Jumaat, Ogos 17, 2012

Kreativiti MacGyverisme Dalam Sastera

© Nisah Haron
Kreativiti MacGyverisme Dalam Sastera
Oleh : Nisah Haji Haron
Dewan Sastera, Mac 2012.
© Nisah Haron

IDEA dan kreativiti itu sering bergandingan. Dalam penulisan kreatif, kedua-duanya sangat diperlukan. Sesuai dengan namanya ‘penulisan kreatif’, seseorang pengarang kreatif amat dituntut supaya dapat mengemukakan idea-idea baharu dalam bentuk tulisan dan mestilah disampaikan di dalam bentuk yang kreatif.

Menurut Hizairi Othman, di dalam bukunya Kreativiti dalam Penciptaan Karya Kesusasteraan (DBP, 1996), satu cara yang mudah untuk meninjau kreativiti ialah dengan membandingkan dua buah karya. Dengan cara itu, dua perkara yang dapat dinilai iaitu kreativiti karya dan juga kreativiti pengarangnya.

Persoalannya, bagaimanakah kita dapat melihat sesuatu karya itu sebagai kreatif? Seringkali juga ditemukan dalam pembacaan : karya A lebih menarik dibaca daripada karya B sedangkan kedua-duanya mengungkap tema dan persoalan yang sama. Jawapan yang sering diterima pula ialah cara penyampaian karya A lebih kreatif dan menarik daripada karya B.

Sifat kreatif seiring dengan bakat dilihat sebagai anugerah Tuhan kepada individu tertentu. Kreativiti bukanlah sesuatu yang magis sebaliknya kreativiti ialah sikap dan pengamatan yang berbeza seseorang individu. Pendek kata, sifat kreatif itu boleh ditanam ke dalam diri, malah boleh dipelajari.

Sumber di sini.
Pada sekitar tahun 1985 – 1992, dunia televisyen tiba-tiba mendapat wira baharu bernama MacGyver.*  Wataknya sederhana, namun apa menarik tentang dirinya ialah bagaimana dia melepaskan diri daripada situasi maha genting dengan menggunakan apa-apa sahaja yang ada di sekitarnya. Tambahan pula, MacGyver mempunyai pengetahuan sains yang tinggi, khususnya kimia, fizik dan teknologi. MacGyver ialah manusia biasa yang menyelesaikan masalah dengan kaedah yang kreatif sehingga timbul istilah ‘MacGyverisme’ iaitu menyelesaikan sesuatu masalah yang mustahil.

Ramai remaja (khususnya lelaki) di sekolah-sekolah yang menggunakan ayat seperti “kalau pintu ini tidak boleh dibuka, aku MacGyverkan saja!” MacGyver menjadi idola televisyen kepada remaja pada akhir 80-an kerana kreativiti yang ditampilkan dalam setiap episod. Genius rekacipta, Zulkifli Haron, turut diberi jolokan ‘MacGyver Malaysia’.

Kelebihan melihat benda atau situasi yang sama melalui sudut pandangan dan tindakan yang berbeza inilah yang dinamakan sebagai kreativiti. Sifat kreatif itu universal, wujud di dalam semua bidang dan tidak terhad kepada penulisan kreatif atau sastera semata-mata. Berfikir dengan cara luar biasa atau berfikir di luar kotak juga merupakan istilah yang sering digunakan bagi mengungkap hal-hal kreativiti.

Menghasilkan karya sastera kreatif dewasa ini semakin mencabar. Untuk kekal dilihat sebagai kreatif, setiap pengarang perlu menghasilkan sesuatu yang baharu. Dalam istilah penciptaan, novelty bermakna baharu, ertinya belum pernah dihasilkan orang lain. Lantas, novel sebagai sebuah karya kreatif haruslah mempunyai kelainan tertentu untuk menjadikannya jauh berbeza dengan sebuah novel yang lain. Novel yang mengungkap tema yang sama dengan pendekatan yang sama atau menggunakan ‘formula’ tertentu dilihat sebagai kurangnya daya kreativiti pengarang.

Kreativiti sesebuah karya sastera dilihat kepada beberapa aspek seperti :
  • Kreativiti berbahasa
  • Kreativiti jalan cerita
  • Kreativiti menjalin ilmu tertentu ke dalam karya
  • Kreativiti dalam pembinaan watak
  • Kreativiti meneroka persoalan
  • Kreativiti membina konflik
  • Kreativiti menyelesaikan konflik

Senarai di atas tidak bersifat eksklusif kerana kreativiti itu harus berkembang dalam memberikan makna baharu dalam setiap karya. Kreativiti harus sinonim dengan keluwesan individu, keluwesan memanipulasi pengetahuan dan keluwesan mengaplikasi diri dan pengetahuan itu ke dalam sesuatu situasi.

