Isnin, Julai 25, 2011

Kembara Sastera 21 : Dublin Bhg. 3

Setiap kali tersedar di U.K. saya harus membuat koordinasi semula. Memikirkan di manakah saya pada ketika itu. Pagi ini di Dublin. Dalam apartmen Ainun. Dia sudah ke dapur sewaktu saya sedar buat kali kedua. Musim panas di negara empat musim menyebabkan waktu subuh terlalu awal. Biasanya ramai yang tidur semula selepas subuh.

Sarapan kami ialah 'Nasi Goreng Dublin' dengan rasa yang luar biasa dan pastinya tidak akan ada di Malaysia!

Kembara pada pagi ini ialah menjejaki sebanyak mungkin lokasi sastera yang telah saya cadangkan pada Ainun. Saya hanya ada sehari sahaja di Dublin. Lalu saya mesti manfaatkan semua masa yang ada.

Sasaran pertama ialah Dublin Writers' Museum kerana menurut Ainun, ini yang paling dekat dengan kawasan rumahnya. Saya mengikut sahaja asalkan tempat-tempat ini dapat saya jejaki.

"Selepas Dublin Writers' Museum, kita ke James Joyce Centre," kata Ainun.

Melihat pada papan tanda sewaktu di dalam perjalanan, memang benarlah kedua-duanya berada di haluan yang sama.

Kawasan pintu masuk Dublin City Gallery The Hugh Lane
Dalam perjalanan itu, kami temui juga Dublin City Gallery. Tertarik juga dengan ungkapan 'free admission'. Apa yang turut menarik perhatian ialah imej wanita berjalan yang ditayangkan di hadapan galeri itu (seperti di dalam gambar). Saya terus sahaja mengajak Ainun masuk ke situ dan melihat apa yang ada di dalamnya.


Dublin City Gallery The Hugh Lane - itu nama penuhnya, lebih dikenali dengan nama "The Hugh Lane" ialah sebuah galeri seni. Sesudah saya melangkah barulah saya tahu bahawa galeri ini merupakan galeri modern art yang pertama terbuka untuk orang awam. Diselanggara oleh Dublin City Council, galeri ini menempatkan koleksi tetap, studio Francis Bacon, dan hasil seni kebanyakannya orang-orang Irish. Ketika saya di situ, sedang berlangsung pameran lukisan Frida Kahlo (6 Julai 1907 – 13 Julai 1954), pelukis Mexico yang terkenal dengan lukisan-lukisan self-potraitnya.

"Frida Kahlo mesti lukis gambar perempuan yang keningnya melekat. Semacam identiti lukisannya," kata Ainun. Saya yang pertama kali mengenali nama itu baru menyedarinya.
Kedai buku, lukisan dan cenderamata dalam Dublin City Gallery The Hugh Lane
Sempat meneliti lukisan sambil melihat-lihat buku dan cenderamata yang turut dijual di tingkat atas. Ada kedai buku Dubray Books yang memperagakan namanya sebagai peneraju penjual buku indie di Ireland. Pada laman webnya ada menyebut :

In 2009, we were invited to open a shop in Dublin City Gallery, The Hugh Lane. Located in Charlemont House, Parnell Square North, this latest Dubray Books branch has one of the best selections of art books in the country.
Kalau ikutkan hati, memang mahu berlama-lama di sini. Maklumlah gabungan seni, buku dan bangunan yang kondusif ini sungguh menjerat hati dan kaki di tempat ini. Namun, saya harus membebaskan diri dengan segera. Jika tidak nanti, alamatnya gagal misi kembara sastera di Dublin ini.

Berjalan keluar dari galeri itu, pandangan kami terus disambut sebuah taman yang berwarna-warni. Tarikannya menyebabkan kami tangguhkan dulu hasrat untuk ke Dublin Writers' Museum. Kami masuk terus ke dalam taman yang dinamakan The Garden of Remembrance.

Garden of Remembrance, Parnell Square, Dublin
Pandangan dari udara akan memperlihat kolam biru itu sebenarnya berbentuk
sebuah salib
Catatan di luar taman ini menyebut taman ini dibina bagi memperingati mereka yang telah gugur sewaktu mendapatkan kebebasan untuk orang-orang Irish. Di hujung taman (rujuk gambar) itu ialah tugu The Children of Lir yang menjadi titik fokus (focal point) kepada taman ini.

Kanak-kanak sedang berkelah di taman ini.
Ainun sedang meninjau di dalam kolam.
Bacaan lanjut dari Wikipedia, menemukan catatan berikut :

Di hadapan tugu The Children of Lir
The Garden commemorates freedom fighters from various uprisings, including:


the 1798 rebellion of the Society of United Irishmen
the 1803 rebellion of Robert Emmet
the 1848 rebellion of Young Ireland
the 1867 rising of the Fenian Brotherhood
the 1916 Easter Rising of the Irish Volunteers and the Irish Citizen Army
the 1919–21 Irish War of Independence of the Irish Republican Army
Perang kemerdekaan Irish pada tahun 1921 itu telah memberikan kedaulatan kepada Ireland tetapi ada 6 buah daerah yang masih di bawah kuasa British. Daerah itulah yang dikenali sebagai Ireland Utara pada hari ini.


The Children of Lir pula adalah kisah legenda Irish. Kisah suram dan sedih tentang empat beradik yang disumpah ibu tiri menjadi sekawan angsa. Mereka berterbangan di serata Ireland -
  • 300 tahun Lough Derravaragh berhampiran dengan istana ayahanda mereka; kemudian 
  • 300 tahun di Timur Laut (Straits of Moyle - sempadan Ireland Timur Laut dengan Barat Laut Scotland); 
  • 300 tahun lagi di Barat Laut (Inishglora - bahagian barat laut Ireland)

Angsa-angsa di Lough Derravaragh (Lough = tasik)
Mungkinkah angsa-angsa ini juga angsa sumpahan!
Setelah bertukar menjadi manusia semula, mereka berusia 900 tahun dan terlalu tua. Mereka semua mati dan terus ke syurga bertemu dengan ayah dan bonda mereka. Aduhai, tragisnya!

Taman ini telah mengabadikan sejarah dan juga legenda yang turut membentuk kesusasteraan negara mereka. Children of Lir hanyalah sebahagian daripada ratusan cerita-cerita rakyat yang boleh dibaca daripada buku-buku yang telah diterbitkan.


Adakalanya saya terfikir, adakah saya membaca supaya saya boleh kembara ataukah saya kembara supaya saya lebih banyak membaca?

Walau apa sekalipun, kedua-dua hal kembara dan membaca ini sungguh sinonim. Mungkin kita tidak mengembara secara fizikal, tetapi membaca itu sendiri ialah satu bentuk kembara minda yang hasilnya adakala lebih baik daripada kembara secara fizikal itu sendiri.

Keluar dari Taman Peringatan atau Garden of Remembrance ini, kami terus mencari-cari di manakah Dublin Writers' Museum. Mengikut peta, bangunannya tidak jauh daripada taman ini. Terlalu dekat, malah.

Memandang ke kiri dan kanan, Dublin Writers' Museum masih belum kelihatan, atau mungkin terhijab daripada pandangan kami yang sudah leka dengan senyuman bunga-bungaan di taman indah sebentar tadi. Saya hanya bergantung harap kepada Ainun. Dia lebih arif akan jalan-jalan dan lokasi bangunan di sini.



Ahad, Julai 24, 2011

Kembara Sastera 20 : Dublin Bhg. 2

Ireland sinonim dengan warna hijau. Selain muka buminya masih banyak hijau di sana-sini. Orang-orang Irish terkenal dengan watak-watak mitos yang dinamakan Leprechaun - si kenit bertopi hijau yang menjadi tukang kasut kepada elves (upahnya ialah wang emas yang akan disembunyikan di hujung pelangi).

