Jumaat, Mei 11, 2012

Sesudah Pesta Buku 2012

Pesta-pestaan untuk penulis, sudah berakhir. Masa untuk kembali menukangi karya dan tugas-tugas yang belum selesai.

Sebelum Sofa Putih. Pertama kali melihat edisi cetak "Kembara Sastera Nisah Haron".
Buku belum sampai secara fizikal. Pun sudah teruja dengan kulitnya sahaja.
Kredit foto : ITBM

Berikut beberapa catatan tentang Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012 dan foto-foto yang sempat dirakam :

  • Wawancara Sofa Putih ITBM

Dari kiri : Sayed Munawar, Dr. Siti Zainon dan Nisah Haron
 Acara ini simple tetapi sudah mula ada pengikutnya dan ditunggu-tunggu sejak ia mula diperkenalkan oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (dahulunya dikenali sebagai Institut Terjemahan Negara Malaysia). Tokohnya, boleh sahaja terdiri daripada budayawan, bahasawan, orang muda yang punya perpsektif tertentu (paling penting ada karya yang boleh diketengahkan), dan tentunya pengarang yang ada karyanya dengan ITBM.


Paling menarik mulai tahun ini ITBM sudah boleh menerbitkan karya asli dalam Bahasa Melayu dengan itu, penerbitannya menjadi lebih rancak berbanding tugas hakiki mereka menterjemah karya sama ada ke dalam Bahasa Melayu atau dari bahasa Melayu ke bahasa asing.


Untuk acara Sofa Putih ITBM, saya dan Dr. Siti Zainon Ismail telah diberikan penghormatan mendahului senarai pengarang yang menunggu giliran pada setiap hari. Khabarnya, acara Sofa Putih ITBM ini telah diilhamkan daripada pengalaman pasukan ITBM yang menghadiri Frankfurt International Book Fair. Di sana ada acara yang serupa yang dijenamakan terus sebagai "The Blue Sofa". Saya fikir ini suatu 'peniruan' yang positif dan pengubahsuaiannya juga telah menarik sekian ramai pengunjung ke daerah ITBM di Aras 3, Dewan Tun Razak, Pusat Dagangan Dunia Putra.

Isu "Sasterawan Wanita" memang sengaja dijadikan subjek provokasi untuk sesi pertama Sofa Putih. Kami sepakat menjawab bahawa tugas memilih dan menobatkan Sasterawan Negara, sama ada lelaki atau wanita, bukanlah terletak di tangan pengarang tetapi harus dilakukan secara telus oleh para penilai. Buat masa ini, kita tidak pernah dapat sebarang pendedahan sama ada siapakah calon akhir dan siapakah panel penilai sewaktu proses penilaian dilakukan. Jadi, untuk apa kami sebagai pengarang yang harus menjawab soalan 'cepu emas' itu, bukankah tugas pengarang ialah sebagai mengarang dan bukannya menilai.

  • Kembara Sastera Nisah Haron : United Kingdom & Dublin
Kemuncak Pesta Buku untuk saya ialah terbitnya buku Kembara Sastera Nisah Haron (KSNH) oleh ITBM pada 27 April 2012 - kira-kira seminggu selepas hari lahir ke-39. Saya anggap inilah hadiah hari lahir yang paling manis untuk seorang pengarang - apabila bukunya siap diterbitkan. Apatah lagi, buku KSNH ini mempunyai makna yang tersendiri.

Dari kiri : Firdaus Ariff, Encik Mohd Khair (CEO ITBM),
Anuar Manshor (Ketua Jabatan Buku Malaysia), Nisah Haron dan
Puan Sri Diah Shaharuddin (Editor Grup Buku Karangkraf) yang sama-sama
memberikan sokongan sebelum permulaan Wawancara Sofa Putih ITBM
Saya amat berterima kasih kepada pihak ITBM yang sudi menerbitkan buku ini dengan harga yang kompetitif, berwarna-warni (four-colours) dan bersaiz besar (10.25 inci x 7.25 inci) - hampir sama besar dengan sehelai kertas A4. Ramai yang terkejut apabila melihat saiz buku tersebut sewaktu ia dipamerkan di rak ITBM.

