Khamis, Januari 19, 2012

Sastera Semakin Cerah pada tahun 2012

Bermula dengan komen daripada sahabat penulis Saharil Hasrin Sanin di Facebook, katanya :
"Teruja sungguh dengan perubahan-perubahan baharu sastera Malaysia, dgn ITNMnya, dengan dana PENA, dan Fadz sebagai editor DS. Wah!
 Ya, siapa sahaja yang tidak teruja dengan perkembangan yang amat memberangsangkan buat penulis-penulis sastera tanah air. Mungkin saya akan ulas satu persatu bagi memudahkan pemahaman kita. 


Dana 5 Juta kepada Penulis melalui Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (dahulunya dikenali sebagai ITNM

Bermula dengan pengumuman yang dibuat Perdana Menteri Malaysia pada malam 50 Tahun PENA pada 16 Disember 2011, sastera Malaysia tiba-tiba mendapat pelbagai suntikan vaksin. Ya, sebelum ini sastera Melayu mempunyai banyak penyakit dan jangkitan. Virus yang paling besar telah melanda Dewan Bahasa & Pustaka dan isu yang tidak sudah-sudah antara DBP dan Dawama Berhad. 


Dalam kemelut yang pelbagai, penulis sastera adalah kumpulan yang paling terhimpit. Jangan salah faham, penulis sastera ada beza dengan penulis-penulis pop. Penulis sastera tidak berapa kisah pun jika mereka tidak dapat hasil jualan royalti berjuta-juta seperti penulis pop yang sering meletup-letup seperti bertih jagung - yang cepat meletup dan cepat juga lemau apabila terdedah terlalu lama. Namun, itu tidak bermakna penulis sastera juga tidak kisah apabila karyanya tidak dipasarkan.


Penulis sastera mahu mencari pembacanya sendiri. Mungkin kedengaran seperti ego penulis sastera ini besar. Namun, percayalah. Penulis sastera lebih bahagia jika bukunya diulas dengan teratur di dalam majlis-majlis ilmu di DBP, di kampus atau dibincangkan dalam kalangan pembaca yang kritis. Kalau setakat komen, "Buku ini sangat best!" - bukan itu yang menjadi dambaan penulis sastera. 


Oleh sebab, matlamat industri penerbitan khususnya dalam penerbitan buku pop lebih berkiblatkan habuan materi berbanding katarsis untuk pembacanya, penulis sastera sering kehilangan tempat untuk karyanya diterbitkan. Tangan DBP semakin penuh. Dengan kemelut Dawama, DBP semakin hilang populariti dalam kalangan penulis sastera. Ini tidak dapat dinafikan. Semua penulis sastera mahukan bukunya diterbit dengan mohor 'daun lontar' teraan DBP tetapi, apabila pihak DBP cuba meyakinkan bahawa selepas Dawama mereka ada kaedah lain untuk memasarkan buku-buku terbitannya, penulis-penulis sastera masih lagi skeptikal dalam hal ini. 


Semua mengambil kedudukan 'tunggu dan lihat'. Apabila ada jalan yang jelas, barulah penulis-penulis ini mengambil tindakan yang berbeza. 


Pengumuman Dana RM5 Juta kepada penulis melalui ITBM adalah sesuatu yang amat besar maknanya kepada penulis-penulis. Ini bererti : 
  • penulis ada alternatif dalam menerbitkan karya sastera. 
  • penulis bukan menafikan peranan DBP, tetapi buat masa ini arah tujuan ITBM lebih jelas
  • kerjasama antara ITBM, PENA dan Percetakan Nasional Malaysia Berhad dilihat sebagai satu sinergi yang logik, kukuh dan boleh bersaing. 
Akhir-akhir ini, ITBM telah menerbitkan banyak buku terjemahan yang berkualiti dari aspek kandungan dan juga rupa fizikal buku yang meyakinkan calon pembaca. ITBM juga lebih meraikan penulis dalam acara-acara yang 'mengambil hati' penulis mapan dan juga tidak melupakan penulis-penulis muda. Rapport yang baik ini amat memancing para penulis untuk lebih mendekati peluang penulisan yang disediakan oleh ITBM. 


Sayembara Penulisan Novel, Cerpen dan Puisi ITBM-PENA-Berita Harian

Sudah lama kita tidak ada sayembara besar bagi mengiktiraf karya sastera. Kali terakhir barangkali pada tahun 2006, Sayembara Sempena Jubli Emas DBP yang kita dapat novel yang kuat seperti Bedar Sukma Bisu (Faisal Tehrani), Mahabbah (Shahnon Ahmad) dan Harga Sebuah Maruah (Azizi Hj Abdullah); dan terkini ada Hadiah SAKO ke-3 yang menobatkan SN Dato' Dr. Anwar Ridhwan melalui Penyeberang Sempadannya. Tempoh sayembara itu berlangsung sekitar tahun 2005 - 2006. Selepas itu, kita ketandusan sayembara.

Kini suda ada sayembara peringkat nasional. Dikhususkan pula penulis muda (berusia 45 tahun ke bawah atau lahir pada 1966 dan ke bawah).