Tidak banyak yang saya tahu tentang Ireland jika saya tidak membaca terlebih dahulu tentang tempat ini sebelum saya ke mari. Mungkin ada antara kita yang tahu tentang Ireland Red Army (IRA) yang menjadi kumpulan pemisah. Tetapi itu, di Ireland Utara, yang merupakan sebahagian daripada United Kingdom.


Seperti entri saya tentang Dublin yang terdahulu, Dublin, ialah ibu kota kepada negara Ireland. Saya pilih bandar ini di dalam kembara saya kerana mahu melihat sendiri mengapa kota ini menjadi pilihan UNESCO sebagai Kota Sastera (City of Literature) 2010.

Saya tiba sudah agak lewat di Dublin International Airport. Dari pintu kapal terbang sehinggalah ke bahagian imigresen dan seterusnya bagasi, adalah satu proses berjalan kaki yang sungguh jauh! Saya kelelahan berjalan. Mujur imigresen tidak banyak soal jawabnya. Tidak seperti sewaktu di Birmingham Airport dulu. Habis mahu diselongkarnya!

Ketika menunggu-nunggu bagasi, saya membayangkan Ainun pasti sudah semakin panjang lehernya memerhatikan saya yang tidak keluar-keluar dari lapangan terbang ini. Bagasi saya yang tidak sampai 15kg itu akhirnya sampai juga. Saya masih lagi terasa hentakan pesawat RyanAir yang mendarat seperti mahu terhempas itu. Mentang-mentanglah pesawat ini murah tambangnya, perkhidmatannya juga sama murah. Kalau ada peluang lagi untuk ke Dublin, mungkin saya akan pilih Aer Lingus pula. Biarpun harganya lebih tinggi daripada RyanAir sekurang-kurangnya mereka memang tiada kos-kos tersembunyi seperti RyanAir.

Saya keluar mencari Ainun. Terpandang-pandang ke kiri dan kanan. Mata melilau ke sini-sana. Saya tetap akan menunggunya walau apa pun terjadi kerana dalam e-mel dia sudah pesan supaya menunggunya dan setelah mendarat di Dublin, Ainun sudah tinggalkan SMS ke talian yang menggunakan nombor prabayar tempatan.


Seperti yang diduga, Ainun seorang sahaja yang gadis Melayu yang bertudung ala tudung orang Malaysia. Ada juga wanita lain yang bertudung seperti pelancong dari Timur Tengah. Kalau di lapangan terbang, kita mungkin juga bertemu dengan wanita Indonesia yang bertudung. Namun, cara mereka memakai tudung masih berbeza daripada gaya orang Malaysia. Oleh sebab itu, saya yakin yang gadis di hadapan saya yang sedang tersenyum itu ialah Ainun!

Inilah pertama kali bersua wajah. Selama ini saling membaca kisah masing-masing lewat blog dan FB. Apabila sudah pasti saya akan ke Dublin, saya banyak berurusan melalui e-mel dengannya. Syukur, Ainun sudi menumpangkan saya selama 2 malam di Dublin. Sewaktu dalam bas, dia memberi saya khabar gembira :

"Kak Nisah, esok saya cuti. Bolehlah kita berjalan bersama-sama."

Ah! Hati saya cepat berbunga. Pada mulanya, memang tidak pasti sama ada Ainun dapat menemani saya kerana tugasnya yang menghambat di Dublin. Saya tawakkal sahaja. Sudah dapat bermalam di rumahnya pun sudah cukup bersyukur. Saya faham jika saya terpaksa meninggalkan rumah seawal beliau harus ke tempat kerja. Saya juga sudah membayangkan yang saya akan membaca peta dan mencari arah perjalanan sendiri di Dublin nanti.

Sungguh-sungguh ini berita gembira buat saya.

The Spire
sumber di sini
Bas dari Dublin Airport yang menuju ke Kota Dublin berhenti di sekitar O'Connell Street. Perkara pertama yang menarik perhatian saya ialah "The Spire of Dublin" yang juga dikenali sebagai "The Monument of Light" (Irish: An Túr Solais). Binaan monumen ini sangat besar dan tinggi serta semakin menirus pada hujungnya, seperti sebuah pin gergasi yang diletakkan secara menegak di tengah-tengah Kota Dublin. Walaupun saya sampai pada waktu malam, tiada siapa yang akan terlepas daripada terlihat "The Spire" ini. Letaknya di tengah-tengah O'Connell Street yang boleh dikatakan satu daripada jalan utama di kota ini, menjadikan lokasinya menjadi tempat pertemuan.

"Mahu jumpa di mana?" Jika ada kawan bertanya (secara hipotesis).
"Dekat The Spire."

Wah, sudah boleh jadi satu dialog penting untuk novel!

Bahagian kaki "The Spire of Dublin" - sumber di sini
Terus terang, ini sahaja yang saya nampak sewaktu berjalan pada malam itu. Selebihnya, saya tidak pasti apa yang saya lihat kerana saya hanya mengikut Ainun yang membawa saya berjalan kaki ke rumahnya. Kebanyakan jalan raya sudah mula sunyi dan hanya diterangi lampu jalan. Saya tidak merungut berjalan walaupun Ainun kelihatan resah melihat saya menarik bagasi yang bunyinya bergema sepanjang jalan.

Jalan ini jauh lebih selesa daripada saya menarik bagasi mendaki bukit-bukit di Ambleside, Lake District dahulu. Sekurang-kurangnya Dublin ialah kota yang rata. Tidak ada perjalanan naik turun bukit.

Sampai di kediaman Ainun, saya terus mendongak ke apartmennya. Wah, semoga ada lif yang berfungsi untuk membawa saya naik bersama-sama bagasi yang terasa semakin berat ini. Apabila Ainun membuka pintu utama dan seterusnya menunjukkan pintu apartmennya, saya bersyukur lagi : Apartmen Ainun di aras bawah!

Di kamarnya, terus melepaskan lelah. Ainun korbankan katilnya untuk saya. Sedangkan dia sendiri tidur di tilam udara(?) (airbed) di atas lantai. Aduhai, semoga Allah memberkati hidup Ainun selalu!

Malam itu, dia masih sempat menghidangkan saya dengan ayam tandoori yang telah dibelinya. Kami sembang-sembang tentang rencana hari esok.

Malam semakin larut. Saya terus terlena sebaik-baik sahaja kepala mencecah bantal.

Esoknya, saya ada hari yang sangat panjang!


Khamis, Julai 21, 2011

Kembara Sastera 19 : Dublin Bhg. 1


Peta Ireland - sumber Lonely Planet
Pada peringkat perancangan awal untuk ke U.K., saya tidak masukkan kota Dublin kerana saya fikir, saya hanya mahu mengembara menggunakan kereta api sahaja. Untuk ke Dublin yang kedudukannya di Pulau Ireland di sebelah Barat England ini, pilihan pengangkutannya hanyalah kapal terbang atau feri. Terbang memang tak lama, tak sampai satu jam. Feri lebih romantis perjalanannya namun, boleh sampai 8 jam bergantung kepada pelabuhan yang ditinggalkan dan pelabuhan yang dituju.

Namun, saya masukkan juga Dublin dalam senarai kota yang bakal saya lalui dalam kembara ini kerana Dublin juga sebuah City of Literature bagi tahun 2010. Tentu tidak lengkap kembara saya ini jika saya ke Edinburgh tetapi tidak singgah ke Dublin. Padahal, bukanlah jauh mana pun.

Bagi yang sudah lupa, atau lupa-lupa ingat pelajaran geografi, Ireland bukanlah sebahagian daripada United Kingdom. Hanya Ireland Utara merupakan sebahagian daripada UK, selain Scotland and Wales juga. Ini bererti, saya akan keluar dari negara United Kingdom dan masuk ke negara yang lain pula.