Dalam penulisan kreatif, tiada syarat tertentu yang wajar dipatuhi kecuali standard industri seperti format karya dan aspek-aspek teknikal – jenis kertas, pemilihan jenis huruf, dan format penulisan. Selebihnya, seseorang pengarang kreatif itu diberikan pintu yang seluas-luasnya untuk meneroka apa-apa subjek selagi tidak melanggar batas-batas agama dan moral.

Pengarang, seperti mana manusia lain sebagai khalifah di muka bumi ini, mempunyai tanggungjawab terhadap Tuhan dan juga masyarakat serta dirinya sendiri. Pengarang kreatif itu wajib bertanggungjawab terhadap apa yang ditulisnya. Hal ini mewujudkan tiga perkara penting yang saling berkait iaitu : pengarang, pembaca dan Tuhan yang boleh digambarkan seperti berikut :

© Nisah Haron

Di dalam lingkungan kreativiti ini, pengarang mempunyai kebebasan untuk menyampaikan idea-idea kreatif kepada pembaca sasarannya.Tiada formula khusus bagi menjana idea dalam penulisan kreatif. Semuanya bermula daripada diri individitu pengarang yang kreatif dan memiliki ciri-ciri kreatif. Ciri-ciri ini bukan semestinya lahir secara semula jadi seperti bakat, sebaliknya ciri-ciri kreatif ini merupakan sifat dan juga sikap pengarang dalam menangani sesebuah karya yang dihasilkan. Jika pengarang terikat dengan formula penulisan seperti yang berlaku dalam karya fiksyen pop, lalu terhasilkan formula bagi novel cinta, misalnya :

© Nisah Haron

Pengulangan formula yang sama menyebabkan terjadikan klise (cliché), iaitu idea atau cara penulisan yang telah digunakan berkali-kali sehingga diistilahkan sebagai pengungkapan yang basi. Tema dan gaya penulisan sedemikian, meski pun mendapat sambutan pembaca massa, namun hal ini menunjukkan tumpulnya kreativiti pengarang dalam menawarkan sesuatu yang lebih segar dan berlainan daripada jangkaan pembaca.
Kreativiti turut berkait rapat dengan persekitaran dan iklim masyarakatnya. Ini turut ditegaskan oleh SN Shahnon Ahmad di dalam bukunya Sastera sebagai Seismograf Kehidupan (DBP, 1991).

Kassim Ahmad pula telah membahagikan perkembangan sastera Melayu moden di Malaysia kepada tiga fasa :
  1. Fasa Pertama (1930 – 1960) : memperlihatkan semangat antikolonial dan antifeudal, terutama di bawah pimpinan ASAS 50.
  2. Fasa Kedua (1960 – 1990) : perkembangan sastera kebangsaan peringkat eksperimetal. Ini ialah fasa penentuan arah nasionalisme sama ada nasionalisme liberal, nasionalisme sosialis atau nasionalisme Islam.
  3. Fasa Ketiga (1991 – sekarang) : mempunyai dua bentuk –
  • Kemerosotan kebudayaan dengan materialisme dan hedonisme yang semakin berleluasa
  • Kebudayaan yang mengarah kepada kebudayaan kebangsaan yang baharu dan penjenamaan semula sastera berunsur Islam

Aspek yang menarik untuk dilihat ialah bagaimana dalam setiap fasa, pengarang memanipulasi kreativiti dalam menghasilkan karya masing-masing. Dalam setiap fasa juga, pengarang berusaha untuk memberikan kelainan dari segi pengungkapan makna dan juga ekspresi bahasa bergantung kepada bentuk-bentuk perjuangan dalam setiap fasa.
Menjadi pengarang kreatif bukan bermakna menghasilkan sesuatu yang unggul. Daripada sesuatu yang tiada kepada sesuatu yang ada. Pengarang kreatif memperbaik, memperindah dan memberi nilai tambah kepada kesusasteraan melalui gaya masing-masing berdasarkan apa yang pernah dihasilkan.

Bertolak daripada falsafah, “karya hari ini haruslah lebih baik daripada semalam”, terdapat tiga kaedah dalam menghasilkan sesuatu yang kreatif :
  • Tiru
  • Ubah
  • Gabung

Peniruan bukan bererti mengambil bulat-bulat suatu ekspresi atau bentuk seni sedia ada. Justeru peniruan demikian ialah plagiat. Peniruan yang dimaksud dalam konteks ini ialah bagaimana pengarang ‘meniru’ apa yang ada di sekelilingnya, seperti yang pernah diungkapkan di dalam pantun Melayu :

Penakik pisau raut,
Ambil galah batang lintabung,
Seludang dijadikan nyiru;
Setitik dijadikan laut,
Sekepal dijadikan gunung,
Alam terkembang dijadikan guru.