Kategori Novel

Hadiah Pertama: 1 x RM15,000
Hadiah Kedua: 1 x RM12,000
Hadiah Ketiga: 1 x RM9,000
Hadiah Penghargaan: 7 x RM3,000

Kategori Cerpen

Hadiah Pertama: 1 x RM10,000
Hadiah Kedua: 1 x RM7,000
Hadiah Ketiga: 1 x RM5,000
Hadiah Penghargaan: 7 x RM2,000

Kategori Puisi

Hadiah Pertama: 1 x RM10,000
Hadiah Kedua: 1 x RM7,000
Hadiah Ketiga: 1 x RM5,000
Hadiah Penghargaan: 7 x RM2,000

Selain dibuka untuk penulis muda, sayembara ini juga benar-benar mencari PENULIS dan bukan sekadar PEMENANG. Buktinya, bagi kategori cerpen dan puisi, penganjur tidak menerima karya berbentuk eceran, iaitu sebuah cerpen atau sebuah puisi. Hal ini akan menyebabkan lahirnya accidental writer atau accidental winner. Mereka mahu beri anugerah kepada penulis sebenar. Untuk kategori ini, minimum 10 buah cerpen asli yang belum pernah terbit di mana-mana (hatta di blog) hendaklah dikirimkan kepada pihak urus setia. Untuk kategori puisi, minimum 30 buah puisi mestilah dihantar sekali gus.

Tarikh tutupnya pada 31 Julai 2012 bagi cerpen dan puisi manakala 31 Januari 2013 untuk novel.

Maklumat lanjut tentang penyertaan boleh dibaca di laman web ITNM.


Pelantikan Editor Dewan Sastera yang baharu bagi tahun 2012

Dalam kelam kemelut DBP, pelantikan Saudara Fadli Al-Akiti semacam suatu sinar yang cahayanya begitu cemerlang. Editor Dewan Sastera yang terdahulu, Puan Rozninah Abd. Azib telah menjalankan tugasnya dengan begitu baik dan sewajarnya beliau diberikan peluang kenaikan pangkat kerana pengalaman menangani majalah sastera yang paling berprestij itu selama berbelas-belas tahun.

Kini, peluang semacam diberikan kepada tenaga muda. Fadli kelihatan muda namun, mengikut blog dan ulasan buku serta filem yang sering dilakukan beliau lebih matang berbanding usianya. Paling penting beliau berani dalam memberikan kritikan, pandangan dan luas pembacaannya. Editor begini sememangnya dialu-alukan. Editor yang rajin pula ke majlis-majlis sastera tanah air. Saya kesal apabila ura-ura nama beliau tersenarai sebagai calon peserta MASTERA (novel) di Bogor pada tahun 2011 tidak menjadi kenyataan. Semoga beliau dapat memegang jawatan ini dalam waktu yang wajar dan bukannya singkat kerana mencari editor yang sesuai untuk Dewan Sastera bukanlah suatu tugas yang mudah.

Kesimpulan

Tahun 2012 semacam permulaan era tanggungjawab kepada angkatan yang lebih muda. Di ITBM, lebih ramai tenaga muda yang diharapkan dapat mempertingkat bahagian pemasaran buku-bukunya yang berkualiti itu. Semoga tidak mengulang kesilapan Dawama dalam aspek pemasaran. Harapan kepada pihak ITBM dalam menjalankan kerja-kerja pemasaran dengan baik sangat tinggi dalam kalangan penulis sastera.

Di PENA juga, dari Presiden sehingga AJK dan mereka yang memeriahkan Rumah PENA itu kini ialah tenaga-tenaga muda. Semoga kemeriahan rumah PENA itu juga menjadi pemangkin kepada penglahiran bakat-bakat muda kreatif yang mengisi aspek pemikiran dan penghasilan karya-karya sastera Malaysia.

Dewan Sastera juga patut diisi oleh penulis-penulis muda kerana jika anda lahir sekitar akhir tahun 60-an atau awal 70-an, anda bukan lagi penulis muda. Saya masih teringat pesan Puan Rozninah, mantan Editor Dewan Sastera, "Nisah, tolong pesan kepada kawan-kawan supaya hantar karya ke Dewan Sastera juga, jangan berebut-rebut dengan adik-adik di Tunas Cipta. Janganlah perasan muda!"

Saya senyum sahaja.
Dan saya mahu terus tersenyum pada hari ini.
Kalau boleh mahu terus tersenyum.

Penulis sastera sudah mendapat medan yang selesa tetapi harus hati-hati kerana keselesaan seringkali membunuh kreativiti.

Semoga tahun 2012 (atau mungkin kerana tahun ini tahun Naga, mengikut kalendar orang Cina) memberikan satu permulaan yang baik kepada semua penulis tidak kiralah apa sekali pun genre yang kita hasilkan. Yang penting, matlamat kita sama. Khazanah persuratan Melayu itu perlu dipertingkat dan diperluas kepada masyarakat.



1 ulasan:

Norziati Mohd Rosman berkata...

Akhirnya saya faham mengapa mereka perlukan 10 naskhah puisi dan cerpen :-)

Related Posts with Thumbnails