Matawang juga berubah. Ireland tidak menggunakan British Pound, sebaliknya menggunakan Euro. Sebelum berangkat ke UK, saya telah menukar sejumlah kecil wang Euro dan lebih banyak menukar kepada Pound. Wang Euro ini saya gunakan ketika transit di Amsterdam untuk membeli cenderamata dan kali ini saya akan menggunakannya di Dublin.

Kedai buku & cenderamata
di Lapangan Terbang Antarabangsa Prestwick
Sambungan daripada catatan Glasgow, Scotland: saya berangkat dengan pesawat RyanAir dari Lapangan Terbang Antarabangsa Prestwick terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Dublin. Sebetulnya saya sungguh cemas ketika berada di Prestwick. E-mel dan mesej dari Ainun, kenalan dan sahabat blogger yang bakal menanti saya di Dublin saya semak berkali-kali. Kebimbangan utama ialah bagasi saya tertahan dan diminta membayar wang tambahan kerana saya menempah daftar masuk bagasi sebanyak 15kg sahaja.

Mengapa saya ambil yang paling minimum? Soalnya ialah kos!

RyanAir ini sepertinya adik beradik dengan AirAsia. Tiketnya memang murah - jika ditempah lebih awal. Ketika saya menempah, tiketnya pun sudah naik beberapa Euro berbanding beberapa hari sebelumnya ketika saya masih lagi belum buat keputusan akan ke Dublin atau sebaliknya. Oleh sebab tiketnya murah, usah harapkan perkhidmatan yang luar biasa daripada syarikat ini. RyanAir memang sesuai untuk sesiapa sahaja yang travel light atau tidak membawa sebarang bagasi.

Bermula dengan pas masuk (boarding pass) yang mesti dicetak awal-awal atas kertas A4 (telah dinyatakan secara khusus dalam e-mel) dan kalau tidak daftar masuk lebih awal, ada cas tambahan dikenakan. Kalau pas masuk tidak dibawa ketika daftar bagasi, kena bayar 40 Euro untuk dapatkan pas masuk yang baharu. (40 Euro = lebih kurang RM200). Bagi bagasi lebih dari 15kg (walaupun beberapa gram) akan dikenakan cas tambahan. Pendek kata, RyanAir semacam mencari jalan untuk mendapatkan wang tambahan daripada pengguna. Apabila semua syarat itu kita patuhi, memang tiada masalah yang timbul.

Untuk beg kabin (beg yang boleh dibawa naik ke pesawat bersama-sama dengan kita) pula, beratnya mestilah tidak lebih 10 kg. Sekali lagi, jika terlebih harus dibayar atau tinggalkan barang berkenaan!

Ketika pemeriksaan keselamatan, laptop dan segala alat elektronik mestilah dikeluarkan dari beg kabin. Jaket mesti ditanggalkan. Bagi yang bertudung seperti saya, ada pegawai wanita yang akan memeriksa kepala dan leher untuk memastikan saya tidak sangkut apa-apa yang tidak sepatutnya pada leher. Benarlah, peristiwa pasca 9-11 amat menakutkan masyarakat Barat. Kerja puak pelampau itu memang telah menyusahkan semua orang. Saya amat tidak menyokong perbuatan mereka dan itu bukan kerja orang Islam tulen (jika benar itu kerja orang Islam).

Elvis Presley dikatakan pernah mendarat di sini.
Klik pada imej untuk membaca dengan lebih jelas.
Ruang menunggu di Lapangan Terbang Antarabangsa Prestwick ini tidak berapa besar tetapi dilengkapi kedai dan kafe seperti mana-mana lapangan terbang yang lain. Ada sebuah bar yang dinamakan Elvis Bar kerana khabarnya, jet peribadi Elvis Presley pernah mendarat di Prestwick International Airport untuk mengisi minyak. Ada dicatatkan pada lantai bangunannya seperti gambar di sebelah.

Kini, saya sudah separuh perjalanan kembara. Dublin ialah destinasi yang penting. Dublin juga ialah Kota Sastera terkini yang diiktriaf UNESCO selepas Edinburgh, Iowa dan Melbourne. Selepas ini, hanya Iowa sahaja yang belum saya jejaki.

Penat yang terkumpul sudah mula terasa. Harap-harap semua urusan kastam dan imigresen berjalan lancar. Saya membayangkan bagaimanakah wajah Ainun. Kami hanya berkomunikasi secara e-mel sebelum ini. Saya tahu dia gadis Melayu yang bertudung. Barangkali, tidak ramailah agaknya gadis Melayu bertudung yang berada di Dublin.

Ketika saya terus mengelamun, panggilan masuk untuk ke pesawat pun berkumandang. Saya tinggalkan bumi Scotland buat seketika. Selepas selesai di Dublin, saya akan kembali semula ke pulau sebelah sini, cuma bukan di Scotland, tetapi di kawasan England.

Pukul 10.10 malam, pesawat menujah udara menuju Dublin. Matahari sudah mula masuk beradu. Sisa-sisa warna jingga masih tercoret di kaki langit. Ketika mendarat di Dublin nanti, pastinya hari sudah gelap. Saya sudah letih kerana seharian kerana dalam masa satu hari saya berada di tiga buah bandar : Edinburgh - Glasgow - Dublin.

Terasa mahu beradu berbantalkan awan gemawan di luar sana!


Rabu, Julai 20, 2011

Kembara Sastera 18 : Glasgow Bhg. 2

Nota : Maaf kerana catatan ini agak tertangguh kerana dalam proses menulis entri-entri di sini, saya harus melunaskan amanah untuk ke program Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) di Bogor, Indonesia. Saya akan cuba segerakan tulisan tentang Kembara Sastera di Kepulauan British ini dan seterusnya menulis tentang catatan Kembara Sastera Jawa Barat secepat yang mungkin. Terima kasih kepada semua pembaca setia. 

* * *

Seperti namanya, Fajar seringkali memberikan harapan. Kehadiran sahabat saya, Fajar telah memberikan suatu harapan bahawa saya bukan sahaja mempunyai teman kembara dalam singgahan yang benar-benar singkat di Bandar Glasgow ini, tetapi, saya dapat melihat wajah yang dikenali.

Selepas membuat perkiraan, saya membuat keputusan untuk memilih satu sahaja tempat yang paling memanfaatkan dalam bandar ini. Pada mulanya, singgah sebentar di Gallery of Modern Art (GOMA) yang tidak jauh dari George Square. "Di Kelvingrove lebih besar lagi, kak." kata Fajar.

"Mari kita terus ke sana, kalau itu tidak membebankan," cadangan saya itu demikian kerana bersama-sama saya ada bagasi dan GOMA tidak membenarkan bagasi diheret. Harus diangkat sepanjang waktu penelitian terhadap objek seni dan lukisan di GOMA.

"Kalau begitu, tinggalkan sahaja bagasi ini di Central Station, nanti sepulangnya dari Kelvingrove, akak akan terus ke sini untuk ambil kereta api ke Prestwick," kata Fajar lagi.

Dalam Central Station Glasgow
Cadangan itu ternyata memudahkan semua pihak dan kami berjalan beberapa blok dari kawasan George Square dan GOMA untuk ke Central Station Glasgow, yang seperti namanya, menjadi tempat pertemuan semua laluan kereta api di sini. Samalah seperti KL Sentral di Malaysia atau Edinburgh Waverly Station (yang pernah saya ceritakan dalam entri terdahulu).

Dengan hanya satu beg galas, dia menunjukkan jalan untuk mengambil bas. Kami terus ke Kelvingrove Art Gallery & Museum di Argyle Street. Perjalanan di dalam bas menawarkan pandangan yang berbeza daripada apa yang ada di Edinburgh. Perbezaan ini pasti terkait secara langsung dengan sejarah kedua-dua tempat ini.

