Ahad, Januari 08, 2012

Kembara Sastera 39 - Warwick Art Centre

Seperti yang berlaku di Edinburgh, saya lebih suka akan kedai buku dan segala perkara berkaitan dengan buku dan sastera berbanding istana. Saya dan Kak Ira hanya bergambar di luar istana ini dan membeli cenderamata. Itu pun sebentar sahaja kerana tidak ada buku di dalam kedai cenderamata ini.

Oleh sebab tidak masuk betul-betul
ke bahagiandalam Istana Warwick,
saya cari imej ini dari sini.
Hujan masih rintik-rintik dan semakin petang, dingin kembali menjajah suasana. Kami tinggalkan istana yang juga menjadi satu daripada lokasi penggambaran drama bersiri "Merlin" itu. Secara peribadi, saya bukanlah peminat "Merlin" kerana saya fikir siri itu telah melebih-lebihkan Merlin yang saya kenali sewaktu membaca kisahnya dahulu. Walaupun saya akui kreativiti penulis dan pembikin siri ini, saya tidak mengikuti siri ini di Astro. Merlin yang terbaik bagi saya ialah versi buku - tidak kiralah buku yang mana. Imaginasi seorang pembaca itu jauh lebih hebat daripada bantuan visual mana-mana bentuk media elektronik.

Petang yang panjang itu seringkali mengelirukan saya dengan waktu maghrib. Pukul 7.00 petang masih belum gelap dan kini sudah tiba waktu makan malam. Saya dibawa keluarga Kak Ira ke Restoran Khan's . Saya tidak pasti sama ada ini adalah francais kepada restoran yang saya makan sewaktu di Queensway, London.

Gambar kenangan kami di luar Istana Warwick
Pun, itu tidak menjadi hal kerana makanannya memang enak. Saya menikmati makan malam itu bagai menebus kembali rasa rindu dengan keluarga. Malam itu di rumah Kak Ira, kami mengimbas kembali kisah-kisah lama, tentang penulisan, tentang DBP yang kami kenali, dan tentunya tentang Dewan Siswa - majalah yang menjadi tapak permulaan penulisan kami.

Soalan yang paling saya ingin tanyakan kepada Kak Ira sejak lama dahulu sehinggalah pada malam itu ialah mengapa Kak Ira tidak menulis lagi, sedangkan saya tahu beliau masih ada kemahiran itu. Dengan minat membara untuk menjadi penulis sejak dibangku sekolah, dengan kelulusan mass comm dari UiTM dan berada di luar negara sekian lama, apa lagi yang kurang untuk Kak Ira menulis?

Malam itu saya temui jawapannya dan jawapan itu membuat saya faham mengapa hal ini harus terjadi. Jawapan itu juga turut membuat saya berfikir kembali. Betapa benarlah, segala yang kita miliki, hatta ilmu sekalipun, bukanlah milik kita secara mutlak. Adakalanya Tuhan berikan kita ilmu dan sebarang kelebihan untuk dimanfaatkan kepada orang lain. Dalam kes Kak Ira, dia punyai sepasang cahaya mata yang mewarisi seni penulisannya dan kepintaran kedua-dua ibu dan ayah mereka. Seorang ibu adalah penyokong nombor satu dalam mendepani cita-cita anak-anak. Dalam hal itu, Kak Ira telah melihat dan menyedari bahawa segala ilmu, minat, cita-cita dan harapan yang dimilikinya dahulu adalah persediaan untuk dirinya membimbing minat dan cita-cita anak-anaknya.

Kami berbual panjang sehingga hampir waktu subuh sekitar pukul 3.00 pagi. Sesudah itu barulah melelapkan mata sehinggalah waktu untuk anak-anak Kak Ira bersekolah.

Bergambar dengan Haziq sebelum dia masuk ke sekolah
Balqis sudah dihantar awal ke sekolah dan saya berpeluang menghantar Haziq ke sekolahnya. Kami (saya dan Haziq) sama-sama seronok kerana dapat saling menemani. Sekolahnya tenang dan jauh dari hiruk-pikuk. Tidak seperti sekolah anak saya sendiri (seperti kebanyakan sekolah yang padat dan penuh dengan murid). Bilangan pelajar di kawasan kejiranan ini pastinya terhad kepada satu jumlah. Tile Hill yang saya lihat, mempunyai kepadatan penduduk yang rendah.

