Selasa, Mac 27, 2012

Kembara Sastera Italiana - Menuju Venezia

Apabila pesawat KLM City Hopper mendarat di Bologna, bandar itu menyambut saya dengan rasa muram. Langitnya putih kelabu dan hotel yang ditempah terletak sekitar 20 km dari pusat bandar Bologna. Hotel Eurogarden ini terletak di Ozzano Dell'Emilia - kira-kira di kawasan pinggir bandar. Di kiri kanan jalan raya banyak ladang-ladang yang sukar saya kenal pasti tanaman apakah yang diusahakan. Mungkin saya harus cari maklumat ini kemudian melalui internet.

Kedai buku adalah antara yang menyambut saya di
Aeroporto Guglielmo Marconi di Bologna
Saya tidak betah tinggal sendirian di sini sementara menunggu rakan-rakan delegasi tiba dalam sehari dua lagi. Tanpa banyak fikir lagi, saya terus ke Bologna Centrale, iaitu stesen kereta api utamanya - seperti KL Sentral sifatnya. Semua jenis kereta api yang ke Bologna akan berhenti di sini. Sama ada yang paling laju, Italian Eurostar atau Frecciarossa atau pun dari jenis yang perlahan dan berhenti di semua stesen.

Perkara pertama yang mengekang saya di sini ialah bahasa. Sebelum bertolak ada mencari buku panduan asas Bahasa Itali, tetapi tidak dapat menghadamnya dengan sempurna lantaran agak sibuk menyudahan tugas-tugas sebelum berangkat.

Saya tidak tahu yang mana satukah kereta api yang paling laju atau yang mana akan berhenti-henti di sepanjang jalan. Bacaan sebelum ke Venice menyatakan, saya mesti berhenti di stesen terakhirnya, Venezia Santa Lucia. Itu ialah sempadan akhir bagi pengangkutan darat. Selepas titik ini, semuanya air belaka atau harus berjalan kaki sahaja. Saya juga tidak mahu memilih kereta api yang turun di Stesen Venezia Mestre. Itu bermakna saya harus mencari kereta api lain untuk ke Venezia S.L.

Ada mesin beli tiket disediakan. Oleh sebab menggunakannya buat pertama kali, saya masih kekok. Ada bahasa Inggeris disediakan. Cadangan untuk menggunakan kad kredit untuk pembelian kali ini gagal kerana ada hal teknikal. Untuk lebih segera, terus bayar tunai. Tiket keluar berserta dengan wang baki.

Catatan pada tiket : Treno 588 (Tren no. 588), Carrozza 008 (nombor koc)
Posti 45 (nombor kerusi tempat duduk)

Saya tidak tahu sepatah pun apa yang ditulis pada tiket itu kecuali perkataan self service, Intercity dan nama-nama tempat yang dinyatakan. Kalau beli di kaunter, mungkin petugasnya akan menerangkan walaupun dengan Bahasa Inggeris yang tidak berapa fasih. Saya pandang pada papan elektronik yang memaparkan jadual serta nombor kereta api dan platform. Nombor kereta api, masa bertolak, stesen terakhir dan platform ada ditulis dalam Bahasa Inggeris.

Mesin pengesah tiket perjalanan
Berdasarkan maklumat tersebut, saya terus ke platform seperti yang dinyatakan. Menurut ilustrator buku Kawan Baru Hanani, Emila Yusof  yang pernah sampai ke tempat ini tahun lalu, setiap tiket yang dibeli mestilah disahkan sebelum menaiki kereta api. Pengesahan mesti dibuat pada mesin pencetak warna kuning yang banyak ada di kawasan platform. Jika tidak disahkan, petugas kereta api ini boleh meminta penumpang tersebut turun. Saya akur dengan setiap yang saya baca.


Setelah masuk salah koc dan tidak jumpa tempat duduk yang telah ditetapkan (walaupun ada dinyatakan dengan jelas di dalam tiket), akhirnya saya berjaya sampai di dalam koc dan tempat duduk yang betul. Sebenarnya, setiap koc ada nombor pada badannya dan setiap kerusi ada nombornya; sama seperti di UK dulu, tetapi seperti yang saya nyataan, semuanya kerana kekangan bahasa.



Tiket yang sudah disahkan
Pemandangan sepanjang perjalanan dari Bologna ke Venezia tidaklah berapa mengujakan. Banyak kawasan pertanian, jika bukan kawasan industri. Ada satu nama tempat yang buat saya sedikit teruja, iaitu Ferrara - nama yang sering saya kaitkan dengan kereta berjenama Ferrari. Namun, usah terkeliru. Muzium Ferrari bukan terletak di Ferrara sebaliknya di Modena, sekitar 40km dari Bologna (atau 20 minit dengan kereta api dari Bologna). Namun, kembara saya ialah berkenaan seni dan sastera, jadi muzium ini tidak termasuk di dalam senarai saya.

Setelah lebih kurang 2 jam, kereta api sampai di Stesen Venezia Mestre. Ramai yang turun di sini. Ini stesen besar. Saya beralih tempat duduk untuk mendapat sudut terbaik mengambil gambar. Saya tahu selepas ini, bermulalah kawasan perairan kepulauan Venice. Saya semakin teruja untuk sampai di Stesen terakhirnya - Venezia Santa Lucia.


1 ulasan:

yanaLyana :} berkata...

assalamualaikum . saya dah follow puan dah . ingat lyana lagi tak dari smk yam tuan radin ? by the way , nice blog . kalau ada masa sudi2lah jenguk blog saya ya .

http://budakpinknakciterr.blogspot.com/

tapi bahasa yang saya pakai bahasa budak2 remaja lah . maaf :)

Related Posts with Thumbnails