Kredit foto : ITBM
Penerbitan genre travelog di dalam bahasa Melayu bukanlah sesuatu yang popular di Malaysia. Setakat ini, kalau ada pun buku yang menggunakan nama 'travelog', tidaklah bermakna penulisnya benar-benar kembara. Kalau ada pun lebih bersifat perjalanan jiwa atau spritual travelogue. Buku-buku yang dalam genre travel lebih banyak mengkhusus kepada aspek tourism yang biasa. Lokasi tempat-tempat peranginan yang sesuai untuk bercuti, beli belah dan tidak ada kaitan langsung dengan buku dan sastera.

Bahagian dalam buku "Kembara Sastera" yang diterbitkan dengan warna-warni.
Lantas, saya sungguh berdebar-debar menunggu reaksi pembaca terhadap penerbitan buku ini. Saya tahu sebahagian besar daripada pembaca buku ini ialah pengikut setia blog ini. Justeru, saya sungguh berbesar hati apabila dapat bertemu dengan sebahagian daripada mereka sewaktu sesi Sofa Putih, mahupun pada sesi lain, atau ketika bertemu saya di mana-mana ketika PBAKL berlangsung.

Sesungguhnya, sokongan tersebut mempunyai erti yang sangat besar kepada saya. Apatah lagi, buku tersebut khabarnya, cepat sekali susut dari rak; walaupun KSNH hanya berada di rak kedua dan bukan di rak teratas. Alhamdulillah, ramai yang mencari dan bertanya kepada petugas ITBM. Sementelahan saiznya yang agak besar itu memudahkan buku tersebut ditemui.

Antara respons yang saya terima setakat ini KSNH ialah "satu-satunya buku kembara di dalam Bahasa Melayu kontemporari." Apakah kenyataan ini benar? Saya sendiri kurang pasti. Yang kita ketahui ialah buku tentang kembara (apatah lagi kembara sastera) amat jarang ditemui di dalam bahasa Melayu.  

Saya bersyukur.

  • Menjaring buku di PBAKL
Setiap tahun, saya ke PBAKL atas beberapa kapasiti. Satu daripadanya sebagai penulis, selain sebagai pembaca dan aktivis di dalam industri perbukuan. Ini juga masanya untuk melihat judul-judul baharu dan yang berpotensi untuk dipilih untuk berada di dalam koleksi Ujana Ilmu.

Hasil kali pertama.

Sempat dua kali membeli buku-buku sewaktu berada di PBAKL. Kali pertama mendapat hasil yang sederhana, namun ada banyak buku yang menarik dalam jaringan awal.

Kali kedua, dapat menjaring lebih banyak judul

Hasil kali kedua lebih lumayan.
Saban tahun, jumlah pembelian di PBAKL menurun. Barangkali kerana kualiti dan jenis buku yang ditawarkan (yang sesuai dengan jiwa saya) semakin berkurangan. Selebihnya, saya boleh dapatkan terus daripada penerbit atau pengedar melalui Ujana Ilmu. Memang sebahagian daripada tugas rasmi / tidak rasmi saya ialah memastikan buku-buku yang dipaparkan di laman Ujana Ilmu ialah buku yang berkualiti sahaja. Kami cuba mengelak daripada menjual buku yang rendah kualiti penerbitan dan juga aspek muatan di dalam karya.

  • Bertemu penulis
PBAKL juga ibarat 'Hari Raya' kepada penulis-penulis. Di sini menjadi medan untuk bertemu sesama penulis, selain bertanya khabar, bertanya juga mengenai perkembangan penulisan masing-masing. Menulis ialah kerja yang sunyi. Pesta Buku seperti ini barulah terasa bertemu dengan insan sama profesion.