Inilah proses peniruan yang dilakukan manusia zaman berzaman dalam menghasilkan sesuatu yang kreatif. Impian manusia untuk terbang ke awan diambil daripada konsep peniruan terhadap burung. Apabila manusia mahu meneroka laut dalam dan berenang seperti ikan, mereka meniru konsepnya dan menghasilkan kapal selam.

Konsep penerbangan ini juga telah dinyatakan di dalam cerita-cerita lipur lara seperti Hikayat Raja Muda dan Hikayat Malim Deman apabila diperkenalkan istilah ‘balai berjentera’, ‘baju layang’, dan ‘burung borak’. Demikian juga di dalam Sejarah Melayu ada disebutkan bahawa Raja Suran masuk ke dasar laut menggunakan ‘peti kaca berpesawat’.

Apa yang penting ialah bagaimana peniruan ini diolah untuk menghasilkan sesuatu yang lebih baharu dan memberikan makna baharu untuk masyarakat pada zamannya. Leonardo da Vinci mencipta konsep penerbangan pada awal abad ke-15, namun peranti atau jentera yang boleh terbang sepenuhnya hanya dicipta oleh Wright Bersaudara pada tahun 1903. Evolusi idea penciptaan Wright bukanlah unggul tetapi mereka berdua membaik pulih dan memperkukuh konsep penerbangan yang telah dicetuskan oleh da Vinci beratus-ratus tahun sebelumnya.

Daripada peniruan kepada perubahan dan penyesuaian menyebabkan bercambahnya idea-idea kreatif ini. Misalnya, novel Faisal Tehrani Manikam Kalbu merupakan manipulasi daripada buku Ungkapan Tradisional Melayu Riau, khususnya di dalam bab-bab pakaian Melayu dari segi makna dan falsafahnya. Sebelum menghasilkan Hujan Pagi, SN A. Samad Said cuba menerapkan aliran realisme magis dengan menghadam karya Gabriel Garcia Marquez seperti One Hundred Years of Solitude dan Milan Kundera, The Unberable Lightness of Being. Di dalam sastera, kaedah ini bukanlah suatu penyalinan polos, sebaliknya konsep ini dinamakan proses intertekstual.

Dalam intertekstual, suatu teks asal (hipoteks) menjadi sumber rujukan lalu digabungkan dengan teks semasa (hiperteks), untuk menghasilkan makna baharu seperti yang diungkapkan oleh Mawar Shafei dalam bukunya Novel Intertekstual Melayu (Penerbit UKM, 2010) :

“Pengarang Melayu dalam konteks ini berdiri sebagai seorang orchestrator terhadap teks yang bersifat already-written. Serentak pengarang bertindak sebagai synthesizer iaitu menggembleng, menggabung serta menyepadukan pelbagai wahana kesusasteraan dan beberapa kaedah secara kreatif dan inovatif seperti yang terkandung dalam prinsip intertekstualiti bagi menggarap novel mereka.”

Daripada peniruan kepada perubahan atau evolusi inilah pengarang kreatif menggabungkan kedua-duanya untuk menghasilkan sesuatu yang berbeza dari segi bentuk mahu pun makna. Proses penghasilan sesuatu yang baharu memerlukan satu model sebagai bahan rujukan. Ini yang disebutkan sebagai pengaruh oleh Harold Bloom di dalam The Anxiety of Influence. (Oxford University Press, 1997)

Cebisan-cebisan idea boleh berada di merata-rata tempat. Satu bahan atau benda belum tentu boleh menghasilkan sesuatu. Namun gabungan beberapa bahan yang sedia wujud boleh menjadikan produk baharu. Misalnya, kek ialah suatu penciptaan resipi yang menggabungkan sejumlah telur, tepung, gula dan minyak. Demikian juga, Johannes Gutenberg, seorang tukang besi Jerman mencipta mesin cetak pada tahun 1439 tetapi dakwat, kertas dan teknologi skru sudalah tercipta jauh lebih awal daripada itu. Gutenberg hanya menggabungkan kesemua idea dan bahan tadi untuk mencipta mesin cetaknya.

Kesimpulannya, pengarang kreatif haruslah mahir dan arif dengan segala bentuk penghasilan karya yang terdahulu supaya dapat menghasilkan sesuatu yang lebih kreatif. Mahu menulis karya antiplot? Ya, silakan. Syaratnya, pengarang itu haruslah mahir dengan teknik penulisan menggunakan plot. Pendek kata, sebelum menulis karya eksperimental mahu pun yang absurd, hasilkanlah terlebih dahulu karya konvensional untuk mengalaminya sendiri. Sebelum menghasilkan puisi moden atau sajak, fahamilah apa itu puisi tradisional. Sebelum meneroka fiksyen sains dan fantasi, hadam dahulu teks-teks tradisional dan lipur lara yang telah lebih dahulu mengungkapkannya.

