Ibu Melayu Mengelilingi Dunia

Ibu Melayu Mengelilingi Dunia IIbu Melayu Mengelilingi Dunia I by Aishah Aziz
My rating: 4 of 5 stars

Panglima Awang @ Enrique @ Henry the Black
Ibnu Battutah
Ferdinand Magellan
Marco Polo

 Semuanya lelaki! Lelaki ialah kaum yang diberikan ruang, kebebasan dan endorsmen dan tiket untuk mengembara ke mana-mana sahaja. Amat sukar untuk mendapatkan catatan dan pemikiran wanita yang sezaman dengan mereka untuk kita bayangkan apa yang telah berlaku dan apa pula yang mereka fikirkan ketika itu.

Ketika saya kembara, saya harus membuat banyak rujukan dan bertanya ke sana-sini. Menjadi kembara solo apatah lagi wanita, semacam memerlukan suatu kekuatan yang luar biasa. Saya mencari travelog atau catatan kembara wanita yang melakukannya secara solo.

Membaca catatan-catatan Siti Zainon Ismail secara eceran juga memberikan saya semangat bahawa wanita juga boleh kembara jika kita kurangkan rasa was-was dan betulkan niat kembara. Percayalah, Allah sentiasa ada bersama-sama kita.

Ketika belum berangkat saya ada terbaca entri blog Puan Zaharah Othman tentang buku berjudul "Ibu Melayu Mengelilingi Dunia - I" tulisan Aishah Aziz. Saya sungguh tertarik tetapi tidak berkesempatan mencari naskhah itu. Tidak pasti pada ketika itu, apakah wanita Melayu bernama Aishah Aziz ini berjaya melengkapkan kembaranya seperti yang disebut dalam judul bukunya atau 'mengelilingi dunia' itu ialah suatu ungkapan berbentuk metafora.

Nota : bagi mereka yang pernah membaca 'Warkah Eropah' tulisan SN A. Samad Said, Puan Zaharah Othman adalah wanita yang disebut oleh Pak Samad sewaktu beliau berada di London.

Ramai wanita yang mengembara. Ada yang kembara bersama-sama keluarga atau sahabat. Kebanyakannya menggunakan khidmat travel agent yang telah menyediakan pelan kembara mengikut laluan-laluan popular dan lebih menjurus kepada lokasi-lokasi yang sinonim dengan pusat beli-belah. Terus terang, saya tidak serasi dengan kombinasi begini. Menggunakan travel agent itu bagus jika mahukan perkhidmatan yang efisien atau tidak mahu memikirkan tentang gendala atau cabaran sewaktu kembara. Kembara tanpa cabaran tertentu, tidak memberikan pengalaman yang mahal. Kembara yang lancar ibarat kehidupan yang selesa dan sempurna - jarang sekali mengundang rasa untuk kita berfikir apatah lagi bermuhasabah. Kembara dengan perut yang kenyang juga membuat kita mungkin tidur lena sepanjang perjalanan dan membuka mata hanya setelah sampai ke destinasi. Pada saya, kembara begini tidak mencakupi roh dan semangat sebuah pengembaraan.

Kembara harus ada susah dan senangnya!

Saya baru menyudahkan bacaan buku "Ibu Melayu Mengelilingi Dunia - I" yang saya nyatakan di atas. Siapakah Aishah Aziz? Beliau ialah Tan Sri Aishah Ghani, mantan Senator yang amat kita kenali. Di dalam prakata buku ini ada dijelaskan bahawa beliau mengubah nama Aishah Aziz sebagai suatu bentuk penghormatan terhadap suaminya yang telah berkorban menjaga anak-anak dan tinggal di Malaya. Mereka 'melepaskan' Aishah mengejar cinta pertamanya!

Cinta pertama yang dimaksudkan itu ialah cita-citanya.

Buku ini sudah tidak beredar lagi di mana-mana. Satu-satunya naskhah yang saya ketahui wujud ialah di Perpustakaan Universiti Malaya. Terima kasih kepada seorang insan (saya percaya beliau warga UM) yang cuma dikenali namanya Shafiq Ghazalli yang menawarkan diri untuk mendapatkan buku tersebut dan mengepos salinannya kepada saya. Alhamdulillah, saya terasa buku "Travelog - Kembara Sastera UK & Dublin" yang sedang dilengkapkan ini menjadi bertambah lengkap setelah membaca buku ini.