Templar Primary School. Kredit foto : Nisah Haron
Kata Kak Ira, pada hari pertama persekolahan setiap tahun, guru besarnya akan berdiri di pintu pagar menyambut dan mengucapkan selamat kembali bersekolah kepada setiap pelajar dan ibu bapa yang menghantar anak-anak. Kebanyakan guru di sini juga berwajah manis. Tidak dapat tidak saya terus membayangkan guru-guru di sekolah anak yang selalunya berwajah tegang dan sukar sekali berjumpa yang mahu tersenyum. Alahai!

Papan tanda di tempat permainan. Kredit foto : Nisah Haron
"Anak Kak Ira menangis kalau musim cuti sekolah. Mereka sangat suka ke sekolah kerana sekolah adalah sesuatu yang menyeronokkan," tambahnya lagi.

Betapa itu satu kebalikan kepada apa yang berlaku di sekolah kita di Malaysia. Ramai yang tidak sabar untuk bercuti kerana sekolah kita lebih banyak 'mendera' daripada menjadikan persekolahan sesuatu yang mengujakan. Mungkin, kali terakhir kita mengikut model pelajaran seperti ini ialah tadika yang menggunakan pendekatan Montessori dan sebahagian TASKI. Apabila masuk sahaja sekolah, khususnya darjah satu, semua sudah jadi seperti askar dimasukkan ke dalam kem. Anak-anak kita pun dibesarkan dengan bebelan guru, tempikan guru disiplin sehingga anak saya sendiri merasakan itu biasa sahaja kerana mereka sudah lali.

Kredit foto : Nisah Haron
 Itulah kali terakhir saya bertemu Haziq yang petah berkata-kata dan juga Balqis, si gadis yang lembut bicara dan bijak akalnya. Semoga ada pertemuan lain yang Tuhan aturkan buat kami. Semoga Kak Ira sekeluarga dapat membuat kunjungan balas, apabila sudah pulang ke Malaysia.

Bagasi sudah siap di dalam kereta. Suami Kak Ira ke kampus University of Warwick. Usai tugasnya nanti, saya akan dihantar ke stesen kereta api untuk terus ke Birmingham International Airport.

Bagai baru sedar dari disihir sepanjang perjalanan sejak 2 Jun yang lalu, saya harus akui hakikat bahawa ini ialah detik-detik terakhir saya di Coventry/Warwick dan juga Tanah Inggeris ini secara umumnya.

Lanskap taman di luar Warwick Art Centre.
Kredit foto : Nisah Haron
Oleh itu, tiada cara yang paling baik selain menghabiskan detik-detik ini dengan kenangan-kenangan yang manis bersama Kak Ira. Kami terus ke Warwick Art Centre yang terletak di dalam University of Warwick ini. Fungsinya lebih kurang sebagai pusat kebudayaan universiti tetapi berdasarkan catatan yang saya temui, terasa seperti tempat ini ialah gabungan Istana Budaya dan Balai Seni Visual Negara di Kuala Lumpur menjadi satu. Ada pelbagai cabang seni yang dimanifestasikan seperti muzik klasik dan kontemporari, drama, seni tari, komedi, filem dan juga seni visual.

Walaupun tidak menjelajah semua tempat dalam kompleks Warwick Art Centre ini, berada di sekitar kafe, lobi dan kawasan sekitarnya juga cukup kondusif untuk kerja-kerja menulis atau bersantai bersama-sama rakan. Paling membahagiakan apabila Kak Ira bawa saya tenggelam di dalam kedai bukunya.