Hakikatnya, pengarang masa kini amat diperlukan untuk menawarkan makna baharu dalam karya-karya kreatifnya. Namun, setiap pengarang mempunyai fasa pembentukan dan perkembangannya. Pada tahap ini, pengarang itu harus memperkukuhkan diri dengan menguasai apa yang telah dihasilkan pengarang lain sebelum ini. Hunter S. Thompson, pengarang Amerika Syarikat pernah menaip semula novel F. Scott Fitzgerald, The Great Gatsby hanya untuk ‘merasakan’ bagaimanakah sebuah novel hebat itu ditulis.

Usah bimbang tentang idea kerana cetusannya boleh hadir pada bila-bila masa dan selalunya pada ketika yang tidak terduga. Hal yang lebih penting ialah bagaimana pengarang kreatif itu dapat memanfaatkan idea itu dan mengolahnya untuk menawarkan makna baharu dari perspektif yang jarang diungkap dalam masa yang tertentu!

Sumber : Dewan Sastera, Mac 2012





Nota Peribadi : Siri MacGyver merupakan kemuncak minggu saya sewaktu zaman sekolah. Ketika itu saya di dalam tingkatan empat. Biasanya siri ini disiarkan pada malam hari Rabu. Esoknya, saya dan rakan-rakan (biasanya lelaki) akan membuat 'diskusi' tentang episod yang kami tonton pada malam sebelumnya di rumah masing-masing. Sayang sekali, tidak ramai pelajar perempuan yang minat menonton, yang minat pun kerana Richard Dean Anderson sahaja. (Juga sebahagian besar pelajar yang tinggal di asrama.) Lebih malang lagi, siri seperti ini tidak ditayangkan di sekolah, apatah lagi di asrama.

MacGyver telah menyebabkan saya jatuh cinta pada subjek sains, ditambah lagi apabila Puan Normah Ismail yang membawa subjek itu ke arah mengagumi Allah Yang Esa. MacGyver menjadikan sains itu sangat menarik dan praktikal. Kalau semua guru sains seperti guru saya itu dan juga MacGyver pasti subjek ini bukan sekadar mahu lulus periksa semata-mata. Penguasaan terhadap sains boleh dijadikan bahan untuk penulisan kreatif, khususnya fiksyen spekulatif (fiksyen sains).

* MacGyver is an American action-adventure television series created by Lee David Zlotoff. Henry Winkler and John Rich were the executive producers. The show ran for seven seasons on ABC in the United States and various other networks abroad from 1985 to 1992. The series was filmed in Los Angeles during seasons 1, 2 and 7, and in Vancouver, British Columbia, during seasons 3--6. The show's final episode aired on April 25, 1992 on ABC (the network aired a previously unseen episode for the first time on May 21, 1992, but it was originally intended to air before the series finale).


The show follows secret agent Angus MacGyver, played by Richard Dean Anderson. MacGyver prefers non-violent resolutions where possible, and refuses to handle a gun. He works as a troubleshooter for the fictional Phoenix Foundation in Los Angeles. Educated as a scientist with a background as a Bomb Team Technician/EOD in Vietnam ("Countdown"), and from a fictional United States government agency, the Department of External Services (DXS), he is a resourceful agent with an encyclopedic knowledge of science, able to solve complex problems with everyday materials he finds at hand, along with his ever-present duct tape and Swiss Army knife.

Copyright Disclaimer Under Section 107 of the Copyright Act 1976, allowance is made for fair use for purposes such as criticism, comment, news reporting, teaching, scholarship, and research. Fair use is a use permitted by copyright statute that might otherwise be infringing. Non-profit, educational or personal use tips the balance in favor of fair use.

3 ulasan:

ahsfantasy24 berkata...

Salam aidilfitri, maaf zahir dan batin. - ahsfantasy24.com

iqbal sabry berkata...

Alhamdulillah.
terima kasih diatas penulisan yang cukup menarik. Disamping itu juga, maklumat yang ingin dikongsi juga senang dan mudah untuk difahami.

Untuk mewujudkan idea yang kreatif bagi saya penulisan ini cukup padat.

terima kasih...

teguran terhadap kesilapan darisegi ejaan dan juga binaan ayat amatlah dialu-alukan.

#budak ingin belajar

iqbal sabry berkata...

penulisan yang cukup mudah dan senang untuk difahami.
terima kasih saya ucapkan.

Bagi saya untuk mencari idea baru dan kreatif sangat sukar mungkin kerana kurang dari segi pembacaan. Tetapi sepertimana yang Pn kongsikan bersamaa, idea yang kreatif itu boleh diusahakan.

Terima kasih

Related Posts with Thumbnails