Bas berhenti di University Avenue. Fajar turun dan saya mengikut sahaja.

"Inilah kawasan University of Glasgow," Fajar memberitahu.

Pintu utama - Universiti Glasgow
Ah, saya paling bahagia kalau dibawa ke kawasan universiti! Melangkah masuk ke gapuranya seolah-olah membawa kita masuk ke abad ke-14 dan 15. Sekali lagi, saya terpegun dengan seni bina abad lampau yang masih lagi dikekalkan pada bangunan-bangunan di sekitar universiti ini. Universiti di sana bukanlah berpagar-pagar seperti universiti di Malaysia. Di sini, kalau pun ada pagar, hanyalah pokok-pokok renek yang digunting menjadi pagar natural.

Hujan pula menitis menyambut ketibaan kami. Lalu, kami segera masuk ke bahagian bangunan utama University of Glasgow. Tidak sempat saya menangkap semua namanya, walaupun Fajar ada menjelaskan nama-nama bangunan yang ada. Fajar yang tahu kegemaran saya pada seni, terus mahu membawa saya ke Hunterian Museum yang berada di dalam kampus ini.

Jalan masuk ke Hunterian Museum mengingatkan
saya kepada gambar Mezquita di Granada, Sepanyol

Sayangnya, muzium itu ditutup buat sementara kerana ada kerja-kerja baik pulih yang sedang dilakukan. Saya tidak berapa terkilan kerana masih takjub dengan seni bina bangunan-bangunan kampus di sini. Selesai merayau-rayau di dalam kawasan bangunan, saya terus keluar dan gerimis masih lagi menitis.

Saya temui pintu ini ketika keluar dari
The Hunterian Museum, University of Glasgow
Namun, hujan di sini bukanlah suatu gendala. Hujan hanyalah fenomena alam yang tidak dijadikan alasan untuk tidak melakukan apa-apa. Orang di sini tetap akan memotong rumput kala hujan tidak terlalu lebat kerana cuaca di sini sering tidak menentu. Mengharapkan hari yang seratus peratus panas adalah seperti mengharapkan pelangi muncul sepanjang masa.

Hujan menjadikan rumputnya cukup hijau, demikian juga pohon-pohonnya. Ini menjadikan latarnya cukup indah untuk saya rakam dengan kamera. Dengan adanya Fajar, saya tidak perlu keluarkan tripod. Alhamdulillah, terima kasih Fajar yang memudahkan sebahagian daripada perjalanan saya ini.

Ketika keluar dari bangunan-bangunan University of Glasgow, saya bertanya kepada Fajar, "Itu bangunan apa?" Saya sungguh tertarik dengan seni beni dan warna perang keemasan yang menjadi warna menyelubungi seluruh tubuhnya.

Bergambar - berlatarbelakangkan Kelvingrove Park dan
Kelvingrove Art Gallery & Museum
"Itulah Kelvingrove Museum," dengan tenang Fajar menuturkan.

Wah, harus berjalan lagi ke sana, tetapi suasana gerimis yang sebentar ada, sebentar berhenti itu menjadikan perjalanan yang kelihatan jauh tidak terasa. Lagipun, University of Glasgow terletak di bahagian atas bukit dan kami hanya perlu menuruni kawasan Kelvingrove Park yang memisahkan universiti dan muzium. Dan Kelvingrove Park memang sungguh luas!

Kelvingrove Art Gallery and Museum, Glasgow
Ketika pandangan mata saya pertama kali tertancap pada bangunan Kelvingrove Museum yang agam itu, saya sekali lagi terpegun. Luar biasa besarnya. Saya fikir ada sebesar kompleks Masjid Putrajaya (yang beratap merah). Lalu, hati pun tertanya-tanya apakah yang mungkin diisi oleh ruang seluas itu.

Satu sudut bahagian dalam Kelvingrove - untuk santai dan mengopi
sambil bincang-bincang hal-hal seni dan seputarnya
Masuk ke dalamnya, saya terus tenggelam dalam pameran lukisan, objek seni dan juga sekali gus tempat yang menyimpan segala khazanah bandar Glasgow, khususnya hal-hal tentang seni dan budaya. Kalau saya mahu habiskan lawatan ke dalam bangunan yang bertingkat-tingkat ini, saya harus bermalam sahaja di Glasgow dan berulang-ulang ke muzium yang percuma ini!

Bergambar kenangan sebelum meninggalkan Kelvingrove
Lalu, saya terpaksa membuat lawatan yang paling praktikal. Membaca pamflet yang disediakan lalu memilih kawasan yang penting dan mampu menarik perhatian sahaja. Fajar entah di mana kerana saya sendiri larut di dalam tempat ini. Saya akan hubungi dia selepas saya puas di tempat ini.

Fajar terkejut apabila saya menyatakan bahawa saya sudah selesai.

"Cepatnya, Kak Nisah!"

"Kalau saya mahu lihat kesemuanya, nanti tak terbanglah saya ke Dublin malam nanti." Sambil berjalan saya melihat ke bahagian luar muzium, gerimis sedang berjeda. "Kita cari tempat makan dulu."

"Kak Nisah mahu makan apa?"

"Apa-apa saja yang mengenyangkan."

Sarapan terakhir saya di Edinburgh sebelum berangkat ke Glasgow. Di sini juga saya belum beli apa-apa kecuali menghabiskan roti dan biskut 'sihat' yang dibawa sebagai bekal. Saya tidak mampu berbohong bahawa saya sudah lapar.

Tidak jauh di hadapan Kelvingrove Musuem, lebih kurang dua blok, di Old Dumberton Road ada sebuah restoran Malaysia, milik orang Malaysia. Namanya Wau Cafe. Ketika melangkah ke dalamnya, saya dan Fajar bukan lagi dua orang Melayu yang ada di Bandar Glasgow. Ada dua orang perempuan muda yang saya jangka pastinya mahasiswi dan pemiliknya juga orang Melayu.

Tiba-tiba merindui masakan Melayu!

Wau Cafe - menghidangkan masakan Melayu, Malaysia
Kafe ini kecil dan sedikit terlindung. Berbual dengan pemiliknya, dia menjelaskan tentang kos pembiayaan yang tinggi dan kafenya yang masih baru ini belum diketahui ramai. Usah mengharapkan makanan yang betul-betul sama rasanya seperti makanan Melayu di Malaysia, tetapi sekadar pelepas rindu pada kuih-muih dan menu-menu terpilih, saya fikir tempat ini memadai.

Petang yang panjang tidak bererti waktu juga bertambah panjang. Masa yang berdetik mendekatkan saya dengan waktu untuk berangkat ke Dublin.

Kami terus menaiki bas ke Central Station semula. Saya sudah sedikit cemas kerana jalan raya sudah mula dijalari kenderaan. Ini permulaan waktu puncak. Warga Glasgow pulang kerja. Walaupun kesesakannya tidak seperti di Kuala Lumpur atau Jakarta, namun kesesakannya itu tetap menjejaskan kelancaran perjalanan bas.

Saya bimbang terlepas kereta api ke Prestwick dan ini menjejaskan pula waktu penerbangan ke Dublin. Semua itu boleh kacau-bilau jadinya. Namun, saya tetap meyakinkan diri bahawa Allah tahu semuanya. Berdoa sahajalah. Doa orang yang sedang dalam kembara itu sering dimakbulkan Allah.

Sampai di Central Station, saya lekas-lekas mengambil bagasi dan langsung membeli tiket.

Tiket dari Glasgow Central - Prestwick
International Airport
"Bila tren yang berikutnya ke Prestwick International Airport, tuan?" saya bertanya di dalam bahasa Inggeris.

Dengan loghat Scottish yang pekat dan wajah yang tenang penjual tiket di belakang kaunter itu memberi tahu, "Tren akan berlepas dalam lima minit lagi. Tren yang selepas itu, sekitar 1 jam dari sekarang. Silakan ke Platform 14, puan."

Oh tidak! Lima minit ertinya saya harus berlari. Tertangguh sejam ertinya saya akan rugi masa.

"Fajar, saya harus terus ke platform. Terima kasih atas semuanya. Semoga Allah merahmatinya sekeluarga!"

"Terima kasih juga kerana sudi singgah. Maaf, tak dapat bawa ke banyak tempat."

Dalam tren - makluman secara visual akan destinasi berikutnya
Kami memahami situasi masing-masing. Dan ya, saya berjalan dengan pantas, separuh berlari separuh berkejar dengan bagasi yang laju diheret di belakang saya. Travelator memantaskan lagi pergerakan. Saya melihat tren yang sedang menunggu.

Sebaik-baik sahaja saya melangkah masuk. Pintu tren terkatup di belakang saya.

Selamat tinggal, Glasgow!
Pesawat RyanAir menujah udara dan menuju bumi Leprechaun pula



Rabu, Julai 06, 2011

Kembara Sastera 17 : Glasgow bhg. 1

Bangunan Glasgow City Council di George Square
Sewaktu di Edinburgh Central Youth Hostel, saya berkenalan dengan rakan sebilik bernama Sheila, warga Perancis yang berasal dari London. Kata wanita yang lebih berusia daripada saya ini, dia tinggal tidak berapa jauh dari Bordeaux, Perancis dan datang kembara sendirian setelah menghadiri majlis perkahwinan saudaranya di Glasgow; sambil menziarahi anak dan cucunya di London.

Kata Sheila, memang suatu keputusan yang tepat apabila saya memilih untuk melihat kedua-dua tempat ini : Edinburgh dan Glasgow. "They are like sisters, similar and yet there is a striking difference. You just have to see it for yourself."

Sewaktu di Edinburgh, saya terus teruja dengan seni binanya. Di Glasgow, saya disambut dengan bentuk seni bina yang berbeza. Barangkali, mereka yang berada di dalam disiplin seni bina dapat menerangkannya dengan lebih baik. Apa yang saya faham seni bina bangunan di Glasgow banyak menerima sentuhan Charles Rennie Mackintosh - arkitek, designer, pelukis dan pengukir yang dikatakan menjadi pelopor kepada suatu gerakan seni di Eropah.

Kereta api dari Edinburgh ke Glasgow tidak sampai sejam tempoh perjalanan, melalui stesen-stesen Edinburgh Haymarket, Falkirk High, Croy dan berakhir di Glasgow Queen Street.

Dan kereta api pun berhenti di Stesen Glasgow Queen Street
Kenderaan awam baik Edinburgh, Glasgow atau mana-mana tempat yang pernah saya tempuhi di UK ini sungguh mudah dan mesra pengguna. Sentiasa ada petugas yang tersenyum melayan apa sahaja soalan, walapun mereka itu pastinya sudah menjawab soalan yang sama beratus-ratus kali. Itulah dia perkhidmatan yang cemerlang dan sikap yang profesional yang wajar dicontohi.

Gambar yang dengan sendirinya menerangkan lokasi penulis
Setelah sampai di Glasgow Queen Street, saya tinggalkan bagasi dan terus keluar berjalan-jalan di sekitar George Square. Itu yang dipesan oleh Fajar, calon PhD University of Strathclyde, Glasgow yang akan membawa saya sekitar Glasgow sebelum terbang ke Dublin pada sebelah malamnya. Selain rakan blogger dan pelanggan Ujana Ilmu, saya dan Fajar merupakan antara ahli kelab Artakus.net - peminat tegar karya-karya Ahmad Patria Abdullah dengan siri Saga Artakusiadnya.

Dalam e-mel sebelum sampai ke UK, Fajar ada mengingatkan bahawa cuaca di kawasan Scotland, khususnya Glasgow seringkali tidak menentu. Antara ungkapan dan jenaka yang diketahui umum di sini ialah "you know you're in Scotland, when you can get all four seasons in one day!"

Saya senyum sahaja ketika membaca e-mel itu kerana sebelum sampai ke sini, saya tidak dapat membayangkan bagaimanakah keadaan musim panas di England dan Scotland yang dikatakan panas tetapi masih dingin itu. Di sini saya sudah merasainya. Di kawasan Scotland (Edinburgh dan Glasgow), cuacanya berubah tanpa diduga. Saya alami hal itu sewaktu di Edinburgh. Di sini, hujannya tidak menghalang apa-apa kerja. Ada yang memotong rumput pada waktu hujan kerana hujan itu akan berhenti pada bila-bila masa dan boleh bersambung lagi pada bila-bila masa juga.

Ketika saya keluar dari Stesen Queen Street, cuaca panas dan cantik. Dapat mengambil gambar sekitar George Square dan bangunan di sekelilingnya. Merpati berterbangan di sana-sini dan banyak yang hinggap di laman kawasan yang luas ini. Orang ramai ada yang berhenti makan snek seperti sandwich di bangku-bangku yang disediakan. Kawasan yang terbuka, cuaca yang baik dan nyaman adalah kombinasi yang indah untuk buat apa sahaja di George Square.

Seorang datuk yang menunjukkan
'rahsia' Glasgow
Saya leka mengambil gambar sebelum singgah di sebuah Tourist Information Centre untuk membeli poskad untuk dikirimkan kepada rakan-rakan di Malaysia. Satu daripadanya saya kirimkan kepada sahabat Artakus.net - Puteri Elaira. Sengaja saya kirim poskad walaupun saya boleh sahaja mengirim e-mel atau kemaskini gambar di FB tetapi tiada yang dapat menewaskan rasa sentimental mengirim dan menerima sekeping poskad. Peribadi, saya sendiri pengumpul poskad. Masih tersimpan dengan baik banyak poskad daripada sahabat-sahabat yang kembara dan sudi pula melemparkan sekeping dua poskad kepada saya. Sayang, saya tak mampu untuk mengirimnya kepada semua.

Klik pada gambar untuk besarkan imej.
Lady Liberty yang dimaksudkan ialah patung
di tengah-tengah.
Ketika sedang ralit merakam pemandangan di sekitar George Square, saya ditegur seorang lelaki tua yang katanya telah tinggal di Glasgow selama 75 tahun. Katanya lagi, ada rahsia di tempat ini (di George Square) yang orang Glasgow sendiri pun mungkin tidak tahu. Dia mahu kongsi rahsia itu dengan saya. Dia ajak saya lihat bangunan Glasgow City Council yang tersergam menghadap George Square. "Look at the statue of a lady up there".

Saya pun mengecilkan mata dan merenung ke arah yang ditunjukkan. Benar ada patung perempuan yang yang mengangkat tangan kanannya ke udara.Katanya, patung itu persis Lady Liberty atau Statue of Liberty di Amerika Syarikat. Saya perhatikan patung itu betul-betul. Ya, memang ada persamaannya.

Tak sempat pula saya bertanya apakah kaitannya patung kecil di atas Glasgow City Council itu dan Statue of Liberty sendiri. Dia hilang sepantas kemunculannya. Tapi, dia sempat membantu saya bergambar di hadapan George Square dan dia pula sudi fotonya dirakam.

Saya cari dia, tetapi dia memang betul-betul sudah hilang dari pandangan saya!