Imej dari Amazon.com
Saya tahu beg sudah agak berat dan ada kemungkinan melebihi kadar 23kg yang dibenarkan oleh pesawat KLM tetapi, risiko ini harus diambil juga. Saya sempat membeli dua buah buku kraf untuk anak-anak:
  • 365 Things to Make and Do (Usborne Activities); dan 
  • 365 Things to do with Paper and Cardboard

Imej dari Amazon.com
Sehingga entri ini ditulis, anak-anak benar-benar sudah memanfaatkan idea kraf di dalam buku ini hingga ada satu daripada buku ini sudah longgar ring-bindernya. Mujur setiap satu halaman buku ini diperbuat daripada kertas keras (sekitar 200 gm). Jadi boleh bayangkan tebal dan beratnya buku ini. Namun, saya sungguh berpuas hati, kerana kualiti kandungan buku, warna-warni dan berkulit tebal (hardcover with spiral binding). 

Ketika mahu membayar, terpandang pula Elmer the Elephant yang diperbuat daripada kain. Lalu capai seekor buat kenangan berada di Warwick Art Centre ini.

Sumber imej di sini.


Walaupun Warwick Art Centre memang tempat seni untuk orang dewasa, ternyata mereka tidak meninggalkan keperluan anak-anak kecil yang telah dipupuk supaya mencintai segala cabang seni. Apabila pulang ke Malaysia, tidak banyak kedai yang menjual buku-buku seperti ini. Jika mahu, harus ke Kinokuniya di KLCC. Harganya? Jauh lebih tinggi daripada membeli di Amazon.com. Namun, apa boleh buat? Semua pihak ada harga yang perlu dibayar. Dengan pilihan yang terhad, dan memikirkan masa depan anak-anak, ada banyak pengorbanan yang harus dibuat. Cuma saya tidak akan berkompromi dalam hal-hal buku dan ilmu.



Sebagai lokasi pusat seni dan kebudayaan, Warwick Art Centre mempunyai dewan konsert, teater, panggung wayang, restoran dan juga kafe. Di kafe inilah, saya dan Kak Ira minum kopi sementara menunggu suaminya menyudahkan tugas di fakultinya.

Kafe di Warwick Art Centre. Sumber dari sini.
Betapa bertuahnya mereka yang dapat melanjutkan pelajaran di tempat-tempat seperti yang telah saya lawati di sepanjang kembara ini. Peluang-peluang untuk mendalami dan merasai pengalaman seni seperti tidak pernah putus di daerah ini. Dari Birmingham, Wales, Manchester, Lake District, Edinburgh, Glasgow, Dublin, Cambridge, London dan kini di Warwick semuanya padat dan sarat dengan pusat-pusat seni, budaya, sastera dan pelbagai lagi cabang ilmu.

Dalam singgahan saya yang sangat singkat ini, saya mendoakan sesiapa sahaja yang dapat menikmati peluang berada di Tanah Inggeris dan kawasan-kawasan yang berhampiran ini tidak mensia-siakan peluang yang ada. Untuk saya datang ke sini, kosnya tinggi. Itu pun saya sudah rendahkan melalui pengangkutan awam, tinggal di hostel dan menumpang rumah kenalan. Tidak mungkin saya ke sana lagi dalam tempoh yang terdekat jika dengan kos persendirian lagi.

Terima kasih kepada Kak Ira, Encik Mazuir, Balqis dan Haziq yang sudi menerima singgahan saya yang walaupun sekejap tetapi penuh makna. Nasihat dan pandangan yang sempat dibincangkan itu juga amat saya hargai.

Di Stesen Canley, saya berpisah dengan Kak Ira. Rangkulan kami kejap, rapat dan pada saat itu, saya mengharapkan, kalau boleh, semuanya tidak berakhir di stesen ini.

Usai membeli tiket, imej Kak Ira dan suami di dalam keretanya semakin kabur apabila mata saya sendiri berkaca-kaca. Sebak berbaur dengan pelbagai rasa. Rasa teruja untuk melunas rindu dengan keluarga. Fragmen-fragmen kenangan sepanjang kembara semenjak menjejakkan kaki di Birmingham International Airport sehingga hari ini, kembali bercantum satu demi satu.

Tengah hari itu, saya sampai kembali ke tempat saya bermula.

Kredit foto : Nisah Haron
Dan kereta api pun tiba di Stesen Canley yang akan membawa saya terus ke Stesen Birmingham International Airport.

Selamat tinggal, Coventry!
Selamat tinggal, Tanah Inggeris!




Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails