Kembara Sastera 40 :
Birmingham - Amsterdam - Kuala Lumpur
Stesen Birmingham International. Turun di sini untuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Birmingham. Sumber imej dari sini. |
Tiket sudah ditempah.
Pesawat KLM dengan nombor pesawat KL 1432 dijadualkan berlepas pukul 5.30 petang.
Perjalanan dari Stesen Canley ke Stesen Birmingham International hanya melalui 3 stesen dan tidak sampai setengah jam.
- Canley - Tile Hill - Berkswell - Hampton-in-Arden - Birmingham International.
Peta laluan kerata api dari Canley ke Birmingham International. Sumber di sini. |
Tren yang menghubungkan dari stesen kereta api ke lapangan terbang. Sumber imej dari sini. |
Maklumat di ruang menunggu. Waktu semasa 4:46 petang. Waktu penerbangan berlepas ke Amsterdam 5:30 petang |
Pertama, saya semak jadual penerbangan. Lihat nombor penerbangan pada tiket dan masa penerbangan. Bandingkan pada jadual yang disediakan. Semua jadual berlepas disusun mengikut kronologi, iaitu susunan masa.
Kedua, saya pastikan bilangan bagasi. Berapa yang akan didaftar masuk (checked-in baggage), dan berapa pula yang akan dibawa bersama-sama saya ke tempat duduk (hand-carried item/luggage). Untuk penerbangan KLM, berat maksimum untuk beg yang mahu didaftar masuk adalah 23kg sahaja. Jika lebih, harus bayar.
Sewaktu mendaftar masuk, jumlah berat bagasi hanya 20kg kerana saya ada dua barang iaitu sebuah beg tarik dan sekotak buku yang saya pos dari Edinburgh ke Coventry dulu. Isi kotak itu sudah saya susun sebaik-baiknya dan kotak itu tidak saya buka. Walaupun tidak mencapai had berat, saya masih lagi tidak dibenarkan berbuat demikian kerana syarat bagasi melalui KLM hanya satu unit.
sumber : Laman web KLM |
Bukannya beberapa unit yang apabila dicampurkan berjumlah tidak lebih 23kg.
Ok... sekarang saya ada masalah. Bagasi sedia ada memang sudah padat. Hand-carried item sudah ada dua : satu beg galas sederhana (saiz beg laptop) dan satu beg kain sandang. Tidak ada ruang untuk saya masukkan semua itu ke dalam bagasi tarik.
Jika saya mahu teruskan dengan keadaan beg sedia ada (daftar masuk 2 unit bagasi : satu beg tarik dan satu kotak buku) ertinya saya harus tambah €100 (Seratus Euro). Banyak tu! Petugas di kaunter itu minta saya fikir semula atau mungkin susun barang-barang saya semula.
Inilah kelebihannya jika kita sampai awal ke lapangan terbang. Jika masa sudah suntuk, ada kemungkinan tidak ada cara lain, kecuali teruskan sahaja dengan membayar €100 dan terus daftar masuk.
Untuk itu, saya berpatah kembali ke ruang legar mencari jalan terbaik. Pilihan lain ialah tinggalkan kotak buku itu kepada Kak Ira di Coventry atau Dina di Birmingham. Namun, itu bererti saya akan susahkan mereka dua kali. Pertama, mereka harus datang ke lapangan terbang ini segera dan kedua, harus poskan buku-buku ini dari sini ke Malaysia. Kos itu sendiri juga sudah agak tinggi dan kemudiannya saya terpaksa tunggu buku-buku itu tiba di Malaysia sekitar satu bulan (jika mengambil kos pos yang murah). Lagipun, ada buku-buku yang menjadi hadiah untuk anak-anak. Tidak sampai hati pula melihat mereka tertunggu-tunggu buku-buku yang menarik untuk mereka itu.
