Kembara Sastera UK & Dublin

Untuk semua yang masih mengikuti catatan kembara ke Itali, saya harus menangguhkan entri ini untuk suatu tempoh kerana saya harus memberi tumpuan kepada buku "Kembara Sastera UK & Dublin" yang sedang disudahkan proses penerbitannya. Sebagai penulis, saya juga harus membaca kembali pruf sebelum diserahkan sepenuhnya kepada penerbit. Membaca teks dan bersama-sama membantu semakan ejaan bukan kerja mudah. Apatah lagi ada banyak perkara-perkara kecil seperti kapsyen, fakta dan foto-foto yang perlu diberikan perhatian.

Contoh kulit pada bahagian dalam. (bukan reka bentuk sebenar)

Mengikut cadangan penerbit, buku ini bakal menemui pembaca sewaktu Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012 yang bakal berlangsung mulai 27 April - 6 Mei, insya-Allah.

Temui saya di booth Institut Terjemahan dan Buku Malaysia. Tarikhnya akan saya umumkan apabila ada pengesahan daripada pihak penerbit.

Contoh reka bentuk bahagian dalam.

Buat masa ini, saya kongsi dahulu beberapa foto ketika dalam proses menerbitkan buku "Kembara Sastera UK & Dublin". Alhamdulillah, saya mendapat kerjasama yang baik daripada pihak editor dan designer (reka bentuk) yang memahami fungsi dan estetika sebuah buku kembara atau travelog sebenar ini.

Saya dan pihak penerbit telah bersetuju untuk tidak menggunakan perkataan 'Travelog' dalam buku ini kerana ada beberapa penerbit lain yang telah menggunakan perkataan 'travelog' tetapi penulisnya tidak pun travel atau melakukan sebarang pergerakan secara harafiah. Mereka menggunakan istilah 'travelog' ini secara tersirat atau metafora sahaja kerana yang mengembara ialah jiwa penulis sahaja.


Untuk tidak menelirukan calon pembeli dan calon pembaca, buku ini menggunakan perkataan 'Kembara'. Meminjam kata-kata, CEO ITBM, Encik Mohd Khair yang menghujahkan, "Kita ada perkataan Bahasa Melayu : Kembara. Lebih elok daripada meminjam."

Oh, saya setuju!

Nantikan perkembangan kemajuan penerbitan buku ini.

Ulasan

Catatan Popular