Tugu James Watt, jurutera mekanikal Scottish

Di kawasan lapang ini juga ada banyak patung yang menjadi hiasan. Kebanyakannya tokoh-tokoh dan negarawan mereka. Ada satu nama yang saya kenali sejak sekolah rendah lagi - James Watt, pereka enjin stim. Itu sahaja asosiasi yang dapat saya kaitkan dengan nama itu. Memandang ke kakinya, benarlah fakta yang saya ingat itu.

Saya punya yang amat singkat di Glasgow. Hanya sepetang. Penerbangan saya ke Dublin lebih kurang pukul 10.00 malam. Saya harus berada di Lapangan Terbang Prestwick 2 jam sebelum itu (kira-kira pukul 8.00 malam). Untuk ke Prestwick, menurut Fajar hampir sejam. Saya congak dan buat matematik pantas. Dengan itu, saya mesti tinggalkan bandar Glasgow seelok-eloknya pukul 6.00 petang.

Saya lihat jam tangan. Sudah hampir 2.00 petang. Janji temu saya akan berlangsung sebentar lagi. Harus ada tempat tertentu yang mesti saya manfaatkan kerana Glasgow sendiri tidak kurang menarik. Sekali lagi, faktor masa dan kos. Saya harus selektif.

Saya bercadang untuk berbincang dengan Fajar apabila dia sampai seketika nanti. Lelaki tua itu memang tidak saya temui lagi. George Square masih ramai orang lalu lalang. Merpati juga rancak mencari apa-apa makanan yang ada.

Menghampiri waktu pertemuan, saya kembali ke Stesen Queen Street untuk mengambil bagasi yang ditinggalkan. Mahu dibawa bersama kerana mungkin selepas ini, saya tidak akan kembali ke stesen yang sama.

Tidak lama selepas itu, Fajar pun sampai dengan jaket gelap dan topi baseball yang bayang-bayangnya menutup sebahagian wajah. Ada wajah yang saya kenali, akhirnya.







Selasa, Julai 05, 2011

Kembara Sastera 16 : Edinburgh bhg. akhir

Awal pagi saya bangun untuk menikmati bandar Edinburgh buat kali terakhir sebelum berangkat ke Glasgow sekitar tengah hari. Saya berjalan-jalan sekitar Leith dan melihat kehidupan yang sedikit jauh daripada Pusat Bandar Edinburgh. Kawasan di sini agak tenang pada waktu pagi kerana kebanyakan aktiviti lebih tertumpu di sekitar Princes Street.

Terjumpa poster ini ketika mengambil angin pagi di Leith
 Ketika ini saya sedang memikirkan bagaimana saya harus membawa barang yang sudah semakin bertambah (khususnya buku) yang telah terkumpul sejak awal kembara ini. Malam sebelumnya, saya sudah asingkan sekian banyak buku. Saya tiada pilihan lain. Buku-buku, pamflet, brosur dan segala bentuk bahan yang memang menjadi kegemaran saya dan selalu saya kumpul jika saya ke mana-mana sekalipun. Bahan-bahan bercetak ini nanti kemudiannya akan membantu kerja-kerja penulisan. Bukan semua perkara ada di dalam internet. Mustahil saya buang begitu sahaja!

Selepas singgah tak sampai sehari di Glasgow, malamnya saya akan terbang ke Dublin. Penerbangan yang telah ditempah ialah RyanAir. Syarikat ini ialah penerbangan tambang murah seperti AirAsia. Saya terpaksa hadkan berat yang ditempah ketika menempahnya sebelum saya sampai ke UK. Semua ini faktor harga dan saya juga mahu mengehadkan diri daripada membeli terlalu banyak.

Namun, apabila sudah tercampak ke syurga dunia yang dipenuhi buku, saya seperti tikus jatuh ke dalam beras!

Saya ada dua pilihan: bawa semua barang dan bayar kos tambahan untuk bagasi (excess baggage) atau fikirkan pilihan lain.

Tiba-tiba datang akal ketika berjalan-jalan di Leith. Pilihan yang ada ialah mengepos sebahagian buku yang mungkin tidak saya gunakan lagi untuk bahagian akhir perjalanan ini. Saya bawa buku-buku (yang kemudiannya setelah ditimbang rupa-rupanya 5kg!) ke pejabat pos yang sangat hampir dengan hostel. Saya terfikir mahu pos terus ke Malaysia, tetapi kosnya GBP60 dan hanya akan sampai lebih dari sebulan. Kalau mahu lebih segera tentulah lebih tinggi daripada itu. Pilihan lain ialah mengepos ke rumah sahabat saya di Coventry kerana destinasi terakhir sebelum berangkat pulang ke Malaysia ialah Coventry kalau pun bukan Birmingham.

Kotak buku dan bahan bercetak yang telah siap dibungkus.
Sedia untuk ke pejabat pos. Pengalaman membungkus buku di Ujana Ilmu
dipraktikkan sebaik-baiknya di sini!
Gambar diambil diruang legar Edinburgh Central Youth Hostel.
Dengan alamat yang ada bersama-sama saya bahan bercetak sekitar 5kg itu saya pos terus ke rumah Kak Ira di Coventry. Boleh sampai dalam masa 48 jam, kata petugas wanita berbadan gempal yang saya teka usianya pasti sekitar awal 50-an. Loghat Scottish begitu pekat. Terasa baru sudah berbual dengan Mel Gibson versi wanita yang melakonkan watak Willam Wallace dalam filem "Braveheart". Saya berkira-kira, dalam tempoh 48 jam, saya sepatutnya sudah berada di London. Selepas daripada itu, ke Coventry semula. Insya-Allah, itu suatu tempoh yang munasabah pada masa dan juga pada harga.

Alhamdulillah, selamat satu perkara. Saya dapat bertolak ke Glasgow dan terbang ke Dublin dengan hati yang lebih tenang kini.

Dengan bagasi, tripod kamera dan beg sandang hijau lemak, saya ambil bas dari depan pejabat pos untuk terus turun di Princes Street. Pagi masih muda dan saya seperti masih tidak mahu meninggalkan kota ini. Saya memandang ke setiap bangunan dan pemandangan yang ada. Kalau boleh mahu merakam ke semuanya di dalam fikiran. Namun, hujan emas negeri orang...

Cappucino terakhir di Edinburgh. Suka dengan hiasan imej biji kopi itu.
Janji temu dengan kenalan di Glasgow sekitar 2.00 petang. Ketika sampai di stesen Edinburgh Waverly, waktu baru pukul 10.30 pagi. Saya berhenti dahulu di kafenya, mencicipi secawan kopi sambil membuat catatan untuk hari itu. SMS dari Kak Ira masuk. Katanya, dia sedang membaca catatan saya di blog yang ditulis terdahulu daripada ini. Saya tersenyum mengenangkan pertemuan kami setelah saya ke Stratford-upon-Avon tempoh hari. Saya rindukan kemesraannya. Sambil menikmati kopi cawan besar (di sana ini dikira sederhana), saya membayangkan pertemuan kami sekali lagi sebelum saya pulang ke Malaysia.

Pandangan terakhir : Scott Monument
Dengan hati yang berat, saya keluar dari kafe dan melemparkan pandangan ke Scott Monument tempat saya bermain-main dan banyak bergambar. Masih ramai pengunjungnya di situ. Setiap hari pastinya patung Sir Walter Scott itu tidak pernah sunyi daripada tetamu-tetamunya.

Saya turun menghala ke Stesen Edinburgh Waverly dan banyak kali saya menoleh ke belakang. Laluan yang terus ke bawah itu membawa saya terus tenggelam ke stesen yang besar dan bandar Edinburgh terus sibuk seperti biasa. Buat kali terakhir saya menoleh lagi dan memandang tanda nama stesen yang telah mengabadikan nama sebuah novel - Waverly pada stesennya.


Ketika itu juga saya bayangkan, apakah Stesen Sentral Kuala Lumpur boleh dinamakan "Stesen Interlok Kuala Lumpur" kerana di situlah tempat pertemuan yang menghubungkan banyak perkara dan sekali gus mengabadikan sebuah karya besar yang memberi pelbagai makna kepada rakyat Malaysia pelbagai kaum. Novel itu sangat mewakili warna-warna warganya biarpun ada pihak yang sengaja mengeruhkan keadaan.

Menuju stesen bawah tanah - Edinburgh Waverly
Destinasi berikutnya : Glasgow
Nanti, jika ada pelancong bertanya kenapa stesen ini dinamakan "Interlok". Kita semua dengan bangganya boleh menjawab dan mengaitkan nama Sasterawan Negara Abdullah Hussain yang menulis novel ini. Kita pun boleh bercerita serba ringkas kepada pelancong itu tentang sejarah Interlok dan bagaimana novel ini tiba-tiba jadi popular. Di kedai-kedai runcit dalam stesen itu juga banyak sekali kedai buku yang menjual cenderamata dan tidak ketinggalan novel "Interlok" dan versi Inggerisnya "Interlock" ada dijual di mana-mana sahaja.

Ah, itu cuma angan-angan saya sahaja. Mana mungkin ahli politik atau kuasawan yang membaca catatan ini dan mampu mengambil tindakan!



Jumaat, Julai 01, 2011

Kembara Sastera 15 : Edinburgh Bhg. 5

Kata Mark Twain : "20 tahun dari sekarang, kau lebih menyesali perkara (baik) yang tidak kau lakukan berbanding perkara yang kau lakukan. Jadi, tinggalkanlah pelabuhan yang selamat itu, terjahlah angin dan samudera. Kembara, bermimpi dan temukan sesuatu!"

Setelah kembara sejauh ini dan hanya untuk tempoh masa yang singkat, saya semakin menyayangi negara sendiri. Saya semakin menyedari betapa pentingnya jati diri dan betapa kita perlu kukuh mengakar tradisi walaupun kita mahu mengejar kemajuan. Perkara yang paling mengejutkan sewaktu pesawat saya mahu mendarat di Birmingham ialah kejutan saya melihat terlalu banyak kawasan yang masih hijau di sini. Sebelum samapi ke sini saya membayangkan bumi UK pastinya tidak sehijau mana.

Betapa sangkaan saya sangat tersasar!

Apabila kita kembara dan berada di dunia yang serba asing, kita pun mulalah mencari sesuatu yang dekat atau sesuatu yang paling hampir atau ada persamaan (walaupun sedikit) untuk mengembalikan kita kepada diri yang asal. Ada pelbagai cara kita mencari sesuatu yang kita pernah ada (tetapi kurang menghargainya). Apatah lagi, apabila kita tidak dapat mencarinya lagi di sini. Kita pun jadi rindu.

Desakan rasa datang untuk mencari sesuatu yang islami di bumi Edinburgh. Kaki sudah sangat sakit, cuma tidak melecet kerana pakai kasut sukan yang lengkap dengan stokin tebal. Saya tidak mahu membunuh kaki saya dengan memakai kasut bertumit dalam kembara ke mana-mana sekalipun. Saya ada terbaca tentang Edinburgh Central Mosque ketika membuat kajian sebelum datang ke UK. Menjadi hasrat saya untuk mencari tempat ini.

Di Scottish Parliament, saya berpisah dengan Cathy. Dia mahu pulang ke hotel setelah 'teruk terdera' kerana mengikut saya berjalan. Fasa kembara berikutnya di Edinburgh saya lakukan sendirian. Saya sudah bertanya di beberapa tempat tentang Edinburgh Central Mosque. Seorang peniaga muslim di Leith, tidak jauh dari hostel penginapan ada memberi tahu tentang North Bridge, South Bridge dan Nicolson Street. Di tangan saya ada peta. Jadi, saya hanya berpandu kepada dua perkara itu sahaja untuk meneruskan perjalanan.

Waktu itu sudah pukul 2.00 petang. Saya enggan pulang kerana saya boleh berehat di mana-mana sahaja. Cuaca yang nyaman dengan matahari yang cerah adalah waktu terbaik untuk menikmati waktu siang yang panjang pada musim panas ini. Walaupun waktu siangnya panjang, panasnya tidaklah sampai ke petang.

Hujan batu menimpa!

Blackwell banyak jual buku untuk kegunaan pelajar universiti.
Tidak hairanlah saya temui kedai berhampiran University of Edinburgh
dan University of Manchester (sewaktu di Manchester)
Saya segera cari tempat berteduh. Edinburgh Central Mosque masih entah di mana. Ketika sedang melintas jalan setelah meninggalkan North Bridge dan South Bridge, terpandang Kedai Buku Blackwell! Wah, ini juga kedai buku yang saya cari-cari. Ada disebutkan dalam buku "Reading Round Edinburgh" dan "Edinburgh Literary Traveller". Kedai ini juga pengubat kerana tidak dapat masuk ke Kedai Buku Blackwell sebelah University of Manchester dulu.

Kombinasi yang baik : hujan di luar + mencari tempat teduh = kedai buku.

Bahagian dalam Kedai Buku Blackwell yang mengujakan!
Oh, saya sudah melupakan hujan di luar sebaik-baik sahaja masuk ke dalam syurga dunia buat saya. Budaya kedai buku rangkaian di sini ialah menjual 3 buku dengan harga 2 buku sahaja. Atau dipanggil 3 for 2. Biasanya buku yang termurah dalam 3 buah buku itu akan dikira percuma. Jadi, bayar untuk 2 buku lebih mahal antara 3 buku tadi.

Setelah berlama-lama di dalam Blackwell, saya mengambil keputusan membeli :
  1. Never Let Me Go (Kazuo Ishiguro) 
  2. An Apology for Idlers (Robert Louis Stevenson) 
  3. Days of Reading (Marcel Proust) 
Ya, ya saya tahu buku Never Let Me Go itu ada dijual di Kinokuniya. Mengapa saya susah payah mahu membelinya di UK? Sebab saya suka gambar kulit depan yang ini. Versi di Kino tidak menarik perhatian saya walau saya sudah lama mahu membeli buku ini. Siapa kata kulit buku tidak sepenting isi buku, bukan?

Hujan batu sudah teduh. Saya meninjau ke langit yang masih kelabu, bimbang dihujani batu-batu lagi. Nampaknya sudah tidak ada lagi. Saya teruskan perjalanan dengan hati yang riang walaupun perut sudah ada kugiran yang sukar berhenti.

Saya menghampiri Nicolson Square Garden. Terus terpandang Mosque Kitchen. Saya terus teringat Edinburgh Central Mosque yang saya cari-cari, tapi oleh sebab terpandang perkataan 'kitchen', rasa lapar terus berganda dan benarlah ini restoran makanan halal yang terkenal kerana sudah hampir dengan kawasan masjid. Di sini juga ada banyak kedai makan lain jika mahu variasi yang berbeza. Saya tidak terlalu memilih kerana yang penting perut kenyang untuk terus berjalan lagi. Sepinggan nasi yang dibanjiri kari dengan beberapa ketul ayam harganya 4 pound. Bayangkan ia seperti RM4 sahaja. Kalau ditukar matawangnya, akan jadi RM20! Nanti, tak jadi nak makan pula. Di sini segalanya mahal. Kalau merungut, sila berpuasa. 

Klik pada gambar untuk melihat "Mosque Kitchen" di seberang
taman kecil ini.
Saya bertanya pada tauke kedai 'Mosque Kitchen' arah untuk ke Edinburgh Central Mosque. Dia yang melayan saya dengan mesra sejak awal lagi, dengan mudah berkata, "Oh, belakang ini saja." Demikian lazimnya, kita memberitahu sesuatu yang kita sudah biasa tapi kita tidak sedar untuk orang yang pertama kali sampai, maklumat tentang tempat yang dianggap mudah dan senang dijumpai itu boleh sahaja menjadikan pelancong seperti saya terkial-kial mencari.