Ketika berjalan-jalan di kedai-kedai itu saya terpandang sebuah kedai menjual bagasi. Saya melihat saiz bagasi yang lebih besar. Ada sebuah yang besarnya cukup sesuai. Begnya ada dua bahagian : bahagian atas seperti beg pakaian biasa, manakala di bahagian bawahnya ada ruangan penyimpanan yang lebih khusus dan sesuai untuk saya simpan kotak buku itu. Pastinya, beg sebesar ini ada roda untuk ditolak tarik.
Harganya : £50 (Lima Puluh Pound). Boleh tahan juga.
Akibat terdesak, saya beli juga. Walaupun mahal, sekurang-kurangnya beg ini berkualiti. Rasional saya juga begini : membayar dengan harga £50 saya mendapat sebuah beg yang berkemungkinan akan digunakan pada masa akan datang. Berbanding membayar €100, saya hanya membayar kos perkhidmatan.
Sekadar perbandingan mengikut tukaran wang ketika entri ini ditulis :Akhirnya, saya fikir inilah keputusan terbaik. Jika lihat pada imej di bawah, beg yang saya beli itu adalah yang paling besar yang pernah saya beli. Sudahnya, kotak buku dan beg sandang putih serta sebahagian kandungan beg galas merah saya pindahkan ke dalam beg baharu (dengan lining oren). Beg hijau dimasukkan ke dalam beg galas merah dan terus dijadikan hand-carried luggage, jadi boleh dibawa ke tempat duduk.
- €100 bersamaan RM400 (lebih kurang)
- £50 bersamaan RM240 (lebih kurang)
Mesin penimbang beg di kebanyakan lapangan terbang di UK dan Eropah. Sumber imej di sini. |
Imej pada skrin sebelum timbang. Sumber imej dari sini. |
Imej pada skrin selepas timbang. Sumber imej dari sini. |
Berat akhir bagasi saya : 22kg sahaja.
Untuk mereka yang biasa terbang dan kembara, bilangan beg harus diminimumkan untuk memudahkan kita mengingat berapa bilangan beg yang ada. Biasanya dalam perjalanan kita ada banyak perkara lain yang harus dilunaskan, jadi hal-hal bilangan beg sepatutnya tidak mengganggu.
Ada hikmah di sebalik peristiwa ini. Untuk saya, lebih kepada pengurusan bagasi ketika pulang dan melabur untuk sebuah beg baharu yang boleh digunakan lagi. Semua ini dapat diaturkan kerana sampai awal ke lapangan terbang.
Wanita ini bernama "Lucy" yang mengumumkan apa yang boleh dan apa yang tidak di Birmingham International Airport. Sumber maklumat dan imej dari sini. |
Setelah mendaftar masuk, orang pertama yang saya hubungi ialah Kak Ira menceritakan pengalaman yang baru sahaja berlaku. Apatah lagi ketika itu seorang diri di lapangan terbang. Keputusan harus dibuat sendiri. Kalau pergi berkawan, pasti ada idea lain yang akan muncul atau boleh tumpang barang dalam bagasi kawan-kawan. Lantas, kita harus bertindak mengikut keadaan. Paling penting, harus berani buat keputusan.
Setelah semuanya selesai dan pas masuk diberikan, saya terus ke bilik menunggu. Saya hubungi juga Dina, yang tidak sempat saya singgah di Aston, Birmingham buat kali kedua. Kepadanya saya memberitahu bahawa saya sudah selamat mendaftar masuk di lapangan terbang ini dan mengucapkan terima kasih kerana menerima ketibaan saya pada 3 Jun yang lalu.
Pada hari ini 13 Jun, saya meninggalkan tempat ini dan dijadualkan sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 14 Jun keesokannya. Sebelum itu, penerbangan ini akan singgah ke Amsterdam untuk bertukar pesawat.