Ada penulis yang sudi ditegur. Ada penulis yang suka menegur. Ada penulis yang berniat untuk menegur tetapi malu untuk menegur. Ada penulis yang mengelak daripada ditegur.

Ya, saya akur, walaupun penulis, mereka tetap manusia. Saya terus bersangka baik sahaja. Semakin dipanjat usia, saya semakin malas untuk melayan sikap-sikap negatif, sama ada dalam kalangan penulis mahupun kalangan sahabat luar dunia penulisan. Mereka yang mengeluh, mengutuk dan 'kaki komplen' ini ialah kumpulan yang sering saya siahkan sahaja. Mereka juga tidak perlu wujud di dalam dunia saya. Semoga rahmat Allah turun kepada kita semua, termasuk mereka juga. Dunia ini kecil untuk menampung mana-mana ego yang dirasakan besar.

Bersama-sama Prof Dr. Muhaya di booth As-Sohwah
Paling bahagia dapat bertentang mata, membeli buku dan berfoto dengan Prof. Dr. Muhaya yang sering saya ikuti cetusannya di Facebook dan sesekali di kaca televisyen. Beliau insan yang menggalakkan kita berfikiran positif kerana fikiran yang sedemikian telah membawa saya jauh ke mana-mana sahaja bertemankan Tuhan.

  • Bercerita dengan anak-anak di Dewan Tun Dr. Ismail - Karangkraf 
Anak-anak yang tekun mendengar cerita dan syair.
Buku cerita kanak-kanak "Kawan Baru Hanani" telah membawa saya kembara jauh dengan cara yang tersendiri. Buku ini membawa saya 'terbang' jauh ke "Negeri di Awan" dengan 3 ekor semberani. Tidak sangka juga di Bogor, Indonesia saya menemui boneka semberani yang kini menjadi prop setiap kali saya bercerita tentang 'Hanani dan Semberani'.

"Kawan Baru Hanani" juga telah membawa tuah apabila dipilih sebagai satu daripada buku yang dipamerkan di Bologna Children's Book Fair, Itali pada bulan Mac 2012. Lantas, menerbitkan satu lagi kembara untuk dicatatkan.

Peminat cilik yang terpesona dengan semberani, langsung membawa adik-adiknya
turut sama bergambar.
Di PBAKL, Hanani dan Semberani menjadi medan saya bercerita kepada anak-anak yang sudi melapangkan masa bersama-sama ibu bapa dan penjaga di Dewan Tun Dr. Ismail, PWTC. Karangkraf dan produknya mengambil keseluruhan dewan itu khusus untuk mereka. Ada pentas disediakan. Lalu, saya pun bercerita kepada anak-anak itu tentang semberani - nama am untuk kuda terbang dan kisah pengembaraan Hanani. Sambil bercerita, saya selitkan juga dengan irama syair dan gurindam supaya anak-anak ini dapat didodoikan dengan jati diri Melayu dalam cerita penuh advencer ini.

Pesta-pestaan untuk penulis, sudah berakhir. Masa untuk kembali menukangi karya dan tugas-tugas yang belum selesai.

Sehingga bertemu lagi di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2013, insya-Allah!


3 ulasan:

mama ju, berkata...

sALAM SEJAHTERA pN nISAH

Sayang kakak tidak menemui Pn di sofa putih itu. Semasa kakak hadir, Pn Zaleha Hashim sdg berceloteh, seronok mendengarnya tambah lagi Tn Syed pandai bertanyakan soalan2 provakasi...
Maaf kakak tidak mengetahui sgt 'kewujudan' Pn, tapi tiba-tiba kakak terpanggil dgn buku kembara tu.
tahniah dan teruskan menulis!

Nisah Haji Haron berkata...

Mama Ju,
Tak mengapa tak berjumpa, biarlah buku itu berbicara. Terima kasih atas sokongan!

fruityloom berkata...

Tahniah dan terima kasih atas buku "Kembara Saster..." itu. Ia sangat menghiburkan dan mengujakan :)

Related Posts with Thumbnails