Menurut Kata Pengantar oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang ketika itu (tahun 1956) merupakan Ketua Menteri Persekutuan menyatakan bahawa :
"Saya tertarek hati kepada tujuan yang mulia yang di-sebutkan oleh Che Aishah dalam pendahuluan-nya ia-itu sebahagian dari hasil jualan buku ini di-jadikan sebagai derma pelajaran untuk menghantar pemuda pemudi Melayu yang berkemauan dan berkelayakan keluar negeri meninggikan pelajaran mereka, supaya lebeh ramailah anak2 Melayu kita yang berpengatahuan tinggi agar dapat pula berkhidmat dengan lebeh rapi lagi kerana kebagusan dan kemajuan negeri." (ejaan asal dikekalkan)
Ertinya, beliau mengembara dan berkorban meninggalkan keluarga untuk melanjutkan pelajaran di dalam bidang kewartawanan; dan dalam masa yang sama tetap memikirkan suatu kaedah supaya anak-anak bangsanya dapat sama-sama berpeluang menikmati apa yang beliau rasakan pada ketika itu.

Saya fikir inilah buku travelog wanita Melayu pertama tanah air. Jika ada yang pernah membaca apa-apa buku yang lebih awal daripada ini, sila nyatakan. Sebelumnya, hanya ada kisah-kisah pengembaraan Ibnu Battutah, Marco Polo, atau Panglima Awang.

Bahagian awal buku ini ialah pengalaman beliau menaiki kapal penumpang bernama Canton melalui Singapura - Pulau Pinang - Ceylon - Bombay - Aden - Terusan Suez - Port Said hingga ke London. Catatan awalnya ini lebih pendek, barangkali dicatatkan sewaktu sedang kembara. Oleh itu, tidak banyak refleksi dilakukan. Banyak pengamatan dan pelaporan. Di sini, pembaca dapat melihat suasana tempat-tempat ini pada bulan April 1955 hingga bulan Mei tahun yang sama. Perjalanan itu sahaja memakan masa hampir sebulan.

Refleksi dan kajian banyak beliau lakukan sewaktu berada di London. Kemungkinan besar juga pada waktu itu Aishah sudah settle-down di London dan membolehkan beliau menulis bab-bab yang lebih panjang. Hal ini turut saya rasakan sewaktu menulis catatan kembara sewaktu mengembara, berbanding menulis catatan setelah pulang.

Sewaktu di London, beliau menceritakan ketakjuban yang dilihat sendiri tentang sistem pengangkutan di London, khususnya tentang kereta api bawah tanah (tube). Terdapat satu perenggan yang menyebut tentang membeli tiket kereta api menggunakan mesin (ini tahun 1955, sesuatu yang aneh apabila perkara yang dilakukan oleh manusia mampu dilakukan oleh mesin :

"Di tiap2 station ada di-sediakan machine penjual ticket sendiri. Kita teka saja satu knob akan keluar saja ticket yang kita kehendaki dan pandai pula ia memulangkan sekira--nya wang kita berlebih dari harga ticket." (ejaan asal dikekalkan)

Pandangan beliau di dalam buku ini bernas dan berani - sesuai dengan peribadinya, serta sifatnya sebagai pejuang. Beliau memikirkan hal-hal bagaimana untuk memajukan pemikiran bangsanya. Ketika masih berada di Aden, beliau berhujah dengan seorang warga Irish bernama Gabriel P. Oholohan tentang Pelabuhan Aden. Menurut Oholohan, orang-orang Inggeris berjasa besar kerana mendirikan pelabuhan ini, jika tidak tentu orang-orang Aden mati kebuluran kerana tidak ada hasil bumi seperti negeri lain.

Aishah menjawab, "Orang2 engkau tiada mahu rugi kalau tak ada untong, bukankah di- Aden ini ada mengeluarkan minyak petol yang akan di-punggah oleh Inggeris keluar negeri."

Saya fikir, kalau seseorang itu tiada pelajaran (dalam konteks zaman itu, bukan hari ini) tidak mungkin mampu menjawab setajam dan sesinis itu.