Namun, bukankah ini suatu kembara? Saya harus menyelongkar dan membuat penemuan demi penemuan kerana saya benar-benar tidak dapat bayangkan apa yang bakal saya temui atau apa yang ada di hadapan saya nanti. Mengikut peta, kawasan ini memang sudah hampir dengan Edinburgh Central Mosque dan juga University of Edinburgh. Sambil mengagak lokasi dan membuat beberapa keputusan berdasarkan peta, saya terus sahaja berjalan.

Edinburgh Central Mosque
Pusing punya pusing, akhirnya saya temui Edinburgh Central Mosque - sebuah binaan sederhana besar dengan tulisan "Allah" pada dindingnya. Itu sahaja sudah cukup menunjukkan simbol tempat tersebut. Saya bersyukur. Hajar saya tertunai.

Saya meneruskan perjalanan dan sudah melihat kawasan University of Edinburgh yang berhampiran. Universiti di sini bukannya ada kompleks berpagar-pagar seperti di UM, UKM atau USM yang sentiasa ada 'Pak Guard' yang bertanya kenapa kita mahu masuk ke universiti (seolah-olah kampus itu dia yang punya) dan suka bertanya supaya kita rasa bersalah kalau masuk ke universiti itu tanpa sebab yang dikira munasabah. University of Edinburgh sama seperti University of Manchester yang saya pernah singgah sebelum ini, ialah gabungan bangunan-bangunan yang membentuk sebahagian daripada Old Town Edinburgh.

Bangunan di hadapan George Square, di kawasan University of Edinburgh
Khabarnya, University of Edinburgh adalah universiti keempat dibina di Scotland dan antara bekas pelajarnya ialah Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan yang kini berada di UPSI dan Tokoh Bahasa yang terkenal di Malaysia. (Mungkin anda mengenalinya sebagai suami kepada Puan Ainon Mohamad, Pengerusi PTS.)

Graduan lain yang tidak kurang penting ialah :
Graduates of the university include some of the major figures of modern history, including the naturalist Charles Darwin, physicist James Clerk Maxwell, philosopher David Hume, economist Adam Smith, former Prime Minister of the United Kingdom Gordon Brown, Deputy President of the British Supreme Court Lord Hope, surgeon and pioneer of sterilisation Joseph Lister, signatories of the American declaration of independence John Witherspoon and Benjamin Rush, inventor Alexander Graham Bell, first president of Tanzania Julius Nyerere, and a host of famous authors such as Sir Arthur Conan Doyle, Robert Louis Stevenson, J. M. Barrie, Sir Walter Scott, and J. K. Rowling.

Sumber : Wikipedia

Saya hanya fikir mahu pulang ke hostel kerana sudah pun pukul lima petang. Saya tidak bimbang akan waktu kerana siang yang masih panjang (pukul 10.00 malam baru nak masuk senja di sini). Namun, saya bimbang akan cuaca. Saya hanya ada jaket kalis hujan, tapi kalau dibuatnya hujan batu sekali lagi, mungkin harus berlindung lagi, cuma tidak pasti di mana pula kali ini. Walaupun hari siangnya panjang, kedai biasa akan tetap tutup sekitar 6.00 petang.

Sengaja saya memilih untuk pulang ikut jalan yang berlainan. Hajat untuk ke National Museum of Scotland and National Library juga terpaksa saya tangguhkan ke tahun yang lain kerana semuanya sudah tutup pada pukul 5.00 petang. Saya sudah tidak ada apa yang mahu dikejarkan.

Dalam perjalanan pulang yang berbeza itu, saya tidak sangka menemui dua lagi lokasi yang memang saya cari, tapi saya tak fikir saya sempat menemuinya kali ini. Saya sudah agak penat untuk pergi mencarinya pada petang itu. Oleh itu, saya berjalan sahaja melewati National Museum of Scotland selepas meninggalkan kawasan Edinburgh University. National Library juga saya temui, cuma dapat pandang dari seberang jalan.

Tugu comel "Greyfriars Bobby" berlatarbelakangkan sebuah bar
dengan nama yang sama
Ketika saya meneruskan perjalanan, saya temui tulisan "Greyfriars Bobby" pada sebuah kedai. Ingatan saya kembali kepada buku rujukan tentang Edinburgh. Greyfriars Bobby ialah kisah kesetiaan seekor anjing kepada tuannya. Setelah tuannya, John Gray meninggal dunia akibat T.B. anjing ini dikatakan sentiasa menunggu tuannya di sisi pusaranya. Walau dihalau, anjing tetap kembali kerana terlalu setia kepada tuannya. Anjing ini kemudiannya mati 14 tahun kemudian dan setiap hari dia pasti ditemui berada di pusara tuannya.

Kesetiaannya menyentuh masyarakat di situ dan akhirnya, dibina sebuah tugu di tepi jalan sebagai simbol kesetiaan dan anjing ini juga dikuburkan di luar bahagian Greyfriars Kirk (gereja kecil).

Oleh sebab pernah membaca kisahnya di internet, saya langsung singgah dan mengambil gambar di kawasan ini dan tugu anjing yang setia itu.

Saya tinggalkan Greyfriars Bobby dan menghala ke Princes Street, jalan besar yang akan membawa saya ke arah Leith semula. Saya menikmati pandangan kedai-kedai yang masih dibuka. Restoran dan pub biasanya tidak akan tutup awal. Ketika memandang ke kiri jalan saya terpandang kedai di bawah :

Klik pada gambar untuk mengetahui signifikan kedai ini kepada penulis
Sudah klik, tapi tidak nampak signifikannya? Baiklah, anda mungkin bukan peminat Harry Potter. Saya maafkan. Kafe ini dikatakan menjadi tempat J.K. Rowling (penulis Harry Potter) menulis sebahagian daripada bab novel itu sambil anak kecilnya tidur di dalam kereta tolak (pram). Ketika itu dia belum dikenali dan masih menulis dengan tulisan tangan. Di sini, dia boleh pesan secawan kopi dan duduk berlama-lama. Kata Rowlings, berjalan-jalan di kota Edinburgh membantu dia menenangkan fikiran dan dapat mengatur plot dengan baik. Ya, saya setuju tentang itu! Banyak betul plot yang beratur dalam kepala, bukan sahaja kerana tempat ini, tetapi kita tidak benarkan fikiran kita diganggu dengan perkara yang tidak berkaitan dan ketika mengosongkan fikiran, mudahlah fikiran jadi teratur.

Saya pulang ke Leith dengan rasa bahagia kerana membina persahabatan baharu, menemukan apa yang saya cari dan selain The Elephant House, kawasan Leith juga tempat kediaman J.K. Rowlings sewaktu dia masih belum terkenal. Saya tidak mengharapkan sebarang aura penulisannya atau mana-mana penulis Scotland ini masuk ke dalam diri. Menulis itu satu kerja dan bukan boleh diserap-serap dengan apa-apa proses osmosis.

Namun, saya puas kerana bandar itu cukup meraikan para penulisnya. Sastera dan budaya juga menjadi sebahagian daripada perkara yang membina peradabannya. Saya bertambah faham mengapa UNESCO menobatkan kota ini sebagai City of Literature 2004. Kuala Lumpur masih belum layak kerana hiburan masih lagi di tangga teratas dan budaya kita masih lagi meletakkan ilmu di tangga nombor yang entah ke berapa.

Malam itu saya berkemas kerana esoknya mahu berangkat ke Glasgow sebelum mengambil pesawat di Prestwick untuk ke Dublin pada sebelah malamnya.

Related Posts with Thumbnails