Itinerari dari 2 Jun - 14 Jun 2011 |
Pemandangan setelah kapal terbang meninggalkan Birmingham dari tempat duduk 18F pesawat KLM. |
Saya tidak ceritakan pengalaman itu di dalam entri sebelum ini, tetapi insya-Allah apabila entri ini dibukukan, pengalaman ini akan saya masukkan kelak. Apatah lagi di sini bukan sekadar ada kedai bunga, kedai cenderamata, kedai buku seperti lapangan terbang yang lain, Lapangan Terbang Antarabangsa Schiphol, Amsterdam ini juga mempunyai muzium mini dan perpustakaan sendiri!
Ketika saya sampai semula ke sini, saya bayangkan saya ada sekitar 2 jam sebelum berlepas. Saya tiba pada pukul 6.30 petang sedangkan penerbangan ke Kuala Lumpur ialah pada 8.55 malam. Namun, sebaik-baik sahaja saya mencecahkan kaki di Schiphol, kedengaran panggilan penumpang pesawat KL 0809 untuk ke pintu masuk ke udara. Itu nombor pesawat saya! Macam mana boleh jadi begini?
Saya lihat jam tangan. Saya lihat pula jam dinding di Schiphol.
Satu jam berbeza.
Baru saya teringat tentang perbezaan waktu antara U.K. dan juga Amsterdam. Saya sudah berada di benua lain. Oleh itu, waktu ketibaan dan berlepas pada jadual haruslah mengikut waktu tempatan.
Tanpa sebarang pilihan, saya berlari-lari anak ke pintu berlepas yang dimaksudkan. Ketika itu penumpang untuk tujuan perjalanan Kuala Lumpur (dan juga Jakarta) sudah mula beratur untuk pemeriksaan keselamatan sekali lagi.
Tidak banyak yang boleh saya lakukan di ruangan menunggu. Hanya dapat buka laptop, dan tulis status terkini di FB. Selebihnya hanya menunggu panggilan masuk ke pesawat.
12 jam di dalam pesawat dari Amsterdam ke Kuala Lumpur adalah tempoh yang panjang. Jika pada waktu datang ke Amsterdam dulu, penuh dengan rasa yang teruja. Kini saya sudah keletihan. Saya tidur tetapi tidak berapa lena. Apabila tersedar, membuat catatan, menonton filem dan makan makanan yang disediakan.
Apabila memesan makanan muslim di dalam pesawat KLM, biasanya yang makanan ini dihidangkan terlebih dahulu. Mungkin jumlah penumpangnya kecil. Sesuatu yang menarik tentang pengumuman di dalam pesawat ini, anak-anak kapal menggunakan Bahasa Inggeris, Belanda dan juga Bahasa Indonesia kerana penerbangan ini akan berakhir di Jakarta dan transit di Kuala Lumpur.
Saya bahagia apabila pramugaranya bertanya, "Ibu mahu minum air apa?" dengan telor Belanda. Bahasa Melayu masih lagi penting. Saya terasa sungguh dihormati apabila mereka memilih untuk menggunakan bahasa ini.
Pukul 3.00 petang waktu Malaysia, pesawat KLM bernombor pesawat KL 0809 ini pun mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Kembara ini penuh pengalaman dan makna namun, mana mungkin mengatasi kasih sayang dan pengorbanan mereka yang telah memberikan ruang ini kepada saya.
Kembara ini pun tamat di sini. Mungkin akan ada kembara yang lain dengan pengalaman yang berbeza. Terima kasih kepada semua yang setia mengikuti catatan ini dari mula sehingga akhirnya. Besarlah hasrat saya untuk menerbitkan catatan-catatan ini di dalam bentuk yang lebih kemas dan teratur supaya dapat dimanfaatkan oleh sesiapa sahaja.
Ulasan
Namun memang belum rezeki saya pun ketika itu. Semoga suatu hari nanti saya diberi peluang yang sama, insya Allah.
Amin. Saya mendoakan agar hasrat Puan itu akan tercapai. Catatan kembara seperti ini terlalu berharga untuk dipaparkan dalam blog sahaja.
Jika diterbitkan ia mampu menjadi sebagus Warkah Eropah.