Itali 2010 dan karya-karyanya juga boleh dibeli dari Kinokuniya KLCC). Sudah lama saya impikan gandingan ini.


Insya-Allah, buku terbitan Prima Kids (anak syarikat Kumpulan Karangkraf) ini akan menemui pembaca cilik pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.





Rabu, Mac 09, 2011

Rakaman "Persada Aksara"


Minggu lepas ada rakaman program baharu yang dijangka menemui penonton sebelum Ramadhan kelak. Rancangan Persada Aksara ini dilihat seperti sebuah dokumentari tentang penulis-penulis di Malaysia. Programnya barangkali tidak sampai 15 minit, namun rakamannya memakan masa setengah hari dan melibatkan dua lokasi.


Ini bukan kali pertama krew televisyen datang ke rumah untuk rakaman. Jadi, sudah menduga suasananya.







Khamis, Mac 03, 2011

Membeli buku, tukar buku, buku percuma

Perkara yang saya paling segan hendak buat kepada pemilik buku ialah meminta buku percuma. Pada saya juga, perbuatan meminta buku ialah tanda si peminta tidak menghormati kerja-kerja intelektual yang telah dilakukan oleh penulis.

Memang ada masanya, penulis itu tahu bila dia harus memberi bukunya sebagai hadiah atau bertukar-tukar buku dengan penulis yang lain. Itu pilihan penulis tadi.

Apabila seseorang yang mampu membeli buku (hatta yang tak mampu sekalipun) meminta buku kepada si penulis, ini meletakkan penulis tadi dalam keadaan serba salah. Apabila tidak diberi dan mengharapkan orang yang meminta itu membeli, penulis akan dikatakan sangat berkira dan 'kedekut' sebab tak mahu beri buku secara percuma. Kalau diberi, ini bermakna penulis tadi menggalakkan hal ini terus berlaku.

Inilah mentaliti subsidi yang sudah berakar tunjang dalam masyarakat kita pada hari ini. Kalau boleh semua benda mahu percuma. Hal-hal makan percuma, kitalah jagoannya. Apabila ditawarkan supaya membeli buku, bermacam-macamlah alasannya, seperti yang ditulis oleh seorang sahabat Goodreads, Khairul H. di dalam blognya The Malaysian Reader.



Sama jugalah kesnya dengan orang yang sibuk-sibuk harga minyak naik. Padahal, orang yang bising itu ialah orang yang mampu pakai kereta besar dan memang kuat pakai minyak. Ada hati nak merungut harga minyak naik. Itu belum lagi suruh beli buku. Masih mahu menyalahkan minyak juga.

Buku harus dibeli. Katakan kepada penulis itu, "Saya mahu beli buku tuan/puan." Insist. Bertegaslah yang anda mahu membelinya. Kalau penulis itu pula yang beriya-iya mahu menghadiahkan, tentulah kita tidak manis menolaknya. Namun, sebagai penulis, kalau orang itu mahu membeli, izinkanlah dia membeli, mungkin boleh beri diskaun sedikit kerana dia membeli dari tangan penulisnya sendiri.


Pembeli buku yang berprinsip, lebih rela melaburkan sedikit daripada wangnya untuk membeli buku dan lebih bangga membeli daripada mendapat buku-buku percuma.

Oleh itu, saya rakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada teman penulis yang bertukar-tukar buku dengan saya baru-baru ini. Sebagai imbalannya, saya berikan buku saya yang terbaharu, Rindu Seorang Rafik. Pemberian itu menjadi tambah berharga apabila diiringi dengan tandatangan pengarangnya sendiri.

Bertukar-tukar buku dengan penyair Dr. Ahmad Razali,
tokoh akademik Dr. Kamariah Kamaruddin dan
sasterawan S.M. Zakir di dalam satu pertemuan
berasingan, baru-baru ini.







Related Posts with Thumbnails