Setiap bab dalam buku ini dijudulkan :
  • Aku dan Chita-Chita (puisi yang didedikasi khusus untuk suaminya - Che Abdul Aziz bin Abu Hassan) 
  • Berangkat dari Rumah 
  • Meninggalkan Tanah Air 
  • Ceylon 
  • Bombay 
  • Aden 
  • Suez
  • Suez Canal 
  • Port Said
  • London 
  • London Transport 
  • Bangunan kedai dan rumah 
  • Pilihan Raya 
  • Penuntut Melayu di Great Britain 
  • Colour Bar 
  • Hyde Park 
  • Hak Perempuan Inggeris 
  • Perjuangan Kaum Ibu Britain 
  • Museum atau Gedong Archa dalam Bahasa Kita 
  • Kunjungan Saya ke Liverpool 
  • Kirkby College, Liverpool 
  • Cara Nikah Kahwin Orang Inggeris 
  • Chukai Pendapatan 
  • National Health Service atau Khidmat Kesehatan Kebangsaan
  • Pine Wood Studio, London

Dalam bab yang lain, Aishah turut menyentuh tentang orang yang berlebih-lebihan dalam bab berkahwin sehingga berhutang. Terus saya terfikir betapa orang-orang Melayu masih lagi tidak selesai dalam bab ini sehingga hari ini.

Ertinya dari tahun 1955 (ketika catatan itu dibuat), masalah yang membelenggu orang-orang Melayu masih sama : keluar belanja tinggi untuk faedah orang lain yang mungkin tidak ada kena mengena di dalam hidupnya selepas itu. Aishah turut menyebut bahawa hutang belum habis bayar pun ada yang sudah bercerai-berai - tanda permulaan perkahwinan yang tidak berkat : memulaka hidup baharu dengan HUTANG!

Saya berharap buku ini dapat diterbitkan semula. Mungkin oleh Institut Terjemahan dan Buku Negara dan kembali beredar di dalam masyarakat. Buku senipis 83 halaman ini pastinya ada sambungan kerana pada kulit judul ini tertera angka "I". Catatan di dalamnya biarpun singkat tetapi penting sebagai rakaman zaman yang tidak mungkin terlihat lagi pada zaman ini. Lebih penting lagi, ini pandangan seorang wanita Melayu tahun 50-an. Amat jarang ada penulisan seumpama ini dalam penerbitan.

Buku senipis 83 halaman ini pastinya ada sambungan kerana pada kulit judul ini tertera angka "I". Catatan di dalamnya biarpun singkat tetapi penting sebagai rakaman zaman yang tidak mungkin terlihat lagi pada zaman ini. Lebih penting lagi, ini pandangan seorang wanita Melayu tahun 50-an. Amat jarang ada penulisan seumpama ini dalam penerbitan.

View all my reviews




Ulasan

AinNur Haris berkata…
Wahh..
membaca ulasan Kak Nisah ni buat saya terpanggil juga untuk membaca naskah tersebut.. :)

terima kasih atas ulasannya..
ulasbuku berkata…
Salam Nisah,

Bagaimana boleh tukar nama Aishah Aziz ke Aishah Ghani? Terima kasih utk info buku begini. Saya fikir ini sepertinya kembara Nisah tahun lepas.
Nanti buat buku sebegini, boleh jadi panduan, sekurang-kurangnya kalau nak pergi UK, dalam tempoh 5 tahun mendatang boleh bawa buku Nisah.

HAKIM
Nisah Haji Haron berkata…
Cahaya Mata,
Saya amat berharap supaya lebih ramai yang tampil mencari buku ini dan harus dibaca oleh kita semua, khususnya masyarakat moden. Ini catatan tahun 1955!
Nisah Haji Haron berkata…
mxypltk,

Nama sebenar beliau Aishah Ghani. Untuk mengenang jasa dan pengorbanan suaminya yang menjaga keluarga dan anak-anak (beliau kembara solo ke UK, untuk sambung belajar) - Aishah, dalam buku ini, mahu dikenali sebagai Aishah Aziz (kombinasi namanya dan nama suaminya).

Insya-Allah, sedang mengusahakan supaya travelog saya itu dapat diterbitkan supaya ada manfaatnya untuk orang lain.
bookseller berkata…
Assalammualaikum, Puan.
Salam hormat, pertama kali membaca 'Nisah Haron' - Rindu Seorang Rafik, Sayap-sayap Kecil di Graha Jentayu benar-benar mengesankan..

Saya membacanya berulang, cuba menekuni, cuba menghadam...kisah yang mengikat hati saya erat, tahniah!!.. :)

Oh ya, di celah ratusan buku-buku di rak sebuah kedai buku juga saya temui 'Mencari Locus Standi' lantas tanpa fikir panjang, saya 'bawa' pulang.. :)

Catatan Popular